Masa pergi Chow Kit dua hari lepas saya terserempak dengan seorang kawan, orang Kedah.
Cakap pun slanga utaralah. Dia kata dia nak masak ikan kari. Tak tahu pula ikan apa yang dia beli.
Hanya dia cerita masalah di tempat kerjanya, dia kata asyik berserabut semanjang kerja sekuriti di sekolah.
Kerja sekuriti ini memang asing bagi sesiapa yang tak tahu.
Mungkin orang hanya dengar gaji depa dah naik. Itu siapa yang kerja di pejabat kerajaan macam sekolah, sebab syarikat yang mohon kerja itu kena buat betul-betul. Ia tak macam kerja bank, kerja jaga kedai, jaga banglo, jaga kebun, jaga stesen minyak dan sebagainya.
Orang kerja sekuriti semuanya orang susah.
Kalau mereka orang senang mereka tak tergamak pun nak apply kerja sebagai guard.
Kenapa kata begini?
Inilah kerja yang leceh. Anda kena kerja selama 12 jam atau kurang dari situ. Semuanya kena ikut sistem kerja di mana dia berkawal.
Ada yang masuk pukul 7.00 pagi, ada yang masuk pukul 8.00 pagi. Kalau kerja 12 jam, masuk 8.00 pagi keluar 8.00 malam. Itulah yang dibuatnya setiap hari. Itu yang orang kata, "Lama tak jumpa, batang hidung pun tak nampak?"
"Nak nampak lagu mana kerja 12 jam tercongok di suatu tempat," itulah yang biasa kita dengar jawapan mereka.
Kawan dari Kedah ini bekerja jadi sekuriti sekolah rendah dekat Maju Junction, Kuala Lumpur.
Jangan fikir kerja sekuriti senang, duduk sahaja, boleh sembang panjang. Tidak.
Dalam pada dok jaga pun, ada sahaja kritik pedas yang mereka terima.
"Pakcik tidur, mana ada jaga," kata guru besar sekolah.
"Jangan cakap macam tu cikgu, saya orang tua, umur dekat tujuh puluh, tak kan saya tak tahu hukum?" kata kawan ni lawan balik guru besar perempuan yang cengei itu.
Cerita guru besar perempuan yang tinggikan suara depan orang tua sudah banyak kali. Apakah begini lagak para cikgu di sekolah? Imej guru perlu dibaiki.
Kemudian guru besar itu kata, kawan ni, asyik menyebelahi sekuriti perempuan. Padahal sekuriti perempuan itu kerap ponteng. Masuk kerja tak ikut time sebenar. Kalau ikut hukum, masuk 7.00 malam keluar 7.00 pagi. Sekolah nak mula sesi pagi. Perempuan yang jadi guard gantian ini tak muncul juga. Tunggu dan tunggu sampai lajak pukul 8.00 pagi. Apakah ada kiraan tambahan kerana lajak sejam ini? Tidak. Dalam sekuriti mereka tak layan cara kiraan ini.
Malah paling tidak, pegawai ronda suruh hang pakatlah baik-baik. Kalau dia boleh datang lewat, sampai jam 8.00 pagi, nanti hang balas balik, datang pukul 8.00 malam pulak. Tengok macam mana reaksinya, menjerit tak?
Cerita guard sebenarnya lebih banyak kepada soal kawan-kawan kerja. Contoh, ada orang cerita, dia kerja dua orang sesi malam. Sepatutnya dua-dua kena siap sedia menghadapi keadaan kalau berlaku apa-apa. Tapi tidak, seorang yang pemalas boleh tidur berdengkur, sementara yang fit tadi, sibuk menjaga pondok kawalan seorang diri.
Kalau dia bising pada kawan yang tidur, alamat banyaklah songihnya. Ada yang bergaduh. Kena pula yang kerja itu campuran. Ada budak Nepal, ada budak India, budak Sabah dan yang kaki tidur. Memang asyik merungut dan mengumpat sahaja sepanjang masa.
Tadi di Kuala Lumpur, saya pun terdengar seorang kakak bercakap bukan main lantang dengan handphone tentang isu kerja macam ini. Dia kata dia sudah fade up dan nak cabut. Ada tiga hari kerja lantaklah tak bergaji.
Dalam kerja sekutiri, kalau anda berhenti kerja walau dah kerja seminggu jangan harap akan dapat gaji. Maaf ya! Kalau dia sudah dapat pinjaman RM10 sehari, bermakna dia dah dapat RM60 atau RM70 sahaja. Itulah gaji dia bersengkang mata. Masalah dalam dunia sekuriti ini memang tak ada siapa nak bela. Kesatuan mereka tak berapa lantang.
Dan kalau nak tahu, orang kerja sekuriti paling banyak memiliki kad bank. Kerja syarikat A diminta buka akaun Bank Cinta. Kerja di tempat B buka akaun lain lagi ikut bagaimana akaun syarikat yang ada. Sudahnya, seorang bekas pengawal memiliki berbagai kad ATM.
Orang yang tak tahu, dahsyat abang ni, akaun sana, akaun sini, mesti banyak duit. Tidak.
Mereka buat begitu atas arahan syarikat dia kerja. Kalau dia kerja dengan syarikat lain suruh buka akaun Bank Kucing, maka dia kena buka lagi akaun baru.
Daripada sembang gebang mereka, macam-macam cerita guard yang menarik terjadi. Yang kaki mabuk, kaki hisap ganja, sapu duit kawan, dan ada juga kes pelik, kerja guard tapi tak bergaji. Inipun ada.
Kata kawan dari Kedah ini, "Mungkin tahun ni last, aku tak mau kerja lagi, tua dah!"
Kesian juga dengar cerita kawan ni. Masalah tak sudah-sudah. Dulu pernah kena halau sebab tak mampu sewa rumah. Tidur masjid di bulan puasa. Ada isteri, orang Bandung, kawan baik pula yang tibai. Sudahnya isteri lari ikut jantan lain. La ni lagu mana? "Lagu nilah! Nak buat apa lagi?" katanya sambil tersengih. []
No comments:
Post a Comment