Wednesday, 23 January 2013

MINYAK DAGU, JANGAN FIKIR NAK UJI-UJI!

Dengarnya, di pawagam ada tayangan filem tempatan berjudul Minyak Dagu.
Judul berkaitan minyak berpuaka ini memang digemari oleh penulis cerita-cerita misteri dan mistik. Majalah yang menjurus kepada kemisterian acapkali menyiarkan cerita minyak dagu, pengalaman pengguna minyak dagu, kesan minyak dagu dan apa sahaja yang berkaitan dengan DAGU.
Mood masyarakat Melayu terhadap minyak dagu sedang naik seperti minyak dagu dalam botol yang konon boleh pasang surut mengikut bulan. Itulah kelebihan penyedia minyak dagu. Bukan minyak sapu dagu yang sakit kena tinju, dan bukan juga kerana terhantuk benda lain.
Minyak dagu adalah sebuah ilmu juga. Tanpa ilmu, seseorang tidak tergamak hendak mendapatkan minyak dagu. Pemilik minyak dagu kena belajar kaedah menggunakan minyak dagu. Kalau tidak tahu cara bagaimana minyak dagu dibuat pun tidak mengapa.
Sebagai pengguna, dia hanya perlu jumpa orang tertentu yang mahir dalam bidang perminyakan seperti ini. Tidak dijual di kedai ubat Cina, dan tidak dijual di kedai ubat tradisional. Di farmasi biasa lagilah tak ada. Kalau ditanya juga ditunjukkan minyak panas.

JUAL MINYAK
Mungkin ada yang jumpa orang jual ubat di kaki lima kedai. Duduk bersila mempamerkan macam-macam benda dalam botol kecil macam botol minyak wangi. "Itu minyak apa bang?" ini soalan yang cantik.
"Ini minyak pengasih! Minyak bulu perindu!"
Yang itu pula apa bang? "Yang itu minyak dagu!"
Minyak dagu?
Wah! Di kaki lima pun ada minyak dagu. Inike minyak yang jadi bahan cerita filem Minyak Dagu tu?
Kata yang empunya cerita, kalau hendak minyak dagu, belilah yang yang sudah siap.
Disediakan dalam botol. Bagaimana nak tahu minyak itu ori atau tidak? Inilah susahnya. Standard yang ori dan tak ori belum dijelaskan dengan tuntas.
Ada baiknya orang tak tahu. Asal nampak minyak warna lain macam, dalam botol kecil, diikat dengan kain merah atau kuning, itulah minyaknya!
Minyak Dagu.
Bukan tidak ada orang terkena kerana tidak ada buku keterangan tentang minyak jenis ini.
Ilmu minyak jenis ini hanya dari Siam. Orang Melayu tidak reti buat minyak dagu. Selalunya kalau berhajatkan benda ini mereka pergi ke Siam sana. Cari orang yang pintar, atau wakilkan kepada orang lain suruh carikan sampai dapat. Kalau dapat yang temberang pun nasiblah!

BERANAK SULUNG
Umum sudah mengetahui minyak dagu mesti ada kaitan dengan perempuan mati beranak sulung, kerana minyaknya lebih power jika dibandingkan dengan orang mati dibunuh. Untuk mendapatkan kes yang begini maka jenuhlah menunggu.
Mati beranak sulung adalah kes yang jarang berlaku. Tetapi orang kemaruk dagu akan mencipta cerita lain, kalau tak ada yang mati beranak sulung, yang mengandung sulung pun boleh. Maksudnya, orang sanggup lakukan apa sahaja kerja gila untuk dapatkan dagunya.
Minyak mistik ini konon hanya boleh menjadi kalau dilakukan secara pencurian.
Bagaimana tidak. Setelah mayat dikebumikan, kumpulan syaitan manusia ini korek kubur untuk keluarkan mayat. Disandarkan di tepi kubur dan kemudian dipanggang dagunya dengan api apa sahaja, biasanya lilin dan ditadah dengan tempurung jantan atau mangkuk putih [keadaan terdesak].
Ada empat tempat yang boleh dipanggang iaitu dagu, siku, pipi kanan dan pipi kiri.
Sudah dapat tetesan lemak dari dagu yang tak semestinya banyak sampai setengah liter!
Minyak yang sedikit itu dibawa balik. Kubur kena ratakan semula supaya tidak kecoh esok siangnya.
Ada juga yang tinggalkan mayat begitu sahaja hingga esok siang jadi bahan kegemparan.

PUJA MINYAK
Minyak dari dagu yang sudah diperoleh itu tak boleh hendak puja-puja sendiri. Kena orang pintar yang sudah seia sekata dengan syaitan, sudah kenal lama, sudah berjanji setia, -- jadi tidak boleh memandai-mandai nak jampi seorang diri. Jampi cara Siam. Jampi Melayu tak faham, iblis hanya faham jampi Siam sana.
Itu sebab proses untuk dapatkan minyak dagu diketuai oleh pakar minyak dagu. Kalau pakar minyak pelincir ikut campur, ia tidak boleh jadi.
Konon setelah minyak dimasukkan ke dalam botol, proses seterusnya adalah kerja pak dukun. Pak Dukun Siam inilah yang akan memperasapkan dan menjampi semua atau istilahnya memuja. Dia puja minyak itu hingga syaitannya datang.
Bagaimana nak tahu syaitannya datang?
Dek terlalu asyik dan khusyuk, konon ketika dipuja begitu pada waktu tengah malam, dari dalam botol itu akan keluar bunyi seolah-olah ia menyahut panggilan dan pemujaan pak dukun tadi.
Sebaiknya dia tahu pula nama si mati. Kalau perempuan itu namanya Jenise, maka pak dukun merayu-rayu memanggil Jenise.
Kenapa minyak dalam botol berbunyi?
Ia sebenarnya suara dari qarin perempuan yang mati itu. Qarin atau iblis itu ikut sama dalam lemak dagu yang dipanaskan dengan lilin. Ketika hidup seseorang itu didampingi oleh qarin. Qarin inilah yang mendampingi minyak dalam botol itu ketika dipuja-puja oleh pak dukun minyak dagu.
Dalam filem Minyak Dagu [berdasarkan sinopsis] dikatakan ia diusahakan oleh seorang Wak. Lagi-lagi imej Jawa dan Kejawen yang hendak dikaitkan dengan kerja-kerja perdukunan.

KENAKAN ORANG
Apa guna minyak dagu ini?
Tidak lain, hanya untuk memikat gadis idaman atau orang yang tidak sepadan tetapi banyak kerenah. Minyak ini digunakan untuk menumpaskan ego seorang perempuan yang terlalu memilih lelaki idaman.
Pemilik minyak dagu tentu telah diajar oleh pak dukun bagaimana nak amalkan ilmu sihir ini. Biasanya pak dukun mengajar apa yang hendak disebut.
Misalnya kalau minyak dagu itu milik Si Jenise di Siam sana, maka jasa dia perlu diminta:

 "Jenise, aku perintahkan engkau bertindak,
aku inginkan si dia ... [sebut nama dan ibunya sekali]
kau ikut perintah aku, 
kalau kau tak mahu buat,
aku tak bagi engkau makan![maksudnya diperasapkan]"

Dia kena bisikkan kata-kata itu ketika memperasapkan dengan kemenyan dan membuat pemujaan. Konon ketika dipuja begitu minyak dalam botol boleh jadi penuh.
Maknanya ia hiduplah. Inilah yang ori.
Sesiapa yang beli di kaki lima tetapi tidak diberi aturan gunanya, itu bukanlah minyak dagu ori, sebaliknya minyak untuk disapukan ke dagu kalau sakit dagu.
Cerita mistik lain, konon minyak dagu ini hidup, kalau bulan mengambang, botol itu akan penuh, kalau bulan jadi sabit, minyak itu turun. Itulah minyak yang ori. Minyak ini hanya untuk dicalitkan kepada mangsanya sahaja, tak perlu calit banyak-banyak, qarin iblis itu akan menjalankan tugasnya sesuai dengan kehendak yang dilafazkan.
Ada juga kelemahan minyak begini. Konon tak boleh dibawa menyeberang laut. Kena tanya pak dukun dulu. Bukan tak ada orang guna minyak dagu nak calit anak orang putih [mana tahu] kena naik kapal terbang juga. Selalunya pak dukun kata, apa susah, hang bubuh jarum dalam botol tu.
Pemilik minyak pengasih ini akan gunakan kapas untuk mengeluarkan minyak. Setelah dikenakan minyak, kapas itu diselitkan ke lubang telinga. Ini lebih mudah. Ketika nak dicalitkan kepada seseorang mangsa, dia hanya perlu sentuhkan dengan jari manis. Atau dikenakan pada makanan dan minuman si dia. Kalau terkena minyak dagu, dia akan teringatkan orang itu sahaja. Boleh dipulihkan dengan syarat dalam tempoh tujuh hari.
Kuasa minyak boleh ditawarkan. Ada yang syorkan disamak dan dibasuh dengan air garam.
Penyimpan minyak Siam ini biasanya orang yang cincai atau langsung tak solat. Ilmu ini tak ngam dengan orang yang solat.

CIRI PEREMPUAN BERANAK SULUNG
Bahkan ada yang mengatakan orang yang mati beranak sulung itu kalau boleh jenis cincai juga. Bukan mayat orang baik-baik. Dari segi ini kubur orang yang bertaqwa adalah terhindar dari gangguan iblis manusia. Hanya qarin yang jahat sahaja sesuai untuk minyak dagu.
Minyak ini bukan bertujuan pemikatan pasangan sahaja, malah untuk tujuan lain pun. Ada juga orang yang mendakwa memiliki minyak begini sebagai saka. Turun temurun benda itu dipelihara.
Yang nyata, minyak ini bukanlah dari tradisi Melayu. Ia bawaan dari Siam sana. Ia menjadi amalan golongan bukan Islam, tetapi disebabkan kita berjiran, aliran keluar masuk ajaran ilmu ini mudah dijadikan ikutan. Akhirnya minyak dari tradisi bukan Islam ini merebak menjadi mainan orang-orang Melayu terutama di kalangan mereka yang kefahaman agamanya di tahap rendah.
Orang Islam sebenar tidak berani berjumpa pak dukun bertanyakan minyak dagu dan mempelajari kaedah menggunakan minyak ini.
Seperti dinyatakan tadi, sesuai dengan ciri tertentu mayat yang diperlukan untuk dapatkan minyak dagu, maka pengguna akhir minyak ini juga memerlukan ciri-ciri serupa dengan si mayat. Kalau ia dari kalangan bukan Islam maka minyak ini hanya wajar dijadikan mainan oleh mereka. Maka pelik sangatlah kalau ada orang Melayu yang mengaku Islam berangan-angan hendak mendapatkan minyak dagu. Jadi, elok lupakan terus atau jangan fikir nak uji-uji benda tak berguna ini. Ia memang amalan sihir yang nyata. []


No comments:

Post a Comment