ACARA sambutan Maulidul Rasul diadakan setiap tahun pada tarikh yang sama [ 12 Rabiul Awwal], di mana-mana diadakan majlis tertentu, siap aturcara yang berbagai. Di antara satu surau dengan surau lain, dan antara masjid dengan masjid atau bahan NGO yang ada, semuanya meraikan hari bersejarah ini bagi menggambarkan kecintaan kita kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
Sudah menjadi kebiasaan kita mengadakan sambutan yang senada, dengan perbarisan, membawa sepanduk, ada perarakan berkeliling sambil membaca selawat [kertas bacaan disediakan], tidak cukup dengan itu kumpulan perarakan mengenakan pakaian yang sewarna bagi menggambarkan syarikat, jabatan atau persatuan mana yang mereka wakili.
Diadakan juga berbagai pertandingan, termasuk pertandingan perarakan tadi, mungkin mengadili sepanduk kreatif, pakaian peserta yang menarik, dan sebagai selingan ada ceramah agama yang berkaitan dengan sirah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam.
Ceramah tentang sirah Nabawi ini tidaklah menurut urutan dari A - Z kerana ia memerlukan masa yang panjang. Memadai para penceramah fokus kepada bahagian tertentu sahaja. Misalnya tertumpu kepada sejarah kelahiran baginda, atau fokus kepada keperibadian baginda yang perlu dicontohi oleh umat.
Kemudian apakah bukti kita cinta kepada Nabi? Cukupkah hanya pakai songkok, samping dan baju Melayu sedondon, berarak dan berselawat setahun sekali?
Habis berarak, siap-siap nak tengok konsert pop pula? Atau pergi mencari karaoke jamban untuk menyanyi. Maklumlah hari cuti.
Sebenarnya, itulah budaya kita. Itulah tradisi kita sejak zaman berzaman. Berulang-ulang, itulah yang kita buat.
Kita hanya cakap sahaja mungkin. Ikrar ketika berhimpun, nak ikut cara Nabi, nak ikut sunnah Nabi, tapi setakat cakap sahaja. Barangkali kita tak faham apa itu sunnah Nabi? Yang orang fikir sangat adalah dalam bab poligami. Bab lain, cara makan dan minum Nabi bagaimana? Cara Nabi berjiran? Cara Nabi melayani haiwan bagaimana?
Kita mungkin hanya tumpu kepada solat-solat sunnat yang dianjurkan oleh Nabi. Akan tetapi banyak perkara yang Nabi pesan, yang Nabi tegur dan Nabi larang, kita langsung tidak peduli.
Contohnya, berapa ramai di antara umat Melayu yang peduli dengan hadis Nabi berkaitan dengan muzik dan nyanyian, penyanyi wanita, dan sebagainya?
Bahkan yang berarak membawa sepanduk, berselawat itu sendiri tidak ambil tahu pun akan adanya hadis-hadis mutawatir yang menggarisbawahi sesuatu tindakan untuk dikatakan sebagai umat Nabi. Kita hanya seronok beracara, seronok menyenaraikan program yang sudah jadi acara tahunan.
Perarakan atau perkumpulan di masjid misalnya akan disertai tokoh tertentu. Tetapi gambaran akan cara hidup yang berkesinabungan dengan acara sambutan tadi habis begitu sahaja.
Ia umpama kita berpakaian sedondon menyertai raptai, mencari keseragaman untuk memuaskan hati penerbit televisyen yang akan memaparkan acara perarakan di mana-mana sempena sambutan Maulidul Rasul.
Dan akhbar akan melaporkan, sementara itu di Kuching, Serawak...di Johor Bahru, di Seremban, di Melaka, sayangnya pihak akhbar dan tv pun takut nak melaporkan acara yang diadakan di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Sambutan Maulidul Rasul ini adalah cara kita. Memang tidak ada persamaan acara sambutan dengan negara lain. Cara orang Melayu menyambut Maulud Nabi. Orang Jawa sebut Muludan!
Jadi, dalam acara sambutan ini terdapat bermacam kaedah dalam bentuk budaya setempat yang terkeluar dari maksud sebenar sambutan maulud. Sebab itulah, sekalipun sambutan ini dibuat setiap tahun, kefahaman umat masih di tahap yang sama.
Orang yang mencintai Nabi adalah orang yang menjaga adab pergaulan, adab dalam bermuamalah, adab dalam berpolitik, adab menutup aurat, adab berhujah, adab menjadi Khalifah apalagi menjadi ketua agama.
Kalau mereka yang berada pada kedudukan tertentu itu tidak faham dan tidak mengikuti teladan Nabi, bagaimana umat hendak dipimpin ke jalan yang benar?
Kita bercakap Nabi itu elok dijadikan idola kita. Tetapi anak kita menjadikan artis sebagai idola. Sekarang terlalu banyak idola yang dicipta oleh orang yang menentang cintakan Nabi. Inilah yang terjadi, kalau Maulud Nabi hanya diselingi dengan nasyid, nyanyian atau sekadar program budaya yang melenakan.
Kecintaan kepada Nabi hanya setakat berarak, berselawat, ambil gambar, muat turun, dan jadi bahan kemegahan kerana hebatnya perarakan itu. Bukan itu sebenarnya. Budaya kita telah menjadikan sambutan maulud Nabi seperti dibuat-buat. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment