Tuesday, 22 January 2013

JIN KERAJAAN LAUT HILANG PENGARUH?

INI cerita silam, zaman sebelum merdeka. Tahu sahajalah.
Konon di Laut China Selatan, pada ketika itu ada sebuah kerajaan yang ditadbir oleh para jin.
Raja yang memerintah kerajaan itu namanya DATUK SELEPANG KAKI.
Datuk Selepang Kaki adalah anak kepada pasangan jin Damenit dan Namenit [jin suami isteri].
Di bawah Datuk tersebut ada pegawai-pegawai penting kerajaan yang antara lain bernama Tuk Panglima Hitam, Tun Teja Muda, Tuk Jamal, Tuk Jobin, Tuk Tedung,  Tuk Anas dan Tuk Jemanas [setakat nama yang diketahui Tok Pawang].
Nama-nama yang disebutkan ini selalu disertakan dalam jampi serapah yang dibacakan Tuk Pawang upacara.
Datuk Selepang Kaki dikatakan menguasai wilayah kerajaan laut, menguasai kawasan kuala sungai yang penting, bermula dari kawasan Pulau Redang, Terengganu hingga ke kawasan pantai Tumpat, Kelantan.
Jadi Datuk ini menguasai kawasan itu sahaja, di kawasan pantai sebelah Pahang dan Johor sudah tentu ditadbir oleh kerajaan lain pula.
Sama halnya kerajaan yang menguasai kuala Sungai Perak di Perak.
Datuk Jin penguasa laut ini setara dengan Ratu Kidul di Laut Selatan Jawa.
Hanya cerita Ratu Kidul mengatakan dia mempunyai istana di dasar laut [kebetulan seorang kawan pernah ceritakan bagaimana dia mengadap Ratu Kidul, dia masuk ke laut untuk melihat istana itu].
Datuk Jin yang jaga kawasan pantai dan kuala sungai tidak mempunyai istana seperti itu. Mungkin istananya di permukaan laut.
Kita tidak mengetahui mengapa orang dulu [sekitar tahun 1948] boleh buat upacara "larung sesaji" ke Laut China Selatan, mengadakan pesta berhari-hari sampai seminggu semata-mata hendak meraikan kehendak Raja kepada hantu laut yang ada.
Masa itu mereka saban tahun mengadakan upacara "Puja Pantai" -- seperti orang Jawa mengupacarai mitos Ratu Kidul dan kaitannya dengan Gunung Merapi.
Dikatakan bahawa jika hantu-hantu laut itu diundang untuk menghadiri upacara yang hebat itu, maka hantu-hantu itu akan datang.
Ada cerita yang mengatakan, apabila Tuk Pawang upacara membacakan jampi dan mantera pemanggilan hantu, maka Raja Hantu Laut itu pun datang di depannya. Ketika itu Raja Jin ini datang sebagai seorang lelaki biasa, dia pakai secara panglima, berselendang warna hitam. [Mungkin perlu kajian mengenai kaitan warna pakaian makhluk ini dengan pakaian upacara rasmi yang ada kaitan dengan acara kenegaraan, kebetulan atau apa?].
Ketika itu, Tuk Pawang upacara menyeru para hantu atau jembalang laut agar datang bagi sama-sama meraikan kemeriahan Pesta Pantai sambil menikmati jamuan rakyat, nasi berlauk daging kerbau balar dan daging-daging lainnya sebagai tambahan.
Masa dulu pesta diadakan di Pantai Cahaya Bulan [dulu namanya dahsyat sekali PANTAI CINTA BERAHI] - pantai itu memang tempat muda-mudi berpeleseran sambil cari pasangan; berdua-duaan biasalah bagi menikmati "keberahian" pada zaman kegemilangan itu.
Maklum, pesta diadakan tujuh hari tujuh malam. Ini macam cerita dongeng raja-raja zaman dulu kalau mengadakan majlis perkahwinan. Memang rak sungguh!

MAKYONG MENORA
Ketika Pesta Pantai ini berbagai acara diadakan -- ada persembahan Makyong, ada wayang kulit, menora, tinju Siam, silat, gasing, pertandingan wau dan macam-macam lagi.
Sekarang ada lagi tak Pesta Pantai macam ini?
Masih ada, ia dinamakan Pesta Pantai Batu Buruk, Pesta Besut [saya dua kali ke sana], kemudian di tempat lain pun adakan Pesta Pantai Port Dickson, Pesta Laut Lumut atau dengan nama yang tidak melibatkan pantai. Maknanya, semangat Pesta Pantai itu masih ada, tetapi ia diterjemah dalam bentuk lain.
Sekarang kalau ada pesta mesti ada pentas, ada artis undangan dan ada band undangan. Selainnya macam fun fair biasa, buaian pusing, laga kereta gila, main baling gelang rotan, lontar dart dan macam-macam lagi.
Disebabkan pesta pada zaman dulu berlangsung tujuh hari, penganjur pesta kena jimat program supaya orang yang datang tak jemu.
Yang lebih penting ritual itu adalah untuk menyenangkan hati Duli Yang Dipertuan Datuk Selepang Kaki agar membantu para nelayan pantai mendapat hasil tangkapan yang lumayan, kerja menjaring ikan tidak diganggu oleh suku-sakat mereka; jangan terjadi bencana bot karam atau bot pecah; jangan terjadi apa-apa musibah dan sebagainya. Itulah harapan mereka ketika itu.

