Monday, 31 March 2014

MERAGA SUKMA - CERITA KOSONG ATAU FAKTA?

KALAU sebut meraga sukma atau astral projection, orang kita kurang memahami. Akan tetapi bagi orang yang menekuni dunia mistik dan serba-serbi "keghaiban" berstatus rendahan, ada sahaja orang yang mendakwa boleh memberikan ilmu meraga sukma. Berbagai iklan mereka paparkan bagi menarik orang awam agar mempelajari ilmu meraga sukma.
Apa hebatnya keilmuan ini?
Menurut dakwaan orang pintar yang mengatakan bahawa mereka boleh menjadikan seseorang awam mengikuti latihan meraga sukma sampai menjadi. Orang yang belajar ilmu ini konon boleh "terbang" ke mana-mana yang mereka suka, termasuk nak pergi Makkah dan Madinah.
Ini bukan kata penulis, tapi dakwaan "peniaga" produk ilmu yang mereka katakan sebagai ilmu meraga sukma.
Orang tertarik dengan ilmu yang serba instant, macam makan mi segera. Tidak perlu puasa, tidak perlu ritual, hanya perlu terima bai'at; duduk santai, sambil baca MANTERA dan memakai benda pusaka yang diberi nama "buka raga" -- maka terbukalah raga seseorang itu. Bukan raga dan rotan atau buluh, tetapi "jiwa" orang itu keluar meninggalkan jasadnya. Macam orang mimpi. Ketika mimpi, jiwa kita meraga di mana-mana, apabila orang kejutkan, kita terjaga, kita tidak meraga sukma lagi.
Ada yang mendakwa seseorang yang belajar ilmu ini boleh melanglang buana tanpa batas.
Nampaknya, iklan mereka begitu mudah bunyinya.
Jika begitu, apalah sukarnya nak guna satelit, nak guna radar, dan alat canggih mengesan kehilangan pesawat di Lautan Hindi kalau ada orang yang mampu meraga sukma.
Ilmu raga sukma, kata yang empunya ilmu boleh tembus jagad besar dan kecil. Boleh menembus bumi, langit, ruang dan waktu. Nak pergi ke mana-mana tak perlu melepasi imigresen, tak perlu tiket pesawat, syaratnya ada power untuk meraga sukma.
Memang hebat bunyinya.
Apabila seseorang itu meregai sukma, dia akan terawang-awang, melihat jasadnya duduk atau terbaring di dalam bilik, sedangkan rohnya telah keluar keluyuran di luar sana menurut kemahuannya.
Kalau mahu jadi penyelidik, jadi spy pun boleh, nak intip pihak musuh, atau mengintip saingan dalam bisnis atau nak rebut tender. Nampak mudah dalam teori, tetapi praktikalnya sukar.
Kalaulah meraga sukma ini boleh dijadikan salah satu ikhtiar manusia bagi mencari jawapan kepada perkara-perkara misteri yang ada, maka mudahlah kita.
Seperti kita mahu mencari pesawat yang dilaporkan ENDED di Lautan Hindi. Bukankah mudah kalau semua orang ada ilmu meraga sukma?
Ada yang kata, ketika meraga sukma dia hanya mampu terbang di atas lautan. Meraga sukma tidak mampu masuk ke dalam laut. Untuk menyelam ke dalam laut tentu perlukan ilmu lain lagi. Ia sebagai tambahan kepada meraga sukma yang ada.
Penulis terpanggil untuk membuat catatan ini keranas di dalam dunia mistik, ramai orang berbicara tentang kehebatan meraga sukma.
Untuk memahami soal peragaan sukma ini seseorang perlu memahami aspek alam rohani. Alam rohani ini sukar difahami orang biasa.
Kalau kita membaca buku sufi, kita akan temui kisah alam kerohanian. Di alam kerohanian, ada pertemuan antara orang hidup dan orang yang sudah mati.
Bahkan ada cerita seseorang itu mencatat ilmu daripada mahaguru yang sudah lama pergi. Dia sudah berada di alam barzah tetapi, dia masih mengajar muridnya yang salih.
Penulis tertarik dengan cerita yang pernah dipaparkan sebuah majalah misteri tentang seorang lelaki yang menjadi jurukunci [penjaga hal ehwalnya dalam hubungan mistik antara yang masih hidup dan yang telah tiada]. Gelaran jurukunci ini tidak dikenali di dunia Melayu. Tetapi di Jawa cukup lumayan. Setiap kampung yang ada makam keramat pasti ada jurukuncinya.
Jurukunci jadi tukang cerita mengatakan bahawa di sesuatu tempat keramat itu ada penunggu ghaib yang perlu dilayani dan dihormati. Ia dikaitkan dengan penunggu keramat. Justeru ada ritual tertentu dilakukan sebagai menjaga hubungan baik antara penunggu tadi dengan manusia.
Kerana dunia alam kerohanian ini cukup luas, sukar nak diceritakan dengan bahasa yang mudah. Lihatlah, bagaimana kata jurukunci pantai di selatan Jawa mengatakan ada mesyuarat yang dihadiri oleh Puteri Laut Selatan dengan Sunan Kalijaga, dengan Sukarno, Sri Sultan Hamengku Buwono IX dan Prabu Siliwangi.
Mbah yang jadi jurukunci pun sudah meninggal dunia, menceritakan dia sudah beberapa kali mengikuti mesyuarat itu selaku jurukunci.
Nama-nama yang disebutkan di atas tidaklah asing kepada peminat sejarah Indonesia, dan mereka yang mendalami dunia mistikisme.
Jurukunci mengatakan dia sudah lima kali menyertai mesyuarat sulit itu di pantai Parangkusumo. Tempatnya di Watu Gilang!
Kerana jurukunci ini amat arif dengan dunia makhluk halus seperti Puteri Laut Selatan, maka apakah selain meraga sukma, seseorang perlu berkonsultasi dengan para jurukunci pantai selatan yang ada?
Maksudnya, akan bertanya kepada orang pintar yang ada kabel bagus agar mereka "masuk" ke laut selatan secara "peragaan sukma" juga.
Setahu penulis, ada paranormal dari Pantai Timur pernah menceritakan kepada penulis tentang pengalamannya masuk ke dasar laut untuk bertemu Puteri Laut Selatan itu.
Di dasar laut itu ada istananya. Ada penghuninya. Makhluk yang ada pelbagai rupa. Ada yang menyerupai manusia manusia dan ada yang berwatak pelik. Badan manusia muka haiwan atau hidupan laut.
Cerita meraga sukma ini macam cerita dongeng. Bolehkah orang biasa masuk ke dalam laut untuk meninjau bagaimana rupa istana di dasar laut itu?
Paranormal Malaysia yang penulis pernah temuramah di Kuala Lumpur ini mendakwa dia diterima baik oleh Puteri Laut Selatan. Untuk mengadakan kolaborasi tidak tidak mahu sebab kolaborasi yang dimaksudkan adalah "perkahwinan" di dalam dunia kebatinan.
Sesiapa yang melakukan kesalahan terhadap aku janji dengan puteri, konon dia akan dijadikan tumbal dan menjadi hamba abdi di dasar laut. Mereka akan bekerja tanpa henti. Daripada berbagai cerita mistik yang biasa orang baca, semua cerita mereka ada persamaan.
Undang-undang Sang Puteri terlalu keras. Seolah-olah manusia biasa tidak mampu membuat benteng yang dapat mengelakkan diri daripada terkena badi.
Ketakutan dengan makhluk ini menjadikan orang berhati-hati. Akan tetapi menariknya, ada bupati yang melarang orang ramai membuat ritual yang bukan-bukan. Bukan soal budaya, malah aqidah umat yang perlu dipelihara. Apa sangatlah dengan budaya?
Disebabkan penulis pun belum pernah menyapa orang yang ada ilmu meraga sukma, cerita raga sukma masih merupakan cerita luaran. Cerita sipi-sipi.
Diulangi sekali lagi, kalaulah ada sesiapa yang boleh meraga sukma, atau ada sesiapa yang boleh berkomunikasi dengan penguasa sesuatu tempat [dalam hal ini Lautan Hindi] tentunya teknologi moden yang hebat bagaimanapun tidak mampu melayani kerenah dunia "alam kerohanian". Wallahu a'lam. []

Saturday, 29 March 2014

ISU PESAWAT HILANG MENJADI TAJUK UTAMA

Ketika isu pesawat hilang masih belum mendapat jawapan. Cerita mengenainya menjadi tajuk utama di mana-mana.
Tengoklah blog dan yang lainnya, semua menyentuh tentang isu pesawat.
Ada orang yang kecewa dengan cara kita menangani masalah ini. Ada yang kata kita lembab dan berbagai lagi.
Bahkan isu ini telah melahirkan pakar-pakar yang hebat. Tokoh-tokoh hebat juga muncul. Mereka mempunyai teori dan analisis masing-masing.
Yang seharian duduk menghadap laptop juga turut jadi pakar. Apalagi yang menjadi sumber rujukan, para wartawan bertanyakan pendapat mereka untuk dijadikan bahan tulisan.
Semuanya mahu bercakap tentang pesawat.
Ada juga yang marah kerana pakar-pakar tak bertauliah ini bercakap tentang perkara yang bukan bidangnya.
Biarlah orang menyatakan isi hati mereka.Elok diluahkan,kalau disimpan pun nanti jadi stress. Nak tidur pun tak boleh. Memikirkan isu besar ini bagai seseorang yang diberi tanggungjawab mencari jawapan sebenar.
Yang lebih pelik ada badan bukan kerajaan yang sibuk membuat memorandum kepada pihak luar, sedangkan ia bukan bidangnya. Entah kenapa pemimpin NGO itu begitu berminat nak menyentuh isu itu, sedangkan ia tidak ada kaitan dan kepentingan pun.
Ada juga yang marah-marah kerana banyak mengkritik cara kerajaan kita menangani isu ini.
Semua faham.Inilah isu yang tak pernah kita alami sejak dulu pun.
Inilah kali pertama kita mengalaminya.
Bermakna kita tidak ada pengalaman.
Kita banyak bergantung daripada sumber kepakaran luar negeri. Terasa kita kerdil apabila berdepan dengan isu ini.
Setelah berlaku semuanya, baharulah kita menyedari, ada sesuatu yang tidak kita miliki.
Kalau kita memiliki, adakah kita mampu menggunakannya semaksimum mungkin?
Hal lautan, memang kita tak ada kepakaran pun. Kita mengharap pakar dari luar yang lebih berpengalaman dalam operasi mengesan di dasar lautan.
Penulis rasa terlambat untuk menulis isu ini. Hanya di akhir bulan Mac 2014 sahaja baharulah tulisan ini sempat dimuatkan.Bukan apa, sejak isu itu timbul, terlalu banyak pantang larang dikenakan kepada sesiapa yang nak menulis atau buat komen tentang isu ini.Wallahu a'lam.[]

Saturday, 8 March 2014

TERKEDU, PERULANGAN KES YANG MENJEMUKAN

ENTAH kenapa ada sejarah pelik berlaku di sebuah negara yang mendakwa sebagai negara Islam sebagai agama rasmi.
Seorang tokoh dikenakan dua kali atas kes yang sama. Kes liwat. Kes yang amat memalukan negara. Sepatutnya ia tidak dijadikan isu lagi bagi melayani kehendak politik Melayu yang dikatakan menegakkan dasar wasatiyah.
Senario politik negara berubah lagi. Permatang Pauh akan menghadapi pilihan raya.Apakah Wan Azizah akan terjun sekali lagi? Rasanya, ahli PKR tidak ada masalah untuk memberi laluan ini.
Kita akan lihat anak-anak muda dan sebahagian rakyat mulai resah gelisah, mereka mulai melakarkan sesuatu sebagai protes.
Mungkin impian pihak yang mahu melihat Anwar terkubur dalam politik negara sudah terlaksana. Mereka happy, ada yang meraikan di malam minggu ini.
Tapi ingat, kekuatan sebuah kerajaan yang hebat tidak boleh bergantung kepada cerita mengaibkan.Sudah lama anak muda berkenalan dengan istilah cantik mainan politik Melayu kita. Istilah yang mengingatkan umat Nabi Luth a.s.  
Namun orang tetap percaya,bahawa ia adalah kisah pemerangkapan. Sudah lama ada pihak yang berharap tokoh bernama Anwar itu dipenjarakan sekali lagi.Kira hebatlah,dia pahlawan negara.Dia memang seorang pejuang. Tidak ada orang yang melalui liku-liku seperti itu, hanya dia seorang.
Tidak ada orang UMNO yang sehebat dia. Tidak ada orang UMNO yang seberani dia. Orang lain tentu awal-awal sudah sudah termakan pancing pujukan, asalkan jangan melawan pihak atasan.
Apabila dia terpenjara, bukan bererti pemimpin yang berkuasa hari ini hebat. Malah rakyat akan menganggap mereka sebaliknya. Bukan pejuang, bukan pemimpin, dan serba-serbi bukan.
Kita lihat,apa lagi yang akan UBN mainkan untuk menipu rakyat? []