Showing posts with label BUDAYA. Show all posts
Showing posts with label BUDAYA. Show all posts

Wednesday, 23 January 2013

MAULIDUL RASUL CARA KITA

ACARA sambutan Maulidul Rasul diadakan setiap tahun pada tarikh yang sama [ 12 Rabiul Awwal], di mana-mana diadakan majlis tertentu, siap aturcara yang berbagai. Di antara satu surau dengan surau lain, dan antara masjid dengan masjid atau bahan NGO yang ada, semuanya meraikan hari bersejarah ini bagi menggambarkan kecintaan kita kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
Sudah menjadi kebiasaan kita mengadakan sambutan yang senada, dengan perbarisan, membawa sepanduk, ada perarakan berkeliling sambil membaca selawat [kertas bacaan disediakan], tidak cukup dengan itu kumpulan perarakan mengenakan pakaian yang sewarna bagi menggambarkan syarikat, jabatan atau persatuan mana yang mereka wakili.
Diadakan juga berbagai pertandingan, termasuk pertandingan perarakan tadi, mungkin mengadili sepanduk kreatif, pakaian peserta yang menarik, dan sebagai selingan ada ceramah agama yang berkaitan dengan sirah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam.
Ceramah tentang sirah Nabawi ini tidaklah menurut urutan dari A - Z kerana ia memerlukan masa yang panjang. Memadai para penceramah fokus kepada bahagian tertentu sahaja. Misalnya tertumpu kepada sejarah kelahiran baginda, atau fokus kepada keperibadian baginda yang perlu dicontohi oleh umat.
Kemudian apakah bukti kita cinta kepada Nabi? Cukupkah hanya pakai songkok, samping dan baju Melayu sedondon, berarak dan berselawat setahun sekali?
Habis berarak, siap-siap nak tengok konsert pop pula? Atau pergi mencari karaoke jamban untuk menyanyi. Maklumlah hari cuti.
Sebenarnya, itulah budaya kita. Itulah tradisi kita sejak zaman berzaman. Berulang-ulang, itulah yang kita buat.
Kita hanya cakap sahaja mungkin. Ikrar ketika berhimpun, nak ikut cara Nabi, nak ikut sunnah Nabi, tapi setakat cakap sahaja. Barangkali kita tak faham apa itu sunnah Nabi? Yang orang fikir sangat adalah dalam bab poligami. Bab lain, cara makan dan minum Nabi bagaimana? Cara Nabi berjiran? Cara Nabi melayani haiwan bagaimana?
Kita mungkin hanya tumpu kepada solat-solat sunnat yang dianjurkan oleh Nabi. Akan tetapi banyak perkara yang Nabi pesan, yang Nabi tegur dan Nabi larang, kita langsung tidak peduli.
Contohnya, berapa ramai di antara umat Melayu yang peduli dengan hadis Nabi berkaitan dengan muzik dan nyanyian, penyanyi wanita, dan sebagainya?
Bahkan yang berarak membawa sepanduk, berselawat itu sendiri tidak ambil tahu pun akan adanya hadis-hadis mutawatir yang menggarisbawahi sesuatu tindakan untuk dikatakan sebagai umat Nabi. Kita hanya seronok beracara, seronok menyenaraikan program yang sudah jadi acara tahunan.
Perarakan atau perkumpulan di masjid misalnya akan disertai tokoh tertentu. Tetapi gambaran akan cara hidup yang berkesinabungan dengan acara sambutan tadi habis begitu sahaja.
Ia umpama kita berpakaian sedondon menyertai raptai, mencari keseragaman untuk memuaskan hati penerbit televisyen yang akan memaparkan acara perarakan di mana-mana sempena sambutan Maulidul Rasul.
Dan akhbar akan melaporkan, sementara itu di Kuching, Serawak...di Johor Bahru, di Seremban, di Melaka, sayangnya pihak akhbar dan tv pun takut nak melaporkan acara yang diadakan di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Sambutan Maulidul Rasul ini adalah cara kita. Memang tidak ada persamaan acara sambutan dengan negara lain. Cara orang Melayu menyambut Maulud Nabi. Orang Jawa sebut Muludan!
Jadi, dalam acara sambutan ini terdapat bermacam kaedah dalam bentuk budaya setempat yang terkeluar dari maksud sebenar sambutan maulud. Sebab itulah, sekalipun sambutan ini dibuat setiap tahun, kefahaman umat masih di tahap yang sama.
Orang yang mencintai Nabi adalah orang yang menjaga adab pergaulan, adab dalam bermuamalah, adab dalam berpolitik, adab menutup aurat, adab berhujah, adab menjadi Khalifah apalagi menjadi ketua agama.
Kalau mereka yang berada pada kedudukan tertentu itu tidak faham dan tidak mengikuti teladan Nabi, bagaimana umat hendak dipimpin ke jalan yang benar?
Kita bercakap Nabi itu elok dijadikan idola kita. Tetapi anak kita menjadikan artis sebagai idola. Sekarang terlalu banyak idola yang dicipta oleh orang yang menentang cintakan Nabi. Inilah yang terjadi, kalau Maulud Nabi hanya diselingi dengan nasyid, nyanyian atau sekadar program budaya yang melenakan.
Kecintaan kepada Nabi hanya setakat berarak, berselawat, ambil gambar, muat turun, dan jadi bahan kemegahan kerana hebatnya perarakan itu. Bukan itu sebenarnya. Budaya kita telah menjadikan sambutan maulud Nabi seperti dibuat-buat. Wallahu a'lam. []

Wednesday, 9 January 2013

MALAYSIA CURI REOG DAN PENDET KATA MEREKA

RASANYA sampai sekarang kalau membaca apa sahaja bahan budaya dari negara jiran, tulisan kebanyakan penulis sana tetap menyindir dan mengusik masyarakat Malaysia.
Yang paling biasa disebut adalah bahawa kita di Malaysia ketandusan bahan budaya, hinggakan untuk dalam bab tarian, kita sanggup mengambil tarian dari Bali yang dipanggil tarian Pendet untuk diakui sebagai tarian Malaysia.
Maka kita sebagai rakyat Malaysia tercari-cari, di negeri mana tarian Bali itu dipersembahkan? Seumur hidup saya tidak pernah melihat persembahan tarian Pendet itu dipentaskan atau dipertunjukkan di Kuala Lumpur [mungkin kerana acara begini bukan santapan saya lagi] -- maka saya ketinggalan zaman, tidak tahu kalau ada tarian dari Bali diakui sebagai tarian Malaysia.
Usahkan mengetahui tarian itu ditiru oleh masyarakat Malaysia dan diakui sebagai tarian tradisi masyarakat, hendak menyebut Pendet itu pun tidak tahu. Pen-det atau Pendit? Kena tulis dengan simbol fonetik baru jadi.
Itu bab tarian dari Bali.
Kemudian ada lagi tuduhan betapa lekehnya budayawan Malaysia yang asyik menyapu tarian orang lain. Kali ini tarian dari golongan Ponorogo yang dipanggil tarian Reog.
Tarian ini pun tidak pernah saya dengar ada di kalangan masyarakat Jawa di Selangor, sebab saya hanya terdedah dengan tarian kuda kepang, wayang kulit Jawa, seni teater Ketoprak dan seni kompangan lek-lek'an [untuk kenduri sunat terutamanya]. 
Seni budaya ambilan atau bawaan dari Jawa ini pun sudah kehilangan gizi, dan orang tidak minat hendak meneruskan aktiviti seni ini kerana baik kuda kepangnya, wayang kulitnya atau ketoprak, ada unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran agama. Jadi, lebih baik dilupakan terus budaya ini. Membuangnya lebih banyak manfaat daripada terus menyimpannya.
Kenapa dikata demikian? Saya bersetuju dengan pendapat kalangan ustaz di Jawa yang mengomentari tentang kebisingan kalangan budayawan perihal "kemalingan" tarian Reog dan tarian Pendet ini.
Orang Malaysia pandai-pandai mengaku Reog dan Pendet tarian Melayu!
Ustaz itu kata, buat apa nak gaduh fasal tarian yang tidak bermanfaat kepada agama? Tarian yang jadi isu itu adalah tarian kaum paganisme kenapa mahu dikecohkan sangat. Biarlah. Malaysia mahu ambil tarian yang tak berguna, tidak mengapa. Kalau tarian itu memang anjuran agama tidak mengapa, ini hal remeh temeh digaduhkan.
Memang pelik bin ajaib. Saya sendiri tak pernah lihat ada tarian Reog dan Pendet di Malaysia.
Atau mungkin kerana kemuflisan idea pihak Jabatan Penerangan dan Komunikasi atau Kementerian Pelancongan yang secara sewenang-wenang menyiarkan iklan pelancongan siap dengan tarian Reog dan Pendetnya. Inilah mungkin punca mereka menuduh orang Malaysia curi tarian Pendet dan Reog.
Reog ini apa bendanya?
Orang Malaysia tidak tahu apa itu Reog. Kalau tanya kepada orang keturunan Ponorogo di Selangor, mereka pun tak tahu. Tak pernah dengar pun?
Jadi, bagaimana nak kata kita kata tarian ini budaya Malaysia? Kenyataan yang berulang-ulang akhirnya ada orang percaya bahawa orang Malaysia memang MALING hinggakan tarian tak berguna pun nak diakui sebagai tarian tempatan. Ya, tarian Reog dan Pendet. Memang aneh.
Kalau ikut cerita karutnya, patung kuda untuk tarian Reog itu perlu diperbuat pada tanggal tertentu yang berkaitan dengan bulan Suro [Muharam] -- mungkin ada jangkitan isme Syiah zaman dulu. Tujuh tahun lamanya untuk bikin patung seperti "Bagong" itu, daripada bulan Suro bertemu Suro tahun depan, sampai tujuh kali Suro baru siap.
Nah, itu bagi menunjukkan bahawa betapa sakral dan mistiknya patung kuda yang digunakan oleh penari Reog itu. Kuda kepang juga guna patung kuda begini. Kedua-duanya ada persembahan barongan.
Tari barongan ini seperti tarian Singa ketika Tahun Baru Cina di Malaysia.
Barongan tidak popular lagi di kalangan orang Melayu kerana ia hanya mainan di kalangan keturunan Jawa. Setelah ketiadaan jurulatih permainan itu, ia terbiar pupus.
Selain dua tarian itu, ada lagi yang diCURI oleh orang Malaysia dan kemudian diakui sebagai milik Malaysia, misalnya dalam bab masakan.
Dalam bab masak rendang pun masih belum selesai. Padahal ia berasal dari Sumatera. Masakan rendang itu kemudian diubahsuai mengikut siapa yang masaknya. Rendang cara Jawa lain, cara Banjar lain, cara Kedah lain, cara Acheh lain, cara Peranakan lain, cara mamak lain, dan cara negeri-negeri pun lain.
Di sana, orang kata rendang pun telah dicuri dan diakui sebagai masakanan tradisional Malaysia, sama halnya dalam isu cerita rakyat Malaysia. Cerita Malin Kundang bukanlah cerita rakyat Malaysia, sebab cerita rakyat Malaysia ialah Kisah Si Tanggang.
Bawang Putih Bawang Merah pun bukan cerita asal Malaysia. Justeru dalam bab aku mengakui ini, memang tak ada kesudahan, tolak campur, dharab bahagi -- Malaysia tidak mempunyai apa lagi. Semua diboyong dari luar. Lagu RASA SAYANG HEY pun bawaan dari luar.
Hanya kita tidak dengar ada orang dari negeri China kata orang Cina Malaysia curi tarian Singa mereka! []



Friday, 6 July 2012

DULU PUJA PANTAI, SEKARANG PESTA LAUT

ORANG BERPESTA DI TEPI LAUT
bukan kegemaran anak-anak muda sekarang sahaja. Sejak zaman silam lagi kita sudah biasa dengan pantai. Hanya kita tidak mengenal puteri laut seperti Ratu Kidul macam di Jawa sana.
Di tempat kita, sudah lama orang mengadakan ritual puja pantai.
Apa sebenarnya puja pantai ini? Menurut catatan silam, pesta memuja pantai zaman dulu diadakan di Pantai Cahaya Bulan, yang dulunya disebut Pantai Cinta Berahi.
Dalam tahun 40-an, ia biasanya diadakan selama tujuh hari tujuh malam. Dalam upacara itu berbagai permainan tradisional diadakan. Kalau hari ini ada Pesta Port Dickson, Pesta Laut Lumut, Pesta Kuala Trengganu, Pesta Mersing umpamanya, maka pesta ini adalah lanjutan daripada ritual memuja pantai zaman silam.
Hari ini kita tidak mengadakan ritual memuja pantai, tetapi kita mengadakan pesta di tepi pantai. Mengajak muda-mudi berpesta, berseronok, berdua-duaan, mengurat, cari pasangan, bahkan sampai berkhalwat di tepi pantai, sanggup tidur di pantai kerana ketinggalan bas atau teksi.
Jika dulu ketika pesta memuja pantai, mereka gunakan peranan pawang yang mahir dalam bidangnya, maka sekarang ada penganjur pesta yang mengadakan bermacam pertunjukan campur fun-fair, siap baling botol, baling gelang, baling dart, buaian pusing, teka biji jagung, persembahan pentas dengan artis dari KL diundang  buat persembahan selama satu jam setiap malam.
Itulah corak "pesta memuja pantai" cara moden yang sudah disesuaikan. Ia sama sahaja dengan Jom Heboh, Sure Heboh, dan berbagai pesta yang mengumpulkan muda-mudi di kawasan pantai. Kini kita mengubah corak kepada pesta Mencandat Sotong, Pertandingan Memancing dengan tawaran hadiah yang lumayan.
Semua ini adalah kesinambungan daripada pesta memuja pantai atau mandi safar pada zaman jahiliyah Melayu yang silam.

SAJIAN
Bayangkanlah, jika dulu ketika pesta memuja pantai diadakan yang merupakan ritual kepercayaan dan keyakinan purba Melayu, maka ia dijejali dengan keyakinan lain kerana semua permainan yang dipersembahkan itu memerlukan semacam sajian tertentu.
Contohnya, wayang kulit, menora, pencak silat dan persembahan Mak Yong.
Permainan tradisi yang tidak ada kaitan dengan ritual apa pun adalah gasing, tinju Siam, pertandingan wau atau suara burung merbuk.
Untuk memuja pantai, sekor kerbau balar atau balau akan disembelih, gunanya untuk disajikan atau dilarung ke laut. Jadi, kalau di Jawa sana mereka melarung kepala kerbau ke laut untuk Ratu Kidul perempuan jin, maka di tempat kita, di Pantai Cinta Berahi, kepala kerbau dilarung untuk jin laut, Tuk Selepang Kaki.
Waktu senja, kepala kerbau balar, tok pawang akan membaca mantera dengan bertih tergenggam di tangan, beras kunyit pun dibawa sama.
Dia menjampi atau bermantera berulang-ulang:

damenit nama bapakmu, namenit nama ibumu, 
Datuk Selepang Kaki namamu, Raja di Laut, yang duduk jaga tujuh muka kuala,
Panglima Hitam di laut, Puteri Selindung Daun, segala rakyat sakai, Tun Teja Muda Kuala,
Di negeri Stardini, di Pulau Nusa Kencana, Angkatan Kala Baqam,
Panglima Hitam di laut, Jamal di laut, Jobin di laut, Sewah Lembuana Raja di laut,
Angkatan Awang Pantaharam, wang pantalata, umpitan Jeramang,
Anas, Jamanas, Manas, anak Jin Sabu Jinjan.

