TIDAK diketahui bagaimana keadaan dunia para broker sambilan pada hari ini. Dulu dalam tahun 80-an, 90-an dan berikutnya, penulis kerap benar terserempak dengan para broker KL. Mereka tersadai di mana-mana di celah KL ini.
Di antara lokasi broker sambilan yang popular adalah bawah pokok ketapang baik di Chow Kit atau di Jalan Masjid India. Maka mereka menggelarnya Ketapang Holdings. Betapa tidak, di bawah pokok ketapang itu mereka masih boleh sembang tentang pelan tanah projek besar dan projek kecil. Mereka boleh sembang tentang hutan balak, tanah KSK kerajaan negeri, kenal orang dalam, kabel kuat dan kabel tali guni.
Pendeknya, cerita broker sangat mengasyikkan.
Ketika Bangunan China Insurance masih wujud [sekarang dah jadi SOGO KL] ada sekelompok broker pemberani yang sembang tentang duit palsu Amerika. Mereka sembang di kedai kopi Cina yang sekarang masih wujud lagi. Ada gerai nasi Minang di situ. Beberapa orang broker wang ini selalu berkumpul di meja bulat kedai kopi.
Sementara itu, di Bangunan MARA, mereka juga kerap berkumpul. Broker sambilan baik bekas kaki tangan kerajaan atau swasta yang sudah bersara. Mereka akan berkumpul dan bersembang sambil menunjukkan kehebatan masing-masing.
Ada yang berurusan tanah balak. Ada yang berurusan ladang sawit. Berurusan tentang lombong emas. Tentang menubuhkan Bank Perdagangan. Tentang projek lautan dalam. Termasuk yang dibincangkan adalah projek lebuhraya.
Seorang teman penulis sembang tentang touch 'n go. Ketika itu orang belum kenal pun apa benda touch 'n go itu. Begitu juga projek buat lebuhraya.
Melihat cara mereka sembang, baik di kedai kopi, restoran makanan segera besar atau kecil, di lantai masjid [Masjid Jamek LRTKL atau Masjid Pakistan, Chow Kit KL], mereka seperti ada cable hebat. Ada sahaja maklumat itu dan ini. Projek besar dan kecil, menyebut nama tokoh-tokoh politik, koperat dan sebagainya.
Biasanya, dalam sembang para broker sambilan ini, mereka selalu mengira-ngira berapa % yang mereka boleh dapat. Angan-angan membumbung tinggi. Pendeknya pandai sungguh gesek biola [sehinggakan penulis pernah tulis cerpen untuk Berita Minggu, bertajuk "Penggesek Biola"].
Para broker sambilan ini ada yang serius dengan kerjanya dan ada yang hanya pandai sembang sahaja. Mereka mesti bawa beg sandang, paling tidak sampul surat ukuran besar. Di dalamnya ada pelan dan aneka pelan siap ditanda atau dilorekkan.
Seorang teman berasal dari Yan, Kedah, broker juga, tetapi dia boleh dapat projek mencari ruang kedai untuk disewa. Penyewanya termasuk bank. Pihak bank memberikan senarai di mana mereka nak buka cawangan. Maka, sesekali sangkut juga projek kawan kita ini. Ketika dapat duit dia melangkah penuh keyakinan. Di Masjid Jamek KL itulah kita bertemu dan mendengar perkembangan mutakhir.
Ada yang berurusan di Taiwan, Hong Kong, dan tak kurang hebatnya tahu pula projek nak buat filem PASIR SALAK. Pada masa yang sama tahu pula ada projek lebuhraya Grik, Perak dan Sitiawan.
Itu belum projek ganti papan pelapik landasan kereta api yang ada. Sepanjang landasan kena ganti, bayangkan berapa keping sleeper diperlukan? Pendeknya para broker mencongak berapa yang mereka boleh dapat.
Ketika itu penulis juga melihat bagaimana bentuk sleeper yang diceritakan itu. Kayu jenis apa, dan dari mana boleh dapat benda itu. Berapa harga paling murah dan nak mark up harga berapa? Wah, para broker pandai pula nak main harga.
Selain itu, pernah suatu masa mereka sibuk bercakap tentang glove, ada yang nak order sampai berkontena banyaknya.
Pendeknya para broker sambilan ini dahsyat sungguh bidang yang diceburinya. Ia meliputi segenap aspek, tak kira apa, asalkan ada % yang menguntungkan.
Dari situlah mereka sibuk pergi ke Pejabat Tanah, beli pelan, menjejaki pemilik harta walau di mana, termasuk sampai ke Singapura. Kalau tuan tanah ada di Hong Kong, jemputlah mereka balik ke KL.
Ada masanya mereka sibuk dengan scrap iron untuk disumbatkan ke kapal dagang. Eksport ke luar negeri. Mana dapat lubang semua ini?
Ada yang kaki sembang mereka sebut tentang offshore loan, tentang collateral, tentang power attorney dan berbagai lagi.
Ada pula geng yang mengaku dari kerabat diraja, nak usahakan agar dapat membawa pulang harta warisan yang disimpan di London. Nilainya ratusan juta!
Seorang broker dari Ipoh, menceritakan bagaimana dia nak bantu pewaris Kapitan Kling Abdul Qadeer untuk mendapatkan harta moyangnya yang ada di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang [Negeri Selat]. Gara-gara harta Kapitan Kling itu, penulis menjejaki makam Mak Mah di George Town, tempatnya dekat Masjid Kapitan Kling, Penang yang ada hari ini.
Broker sambilan terus aktif. Ada yang mengeluh restoran boleh lingkup kalau para broker bersidang. Apa tidaknya, dari pagi sampai petang asyik sembang juta-juta, minum teh tarik, air suam, makan tak seberapa. Berlonggok dan buka pelan lebar-lebar. Ada pelan yang dilipat-lipat disumbat dalam saku seluar. Ada yang bawa beg sandang atau sampul surat besar.
Memang ada restoran yang terpaksa tutup dek angkara broker yang suka berlonggok. Khabarnya, tempat broker begini berlonggok bukan ada di KL sahaja, malah melarat ke JB, Kuantan, Melaka, Seremban, Kota Bahru, dan banyak lagi.
Tentang betapa gigihnya broker sambilan bekerja, pernah suatu ketika semasa penulis berada di Tanah Merah, Kelantan, terserempak dengan broker dari KL yang penulis kenali. Dia baru turun dari kereta api, ada urusan di Tanah Merah fasal lombong emas! Wah, hebat pakcik kita ni. Dari KL datang ke Kelantan berurusan tentang lombong emas.
Tahun 2013, penulis jejaki petilasan kaum broker sambilan, baik di Jalan Masjid India, Semua House, Bangunan MARA, SOGO, Maju Junction, Chow Kit atau Masjid Jamek KL, broker sambilan seperti tidak kelihatan lagi. Sudah pupuskah?
Difahamkan, sudah ramai yang menamatkan hobi memburu % yang tak ada kesudahan. Penat sahaja yang dapat. Sata projek tidak menjadi. Ada yang mengeluh, tak pernah jadi apa pun. Sembang sahaja yang lebih.
Dalam dunia broker ini jangan fikir setakat projek ladang sawit, ladang getah, lombong emas, balak, atau lain-lain property, malah ada yang menceburi dunia mistik sekali.
Penulis juga kerap ditanya di mana nak cari rantai babi, batu delima merah, sabuk hikmat, dan macam-macam benda pelik yang tak masuk akal. Termasuk yang kalau nak cerita memang mengarutlah, betapa tidak, mereka nak cari keris berdiri, senjata pusaka yang dah makan darah dan macam-macam lagi.
Broker mistik lagi mengarut, sampai ke peringkat gali kubur nak dapatkan kain mori mayat. Konon kalau ada kain mori orang yang memiliki boleh ghaib dan boleh masuk ke rumah orang senang-senang sahaja.
Ini semua pengaruh dari mistik Indonesia sebenarnya.
Apakah menjelang tahun 2014 ini kaum broker sambilan masih dapat bernafas lega?
Yang penulis rasakan, amat sukar untuk mengenal siapa broker sebenar pada hari ini. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment