Ilmu ini pelik sedikit namanya.
Kalau ikut istilah yang sebenar, mereka sebut sebagai Monyet Melet, saya ubah untuk memudahkan kefahaman semua.
Ilmu ini memang tak pernah orang Malaysia tahu. Tetapi di seberang sana, ia sudah jadi asam garam kehidupan bagi yang berkehendak untuk mendapatkannya.
Untuk belajar ilmu ini kena carilah orang yang ada ijazah Ilmu Monyet Menjilat Bibir ini, siap ada segulung ijazah yang ditandatangani oleh Sang Guru dengan darah merahnya, dan darah merah sang murid sekali.
Itu barulah lulus dan boleh digunakan untuk tujuan duniawi.
Ilmu ini bukan sebarangan ilmu, ia menjadi tuntutan orang yang sudah terjelepuk di bidang ekonomi. Misalnya, seorang wanita empat anak, dia sudahlah kematian suami, ibunya pula sakit jantung, kerja tak ada, jadi apa nak buat?
Mujur ada duit sedikit sebagai sangon untuk berpetualangan mencari guru sejati.
GURU SEJATI
Kebetulan guru sejati itu adalah jiran sekampung yang memang kenal sangatlah.
Dicarinya sampai jumpa. Guru sejati ini seorang lelaki berumur, dia tak kahwin, sebab sejak duduk kampung pun orang anggap orang ini jenis pondan, tak suka perempuan, tak kahwin.
Dengan keberanian, seorang janda mencari tempat tinggal guru sejati itu dalam hutan rimba dekat danau.
Dia sudah kenal dengan lelaki berumur itu.
Dulu dia pernah kata, kalau nak kaya, jumpalah dia. Dia tinggal dalam hutan.
Dia buat rumah bertiang tinggi di tengah hutan, berdinding kayu yang disusun rapi dan beratapkan daun nipah anyaman.
Di tengah hutan itu dia hanya bergantung kepada makanan seadanya.
Jangan harap nak makan pelik-pelik macam orang bandar. Kalau nak ikan, dia pergi menjaring di tasik atau memancing.
Kalau nak dapatkan beras, dia kutip padi huma atau padi liar. Nak masak guna kayu api yang banyak di kawasan hutan. Nak lampu waktu malam dia gunakan minyak jarak.
Dia lelaki pelik. Tetapi dia boleh memahami bahasa haiwan hutan.
Dia berkawan dengan monyet. Kalau dia nak makan buah-buahan hutan, dia hanya memberi isyarat supaya para monyet itu datang ke rumah.
Dia pun beritahu ketua monyet agar masuk ke hutan.
"Tolong carikan aku durian baik punya, kalau ada rambutan dan duku bawak sekali," itulah cara dia memerintah para monyet.
Maka monyet itu pun masuk ke hutan semula, mencari buah-buahan yang disuruh oleh lelaki pelik itu.
Monyet itu akan datang sejam kemudian. Dia datang bawa durian, rambutan dan duku yang dipesan.
ILMU MONYET
Itulah kelebihan Pak Guru sakti ini.
Janda tadi setelah jumpa Pak Guru terus menyatakan hasratnya untuk belajar ilmu sakti, ilmu monyet menjilat bibir.
Apakah wanita itu sanggup melakukan ritual tertentu?
Sudah tentu ia disanggupi. Dia sudah terdesak, masuk hutan dan duduk "berkhalwat" dengan Pak Guru pun sanggup.
Kalau berlaku di tempat lain, wanita ini sudah ditangkap atas dakwaan bersekedudukan. Silap-silap dia dituduh amal ajaran sesat. Ajaran Monyet namanya. Tapi dia nak berguru. Terpaksa.
Dia diajari mantera sekali. Mantera mudah. Dia juga diminta berpuasa dan melakukan pertapaan cara Kejawen.
Tapa puasa tujuh hari tujuh malam, kemudian kena buat puasa ngebleng, patigeni dan tapa menyelam [kungkum] dalam air tasik -- kena menyelam tujuh minit tahan nafas. Keluar masuk air selama tujuh hari tujuh malam. Semua ritual ini ada bimbingan Pak Guru [Misnon Jamil, Mistik dalam Kepelbagaian di Nusantara, 2012]
Ngebleng maksudnya tak boleh makan dan minum, tak boleh keluar rumah dan melakukan hubungan seks. Kena kurangkan tidur, duduk di rumah 24 jam [bergelap] yang boleh untuk urusan tandas sahaja.
Patigeni pula maksudnya sama dengan ngebleng, tak boleh keluar dari tempat pertapaan, tak boleh tidur, kena berjaga, boleh pati geni 24 jam, 3 hari atau 7 hari [buang air dalam tempat khas untuk ritual].
Contoh niat patigeni:
"Niat ingsun pati geni,
amateni hawa panas,
ing badan ingsun,
amateni genine napsu,
angkara murka kerana Allah Taala." [ibid]
BIMBINGAN
Jadi tak perlu risaulah ada buaya atau ular sawa datang, sebab Pak Guru boleh kawal gangguan ini dalam air.
Janda dalam cerita ini memang orang yang berani. Kalau orang lain tak sanggup!
Siapa sanggup masuk hutan seorang diri semata-mata nak jumpa Pak Guru?
Dia sebenarnya pernah tarik duit Amerika di suatu tempat yang ada kaitan dengan kepercayaan mistik di pantai Pangandaran.
Tarik duit itu gagal, duit yang jadi tagan untuk tarik duit lebur begitu sahaja.
Jadi, dia tak mahu gagal macam dulu.
Kali ini dia kena tekun menjalani puasa dan tapa patigeni semua.
Setelah lulus, "ijazah"nya ditandai dengan darah dari jari masing-masing, baik Pak Guru dan pelajarnya. "Kamu sudah lulus, dan aku berikan kamu seekor monyet untuk dibawa pulang. Monyet ini akan membantumu mendapatkan wang," kata Pak Guru.
BAWA MONYET
Wanita ini tinggalkan pondok pengajian ilmu monyet pada waktu malam.
Bayangkan, siapa sanggup redah hutan waktu malam?
Dia redah hutan setelah tamat pengajian, sebab memang pantang keluar dari rumah Pak Guru pada waktu siang.
Malam adalah saat yang paling sesuai.
Dia pun meredah hutan sejauh belasan kilometer untuk sampai ke jalan.
Dia kena naik bas berhenti-henti kalau ada.
Lebih kurang dalam pukul 9.00 malam dia berada di tepi jalan menahan kenderaan untuk menuju ke sebuah bandar lain.
Peliknya dia membawa seekor monyet. Tidak ada siapa melihat monyet itu kerana ia adalah monyet peliharaan jin persugihan.
Untuk sampai ke kampung halaman dia kena tunggu keesokan siangnya. Naik bas dan turun bas, kemudian naik feri menyeberang laut. Sampai ke pelabuhan.
Dari itu dia kena naik bas lagi untuk balik ke kampung halamannya.
Pagi, ketika semua bank telah beroperasi, monyet yang digendong sudah bagi isyarat.
Dia nak mulakan tugas. Monyet itu mengajak dia pergi ke bank.
Dia pun pergi ke depan bank. Dia tak masuk bank. Cukup berdiri menunggu di luar. Monyet sudah masuk bank.
Kemudian tak lama si monyet itu keluar dan menyerahkan ikatan duit kertas kepada wanita itu.
"Wah, lumayan nampaknya," kata wanita itu sebaik menerima serahan pertama.
Dengan wang itu dia sedekahkan kepada orang yang meminta-minta.
Dia sedekahkan kepada orang yang gelandangan.
Dia dapat duit dari mana? Dia dapat duit dari monyet belaan yang diperoleh daripada ilmu monyet menjilat bibir tadi.
ETIKA ILMU
Bagaimana kalau monyet itu terserempak dengan monyet lain yang juga amal ilmu yang sama?
Mengikut etika ilmu, mereka saling hormat menghormati, tak boleh ganggu orang lain. Biar dia bekerja seperti mana yang telah dipersetujui.
Jadi, orang yang ada ilmu kena simpan ilmu itu tak boleh jadikan ia barang rebutan.
Ini etika ada ilmu,. Kalau nak bergaduh juga, ilmu itu akan musnah dengan sendirinya. Ini juga pantang ilmu monyet menjilat bibir.
Apa punca wanita tadi belajar ilmu karut monyet jilat bibir?
Semua ini kerana dia terdesak nak duit untuk menampung kos perubatan ibunya.
Bayangkan, dengan berkat ilmu itu dia kata, dia boleh hantar ibunya ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura, untuk pembedahan jantung.
Dia buatkan pasport untuk anak-anak dan ibunya sekali bagi tujuan itu.
Setelah sembuh dia ajak anak-anak dan ibunya sekali pergi ke Amerika Syarikat.
Duit dari mana? Ya, dari ilmu monyet jilat bibir tadi.
Dia tinggal di Baltimore dekat Manhattan. Anak-anaknya bersekolah di Amerika Syarikat.
Bayangkan, kalau bukan ilmu monyet menjilat ini, bolehkah dia tinggal di negeri Paman Sam?
Bagaimana dengan monyet?
Oh, monyet itu berstatus internasional. Dia boleh beroperasi di negeri orang putih.