PUJA PANTAI
Maknanya, selain berdoa selepas habis solat, ada lagi permintaan yang tidak masuk akal, memohon kepada Raja Laut itu untuk hindarkan diri dari kecelakaan di laut. Perkara ini terjadi sesuai dengan zamannya ketika itu, mereka tidak berilmu, hanya mengikut upacara yang tuk nenek mereka pernah buat, kena ikut sahajalah.
Begitulah, menurut cerita, Pesta Pantai itu seminggu, pada hari keenam  sebelum tiba upacara kemuncak memuja pantai, kerbau balar [balau] disembelih bagi mendapatkan kepalanya dan bahagian yang diperlukan untuk jamuan hantu laut.
Tuk Pawang upacara menurut ceritanya, akan membawa persembahan itu ke gigi laut pada waktu senja; sambil kedua tangan menggenggam bertih dan beras kunyit; dia pun menjampi berulang-ulang.
Jampi itu tak sebut apa, hanya menyebut nama-nama hantu yang disebutkan tadi. Setiap hantu ada kawasan yang dinaunginya.
Tuk Selepang Kaki tempatnya di laut; Tuk Panglima Hitam di kawasan kuala; ada nama puteri - Puteri Selindung Daun dan Tun Teja Muda Kuala. Jika hendak disenaraikan nama-nama hantu ini cukup banyak dan tak larat dibuatnya.
Masa Tuk Pawang baca jampi itu dia melambai-lambai ke laut [iaitu ketika orang lain solat maghrib berjemaah] -- Tuk Pawang pun beritahu kepada hantu laut bahawa jamuan akan diserahkan pada malam terakhir Pesta Pantai.
Nama-nama hantu dan tanah jajahannya tidaklah diketahui kalau kita tidak merujuk kepada jampi yang dibacakan oleh Tuk Pawang upacara ketika Pesta Pantai.
Saya pernah terbaca di Pulau Tuba, Pulau Pinang pun ada upacara menjamu hantu [dalam sebuah jurnal berbahasa Inggeris terbitan Universiti di Amerika] -- mereka juga menyembelih, tetapi kambing jantan hitam jadi pilihan mereka. Penduduk kampung dijamu dengan gulai kambing. Semua nelayan tak kira Islam atau bukan ikut sama gotong royong adakan kenduri.

TINGGAL KENANGAN
Upacara Pesta Pantai ini hanya tinggal kenangan. Mereka yang ada sekarang pun tidak dapat membayangkan bagaimana meriahnya Pesta Pantai itu kerana ia melibatkan upacara yang betentangan dengan kehendak agama iaitu amalan "memuja pantai" - bukan pantai yang dipuja, tetapi memuja hantu-hantu laut dengan harapan makhluk itu tidak menimbulkan bencana atau gangguan kepada mereka.
Saya pernah menemu ramah seorang paranormal asal Kelantan yang pernah berguru di Cirebon, Jawa.
Dia mengaku sudah beberapa kali pergi ke pantai tempat pesta ini untuk "menghulurkan" kepala kerbau balar bagi memuaskan hati Puteri Laut Selatan.
Itupun dia hanya jadi perantara sahaja, tidak ada siapa yang sanggup dan berani, kecuali dia sahaja.
Dia tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan Puteri Laut Selatan itu di Pantai Cahaya Bulan. Serahan kepala kerbau itu dilakukan pada waktu maghrib.
Jika di Jawa, cerita lama tentang Puteri Laut Selatan masih wujud sampai sekarang, sebaliknya di Kelantan, tidak ada lagi orang menyebut Tuk Selepang Kaki, nama-nama yang lain juga telah dilupakan. Jika dibandingkan di antara dua lokasi ini, kita berjaya menumpaskan kesyirikan ajaran nenek moyang kita yang menjadi ikutan. Ilmu telah memisahkan yang haq dan yang batil.
Dalam pada begitu, masih ada kerja batil "melarung sajian" secara senyap-senyap bagi memenuhi permintaan seseorang yang juga tidak faham tentang kesyirikan. Wallahu a'lam. []



No comments:

Post a Comment