Sudah banyak kali sebuah akhbar tabloid harian melaporkan tentang penggunaan tangkal di kalangan anggota kumpulan penjenayah baik yang sedang diburu, telah ditahan atau yang telah mati ditembak.
Untuk mengatakan bahawa penjenayah itu memang dahsyat dan ganas, maka dilaporkanlah konon satu tangkal yang mereka miliki itu ada yang harganya mencecah RM100,000!
Dalam dunia penjenayahan, di mana mereka mahu mengumpul wang sebanyak mungkin, sudah tentu tangkal mahal begitu bukan suatu keutamaan.
Tangkal yang merupakan benda mistik ciptaan orang perseorangan bukanlah barang penting dalam kerja jenayah. Bilangan pengguna tangkal yang tidak melakukan jenayah jauh lebih ramai lagi dibanding yang buat jenayah.
MOTIF
Orang gunakan tangkal untuk melindungi diri dari sesuatu perkara. Semuanya bergantung kepada motif sebenar mereka beli tangkal. Jika ada sesiapa yang pandai buat tangkal, maka tangkal itu boleh dibuat sendiri. Semuanya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu benda yang dikatakan ada memberi manfaat atau tidak.
Di kalangan orang Melayu, tangkal yang biasa mereka buat adalah daripada bahan kain atau kertas ditulis ayat-ayat al-Qur'an atau doa-doa tertentu. Selain itu ada yang menulisnya di atas kepingan logam nipis yang boleh dipotong-potong atau sejenis kain baldu seperti bahan untuk membuat songkok.
Bentuk tangkal yang paling banyak di pasaran adalah tangkal stail Siam dengan lukisan, grafik atau tulisan bermotif yang mereka sahaja memahaminya. Bahkan yang tak tahu membaca pun turut menjadikan ia sebagai benda pegangan.
Biasanya tangkal digunakan untuk perlindungan diri. Umpamanya tangkal umum bagi tujuan keselamatan diri. Ada tangkal penggerun kepada sesiapa yang nak buat hal kepada pemilik tangkal.
Ada juga tangkal kayu tas bagi tujuan masuk ke hutan tidak mahu diganggu haiwan buas atau serangga berbisa. Ada tangkal yang hanya tertumpu kepada pembentengan dari gangguan makhluk-makhluk halus.
Tangkal hanya bersifat defensif. Kalau sesuatu terjadi pun tangkal tidak dianggap sebagai gagal. Paling tidak mereka akan kata, "Mujur ada bawak tangkal. Kalau tidak tak tahulah apa yang terjadi."
Tangkal telah menjadi semacam ketergantungan, tangkal itu menyelamatkan diri dari gangguan atau musibah --- sedangkan hakikatnya secara kebetulan belaka.
Sejauh mana orang gemar memiliki tangkal?
Apabila seseorang bertemu dengan seorang yang diyakini ada ilmu, orang itu mudah terpengaruh saranan-saranan yang diajukan. Disebabkan pengaruh, cadangan dan berbagai testimoni yang ada, maka tangkal diterima seadanya walaupun terpaksa.
Contohnya, orang berhajatkan kemurahan rezeki dalam urusan hariannya.
Orang yang dirujuk menyediakan semacam tangkal untuk disimpan dalam dompet atau ikat di pinggang. Padahal ia tidak ada apa-apa kaitan pun. Setelah memakai tangkal itu, mereka akan rajin bekerja seolah-olah tangkal itu sudah jadi pemangkin untuk dia lebih agresif mencari kehidupan duniawi.
REKAAN
Tangkal, tidak kira daripada bahan apa dan bentuk apa yang termuat di dalamnya, ia hanyalah rekaan manusia untuk mendapatkan keuntungan. Ada orang yang mahir buat tangkal, bermula daripada amalan menulis ayat-ayat atau huruf-huruf tertentu, meniru stail duit Yassin, atau mana-mana yang "pintar" mereka akan membuat cop getah untuk membuat tangkal sebanyak mungkin.
Untuk menjadikan tangkal itu digeruni, bungkus potongan kulit haiwan, kulit kijang atau kulit apa pun dengan kain kuning, kain merah atau kain hitam. Ada juga yang bungkus dengan kain putih. Setelah dibungkus, benda itu akan jadi mistik dan rahsia. "Tolong jangan buka tangkal ini ya!" begitulah penerima tangkal dinasihatkan agar rahsia tangkal tidak bocor. Itu sebab ia dijahit dengan kemas. Diberi haruman dan diperasapkan dengan kemenyan dan taburan kembang telon!
Oleh kerana gerun kepada tangkal, ia disimpan lama, nak buka jahitan pun takut. Padahal kalau dibuka, bolehlah diselidik apa sebenarnya yang membuatkan ia "berperisa" dalam dunia penangkalan?
Sesebuah tangkal lebih diyakini oleh ia ijazahkan atau diberi oleh seorang guru yang dianggap mahaguru. Hakikatnya tangkal itu tidak ada apa-apa, hanya hendak menandakan bahawa seseorang yang diberi tangkap adalah ahli kepada kelompok itu.
Bagaimanapun, akibat keyakinan tinggi terhadap keilmuan pemberi tangkal, ia menjadi benda suci yang tak boleh dilangkah, jangan bawa ke tandas, jangan bawa ke tempat orang mati, jangan bawa ke kubur, dan berbagai pantang lagi.
Akhirnya, jiran sendiri meninggal tidak dijenguk disebabkan pengaruh tangkal. Padahal kalau tangkal di pinggang ia dia buka dan campak ke tempat longgokan sampah, ia tidak menimbulkan apa-apa mudarat pun.
Biasanya, sedikit sebanyak tangkal yang disediakan ada perkaitannya dengan pemujaan atau pengambilan jin.
Di dalam bab tangkal ini, kini sudah ada macam-macam tangkal [bahkan ia disamakan sahaja baik azimat, jimat atau wafak]. Semuanya diborong secara umum. Kalau tangkal itu isinya berupa ayat-ayat al-Qur'an, nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya, hadis-hadis atau doa al-Ma'thurat, maka tidak harus digunakan. Selain daripada itu ada tangkal yang diperbuat daripada benda-benda lain. Maksudnya, ada yang gunakan tanah kubur, pasir kubur, daun kering dari tempat keramat tertentu, cebisan kain kafan, tali kafan, termasuk tulang haiwan buas, tulang mayat atau tulang kokang mati beragan, semua ini adalah bahan-bahan yang perlu dihindari.
Apa tangkal pun, sebenarnya tidak perlu ada. Hendak menang perlawanan bola sepak tidak perlu tangkal. Hendak bergusti pun tidak perlu tangkal. Atau hendak pergi memancing bawa tangkal pemikat ikan. Hendak menjaring ikan pun guna tangkal untuk memanggil ikan. Pendeknya, tangkal boleh dicipta dan dikaitkan dengan apa sahaja bentuk kehidupan.
Dan bukan pelik, ada yang pakai tangkal untuk bertanding dalam pilihan raya. Diharapkan amalan kaum pagan ini telah pupus dan mereka yang asyik menyediakan tangkal tidak perlulah menyediakan tangkal khusus untuk versi pilihan raya!
Tangkal daripada sekecil-kecilnya terselit dalam dompet, ada juga tangkal yang besar dan terpampang. Mungkin orang tidak perasan ia sebuah tangkal kerana posisinya menyebabkan ia dianggap perhiasan dinding sahaja.
Ada tempat tertentu digantungkan ayat-ayat al-Qur'an seperti surah al-Insyirah. Ada juga yang meletakkan ukiran timbul dari bahan tembaga berupa ayat-ayat atau grafik huruf-huruf jawi yang tidak difahami apa maksudnya. Ia bukan hiasan kosong kalau bukan ada "pengharapan" akan manfaatnya apabila ia diletakkan begitu.
JUAL TANGKAL
Ada orang yang kerjanya membuat benda-benda begini. Bermacam tangkal disediakan. Cuba perhatikan bagaimana peniaga bukan Islam menjual tangkal Siam/Buddha di mana-mana premis perniagaan yang ada. Ada bermacam-macam tangkal disediakan. Fungsinya sama, sebagai sugesti belaka.
Tangkal tadi, kadang-kadang hanya berupa "ikatan" bagi menggembirakan pemakainya setelah mendapat izin untuk memakainya.
Selain tangkal, pengamal juga dikehendaki membacakan mantera atau doa tertentu.
Pengeluar produk seperti tangkal, azimat dan wafak ini juga sudah bijak. Kalau boleh mereka tak mahu sebut tangkal atau azimat lagi.
Disebutnya istilah lain seperti ilmu, ajian, aji, pelet, mustika, asmak, rajah, ruwat, sabuk hikmah, batu sakti, dompet, kerbau lando, tumbal dan apa sahaja yang ada kelainan.
Siapa yang memulakan pemakaian tangkal ini mengikut sejarah Melayu?
Tidak diketahui. Tiba-tiba sahaja orang rasa seronok dan suka memakai tangkal. Dalam kitab Mujarobat atau Perdukunan juga memuatkan keperihalan berkaitan dengan tangkal.
Di dalamnya diterangkan bagaimana hendak buat tangkal. Anda kreatif, anda boleh buat tangkal yang canggih dan memikat. Siapa pintar di bidang senireka dan grafik, mereka boleh mencipta tangkal yang cantik tetapi "tidak berjiwa" -- tambahan tangkal dan yang senama dengannya dikaitkan dengan tokoh tertentu, baik pawang, dukun, bomoh, mahaguru, mbah, atau ustaz di dalam bidang tertentu.
Di zaman moden ini ada juga "tangkal" yang berupa gelang sebagai perhiasan. Akan tetapi berapa banyak pula yang bercerita bahawa dengan memakai gelang ini bermacam khasiat yang boleh dimanfaatkan? Apabila disebut tangkal, ia adalah perkara yang meliputi apa sahaja benda yang dijadikan sebagai pegangan, hiasan, atau amalan bagi tujuan tertentu. "Sesungguhnya jampi-jampi dan tangkal-tangkal juga tiwalah itu syirik." [Hadis riwayat Imam Ahmad, 1/381 dan Abu Dawud no.3883]. []
No comments:
Post a Comment