KULIAH subuh hari ini macam biasa. Yang hadir muka-muka itu juga. Tidak bertambah dan berkurang.
Wacana kali ini adalah tentang dosa, tetapi ustaz lebih tumpu kepada perkara dosa kecil. Jadi kita jangan meremehkan dosa kecil. Dosa besar apa lagilah!
Kita diingatkan bahawa sekiranya kita ada dosa dengan Allah subhanahu wa Taala, itu mudah untuk mendapatkan pengampunan. Bagaimana pula kalau dosa sesama kita?
Bolehkah kita minta maaf seperti adat kebiasaan kita menyambut Hari Raya? Cukup sekadar mengucapkan "Mat, aku mintak maaf atas silap salah aku pada kamu ya?"
Di kalangan umat, kata ustaz, bukan tidak ada kes mengharukan, terutama terhadap jiran-jiran.
Contohnya, perlakuan zina dengan jiran sebelah rumah.
Bagaimana boleh terjadi?
Ketika suami seseorang keluar bekerja, apa lagi kalau kerjanya sampai 12 jam [hanya contoh sahaja, dan tidak menujukan kepada sesiapa], peluang inilah yang digunakan oleh seseorang penzina untuk menggoda isteri jirannya [kebetulan memang perangai macam artis K-Pop].
Seseorang yang biasa berzina di mana-mana sektor persundalan di pinggir bandar atau dalam bandar, hatta hotel sepuluh bintang pun, maka kebiasaan itu akan terbawa-bawa hingga kepada jiran.
Katakanlah, orang ini telah melakukan perbuatan keji itu dengan isteri jirannya yang sentiasa menggoda di depan pintu, maka syaitan dan bapak iblis pun terus menghasut.
Lagipun puak durjana ini sudah melepaskan geram di depan Allah subhanahu wa Taala hendak menghasut dan mendatangi umat dari berbagai penjuru, tak dapat kanan, pergi kiri, tak dapat kiri pergi depan, tak dapat depan ikut belakang pula.
Begitulah, akhirnya SiFulan ini kecundang juga oleh pujukan manis syaitan dan iblis. Tentera iblis setiap hari buat perang gerila. Siapa lepa habis kena sergap. Ini serang hendap namanya.
Jadi, SiFulan yang sudah merasai hidangan haram di rumah jirannya akan mengulangi untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya hingga berkali-kali.
Di luar rumah, bukan main lagi kawan ni. Dia siap belanja jiran sebelah rumahnya dengan makan sedap-sedap. Dia tidak tahu, rupanya ada hubungan misteri di antara Fulan ini dengan isteri SiFulan.
Ustaz yang beri tazkirah bertanya, "Sanggupkah sesiapa yang pernah merogol isteri jirannya minta maaf dan berkata benar?"
Sudah tentu tak sanggup. Akan berlaku fitnah yang lebih besar lagi sesudahnya. Perang sesama jiran tentu lebih bahaya lagi.
Kalau berlaku kes nista begini bagaimana nak buat? Cukupkah jumpa SiFulan waktu Hari Raya dan minta maaf sekadarnya. Minum dan makan seadanya, dan bagi salam sebelum beredar. Sedangkan di hatinya terbuku sesuatu yang hendak diucapkan: "Fulan, aku nak minta maaf pada kamu, sebab selama kamu pergi kerja aku pernah rogol isteri kamu sebanyak 28 kali. Aku mintak maaf!"
Tidak ada orang yang berani menghadapi kenyataan.
Inilah antara lontaran soalan yang diajukan oleh pentazkirah pagi ini. Meski dengan nada gurauan, ia sebenarnya sangat membekas dalam kehidupan seharian umat. Umat mana yang tidak melakukan kenistaan di muka bumi ini meskipun tidak sampai sedahsyat cerita yang ustaz contohkan tadi.
Maksudnya, kalau minta maaf kepada seseorang, kena nyatakan apa yang perlu dimaafkan.
Misalnya, pekerja mengambil harta majikannya. Ini cukup leluasa, di pejabat biasa orang melakukannya meskipun hanya beberapa helai kertas, setem atau sampul surat.
Begitu mereka yang bekerja sebagai jurujual, mereka yang menjaga stor menerima barang keluar masuk, akan ada barang yang terlebih kuantiti yang terpaksa ditolak tepi. Itulah yang diambilnya.
Atau pemandu lori kontena yang kerap jual minyak dalam tangki. Atau punggah barang untuk kepentingan diri sendiri.
Sama juga konduktor bas ambil duit tak serah tiket. Maklum tak ada siapa nak cek tiket. Banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan isu rogol jiran tadi.
Begitu juga orang nak jual kereta, walaupun semua telah dipersetujui, kita kena jujur beritahu pembeli apa masalah kereta kita. Kemek, pernah kemalangan atau masalah lain lagi. Kena cerita. Bahkan orang lebih suka mendengar kejujuran.
JUAL IKAN
Di pasar jual ikan pula, ikan busuk dilonggokkan di tengah, ikan baru di atasnya. Apabila orang nak beli sekilo dikaut semua sekali dan terus timbang sekilo. Niatnya nak habis ikan busuk itu. Setiap enam ekor ikan fresh, ada tiga atau empat ekor ikan busuk [biasanya penjual ikan lebih tahu daripada pembeli yang takut nak sentuh ikan sebab jijik atau hamis].
Begitu juga dalam bab buah-buahan. Hari ini harga RM5 sekilo. Apabila tak berapa jalan, esok jatuh harga lagi, hingga ke tahap RM5 tiga kilo. Kena beritahu pelanggan bukan hendak sorokkan buah buruk di tengahnya dan terus ditimbang mengikut kehendak pembeli.
Elok berniaga macam di Pasar Karat atau Petaling Street Kuala Lumpur [tak jauh dari Stadium Merdeka pun masa perhimpunan PR]. Mereka boleh jual jam yang sudah mati. Terus terang, jam ini tak ada bateri. Boleh baiki tak? Tak tahu lagi.
Jangan pula kata begini: "Ha ini barang kapal bang, rampasan Kastam, harga kedai ratusan ringgit, harga kita RM30, jam buatan Jepun!"
TIPU
Jadi, sesiapa yang pernah menipu pelanggan kalau masih ingat, kena jumpa dan bagi tahu. Tentulah susah. Macam "dukun pintar" tepi jalan juga, semuanya pandai berlakon. Sanggupkah menemui orang yang telah ditipu dulu?
Bukan soal songlap harta benda, menipu dan sebagainya, dalam bab memukul orang tak tentu fasal, menyiku muka orang hingga cermin mata herot, bagaimana sebagai pegawai yang bertugas anda hendak minta maaf kepada orang yang pernah disakiti?
Kalau masih boleh cam dan jumpa setiap hari tak apa, tapi kalau tak tahu di mana mereka berada hari ini?
Maksud ustaz tadi, kalau boleh minta maaf secara langsung dan mengakui kesilapan adalah lebih baik daripada pernyataan maaf secara umum.
"Mat mintak maaf, aku pernah curi lembu kamu sepuluh tahun dulu!" Pemilik lembu pun sudah lupa. Ini macam jenaka bangsawan, tetapi ia adalah kenyataan di dalam kehidupan bermasyarakat. Kata ustaz, kalau buat dosa kepada Allah mudah nak minta ampunan, bagaimana dosa yang kita lakukan sesama manusia? Fikir-fikirkan! Wallahu a'lam bishowab. Hari ini pergi Perkim Jalan Ipoh, ada kuliah. []
No comments:
Post a Comment