Sunday, 27 January 2013

BUDAK-BUDAK SYAITAN MAKIN BERTAMBAH

CERITA orang mencari duit di alam mistik yang popular dengan sebutan persugihan, banyak yang tak masuk akal. Sebagai bahan cerita, ia memang menarik kerana luar biasa, bahkan tidak dapat dibayangkan bagaimana ia boleh terjadi begitu.
Contoh, sesiapa yang ingin mendapatkan kepingan emas dari sisik ular, maka beramallah dengan ilmu sesat persugihan Nyi Blorong [di Chow Kit dulu (1980-an), ada orang guna nama samaran Blorong!]
Cerita yang tidak masuk akal banyak mengakali orang yang sehat untuk menjadi sakit mental. Betapa tidak, dengan mengamalkan ilmu persugihan Nyo Blorong, orang itu akan hidup mewah. Kalau sudah mewah dan banyak wang, orang akan hormat, lagi-lagi kalau rumahnya terasing di pinggir bukit.
Banyaklah kawannya. Mana ada orang nak berkawan dengan orang miskin yang tak ada apa-apa langsung. Berkawan dengan orang kaya boleh tumpang megah ketika berada di sisinya.
Rakan penulis di Jawa mengatakan, jangan ada sesiapa tak percaya ada persugihan begini. Sesiapa yang mengamalkan ilmu ini dia perlu buat sajian setiap tahun. Kalau umpamanya perjanjian kesetiaan itu diucapkan pada awal tahun, maka pada awal tahun depan dia kena siap-siap buat sajian.
Sajian untuk Blorong tidak perlukan nasi briyani Arab Hadramaut. Kata sumber dari Jawa itu untuk menyajikan Si Blorong itu, cukup sekadar dua sikat pisang raja; buah pinang; bunga-bungaan berbagai jenis; makanan tradisional, kuih muih 7 jenis; buah-buahan 7 jenis dan jangan lupa kemenyan untuk wangian dan madu asli.
Dari mana boleh tahu Blorong mahukan sajian itu? Sudah tentulah dari mulut orang pintar yang jadi perantara untuk seseorang yang ingin "melamar" perempuan jin bernama Blorong.
Kenapa sanggup buat begitu? Ingin jadi kaya dan dihormati kawan. Ingin mencuba, betul atau rekaan sahaja cerita Blorong itu!
Atau hatinya sudah bulat, pedulilah dengan nasihat orang lain.
"Asalkan aku bahagia!"
Maka setelah mendengar cerita amanat dari orang pintar perantara, seseorang yang nekad akan menyanggupi untuk ikat janji setia. Jangan ditarik semula, ini bukan perjanjian main-main dan boleh dibatalkan. Ini perjanjian dengan jin perempuan.
Jin perempuan ini sangat tegas, tak mahu ada "jantan" main-main atau cuba memperdaya. Siap engkau!
Begitu juga amaran orang pintar, "Ingat! Ilmu ini memang memberikan kekayaan kepadamu di dunia, tetapi engkau kerugian di akhir kehidupan."
Oleh sebab orang itu sanggup menghadapi apa sahaja, maka lantaklah. Orang itu pun diajari mantera yang perlu dibacakan.
Orang pintar menuliskan versi mantera yang perlu dibacakan:
Ingsun mbuka kasugihanku Nyi Blorong,
Sang Ratu kang mbuko plawangan gedhongku,
mas picis rojobrono,
puji-puji sembah puji skulo abdi kang caos sesaji,
milo nyuwun panjenengan [Nyi Blorong] dugi mbeto rejeki...
Akan tetapi, untuk memasuki dunia gila ini, beberapa ritual kena dikerjakan dulu. Ia bukan mudah bagi orang yang menjaga agamanya, tetapi enteng kalau memang telah menjadi anutan sejati.
Dia kena buat ritual mbucal badan -- berpuasa dan semedi di pantai laut selatan selama tujuh hari tujuh malam.
Konon pada masa inilah Jin Blorong akan datang dan menyatakan kesediaannya untuk menjadi "sahabat setia" dengan syarat-syarat tertentu pula.
Kemudian sebagai tanda jadi, orang itu akan bermimpi Jin Blorong menandakan MOU dipersetujui, langsung kena buat pelarungan sajian. Maksudnya, benda-benda sajian yang telah disebutkan tadi dihumbangkan ke laut. Dan sudah tentu kalau tak mahir, perantara si pintar tadi akan melakukan bagi pihak si penakut atau kalau berani, buat sendiri dengan dipantau oleh perantara [maklum tugas perantara bukan percuma, ada imbalannya nanti kalau sudah kaya raya].
Jin Blorong ini menurut kisah adalah perempuan jin yang cantik muncul ketika bulan mengambang penuh. Dia akan menemui orang yang sudah mengikat janji [sehidup semati].
Bayangkan, selain orang itu, ada ramai lagi orang kepepet yang mengamalkan persugihan Nyi Blorong ini. Jadi, bolehkah Jin Blorong ini mendatangi semua orang? Maksudnya, Blorong akan menemani orang itu tidur, mengadakan hubungan intim [menurut cerita Blorong adalah jin perempuan yang kuat seks, hubungan intim antara pengamal ilmu dengan jin ini akan membuatkan usia jin berpanjangan, kecantikannya mantap!]
Bukan tidak ada kata rakan dari Jawa, orang berkawan dengan Blorong semata-mata untuk memuaskan syahwat.
Tetapi apakah tidak takut, perempuan jin yang datang itu sebenarnya adalah dewi ular, di depan pasangannya dia menyamar jadi wanita cantik dengan wangi-wangian, hakikat sebenarnya di dunia misteri dia adalah seekor ular, itulah Nyi Blorong.
Ular itu datang dan kemudian bertukar menjadi wanita cantik, menemani pengamal ilmu tidur, boleh berbual-bual dan mengadakan hubungan badan. Sebagai balasan, wanita cantik itu akan meninggalkan "sisik"nya berupa kepingan emas!
Tidak dapat dibayangkan kalau seseorang itu pergi ke kedai emas sambil membawa uncang berisi kepingan emas iaitu sisik ular Blorong tadi.
"Dari mana kamu dapat emas ni bang?" kalau pembeli emas itu tanya begitu, apa nak jawab?
"Boleh tak jangan tanya? Ini bukan hasil rompak atau samun tau!"
Jadi, khabarnya, pengamal ilmu ini sentiasa mempunyai kepingan emas, kepingan sisik ular besar yang ditinggalkan di atas katil.
Pagi sebelum subuh perempuan misteri itu menghilang. Dia pulang ke sarangnya di kawasan laut atau tepi laut.
Bagaimana akhir hidup orang yang amal ilmu ini?
Hidup pun tak berguna. Bolehkah tarik balik?
Ada yang kata boleh, tetapi kena ritual yang lagi hebat dan siaplah pedih telinga kena maki hamun sebab langgar perjanjian.
Ada yang kata, siapa langgar perjanjian, dia akan didatangi ular misteri, itulah suruhan Blorong. Ia mematuk dan akhirnya membawa maut.
Setelah kematian, cerita tidak habis begitu sahaja, konon "simati" akan dilarikan ke dunia mereka, dunia perhambaan, dia jadi budak syaitan. Di alam syaitan itu, ramai manusia yang telah diheret ke sana dijadikan hamba abdi Ratu Ular.
Kisah begini sebenarnya menggambarkan kepercayaan inkarnasi dalam dunia kekarutan.
Manusia yang sudah mati, hidup semula di alam lain alam kejinan, dia menjadi hamba syaitan. Inilah sebab utama mengapa orang pintar selalu nasihatkan orang, "Bahawa ilmu ini merugikan!"
"Bukankah kita boleh menikmati kepuasan batin dan diberi limpahan emas?"
"Betul! Tetapi kamu kena melayani kehendak dia sepanjang hayat."
"Habis apa yang rugi?"
"Kamu kehilangan aqidah! Tercemar dengan keyakinan inkarnasi. Tahu apa itu inkarnasi? Iaitu proses kitar ulang atau siklus kematian dan kehidupan semula manusia. Masuknya jiwa ke dalam tubuh yang baru atau orang sebut kelahiran semula. ini keyakinan yang ada di luar ajaran islam!"
"Kalau begitu saya jadi ngeri!"
"Kalau ngeri, tak payahlah belajar ilmu mengarut ini."
Kata rakan tadi lagi, dengan pengamalan ilmu karut ini bertambahlah budak-budak syaitan di alam sana. Sejauh ini pengamal ilmu ular ini merahsiakan amalan hidupnya. Lagipun pengamal ilmu seperti ini memberi gambaran betapa rendahnya moral dan sisi pandang terhadap kehidupan yang hakiki.
Cerita Blorong ini juga saya peroleh dari seorang paranormal yang pernah melarung sajian untuk seseorang. Semoga dia tidak meneruskan profesi ini. Wallahu a'lam bishowab. []



No comments:

Post a Comment