Demikian mantera yang dibacakan.Getaran suara pawang yang membaca mantera sewaktu senja, begitu menyeramkan. Mereka tak ingat waktu maghrib pun. Mereka juga gerun melihat cahaya di kaki langit ketika senja. Ombak berdeburan di pantai. Pawang pun melambai-lambai ke laut, dia melambai hantu laut, memberitahu para hantu di situ bahawa mereka dijamu pada tengah malam terakhir nanti, iaitu pada hari akhir pesta pantai.

KERAJAAN MISTIK JIN
Menurut sumber, hantu yang mereka hubungi secara talian mistik adalah hantu laut. Siapa nama hantu laut itu, jika merujuk kepada mantera, ia ada menyebut nama-nama pelik yang diseru. Itulah nama jin-jin berkenaan.
Khabarnya, hantu laut yang ada adalah hantu jenis yang suka bermain di gigi air atau di kawasan pantai. Dari gigi air ke darat, ia dikuasai oleh hantu darat pula.
Menurut kepercayaan purba, para hantu laut ini mempunyai susunan kerajaannya sendiri. Ada raja, ada pembesar, pahlawan dan rakyat bawahan.
Raja hantu menurut kepercayaan dikenali sebagai DATUK SELEPANG KAKI. Ia adalah anak kepada Damenit dan Namenit [ibu bapa hantu laut], di bawahnya terdiri anggota kerajaan iaitu Panglima Hitam, Tun Teja Muda, Jamal, Jobin, Tedung, Anas, Jamanas, Manas dan sebagainya. Nama-nama ini sering disebut dalam mantera mereka.
Datuk Selepang Kaki agaknya kerjanya asyik duduk dengan berselepang kaki menmgadap pegawai bawahan di istananya dalam laut. Dia menguasai tujuh kuala sungai dari Pulau Redang, Terengganu hingga ke Pantai Tumpat, Kelantan.
Konon, ketika upacara dilakukan, para hantu tadi datang ke pantai menyaksikan tok pawang bikin upacara sakral. Tuk Selepang Kaki datang di depan pawang, datang sebagai panglima dengan berselendang hitam.
Amalan purba ini memanglah perbuatan syirik yang telah dilakukan oleh umat Melayu di zaman silam.

KE MANA JIN PERGI?
Kini amalan memuja pantai sudah tidak ada lagi. Tetapi khabarnya masih ada orang melarung kepala kerbau untuk santapan Ratu Kidul di pantai itu [menurut Radin Puji Masono seorang paranormal asal Kelantan].
Jika dulu mereka meminta perlindungan kepada jin laut, maka sekarang perlindungan ketika pesta pantai atau pesta laut adalah pihak keselamatan. Jaga parking motor dan kereta. Keselamatan pintu utama sebab masuk bertiket untuk tengok konsert jika berbayar.
Apakah ini ada kaitan dengan memuja pantai? Walaupun tidak sembelih kerbau balar, orang sekarang berjejal masuk mengunjungi pesta dengan tujuan berseronok, berhibur sampai melalaikan solat dan melalaikan kumpul ramai-ramai, lelaki perempuan bercampuran, naik motor berdua, naik kereta berdua, berdua-duaan, dan kata orang pesta begini adalah ruang untuk mencari jodoh. Jumpa di pesta dan mengikat janji untuk disatukan tahun depan!
Ke mana hantu laut zaman dulu sekarang? Adakah Tuk Selepang Kaki sudah mati kerana dia sudah terlalu tua dan sudah lama mentadbir sebuah kerajaan di laut? Apa pun, Raja Iblis sebenar memang memiliki isttana di tengah laut yang teduh. Setiap hari dia menghantar panglimanya bersama ketumbukan tentera iblis menggempur tanah daratan yang ada manusia. Termasuk kita juga, menjadi sasaran tentera dan gerila iblis. Ramailah yang kecundang ditipu iblis dan sekutunya. Wallahu a'lam. []