HARI INI apa sahaja gerak dan tindakan dan dilakukan seseorang, selalunya ada kaitannya dengan duit. Hanya tindakan yang hendak dipaparkan ini tidak berkaitan dengan politik di negara kita, tidak tahulah di negara jiran, sebab khabarnya, ketika musim pemilu ada orang sibuk jumpa dukun itu dan ini semata-mata untuk mengangkat "dana ghaib" bagi mendapatkan wang untuk pelincir kempen pilihan raya.
Contohnya, ada bekas paranormal hebat yang namanya sering dikaitkan dengan kepandaian tarik "harta karun" dalam bumi diajak bercerita tentang tajuk yang sangat digemari orang, tidak kira di mana berada.
Dia kata, dulu ada orang pergi ke kawasan gunung kerana hendak mengeluarkan harta karun yang terbenam dalam tanah. Dikeluarkan hampir satu tan emas, bayangkan berapa harganya sekarang, sedangkan satu gram pun sudah mahal.
Cerita batang emas ini di Malaysia pun ada, hanya ia tidak dibongkar dengan berani. Masih rahsia dan sorok-sorok. Emas yang beratnya satu tan itu bukanlah seketul macam batu berat satu tan. Kena bawa dengan kren kecik nampaknya. Ia berketul-ketul, warna keemasan, berselimut tanah. Setelah dibersihkan, kena bawa sample untuk diuji ketulenannya.
Setelah diuji, semua geleng kepala. Tidak berbaloi, emas yang disangka tulen itu rupanya hanya kuningan sari menurut istilah di Jawa sana. Kenapa jadi begitu? Ada yang kata, puncanya pakar yang diajak mengeluarkan emas itu ilmunya belum hebat, bukan paranormal linuwih, kena ajak paranormal bertahap doktor falsafah di bidang tarik harta karun [adakah universiti atau kolej yang menawarkan kursus ini selain di bidang arkeologi?].
Bekas pemburu harta karun itu pernah keluarkan batangan emas di kawasan gunung. Emas dapat dikeluarkan dan telah dijual. Hasil jualan emas dari harta tersembunyi itu dia sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Itulah sebenarnya matlamat pemilik emas di dunia ghaib memberikan dana kepada manusia.
Makhluk yang serba mistik ini jauh lebih pemurah daripada manusia yang rakus, merebut segala macam tender projek sederhana, tidak cukup dengan harta yang sudah dimiliki masih mahu berebutan dengan orang lain. Ini memang terjadi di negara kita. Banyak tokoh ternama tergolong jenis ini.
Bercerita tentang mendapatkan harta terpendam yang tidak ketahuan ini bukanlah cerita tempatan sahaja, di Jawa ia sudah menjadi hidangan harian. Setiap hari di mana-mana, ada sahaja orang yang mengaku pintar untuk mendapatkan dana ghaib, dana yang menjadi pegangan kaum jin.
Apakah manusia sudah bosan hendak berurusan dengan manusia yang terlalu banyak proposal dan berbagai syarat? Atau berurusan dengan jin jauh lebih mudah?
Di negara kita bukan tidak ada aktiviti memburu harta karun yang digerakkan secara senyap. Selalunya ia melibatkan beberapa orang yang hobinya begitu, seperti juga orang suka memburu hantu, dapat tak dapat jangan peduli, janji kita ada alat serba canggih. Bukan nak menangkap hantu untuk dimasukkan dalam botol dan kemudian dijual di pameran hantu -- tidak. Hanya sekadar memenuhi rasa ingin tahu. Itulah kepuasan orang yang memburu hantu.
Bagi pemburu harta karun, mereka rasa seronok dan penuh dengan petualangan, meredah hutan, meredah laut, tasik, kuala sungai, bukit, kubu pertahanan dan sebagainya. Mereka memiliki firasat bahawa harta karun disimpan di sesuatu lokasi pada masa silam kerana selalu berlaku "perang" kecil di antara kumpulan tertentu.
Kebetulan penulis pernah sembang dengan kumpulan pencari harta karun ini, mereka masih meneruskan operasinya secara sembunyi meskipun apa yang dilakukan tidak membuahkan hasil.
Cerita yang mereka bina itu lebih penting. Di mana ada cerita tentang harta karun, sebut di mana sahajalah, mereka akan terokai juga suatu masa nanti.
Masalahnya, mereka tidak boleh bawa tali, pengorek atau lampu suluh sahaja. Mereka kena ajak pakar dalam bahagian harta karun yang layak mengetuai ekspedisi pencarian itu. Mereka tidak boleh bertindak sendiri kalau tidak ada pakar di depan mengetuai segala upacara.
Ini bukan soal carigali fosil atau artefak zaman kuno. Silap gali, "artefak" yang dihajat akan beralih tempat. Inilah cerita yang biasa kita dengar bagi kalangan pencari benda tersembunyi ini. Justeru itu, ramai di kalangan mereka ini terpaksa tunduk dan mendengar arahan dari ketua, ada perkara yang boleh dibuat dan ada perkara yang tak boleh dibuat ketika ritual penarikan itu dilakukan.
Mahu tak mahu, mereka kena berunding dulu dengan Datuk Sri Jin dan Datin Sri Jin. Kena runding dulu bahawa kedatangan mereka hanya ingin mendapatkan simpanan yang ada sekiranya dibenarkan. Selalunya Datuk Sri Jin tidak benarkan. Berlakulah perang mulut antara dukun harta karun dengan Datuk Jin ini.
Kalau ilmunya linuwih kata orang, Datuk Jin akan mengalah. Tetapi kalau ilmunya sekadar biasa-biasa, alamat balik kosong.
Hal nak dapatkan harta tersembunyi ini telah macam-macam perkara orang lakukan. Mungkin bagi orang yang kerja makan gaji di pejabat fikir, ini semua kerja tak guna. Lebih baik cari besi buruk atau tin minuman dah tentu jadi duit. Memang, bagi orang yang ada gaji bulanan mereka tak fikir pun hal harta karun. Percayalah, ini adalah permainan rakyat. Orang yang tak ada jadual kerja harian boleh buat kerja ini. Tetapi bukan tak ada orang yang kerja pejabat sanggup luangkan masa dan sanggup cuti untuk ikut serta. Ini semua hobi punya fasal.
Pernah seseorang yang tergolong paranormal separa linuwih diminta bantuannya untuk mencari "dana ghaib" di suatu tempat, dia mengesyorkan agar dapatkan kain putih orang mati untuk dijadikan penglimunan. Maka terkial-kiallah si fulan ini korek kubur [suatu kesalahan jenayah] hanya kerana ingin dapatkan kain putih yang sudah berada di alam barzah. Kain itu dapat dia curi di sebuah perkuburan Islam dan kemudian disimpan di suatu tempat. Sampai sudah, kain putih yang telah digunakan untuk mengkafani mayat terlipat elok tidak digunakan pun!
Semua ini gara-gara ribut. Perangai kita kalau dapat sesuatu proposal pelik akan kelam-kabut buat itu dan ini bertindak begitu pantas. Apabila kehilangan rakan untuk memburu harta karun, masing-masing sudah tutup buku. Agenda nak guna kain putih bagi tujuan dapatkan dana ghaib sudah dilupakan.
Kalau mengingat cerita orang-orang yang kemaruk mencari harta karun begini, ada lucunya juga. Jangan kata yang menceburkan diri dalam bidang pelik dan tak masuk akal ini hanya orang yang tak ada kerja, atau yang kerja sendiri. Tidak juga. Hobi ini tidak mengira siapa.
Biasanya hari Khamis malam Jumaat mereka tunggu-tunggu untuk melakukan ritual mistik di suatu tempat. Diketuai oleh pakar yang memiliki ilmu linuwih. Pakar inilah yang memandu orang lain. Kalau pakar ini tipu, maka semua orang kena tipu. Biarpun kena tipu sepuluh kali, orang masih perlukan pakar ini. Sebabnya, bukan senang nak cari pakar begini. Mereka tidak keluarkan iklan, tidak ada pejabat praktek, hanya di rumah-rumah yang tersembunyi. Yang tahu sahaja mencarinya. Kalau ada sesiapa yang hendak menyamar sebagai pakar pun boleh juga. Dunia perburuan duit ini memang mengasyikkan. Wallahu a'lam. Bahan kisah ini dari sumber: Pak Raden & Misteri. []
No comments:
Post a Comment