Monday, 10 October 2011

KISAH SHOLAT DI MASJID

Saya paling seronok berada di George Town, Pulau Pinang. Walau ia negeri Lim Guan Eng (DAP) sebenarnya saya pernah merantau di kota itu dalam tahun 80-an ketika Dr M mula-mula menjadi PM. Saya ingat masa tu buku tentang Dr M saya pun teruja nak baca, saya beli dan baca. Ketika itu saya berkhidmat dengan Institut Masyarakat Berhad, di alamat no.9, Lorong Kucing, Pulau Tikus, Pulau Pinang. Kawan kerja masa tu, Ramli Samad, Adam Samad, Bakia, Lim Jee Yuan (jurugambar), Ng Sock Nye, Francis, Yusuf (pelukis), Normah (pembantu dokumentasi) dan saya sendiri. Masa itulah saya kenal SM Idris, Dr Martin Khor, Dr Lim Teck Ghee dan saya bekerja di bawah pengawasan dia, kebetulan mereka ni dapat grant dari luar untuk terbitkan majalah dan kajian dalam bentuk buku. Ketika inilah saya menekuni tesis-tesis dari luar negara tentang apa sahaja tanpa mengira topik kegemaran saya. Dan pernah anjurkan seminar appropriate technology di USM, dan teringat Prof Johan Galtung, Anwar Fazal, dan teringat Anwar Ibrahim datang sekali masa tu.
Saya suka meronda-ronda di sekitar George Town. Masa tu kota ini penuh maksiat. Nasib baik diimbangi oleh surau dan masjid yang bertaburan di sana-sini. Di Jalan Macalister ada dua masjid, di Jalan Burma ada satu, masuk ke lorong sikit ada surau lagi, di Jalan Chulia pun ada banyak masjid dan surau. Dari Masjid Benggali saya jalan ke Masjid Kapitan Kling, dari sana ke Masjid Melayu Acheen Street, kemudian ke Jalan Pintal Tali ada surau, ada masjid lagi di Jln Dr Lim Chwee Leong. Saya rasa George Town memang sempurna, ke mana anda pergi tak usah risau nak cari tempa solat. Ada di mana-mana. Hal ini berbeda dengan Melaka. Ada dua masjid sahaja Masjid Kg Hulu dan Masjid Kg Kling sahaja, yang lain jauh bagi pejalan kaki menyusuri kawasan bandar terutama berhampiran Jonker Walk.
Kesimpulannya, solat di Penang tidak ada masalah. Di tengah bandar ada sahaja tempat solat bagi sesiapa yang nak jaga solat. Tapi bagi kaki hiburan, sebagai merujuk tahun 80-an memang dahsyat sungguh. Anak Melayu kepit Minah Salleh, jalan stail orang baru balik dari Katmandu. Ada yang bersekedudukan dengan Minah Saleh, seingat saya seorang kawan nama dia Herman, juga berkepit dengan Minah Salleh. Sekarang apa dia buat pun saya tak tahu.
Di Chulia Street itu saya pernah terserempak dengan kawan sekampung dari Kg Warisan Pasir Panjang, Sekincan, Selangor, Jamuri Saring namanya. Dia lepak di Hotel Nam Wah (ingat lagi tu) dia suruh aku naik, dia mengadu teman wanitanya mengandung (luar nikah) dan dia minta tolong saya carikan orang pandai untuk gugurkan kandungan. Saya terkedu. Tak mahu masuk campurlah. Budak perempuan itu adalah bakal guru wanita yang akan mengajar murid-murid di sekolah. Tengok tu, jangan fikir guru itu sempurna ya. Saya no komen dengan perangai kawan sekampung ini. Saya teringat kakaknya Sakiah Saring, pernah jadi guru sementara di Sek Dato'Mustaffa Pasir Panjang, saya pun pernah mengajar di situ tahun 70-an bersama Sukran Jamil Zaini (buat penerbitan dan tak tahu buat apa lagi di tahun 2011 ni).
Dan dalam tahun 2010 saya ada jejaki George Town bersama isteri, rindukan nasi kandar di lorong tepi dekat Masjid Kapitan Kling, tengok-tengok kedai emas di situ, ronda di Chowrasta, dan tak lupa jenguk LINE CLEAR punya gerai nasi kandar. Malam-malam meriah di Penang Road. Hanya bezanya, lanca tak banyak macam dulu. Dulu tahun 80-an, lanca bersepah-sepah. Sana-sini bawa pelancong. Mat Salleh banyak naik lanca sebab nak cari bar yang bersepah-sepah. Masa tu pelacuran cukup galak. Anak-anak Melayu yang masuk bar akan dipelawa panggil perempuan, dan tauke suruh booking satu malam. Pendeknya maksiat menjadi-jadi.
Saya teringat kepada Warta Negara Press, Utusan punya, masa itulah saya ronda di Penang bersama novelis Azizi Abdullah. Azizi ajak saya makan di restoran nasi padang di Transfer Road. Masa tu pejabat akhbar ada di Argyill Street. Itulah kenangan saya bersama Azizi Abdullah.
Di George Town saya paling seronok solat di Masjid Benggali, Sabtu malam minggu ada perhimpunan tabligh. Gerai-gerai dan kemeriahan terasa macam di Masjid India Kuala Lumpur (tahun 80-an). Bulan puasa paling seronok, saya tinggal di Chulia Street, solat terawih di Masjid Kapitan Kling, untuk sahur saya suka beli udang besar di Chowrasta, ada restoran mamak di situ. Harga udang besar tidaklah mahal macam kedai Yasin dan Kudu Abdul atau Insaf di KL.
Kalau nak banding masa 80-an dan 2011 sekarang, Penang tenang. Masuk bandar kalau nak solat, anda boleh solat di mana-mana masjid yang bersepah. Syukur alhamdulillah, sejak BN tidak ada, kemaksiatan di kota ini makin terpinggir. Tidak galak macam dulu. Banyak hotel lama zaman 80-an dah tutup. Baguslah. Cuma peliknya di sepanjang Chulia Street ini saya lihat ada berbagai makam lama. Ada orang yang tinggal di sisi batu nisan pun dekat tanah wakaf Masjid Kapitan Kling.[]

RAMAI MELAYU JUMPA BOMOH ATAU DUKUN

Ketika siapkan bahan untuk buku MISTIK DI NUSANTARA, terfikir oleh saya akan institusi perdukunan atau perbomohan yang telah sedia masyhur di kalangan umat Melayu sejak zaman silam lagi. Teringat pula sejarah bagaimana ketika pembesar Melayu hendak mengenakan ilmu hitam ke atas JWW Birch, dipanggil bomoh dan pawang untuk mengenakan orang putih tu. Tidak menjadi. Birch kebal ilmu hitam rupa-rupanya. Mungkin catatan ini keterlaluan, cubalah baca buku PASIR SALAK, terbitan U.Malaya. Di dalamnya diterangkan bagaimana upaya umat Melayu Perak masa itu nak kenakan ilmu hitam. Kesimpulannya, sugesti kekuatan ilmu hitam ini tidak dapat dikenakan kepada orang putih yang langsung tak percaya kepada perdukunan.
Baiklah, di kalangan orang Melayu yang saya perhatikan, termasuk di kalangan kawan-kawan yang kerap saya temui di Jalan Masjid India, kebanyakan mereka percaya kepadan mistik dan kemistikan. Kalau hari Khamis malam Jumaat ada sahaja orang tertentu yang nak jumpa bomoh atau dukun. Ada yang pergi Kuang, pergi Banting, Linggi (Melaka), Kota Tinggi (Johor) semata-mata nak jumpa bomoh atau dukun. Mereka pergi kerana masih membawa keyakinan tinggi bahawa kepada orang itu mereka boleh dapatkan bantuan untuk mendapatkan duit segera, itulah yang diistilahkan sebagai ritual tarik duit.
Teringat kata Abu Hurairah r.a.yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah berkata: "Barangsiapa datang kepada dukun kemudian membenarkan apa-apa yang dikatakan, maka sungguh dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad." (HR.Ashabus Sunan).
Disahihkan oleh al-Hakim dari Nabi SAW dengan maksud, "Barangsiapa mendatangi paranormal atau dukun kemudian membenarkan apa yang dia katakan, maka sungguh dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW."
"Barangsiapa yang datang kepada paranormal kemudian dia bertanya tentang sesuatu maka tidak diterima shalatnya selama 40 hari." (HR.Muslim).
"Ada tiga golongan yang tidak masuk jannah, peminum khamar, membenarkan sihir, dan pemutus tali persaudaraan." (HR.Ahmad, Ibnu Hibban, at-Thabrani dan al-Hakim).
Berdasarkan maksud hadis disebutkan ini, jelaslah menemui dukun itu adalah perbuatan yang ditegah. Dan kebanyakan yang menemui dukun di kalangan para teman yang sayas maksudkan tadi adalah bertujuan mendapatkan kekayaan, misalnya, dengan membawa keris berdiri, barang antik, mereka mengharapkan dukun akan menggunakan bahan itu sebagai sarana untuk ritual TARIK DUIT. Maka cerita tarik duit ini sudah diusung ke sana-sini, tanpa pembuktian yang nyata.
Kemudian ada pula kalangan kawan tadi jumpa bomoh atau dukun termasuk Orang Asli punya dukun untuk dapatkan nombor empat digit atau minyak pengasih (di Alor Gajah,Melaka).
Tidak terfikir pula dek kawan-kawan ini akan hadis yang disebutkan tadi, shalat mereka tidak diterima selama 40 hari. Banyak hari tu. Kalau tidak diterima shalatnya bagaimana? Selama 40 hari mereka shalat berjemaah di Masjid Pakistan dan Masjid Jamek Jalan Bandar, tak ada apa-apa faedah. Apakah orang ini perlu kada' shalat mereka selama 40 hari? Sekali jumpa dukun mereka kena tolak 40 hari. Dan kada' shalat perlu dilakukan jika mereka faham maksud hadis ini.
Sedangkan amalan jumpa dukun ini sudah jadi rutin, bahkan ada yang seminggu sekali. Ada sahaja program hujung minggu, mereka sanggup ikut dukun masuk hutan, panggil makhluk halus dan sebagainya. Dalam kategori ini ada bermacam orang jumpa dukun dan paranormal. Ada yang setakat nak ambil tahu macam kerja wartawan, tanya bomoh dan mencatatkan apa yang bomoh ceritakan dan kemudian menghebahkan kepada media (majalah dan akhbar masing-masing).
Sudah sampai masanya para pentazkirah di masjid dan surau memberitahu hal ini. Ramai umat Melayu yang masih mengabdi kepada kerja dukun dan bomoh. Ada yang tidak peduli langsung dengan tugasan sebagai bomoh ini, dan mereka pun tak faham, ilmu tak sampai ke situ, mereka masih leka diulit dengan kerjaya perbomohan dan perdukunan. Jika orang yang menemui mereka pun sudah ditegah oleh Nabi SAW, apa lagi jika ia dijadikan kerjaya!
Masa dulu orang megah jika dipanggil BOMOH,PAWANG atau DUKUN.
Zaman sekarang tidak tahulah. Apakah masih nak berbangga lagi dengan profesion begini? Ini kerja yang menjurus kepada kebatilan. Menyesatkan orang lain, kita menjadi ibu kepada kerosakan orang lain. Kita menyatakan sesuatu kepada orang yang datang dengan berbagai masalah. Keyakinan mereka itu teramat tinggi, sedangkan kita hanya melayan dengan air jampi, dan tidak tergerak pula hendak mempelajari kaedah perubatan Islam - RUQYAH SYAR'IYYAH!
Sekarang di sana-sini ada sahaja individu yang menawarkan perubatan ALTERNATIF. Saya perhatikan, sudah ramai pula kalangan anak-anak tempatan menuntut ILMU dari seberang, entah pergi ke sana atau hanya belajar secara online. Ada bayarannya, semua beres. Mahu jadi dukun biasa, mahu jadi mahaguru luar biasa, semuanya boleh.
Akhirnya, jika dulu orang Malaysia tidak tahu apa itu terawangan, apa itu meraga sukma, apa itu ilmu asma sungai raja, maka sekarang mereka pun tahu. Ada ejen tertentu menjualkan produk berupa ilmu-ilmu HIKMAH yang dibeberkan melalui keterangan orang-orang yang telah mengambil ilmu.
Saya tidak mahu menghukum, tetapi keterlanjuran kita, selama ini, terutama di kalangan orang-orang Melayu kampung, yang kaki nombor, mereka lupa sehingga sanggup jumpa dukun Orang Asli, jumpa Sami Siam, jumpa Tuk bermacam jenis Tuk (kebetulan surat sebaran khidmat Tuk Perlis) dimasukkan ke dalam peti surat di taman-taman perumahan. Ramailah Melayu yang terpesona nak hubungi TUK SAMI. Orang Tuk Sami akan menghubungi anda. Jika anda tidak ada luck pun, ejen itu akan beritahu kepada anda, bahawa kemuraman nasib anda boleh ditolak ke tepi dengan bantuan Tuk.
Itu nanti Tuk akan tengok dulu dalam firasat tipu dia. Setelah itu ejen akan hubungi anda. "Encik Mat, Tuk kata Encik Mat ada luck ini minggu. Tuk boleh tolong. Tapi untuk kasi semayang punya hat, Encik Mat boleh kasi masuk wang RM300? Ini untuk bikin bili kain, beli keminyan, bili bunga-bunga, bili macam-macam-macam lagi. Encik Mat tak payah bili. Saya kasi beres! Boleh ka? Kalau boleh ini no akaun Bank saya....."
Maka orang yang menghubungi ejen Tuk Siam tadi masukkan duit. Esoknya, ejen akan beritahu Encik Mat, tolong ambil pen, tulis betul-betul. 6972, ini nombor Encik Mat kena beli kurang-kurang satyu minggu punya draw, misal hari Sabtu, Ahad dan Rabu (tiga draw ada 3 permainan).
Maka Encik Mat (rekaan sahaja) pun tulis nombor itu, untuk draw hari Sabtu, dia kena habiskan duit RM30  (sebab Rm10 untuk Magnum, Rm10 untuk Toto dan Rm10 untuk kuda). Menurut cerita orang yang pernah jumpa dukun dan peramal ini, yang datang macam-macam, pegawai berpangkat, pegawai beruniform, pegawal keselamatan, penganggur, penyangak pun ada. Pendeknya, siapa yang tak nak duit macam itu. Dengan pelaburan Rm10 mana tahu angka yang Tuk Siam kasi naik first prize (Rm2,500 x 10=Rm25,000) ini congak merekalah. Angan-angan kena pasang dulu.
Kebanyakan umat Melayu menemui orang pandai ini semata-mata nak dapatkan nombor bertuah, nak dapatkan benda-benda macam tangkal yang boleh memberi sugesti kepada psikologi pembawa, ada ONG kata orang.
Pendeknya, apabila sudah kemaruk, mereka tak kira siapa. Untuk mengelakkan perbuatan mereka diketahui sesama Melayu, maka mereka jumpa dukun dan tok moh Cina atau Siam. Maka itulah sahaja yang mereka boleh buat. Ada juga yang jumpa TUK BABA di Jalan Masjid India. Boleh tolong orang dengan bantuan Dewa Kekayaan.
Alangkah hebatnya orang itu. Sampai sekarang, TUK BABA masih pasang iklan. Ramailah Melayu kena tipu. Hal rumah tangga sendiri pun cerita depan TUK BABA yang menyamar sebagai muslim. Padahal dia ini adalah dari kelompok dukun berat.
Kesimpulannya, kumpulan umat Melayu ini silih berganti. Orang lain sudah taubat, tumbuh generasi muda pula yang tertarik. Ketagih kepada nombor ekor. Beli dan beli sampai ke tua. Ini lumrah. Insya-Allah wacanba ringan ini akan dibicarakan lagi. Semoga ini memberi suatu kesedaran. Meski ini hanya nota peribadi penulis dalam blog.[]