Sunday 26 January 2014

ISU KALIMAH ALLAH SERAHKAN KEPADA YANG TAHU

MASALAHnya di negara kita, semua orang mahu bercakap tentang isu Kalimah Allah. Bahkan yang ikut berkumpul dan menyatakan rasa marah pun belum tentu faham apa isu yang sebenarnya?
Saya tertarik dengan forum yang diadakan di Perkim [Ahad, 24Rabiul awwal 1435/ 26 Januari 2013] sempena dengan sambutan Maulidul Rasul bersama saudara muslim.
Forum itu membicarakan tentang Allah Milik Siapa?
Menariknya, baik moderator dan ahli panelnya, mereka adalah orang yang tahu tentang isu ini. Mereka semuanya telah mendapat hidayah dan kini menjadi jurubicara tentang Islam pula. Mereka pernah membaca dan memiliki Bible yang kita hebohkan itu.
Dan di majlis itu salah seorang panel forum turut membawakan kitab Bible yang dimaksudkan. Ia dijadikan bahan rujukan. Mereka yang dulunya penganut Kristian itu kini layak bergelar ustadz: Ust. Muhammad Zaid Tandang, Ust.Shah Kirit Kalkulal Govindji dan Ust.Muhammad Nocholas Sylvester.
Tiga tokoh ini, dan mungkin ramai lagi orang yang seperti mereka memang layak bercakap tentang isu Kalimah Allah. Mereka boleh bercakap dari sudut pandangan yang berbeza daripada uslub yang digunakan oleh pembicara orang Melayu.
Mereka boleh menyatakan bab dan ayat berapa di dalam kitab Bible sebagai bandingannya.
Sudut pandangan mereka berbeza dengan kaedah seorang Melayu Muslim yang ada. Mereka telah merasai bagaimana menjadi mubaligh dan mengikuti ajaran agama itu. Sedangkan kita, nak sentuh Bible pun tidak berani.
Baik moderator dan ahli penal mengatakan rasa kecewa dengan sikap kerajaan kita yang membiarkan polemik Kalimah Allah ini berlegar dalam media. Semuanya bercakap tentang isu yang sama tetapi cara paparannya seperti memaksakan kepada audien.
Sudah tiba masanya polemik itu dihentikan. Tidak dibenarkan mana-mana media cetak dan elektronik membicarakan soal isu ini secara terbuka. Buat secara tertutup. Adakan dialog antara agama bagi mencari penyelesaian.
Untuk apa berbalah secara terbuka. Akibatnya orang yang tidak tahu hujung pangkal ikut campur. Mereka yang jauh dari masjid dan surau pun ikut berkumpul marah-marah tentang isu ini. Bukankah ini perlakuan yang pelik?
Serahkan isu ini kepada orang yang berkelayakan. Tidak perlu semua orang nak bercakap. Ada landasan ilmu untuk bercakap tentang isu ini.
Satu hal lagi yang menariknya, mereka kata, sejak mereka memiliki Bible yang ada kalimah Allah, belum jumpa satu kes pun orang Islam murtad setelah membaca Bible tersebut.
Ada banyak versi Bible di dunia ini, tak kurang 300 lebih kata ahli panel. Dalam Bible ada menceritakan tentang hukum hudud.
Isu rampasan Bible oleh JAIS baru-baru ini terlalu disensasikan oleh media kata salah seorang panel yang mengaku pernah mendengar taklimat tentang isu itu oleh pihak JAIS bagi mengetahui isu yang sebenarnya.
Benarlah. Jika pihak pemerintah membiarkan isu ini terus dimainkan oleh media, maka ia akan melahirkan banyak pendapat, semua orang mahu bercakap, dan akhirnya lari dari isu sebenar.
Lihatlah apa yang terjadi di Pulau Pinang sekarang. Kain rentang yang mempersenda sengaja digantung bagi mencetuskan kemarahan semua pihak. Akan tetapi daripada apa yang direntangkan itu, orang sudah boleh mengagak, siapa yang membuatnya dan siapa yang menggantungkan kain rentang itu.
Kemudian forum juga diberitahu, bahawa umat Melayu kita sangat lemah dalam kerja dakwah. Berapa orang Kristian yang pernah diIslamkan oleh kita dalam kerja dakwah? Dan berapa ramai yang masuk Kristian pula?
Sebagai pemilik badan dakwah di bawah nama Hidayah Centre, salah seorang ahli panel mengatakan dengan sebab Bible bahasa Melayu itulah ramai telah menyeberang ke agama Islam. Yang masuk Kristian di Sabah atau Sarawak itu bukan orang Islam, sebaliknya kaum pribumi yang tidak ada agama, atau berpegang kepada agama nenek moyang mereka.
Tidak ada kes orang masuk Kristian sebab baca Bible. Perlu kita ingat, tahap pembacaan rakyat Malaysia masih rendah. Usahkan Bible Bahasa Melayu, buku nipis pun tak dibacanya. Jadi, kita kena fahami isu ini. Jangan mudah terpedaya dengan mengambil contoh Kristianisasi di Indonesia.
Salah seorang ahli panel pernah buat tinjauan di Indonesia untuk mengetahui isu itu. Gembar-gembur itu yang lebih katanya. Kita tidak tahu berdakwah. Bagaimana orang Kristian berdakwah?
Mereka berdakwah dengan kasih sayang, membantu orang yang memerlukan, sedangkan bagaimana pula cara orang Melayu berdakwah? Kemudian ada yang kata, ada orang gelandangan minum air suci di gereja. Itu semua lari dari fakta. Siapa nak minum air basuhan itu? Itu cerita orang yang tak tahu holy water itu apa sebenarnya. Ia bukan air mineral.
Ahli panel mengesyorkan kerja dakwa dipergiatkan dengan cara penuh hikmah. Lihatlah bagaimana orang Kristian berdakwah. Di Indonesia dakwah mereka menjadi kerana isu PERUT! Di Kuala Lumpur pun dengan mengambil contoh di Lorong Hj Taib suatu masa dulu, ada kaum gelandangan masuk gereja kerena mereka dilayan dengan penuh kasih sayang. Mereka dapat perlindungan, dapat makanan, dan diberi perhatian. Sedangkan kita bagaimana? Betul juga kata mereka. Kerja-kerja dakwah ini kita abaikan sedangkan kita sambut Maulidul Rasul, cintakan Nabi SAW, nak ikut jejak Nabi SAW, tetapi kerja dakwah kita tak buat! Itulah keluhan ahli panel yang pernah menjadi orang Kristian. Mereka kata, kita kurang program aqidah!
Mereka juga sentuh tentang TV kita. Programnya tidak menarik. Tidak ada program yang dapat memantapkan aqidah umat. Kita lebih banyak berhibur, berdrama dan berfilem yang tidak memberi faedah. Dengan kata lain, TV kita lebih banyak politik. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment