Walaupun kita mengaku bukan ikut Syiah, tetapi pada 10Muharram ada yang sambut hari Asyura -- iaitu hari dukacita. Versi Asyura kita lebih menjurus kepada kacau bubur Asyura. Kita tak buat apa-apa lagi, tak ada perarakan dan tak ada orang buat Tabut diarak dari satu tempat ke tempat lain macam di Sumatera Barat.
Asyura adalah hari peringatan terhadap pebunuhan Hussain , cucu Rasululllah sallallahu 'alaihi wasallam.
Kalau di sana yang bilangan penganut Syiah lebih banyak, mereka mengadakan acara teriak-teriakan dan meratap sambil memukul badan sendiri. Ada yang pukul dengan rantai besi atau guna pedang hingga berdarah. Itulah bukti kedukacitaan mereka terhadap Hussain.
Perayaan 10Muharram yang asalnya untuk mengingat kematian Hussain sudah bertukar beberapa versi menurut kaedah Nusantara. Hari ini juga ada yang meraikan sedekah untuk jin-jin penunggu di sesuatu tempat. Ini yang menghairankan, daripada hari dukacita boleh jadi hari memberikan sajian.
Pesta teriak itu hanya hebat di Iran, Pakistan, India dan Lebanon. Mereka berkumpul ramai-ramai untuk berteriak dan meraung-raung.
Kalau di Karbala, iaitu di sekeliling makam Hussain mereka lagi dahsyat. Raungan dan ratapan lagi hebat. Imam-imam mereka membacakan pernyataan yang dipatuhi oleh para pengikut Syiah.
Betapa tidak, kerana sudah ada fatwa yang cantik:
"Sesiapa yang menangis atau cuba menangis bagi al-Hussain diwajibkan syurga baginya."
Itu hanya ajaran mereka. Dengan begitu mudah nak mendapatkan syurga mereka hanya perlu meratap dan meraung sempena hari peringatan itu. Inilah amal yang paling mudah untuk ke syurga.
Apa pun ia hanya pendapat ulama mereka sahaja.
Ada juga fatwa yang lebih mempesona:
"Setiap langkah seorang penziarah bagi menziarahi kubur al-Hussain, ia akan menjaminnya satu tempat disyurga."
Selain ziarah kubur Hussain, ketika itulah mereka boleh mencela mereka yang tidak menegakkan keadilan terhadap keluarga Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Orang lain berdosa, iaitu kita yang tidak mengiktiraf konsep Imamiah bagi keturunan Syaidina Ali radhiallahu anhu. Orang Syiah Rafidah sangat menggalakkan orang ramai [Syiah] menziarahi makam itu.
Tidak ada riwayat mengatakan tentang kelebihan tanah Karbala. Amalan memuliakan Karbala dan makam Hussain ini adalah rekaan di zaman pemerintahan Shah Ismail as-Safawi [907H] yang memerintah Iran.
Mereka pun ada buat fatwa tak boleh pendekkan solat bagi para musafir yang berada hampir makam Hussain dalam jarak 15 ela. Ini fatwa mereka, dan tidak dinyatakan oleh Imam-Imam Syiah.
Peringatan hari Asyura diadakan secara besar-besaran. Tidak hairan kedutaan British juga tumpang sekaki membiayai mereka dengan dana tertentu. Tradisi beraya sakan ini ada yang kata dibawa dari India dengan adanya campur tangan orang putih.
Acara teriak dan pukul badan sendiri hingga berdarah ini menggambarkan umat yang semacam kurang bertamadun. Bagi orang luar, mereka lihat acara ini adalah permainan golongan pagan.
Tidak ada ajaran yang begitu dalam Islam, tetapi hanya ada dalam Syiah Rafidah yang tindakannya banyak merujuk kepada kitab Al-Kaafi yang diriwayatkan oleh al-Kulaini. Jangan haraplah mereka hendak merujuk kepada Bukhari dan Muslim.
Ada satu ajaran mistik dalam Syiah Rafidah yang berbau dongeng tidak masuk akal. Iaitu Imam ke-12 yang ghaib. Sekarang imam itu sedang dalam keghaiban, kalau dia muncul kelak, dia akan bawa "al-Quran" yang tebal tebal, ada surah tambahan yang tak masuk dalam al-Quran yang kita ada hari ini. Mereka kata ada "surah al-Wilayah."
Inilah yang dikatakan dongeng. Surah al-Wilayah ini ada menceritakan tentang kewalian Ali sebagai Imam selepas kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam. Tidak dimasukkan dalam al-Quran yang ada hari ini kerana nak menggelapkan kewalian Ali. Walaupun dongeng, mereka yang fanatik tetap percaya bahawa al-Quran yang ada ini tidak sempurna. []
No comments:
Post a Comment