Tuesday 23 April 2013

KERIS SINGAPRAGA BALI LEBIH SAKTI DARI TAMING SARI

Cerita bab keris ini tentu tidak ada kaitan dengan politik langsung. Kecuali siapa yang perasan akan lambang sebuah parti politik yang ada gambar keris. Keris bukan milik Melaka, milik Melayu sahaja, orang Bali pun ada keris. Jika kita megah dengan Taming Sari yang sudah tercampak dalam laut [?] di Bali mereka megah kerana ada keris SINGAPRAGA.
Keris ini sesuai dengan namanya, memang hebat macam kita terserempak singa di kawasan hutan. Ibarat kita nampak singa dan mendengar aumannya, maka begitu jugalah impak maksima daripada keris Bali ini.
Mpu yang mengetuk besi merah ketika nak buat keris itu fikir, dia ingin membuat sebilah keris yang akan menjadi kenangan sampai bila-bila pun. Orang tidak akan kenang siapa ketuk besi untuk buat keris. Mpu yang ketuk besi tidak fikir pun suatu hari nanti keris ciptaannya menjadi barang sakti, digeruni musuh atau dimitoskan berlebihan.

SEJARAH
September 1906, kapal Belanda De Hertog Hendrik telah menyerang Bali. Tiga kraton di kawasan pantai menjadi sasaran -- Puri Kesiman, Puri Denpasar dan Puri Pemecutan [majalah Liberty, ed.2437, 2011].
Ketika serangan itu, orang Bali sudah bersedia pun dengan rajanya berada di barisan depan. Inilah yang sepatutnya. Raja kena berada di depan melindungi rakyat, bukan rakyat melindungi istana. Dah terbalik. Mereka siap menentang Belanda, kerana mereka fikir lebih baik mati daripada dijajah orang putih!
Sang Raja bernama Gusti Ngurah Made Agung isytiharkan perang yang dipanggil Perang Puputan.

Apa senjata orang Bali ketika itu?
Mereka telah mempersiapkan senjata pusaka yang mistik. Tombak dan keris pusaka dikeluarkan. Inilah masanya nak menguji sejauh mana kehebatan mistik orang Bali. Pusaka keris dan tombak itu mereka kata adalah yang terbaik!
Kenapa mereka berani menentang kapal Belanda itu?
Mereka jadi pemberani begitu kerana di dalam kepercayaan mereka bahawa tombak dan keris pusaka itu benda sakti. Ia benda bertuah yang mempunyai roh dari nenek moyang mereka.
Mereka juga yakin bahawa sekiranya mereka memegang keris sakti itu, badan jadi kebal tak lut senjata Belanda.
Mereka anggap dengan menghunuskan keris ke arah kapal Belanda, peluru yang kapal Belanda lepaskan akan terkena keris dan terus melemah. Mereka juga yakin kalau keris dihunuskan, peluru akan tersasar ke tempat lain.
Dengan menghunuskan keris sakti itu, musuh akan langsung lemah dan rebah tanpa perlu berlawan.
Mereka berani berdepan dengan orang Belanda yang mendarat di pantai. Lawan secara itu memang gaya orang bertombak dan berkeris. Dan perlu diingat, mereka jadi berani kerana mereka memiliki keris Singapraga yang kalau dihunuskan ke arah Belanda, mereka jadi gerun seolah-olah melihat singa yang sedang menerkam.
Raja Gusti Ngurah tadi berbekalkan keris Singapraga melawan Belanda. Nasib tidak baik, dia tidak kebal pun, Sang Raja gugur di medan perang. Keris sakti masih tergenggam di tangan.
Tentang keris ini mereka kata, ia sudah terkena peluru Belanda. Keris itu sumbing. Ada yang kata berlubang. Yang benar kata Ngurah Wijayaninggrat, kerabat dari Puri Satria, keris sakti itu sumbing dan bengkok sikit.

