Tuesday, 29 January 2013

MEGAHNYA DAPAT JUMPA "DATUK SERI JIN"

Entah kenapa ramai orang ingin berkawan dengan jin. Cerita tentang jin sangat digemari. Cerita BERCAKAP DENGAN JIN sampai bersiri-siri dimuatkan dalam sebuah majalah. Banyak penerbit buku menerbitkan buku cerita tentang bercakap, berdialog, berbual, bersahabat, berkahwin dan berkhalwat dengan jin.
Maknanya, cerita hantu masih laku sampai 2013 pun!
Dengan sebab itu kalau ada orang bercakap tentang perkara mistik hantu, memang ada kelompok penggemarnya. Buku tentang ruqyah syar'iyyah pun mendapat pasaran yang merata. Bukan orang nak jadi mualij semuanya, tetapi sekadar nak tahu. Kaedah perubatan cara Islam bagaimana? Sebab selama ini kita asyik dengan kaedah perubahan secara paganisme -- kita ikut apa yang tuk nenek kita buat dulu.
Kemudian dalam zaman kecanggihan sekarang, orang masih suka berguru untuk mempelajari berbagai kaedah bagi memasuki dunia jin.
Alangkah seronoknya kalau dapat memasuki alam jin, berkelana di alam sana, bertemu makhluk jin, lebih-lebih lagi jin jenis baik atau putih. Jin ini boleh dijadikan kawan, boleh dijadikan saudara kalau betul mereka pun Islam. Jin hanya ada dua kelompok, Islam dan bukan Islam. Yang bukan Islam tentulah lebih banyak.
Disebabkan keasyikan meneroka dunia jin yang tidak dapat dilihat dengan mata nyata, maka dunia jin adalah dunia yang masih UMUM. Setiap orang mempunya tafsiran ganda tentang jin. Ada berbagai kaedah digunakan manusia untuk meneroka dunia jin.
Jin berada di alamnya, alam yang ghaib. Lebih baik alam jin itu berterusan begitu, kalau jin pun sudah berada di alam nyata, sudah manusiawi, dapat disentuh, dapat diajak itu dan ini, maka ia sudah menjadi makhluk lain, kerana yang dikatakan jin itu adalah makhluk yang kasat mata.
Oleh sebab dunia makhluk jin ini penuh dengan kemisterian, maka seseorang tidak boleh menidakkan pengalaman mistik orang lain. Biarlah orang itu hendak berkisah tentang jin yang ditemui malam semalam, atau jin khadam yang boleh menolong dia buat itu dan ini.
Orang sanggup mempelajari astral projection untuk memasuki dunia mereka. Itulah yang selalu orang sebut sebagai meraga sukma. Duduk bersila dalam bilik di depan lampu lilin, kemudian boleh menerawang, seakan-akan terbang macam burung lalu pergilah menjelajahi malam ke mana-mana.
Kalau ada ada kawan yang suka "terbang malam" ketika meraga sukma, tentu macam-macam cerita karut yang dia ceritakan kepada anda.
Tentu dia akan cerita, bahawa semalam dia pergi ke kawasan hutan tebal, melihat sana-sini, nampak ada pesta keramaian dan sempat berjumpa Datuk Seri Jin. Mereka ada festival yang sangat meriah, festival yang tidak dilaporkan dalam media kita, sebab hanya saluran televisyen milik jin sahaja yang siarkan.
Meraga sukma adalah salah satu kaedah mengetahui selok belok jin.
Ada orang yang berguru semata-mata nak mendalami kaedah menditeksi benda-benda berharga dalam tanah, atau memburu pusaka.
Ada yang belajar kaedah memujuk, berbincang dan berkongsi  pencarian dengan jin yang dipanggil khadam.
Hakikat sebenarnya, daripada dunia yang cukup luas ini, kita hanya mengetahui setitik sahaja maklumat tentang jin ini. Itupun melalui perkhabaran di dalam al-Qur'an dan al-Hadis. Berpunca dari dua sumber inilah kemudian melarat-larat diperkembangkan hinggalah sekarang.
Suber maklumat yang asas itu hanya menjadi rujukan. Dan kemudian maklumat diperoleh daripada sumber orang perseorangan, orang pintar, orang bodoh, orang pemutar, dan macam-macam lagi profesi umat yang wujud berkaitan dengan dunia jin.
Kalau ibarat sebuah rumah, kita hanya mampu mengetuk pintu rumah jin. Pintu dibuka, dapat berkomunikasi dengan mereka tetapi setakat itu sahaja. Kita tidak mampu lagi menerobos sampai ke ruang dalam di rumah jin itu.
Kalau kita meneroka alam jin di hutan, hanya menemui pintu gerbangnya yang suram. Kita tidak dapat mengetahui bagaimana bentuk negerinya yang dikatakan permai itu.
Begitu juga kalau ada orang cerita bahawa di dalam laut juga ada jin yang berkuasa. Sudah lama manusia berusaha untuk mengetahui hal-ehwal dunia jin dalam laut. Seperti isu tadi juga, kita hanya dapat menyentuh permukaan airnya sahaja.
Memanglah, selama ini kita mendengar seseorang berkisah tentang pengalaman mistiknya memasuki dunia jin. Ia hanya setakat luaran sahaja. Kita belum memasuki wilayah yang lebih luas. Disebabkan itu semua orang boleh membuat tafsiran sendiri. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment