Wednesday, 9 January 2013

MELANCONG KE NEGERI AZRAK

SEORANG lelaki duduk bersila di depan guru muda. Dia menyatakan hajatnya untuk mendapatkan seberkas ilmu hikmah.
Ilmu hikmah yang diburu kebanyakan orang dewasa ini adalah ilmu yang boleh datangkan duit. Yang boleh datangkan harta seperti diberikan batu-batu permata, emas, berlian dan sebagainya [maklumlah orang miskin memang angan-angan lebih, lainkan isteri seorang pembesar negara dia boleh beli sebentuk cincin sampai ratusan ribu ringgit bahkan sampai berjuta-juta! Hebat sungguh isteri pembesar negeri itu kata yang empunya cerita].
Maka guru sejati pun menerangkan bahawa ada ilmu yang sesuai untuk lelaki itu. Ilmu apa? Iaitu ilmu yang boleh membawa lelaki itu pergi melancong ke Negeri Azrak.
Negeri itu diperintah oleh kalangan jin Islam, nama ketuanya ialah Syeikh Syamtunul Ghulam.
Untuk menemui raja jin itu, seseorang kena belajar sejenis bacaan seperti mantera yang dapat memanggil khadam jin itu.
Kata guru sejati itu, sesiapa yang amalkan bacaan atau ajian itu, dia boleh jumpa Raja Jin.
Rasanya, dalam dunia ini bertemu Raja Jin lebih senang dan mudah daripada bertemu raja biasa.
Raja Jin tak payah protokol, dia tak suruh orang itu pakai songkok tinggi, baju hitam atau stail apa pun. Raja Jin sangat memahami kehendak "rakyat"nya termasuk umat manusia biasa.
Menurut kata sang guru sejati, kalau diperkenankan, kadang-kadang manusia biasa akan diundang untuk melancong ke Negeri Azrak. Memang kalau dicari dalam peta tak akan jumpa sampai bila-bila pun. Ini adalah peta di alam antah berantah, alam Jin. Jangan cari peta Google, memang tak ada.
Khabar yang dituturkan oleh guru sejati tadi, bahawa Azrak cukup hebat. Ia lebih hebat dari Putrajaya.
Bayangkanlah, istana dan bangunan di kota Negeri Azrak itu diperbuat daripada emas.
Jadi, kelihatan kekuningan kalau dipanah cahaya matahari pagi dan ketika matahari tenggelam.
Indah sungguh pemandangan itu.
Sesiapa yang diundang melancong ke negeri itu, pergilah, jangan takut jumpa Raja Jin yang peramah lebih ramah daripada manusia.
Raja Jin selalunya sudah tahu kelemahan manusia. Manusia tidak boleh tengok ada emas.
Itulah harta yang digemari. Manusia sanggup membunuh demi mendapatkan emas!
Padahal emas bagi lelaki tak boleh buat apa pun, kecuali perhiasan untuk perempuan.
Di zaman sekarang, buat apa pakai emas sampai ke siku?
Wanita yang menutup aurat tidak perlu tayang barang kemas, kerana ia akan mengundang perompak ikut balik ke rumah.
Nah, kata yang empunya cerita, di Azrak itu ada baitulmalnya juga.
Ia sedia menyedekahkan kepada manusia yang sudi datang ke Azrak.
Yang hairannya, sang guru sejati boleh bertindak sebagai "peguam" untuk menguruskan pemergian seseorang yang ingin bertemu Raja Jin Azrak.
Nyatakan hajat sebenar, nanti guru sejati akan tolong tuliskan surat permohonan kepada Raja Jin.
Surat itu ditujukan kepada Syeikh Syamtunul Ghulam.
Lelaki tadi kena turunkan tandatangan sekali. Berapa banyak duit yang dia mahu pun kena nyatakan. Tetapi janganlah kemaruk sampai nak tulis RM 4 bilion, itu lawan pembesar negeri pula jadinya.
Jadi, kata yang empunya cerita karut ini, ada beberapa perkara yang boleh diajukan kepada Raja Jin merangkap penjaga Baitulmal negeri Azrak.
Iaitu, untuk mendapatkan bantuan modal berniaga [ternak lembu tenusu atau daging tidak digalakkan]; untuk jadi orang kaya secara mendadak [kaya mi segera]; untuk bayar hutang [hutang judi tak bolehlah]; terbeban bunga bank yang teruk;  untuk mereka yang menghadapi masalah rumah nak dilelong [nak duduk mana lagi kalau sudah dilelong, kena tidur bawah jambatan dekat Central Market jawabnya].
Jangan fikir nak dapatkan duit dari Raja Jin yang memerintah Azrak mudah!
Sedangkan nak pinjam koperasi, bank biasa pun susah bukan main. Banyak syarat-maratnya, maka untuk dapatkan dana dari baitulmal Azrak, ada ritual khas kena lakukan.
Begitulah cerita yang sampai kepada penulis. Betul atau tidak guru sejati itu boleh bawa orang itu jumpa Raja Jin wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment