SEJUTA adalah simbolik. Kalau boleh lebih dari sejuta.
Isu yang timbul berkenaan perhimpunan 12.1.2013 adalah kemampuan stadium itu menerima kehadiran rakyat. Sanggupkah Sang Stadium menelan "sejuta" umat?
Sedangkan di Putrajaya yang dianjurkan oleh agen pemerintah pun gagal mengundang sejuta, bermakna dengan pembenaran guna stadium sebagai wadah ia akan mengecilkan jumlah menjadi sekitar 30,000 sahaja.
Kenapa kecoh benar, mengatakan stadium itu tidak muat jika dibenarkan tambahan lagi daripada bilangan yang disebutkan itu?
Mereka yang datang berhimpun bukan mahu duduk selesa di atas bangku seperti orang hendak tengok permainan bola sepak Manchester United lawan Pemuda Padang Piol, Pahang.
Mustahil sebuah stadium tidak mampu memampatkan bilangan massa hingga mencecah setengah juta campur di luar stadium lagi.
Stadium Merdeka dipilih kerana itulah stadium yang pernah disebut oleh seorang tokoh pemerintah ketika acara Bersih yang lalu. Tiba-tiba tidak dibenarkan, bukankah kecoh namanya itu?
Sekarang setelah pembenaran diberikan, kemampuan stadium itu dipertikaikan. Ingat, mereka datang bukan kerana hendak tengok perlawanan bola sepak, bukan nak tengok tarian Gangnam, tarian Reog atau tarian Pendet yang kita dah curi dari negara jiran itu [?], kita hendak unjuk rasa, menyatakan rasa kecewa terhadap pemerintah yang langsung tidak peduli dengan keluhan rakyat.
Pelajaran yang mahu diberikan oleh rakyat kepada pemimpin atasan adalah kita tidak boleh MENIPU untuk mendapatkan kedudukan dan kemasyhuran. Bertolak dari landas ilmu, apabila kedudukan terbaik pun diperoleh dengan cara penipuan, maka syubhatnya cukup besar dan banyak. Harta yang diperoleh dari penipuan ini menjejaskan perolehan lain, meskipun dari sudut pandangan budaya kita ia tidak ada apa-apa. Cubalah belajar mencari kejernihan, jangan main langgar seperti orang tidak berilmu. Dalam politik pun kena ada ilmu. Agama tidak boleh dipisahkan dari politik, kalau dipisahkan maka kerja TIPU akan kita teruskan sampai bila-bila pun.
Hanya kita dalam melakukan sesuatu jarang merujuk kepada landas ilmu. Kita masih berpaksikan dengan ukuran dan nilai-nilai moden Barat untuk menegakkan ego sendiri.
Berbalik kepada isu kemampatan massa di stadium itu, apakah orang berfikir stadium yang tua itu akan roboh gara-gara kehadiran massa yang besar begitu? Tentulah tidak. Mereka datang dengan aman, bukan mahu terkinja-kinja dengan pentas rock dan tarian kuda. Mereka mahu berkumpul untuk mengunjuk rasa, sebagai suatu kesatuan, keseragaman, memang mereka inginkan perubahan. Ia mahu ditunjukkan kepada dunia bahawa warga Malaysia juga sudah sedar dan ingin bebas dari "penjajahan" fikiran lapuk yang selama ini mencengkam umat Melayu terutamanya.
Banyak mitos yang diceritakan oleh mereka yang ada kepentingan bagi menakut-nakutkan perhimpunan ini. Setidak-tidaknya, mereka hanya bercakap dari segi muatan massa ke stadium. Mereka bercakap dari sudut tengok bola, sedangkan mereka yang datang bukan nak tengok bola.
Kalau boleh, sebiji bola pun tak perlu ada di stadium itu.
Mereka sekadar mahu mengenang betapa di Malaysia ini masih banyak kebobrokan sistem yang enggan diperbaiki.
Kalau mereka datang bukan kerana nak tengok bola, memang lebih daripada yang dibenarkan masih boleh masuk! Tak tahulah ada perkiraan dan muslihat lain di sebaliknya.
Hanya yang orang bimbang, akan ada orang upahan buat onar di sana-sini, rosakkan harta benda awam, kenapa?
Ya, sebab nak dijadikan tajuk muka depan hari Ahad esoknya: PERHIMPUNAN TIADA SAMBUTAN! Atau PERHIMPUNAN JADI GANAS, atau BANGUNAN LAMA DIANGKAT, atau SEKUNTUM BUNGA DI TEPI JALAN DIPETIK ORANG.
Atau PERHIMPUNAN GAGAL UNDANG SEJUTA!
Pendeknya, tajuk kaw-kaw sudah disediakan hari ini untuk paparan hari Ahad. Tengoklah nanti. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment