Monday 31 March 2014

MERAGA SUKMA - CERITA KOSONG ATAU FAKTA?

KALAU sebut meraga sukma atau astral projection, orang kita kurang memahami. Akan tetapi bagi orang yang menekuni dunia mistik dan serba-serbi "keghaiban" berstatus rendahan, ada sahaja orang yang mendakwa boleh memberikan ilmu meraga sukma. Berbagai iklan mereka paparkan bagi menarik orang awam agar mempelajari ilmu meraga sukma.
Apa hebatnya keilmuan ini?
Menurut dakwaan orang pintar yang mengatakan bahawa mereka boleh menjadikan seseorang awam mengikuti latihan meraga sukma sampai menjadi. Orang yang belajar ilmu ini konon boleh "terbang" ke mana-mana yang mereka suka, termasuk nak pergi Makkah dan Madinah.
Ini bukan kata penulis, tapi dakwaan "peniaga" produk ilmu yang mereka katakan sebagai ilmu meraga sukma.
Orang tertarik dengan ilmu yang serba instant, macam makan mi segera. Tidak perlu puasa, tidak perlu ritual, hanya perlu terima bai'at; duduk santai, sambil baca MANTERA dan memakai benda pusaka yang diberi nama "buka raga" -- maka terbukalah raga seseorang itu. Bukan raga dan rotan atau buluh, tetapi "jiwa" orang itu keluar meninggalkan jasadnya. Macam orang mimpi. Ketika mimpi, jiwa kita meraga di mana-mana, apabila orang kejutkan, kita terjaga, kita tidak meraga sukma lagi.
Ada yang mendakwa seseorang yang belajar ilmu ini boleh melanglang buana tanpa batas.
Nampaknya, iklan mereka begitu mudah bunyinya.
Jika begitu, apalah sukarnya nak guna satelit, nak guna radar, dan alat canggih mengesan kehilangan pesawat di Lautan Hindi kalau ada orang yang mampu meraga sukma.
Ilmu raga sukma, kata yang empunya ilmu boleh tembus jagad besar dan kecil. Boleh menembus bumi, langit, ruang dan waktu. Nak pergi ke mana-mana tak perlu melepasi imigresen, tak perlu tiket pesawat, syaratnya ada power untuk meraga sukma.
Memang hebat bunyinya.
Apabila seseorang itu meregai sukma, dia akan terawang-awang, melihat jasadnya duduk atau terbaring di dalam bilik, sedangkan rohnya telah keluar keluyuran di luar sana menurut kemahuannya.
Kalau mahu jadi penyelidik, jadi spy pun boleh, nak intip pihak musuh, atau mengintip saingan dalam bisnis atau nak rebut tender. Nampak mudah dalam teori, tetapi praktikalnya sukar.
Kalaulah meraga sukma ini boleh dijadikan salah satu ikhtiar manusia bagi mencari jawapan kepada perkara-perkara misteri yang ada, maka mudahlah kita.
Seperti kita mahu mencari pesawat yang dilaporkan ENDED di Lautan Hindi. Bukankah mudah kalau semua orang ada ilmu meraga sukma?
Ada yang kata, ketika meraga sukma dia hanya mampu terbang di atas lautan. Meraga sukma tidak mampu masuk ke dalam laut. Untuk menyelam ke dalam laut tentu perlukan ilmu lain lagi. Ia sebagai tambahan kepada meraga sukma yang ada.
Penulis terpanggil untuk membuat catatan ini keranas di dalam dunia mistik, ramai orang berbicara tentang kehebatan meraga sukma.
Untuk memahami soal peragaan sukma ini seseorang perlu memahami aspek alam rohani. Alam rohani ini sukar difahami orang biasa.
Kalau kita membaca buku sufi, kita akan temui kisah alam kerohanian. Di alam kerohanian, ada pertemuan antara orang hidup dan orang yang sudah mati.
Bahkan ada cerita seseorang itu mencatat ilmu daripada mahaguru yang sudah lama pergi. Dia sudah berada di alam barzah tetapi, dia masih mengajar muridnya yang salih.
