Monday, 21 January 2013

SANAD ILMU KEBATINAN BAGAIMANA

Selalunya punca perolehan sesebuah ilmu sangat dirahsiakan. Ilmu yang dimaksudkan ini ialah ilmu yang selain ilmu yang sudah kita maklumi. Seperti orang belajar ilmu hikmah, nama sedap, hikmah, tetapi apabila diterokai dalam-dalam, ia sudah menjurus kepada ilmu antah berantah, ilmu yang tidak diketahui asal-usulnya.
Bukan tidak ada orang pernah bertanya, kenapa kita tidak mengkaji sanad sesebuah ilmu yang kita peroleh dari seseorang guru ilmu kebatinan?
Kalau ikut ilmu sanad, ia digunakan untuk menentukan hadis-hadis yang diterima dari Nabi sallallahu alaihi wasallam itu adalah betul-betul dari baginda.
Dengan ilmu sanad, seseorang penyelidik mengetahui siapakah yang mengeluarkan hadis dan dari punca mana ia diambil.
Seorang yang belajar ilmu hikmah dari seseorang guru biasanya menerima ilmu bulat-bulat tanpa mempertikaikan ilmu itu dari sumber mana.
Biasanya seorang pemberi ilmu akan mengatakan bahawa dia merujuk sebuah kitab kuno. Apa nama kitabnya? Itu dirahsiakan. Atau dia akan kata ilmu itu dia peroleh dari leluhurnya. Siapa nama leluhur yang dimaksudkan? Itupun tak mampu hendak sebutkan.
Ada orang belajar ilmu dari seorang "dukun" maka dia akan memberikan ilmu sesuai dengan permintaan orang yang berhajat.
Walaupun hanya minyak pengasih, ia tetap dinamakan sebagai ilmu. Ilmu pengasih. Orang yang belajar ilmu pengasih akan diajarkan tatacara menggunakan ilmu itu. Apa bacaan mantera yang perlu dilafazkan. Begitu juga orang yang belajar ilmu kebal. Ada amalan yang diajarkan oleh gurunya.
Soalnya, dari mana ilmu itu dia pelajari? Itulah yang dimaksudkan dengan sanad ilmu.
Dewasa ini bukan tidak ada orang bercakap tentang ilmu yang mereka peroleh.
Contoh, ada yang mendapat ilmu setelah bertapa begitu lama melakukan tirakatan di tempat yang dihuni para lelembut [makhluk halus]. Ilmu yang diperoleh ini tentulah dari ilham jin yang menyamar.
Kemudian ada juga yang berkata mendapat ilmu dari Puteri Gunung Ledang. Kalau di Jawa sana mereka dapat ilmu dari Ratu Kidul. Sudah tentu mereka dapat ilmu dari jin perempuan.

PUNCA ILMU
Persoalan ilmu dari punca mana tidak dihiraukan sangat oleh pencari ilmu.
Ramai yang mengatakan mereka dapat ilmu dari Mbah Kuwu, sedangkan Mbah yang dimaksudkan sudah tidak ada lagi.
Apabila disebut ilmu, biasanya ia dikaitkan dengan ilmu kebatinan. Ilmu begini mendapat pengaruh daripada berbagai acuan - animisme, hindu dan Islam. Ada juga yang merahsiakan ilmu yang dipelajari, seperti ada setengah orang belajar ilmu silat merahsiakan apa yang dipelajari kerana ia memang rahsia sebagaimana pesan gurunya.
Menuntut ilmu yang diperkatakan ini bukan belajar di pusat pengajian tinggi atau institusi tertentu. Ia lebih menjurus kepada amalan mempelajari sesuatu kemahiran atau kepandaian dengan cara bisikan atau orang perseorangan. Pada tahap ini timbullah kerahsiaannya. Ia diamalkan secara sembunyi.
Kalau ilmu yang benar apa hendak dirahsiakan? Yang selalu menjadi rahsia adalah ilmu yang tidak memberi manfaat kepada murid yang mempelajari.
Ilmu-ilmu sihir atau ilmu kebatinan itu tidak memberi manfaat. Akan tetapi ada orang belajar bagi tujuan keduniaan semata-mata.
Ada orang memberitahu dia mendapat ilmu mengubat santau dari ayahnya, atau dari bapa mertuanya. Itulah sanad ilmu yang dia ada. Ayah atau bapa mertua pula dapat ilmu dari sumber mana?

MIMPI
Bagaimana pula orang yang mendakwa dia mendapat ilmu melalui mimpi?
Dalam bab ini sukar hendak dipertikaikan. Mimpi yang kebiasaan orang alami tidaklah tersusun seperti dalam skrip.
Kalau terjaga pun tidak mungkin dia ingat butir mimpi sehingga berjela-jela. Ini berbeza dengan bagaimana ketika Rasulullah sallallahu alaihi wassalam menceritakan mimpinya kepada para sahabat.
Ilmu dari mimpi, ada yang mendakwa dapat ilmu setelah mimpikan datuk yang sudah meninggal dunia.
Ada pula yang mendakwa boleh mengharapkan datangnya mimpi untuk mendapatkan ilmu.
Caranya kena mandi limau, dan kemudian bakar kemenyan dan berdoa memohon agar dikurniai ilmu melalui mimpi.
Dari mimpi itulah dia diajari kaedah merawat, diajar bacaannya, nama ubatnya dan sebagainya. Mimpi ini bukan mimpi semulajadi tetapi mimpi yang ditarik agar boleh bermimpi pada malam itu juga. Ritual mandi dan kemenyan tadi adalah bukti bahawa ada semacam ilmu untuk menghadirkan mimpi yang mendatangkan ilmu.
Mendapat ilmu melalui mimpi adalah cerita yang paling lumrah. Orang mula syak, adakah mimpi itu berterusan sehingga ilmu dipelajari sampai tamat, atau mimpi secara berturut-turut? Orang juga hairan bagaimana dalam mimpi boleh ingat ayat-ayat al-Qur'an yang dinyatakan. Adakah dia diminta menghafazkan ayat itu sehingga dia ingat betul. Kepandaian mendapat ilmu dan hafalan ayat seperti dakwaan kebanyakan orang pengamal ilmu mungkin perlu huraian lebih detail.
Seseorang itu tidak akan mimpi untuk mendapat ilmu tertentu kalau latar belakangnya tidak ada kaitan dengan sesuatu ilmuan. Biasanya mereka mimpikan ayah, ibu, datuk, atau Mbah yang memang mengamalkan sesuatu ilmu bercorak kebatinan atau ilmu kepawangan/perdukunan.
Itulah sanad ilmu yang mereka peroleh. Ilmu begini kalau diajarkan kepada orang lain, ia akan berterusan dari generasi ke generasi kemudian. Akhirnya sanad ilmu sudah tidak diketahui lagi. []

No comments:

Post a Comment