Di sana dia lagi hebat, boleh masuk bank-bank besar kepunyaan Yahudi.
Duit rasuah, duit yang digelapkan, duit haram yang disonglap dari negeri miskin dan membangun.
Kebetulan kita pun tahu ada cerita wang haram mengalir ke luar negeri sampai ratusan billion!
Bayangkan, monyet ini tentu mengutip wang dari simpanan yang tak betul ini.
Dengar ceritanya, wanita ini sudah hidup dengan penuh gaya di Amerika Syarikat.
Monyet mistik yang dibawa dari Nusantara boleh menyesuaikan diri di peringkat antarabangsa.
Dari Amerika, monyet itu menjalankan operasi ke Eropah pula.
Dahsyat!
Dia pergi Belanda, pergi Jerman, Itali, Sepayol dan Greece.
Monyet ilmuan dari Nusantara pun mampu menjarah duit haram yang disimpan di bank-bank luar negeri. Sudah tentu dia pun dapat menarik wang dari Switzerland tempat orang kaya menyorokkan duit yang disonglap.
KAYA RAYA
Wanita empat beranak ini sudah kaya raya. Semua ini berkat monyet tadi.
Dan disebabkan dia teringat kepada Pak Guru, dia pun ingin balik kampung. Dia belilah ole-ole dari Amerika.
Pak Guru mana ada selimut cantik. Dibelikan kasut kulit mahal biar dia bergaya dalam hutan.
Dibelikan itu dan ini. Sesampai ke hutan itu, sayang sekali, rumah Pak Guru sudah lama terbiar.
Tidak ada tanda-tanda rumah itu berpenghuni.
Maka kecewalah dia hendak menggembirakan Pak Guru.
Dia teringat kata-kata Pak Guru.
Sebagai orang yang mempunyai ilmu dan mengajarkan ilmu kepada orang lain, dia tak boleh tamak kepada harta. Itu sahaja ajarannya. Dia kena hidup seadanya. Tak boleh longgok harta, buka akaun bank simpan sampai juta-juta. Tak boleh.
Itulah syarat ketat Pak Guru. Kalau dia langgar perjanjian, Pak Guru akan terkena sakit misteri dan lama kelamaan dia akan menemui ajalnya.
Ketika dia menjenguk rumah buruk di tengah hutan itulah, monyet yang sudah berjasa di Amerika dan Eropah itu melepaskan diri ke dalam hutan. Bertemu dengan leluhurnya.
ILMU TAMAT TEMPOH
Sejak itu, wanita itu tidak amalkan lagi ilmu persugihan monyet jilat bibir.
Kemudian ketika di kampung, wanita itu bermimpi mengatakan bahawa Pak Guru sudah mukswa atau mukso -- maksudnya Pak Guru sudah ghaib ke dalam dunia yang disepakatinya dengan pemberi ilmu sebenar. Dia dikatakan tidak mati, tetapi telah meninggakan dunia ini buat selama-lamanya. Ini kepercayaan mereka. Kita tentu tidak sampai ke tahap ini.
Mengikut catatan penulis, moksa maksudnya tingkatan hidup yang lepas dari ikatan keduniaan, kelepasan kenirwanaan [Hikayat Pandawa Lima, 1992: 285, glosari].
Tidak lama di kampung, dia pun balik semula ke Amerika Syarikat.
Dia lebih selesa di sana. Di Amerika sekarang dia hidup senang lenang. Anak-anaknya semua belajar di Amerika dan berpendidikan cara Amerika. Cerita dia masuk hutan dapatkan ilmu kerana terdesak hanya dalam tahun 2001 yang lampau.
ILMU LAIN
Berdasarkan paparan tadi, nampaknya ada beberapa ilmu yang digunakan untuk menjarah duit dari dana ghaib.
[1]. ilmu kain kafan - dengan guna kain kafan konon boleh masuk rumah orang tanpa dilihat manusia.
[2]. ilmu kundu sumai - dengan menggunakan selendang kepunyaan puntianak, konon ada beberapa orang gunakan kain ini menjarah duit di luar negeri, mereka semua kaya raya, mereka tidak gunakan benda mistik untuk buat kejahatan dalam negeri sendiri.
[3]. ilmu monyet jilat bibir - seperti yang dipaparkan kali ini.
Semua ilmu yang diceritakan ini berdasarkan cerita orang. Kebenarannya belum dibuktikan lagi. Begitu juga cerita monyet tadi. Tetapi kalau dia boleh sebut Hospital Mount Elizabeth di Singapura, dan kemudian Manhattan di Amerika Syarikat, ia sudah menjadi cerita nyata. Wallahu a'lam. [disari dari berbagai sumber termasuk Misteri, Majalah Investigasi Supranatural]. []
No comments:
Post a Comment