ASAL KERIS
Keris sakti Singapraga ini asalnya hadiah dari Raja Denpasar [teringat lagu "Denpasar Moon"] kepada pewarisnya Ngurah Made. Cerita keris tidak jelas sangat. Sebab ada sumber mengatakan keris itu sudah berada di tangan Belanda. Sebelum meninggal Sang Raja Cokorda Satria telah menghadiahkan keris itu kepada Ngurah Made [1789M].
Kalau benar seperti cerita tadi, Raja Bali terkorban dengan keris berada di dalam genggaman, ia memberi makna bahawa keris itu tidak ada kesaktian apa pun. Tidak menggerunkan dan tidak sakti. Memang ia barang pusaka. Benda pusaka tidak semestinya sakti belaka.
Disebabkan tentera Bali percaya kepada mistik, sedangkan Belanda yang tak ambil kisah, maka pertempuran tadi tidak seimbang. Belanda seolah-olah melawan senjata pusaka yang mistik.
Terbukti, kerajaan Denpasar runtuh dan dikuasai Belanda kemudiannya. Keris dibawa ke Belanda. Disimpan di Muzium Leiden. Pustakwan Belanda, David Stuart Fox beritahu, barang pusaka itu memang pernah berada di negeri Kincir Angin tetapi kemudian dipulangkan ke Indonesia [mungkin benda mistik itu membawa gangguan agaknya].
Menurut sumber, keris ini disimpan di Muzium Gajah, Jakarta. Hanya yang menjadi bahan cerita, apakah keris itu memang keris asli atau keris buatan yang lainnya? Keris yang dikatakan sakti itu telah mengorbankan Raja Bali dalam Perang Puputan dengan Belanda. Bagi kalangan tertentu mereka kata itu bukan keris pusaka yang asli, kalau asli Raja Bali tidak akan terkorban ketika memegang keris. Bayangkan, dalam cerita lisan mereka, keris sakti Singapraga itu kalau dihunuskan ke arah musuh, musuh boleh tumbang macam jurus sakti tenaga dalam juga.
Sebetulnya keris Bali dan keris Jawa ada kaitan. Ketika pasukan Majapahit masuk ke Bali, salah seorang ketuanya dibekali senjata keris Majapahit oleh Patih Gajah Mada. Apabila runtuh Majapahit, keris dari Majapahit masih tersimpan di Bali dengan banyaknya. Ada yang mengatakan banyak tukang buat keris dari Majapahit ikut sama ke Bali untuk mengetuk besi panas. Jadilah rekaan baru, keris Bali pula. Keris Bali lebih besar daripada keris Jawa. Panjang keris Bali sampai 45 cm.

SINGAPRAGA
Untuk meraikan sebilah keris diadakan satu upacara khas. Keris akan dikeluarkan dan diarak. Orang yang berarak turut membawa keris masing-masing. Dua pendeta Siwa dan Budha melakukan ritual ke atas keris sakti itu di suatu tempat.
Keris diaturkan di atas meja. Untuk upacara itu, gamelan dimainkan, seterusnya ada majlis "doa arwah" secara mereka. Mereka kemudian melakukan "Tumpek Landep" ke atas keris pusaka yang ada. Maksudnya seperti menjamas atau "melimaukan" keris.
Begitulah kisah sebilah keris yang dipanggil Singapraga. Atas kertas, keris itu dikatakan sakti, barang pusaka dan banyak kesaktiannya. Ia boleh dijadikan senjata untuk mengalahkan musuh. Sebaliknya apabila Raja Bali benar-benar yakin bahawa senjata itu boleh membawa kekebalan diri, maka dia sendiri yang terkorban. Tidak ada ralat pun yang mereka katakan. Sehingga ada yang pertikaikan apakah keris itu ori atau tidak. Kalau ori tak kan keris pusaka boleh sumbing terkena peluru Belanda?
Di sinilah ada percubaan membina mitos keris Singapraga bagi tujuan menyelamatkan kesakralan keris agar ia tetap agung, tetap sakti di mata pemujanya.
Paparan ini masih merupakan gambaran keyakinan dan kepercayaan sekelompok umat terhadap benda-benda yang dianggap mistik. Setelah diuji maka terbukti ia tidak membawa kesaktian kepada pemegangnya pun. Cerita dan fakta bertembungan. Wallahu a'lam. [ Penulis adalah pengamat budaya dan pernah menyelenggarakan majalah bulanan INTISARI].

1 comment:

  1. Infonya sangat bermanfaat dan Terimakasih karena saya merasa terbantu dengan isi artikel yang ada di situs ini.

    Koleksi Pusaka Prabu Siliwangi Hasil Tarikan Gaib - Kunjungi www.PusakaPrabuSiliwangi.com

    ReplyDelete