Penulis tertarik dengan cerita yang pernah dipaparkan sebuah majalah misteri tentang seorang lelaki yang menjadi jurukunci [penjaga hal ehwalnya dalam hubungan mistik antara yang masih hidup dan yang telah tiada]. Gelaran jurukunci ini tidak dikenali di dunia Melayu. Tetapi di Jawa cukup lumayan. Setiap kampung yang ada makam keramat pasti ada jurukuncinya.
Jurukunci jadi tukang cerita mengatakan bahawa di sesuatu tempat keramat itu ada penunggu ghaib yang perlu dilayani dan dihormati. Ia dikaitkan dengan penunggu keramat. Justeru ada ritual tertentu dilakukan sebagai menjaga hubungan baik antara penunggu tadi dengan manusia.
Kerana dunia alam kerohanian ini cukup luas, sukar nak diceritakan dengan bahasa yang mudah. Lihatlah, bagaimana kata jurukunci pantai di selatan Jawa mengatakan ada mesyuarat yang dihadiri oleh Puteri Laut Selatan dengan Sunan Kalijaga, dengan Sukarno, Sri Sultan Hamengku Buwono IX dan Prabu Siliwangi.
Mbah yang jadi jurukunci pun sudah meninggal dunia, menceritakan dia sudah beberapa kali mengikuti mesyuarat itu selaku jurukunci.
Nama-nama yang disebutkan di atas tidaklah asing kepada peminat sejarah Indonesia, dan mereka yang mendalami dunia mistikisme.
Jurukunci mengatakan dia sudah lima kali menyertai mesyuarat sulit itu di pantai Parangkusumo. Tempatnya di Watu Gilang!
Kerana jurukunci ini amat arif dengan dunia makhluk halus seperti Puteri Laut Selatan, maka apakah selain meraga sukma, seseorang perlu berkonsultasi dengan para jurukunci pantai selatan yang ada?
Maksudnya, akan bertanya kepada orang pintar yang ada kabel bagus agar mereka "masuk" ke laut selatan secara "peragaan sukma" juga.
Setahu penulis, ada paranormal dari Pantai Timur pernah menceritakan kepada penulis tentang pengalamannya masuk ke dasar laut untuk bertemu Puteri Laut Selatan itu.
Di dasar laut itu ada istananya. Ada penghuninya. Makhluk yang ada pelbagai rupa. Ada yang menyerupai manusia manusia dan ada yang berwatak pelik. Badan manusia muka haiwan atau hidupan laut.
Cerita meraga sukma ini macam cerita dongeng. Bolehkah orang biasa masuk ke dalam laut untuk meninjau bagaimana rupa istana di dasar laut itu?
Paranormal Malaysia yang penulis pernah temuramah di Kuala Lumpur ini mendakwa dia diterima baik oleh Puteri Laut Selatan. Untuk mengadakan kolaborasi tidak tidak mahu sebab kolaborasi yang dimaksudkan adalah "perkahwinan" di dalam dunia kebatinan.
Sesiapa yang melakukan kesalahan terhadap aku janji dengan puteri, konon dia akan dijadikan tumbal dan menjadi hamba abdi di dasar laut. Mereka akan bekerja tanpa henti. Daripada berbagai cerita mistik yang biasa orang baca, semua cerita mereka ada persamaan.
Undang-undang Sang Puteri terlalu keras. Seolah-olah manusia biasa tidak mampu membuat benteng yang dapat mengelakkan diri daripada terkena badi.
Ketakutan dengan makhluk ini menjadikan orang berhati-hati. Akan tetapi menariknya, ada bupati yang melarang orang ramai membuat ritual yang bukan-bukan. Bukan soal budaya, malah aqidah umat yang perlu dipelihara. Apa sangatlah dengan budaya?
Disebabkan penulis pun belum pernah menyapa orang yang ada ilmu meraga sukma, cerita raga sukma masih merupakan cerita luaran. Cerita sipi-sipi.
Diulangi sekali lagi, kalaulah ada sesiapa yang boleh meraga sukma, atau ada sesiapa yang boleh berkomunikasi dengan penguasa sesuatu tempat [dalam hal ini Lautan Hindi] tentunya teknologi moden yang hebat bagaimanapun tidak mampu melayani kerenah dunia "alam kerohanian". Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment