Wednesday, 9 January 2013

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT HARI BERSEJARAH

NAMPAK SEPERTI PERKARA BIASA.
Himpunan Kebangkitan Rakyat [HKR] pada tarikh keramat 12.1.2013 adalah suatu proses melakar sejarah. Seperti himpunan Bersih yang telah beberapa siri, ia sudah dicatat sebagai sejarah negara. Meski ia semacam berpihak kepada strategi Pakatan Rakyat yang dianggap pembangkang kepada UBN, pada hakikatnya gerakan anak muda yang menuntut perubahan dilakukan di dalam berbagai perkara adalah sesuatu yang tak boleh dipandang remeh. Dunia sedang memerhatikan kita, sebagaimana pihak PBB juga turut memantau apa perkembangan terbaru di rantau ini.
HKR kalau dilihat dari luaran nampak seperti berjalan mulus, pihak Stadium Merdeka agak lambat memberikan jawapan untuk membenarkan rakyat berhimpun di situ. Kenapa? Bukan sukar hendak membalas surat permohonan itu, hanya terlalu banyak panggilan telefon untuk membuat keputusan. Dengan kata lain, tidak boleh buat keputusan sendiri. Jika keputusan dibuat tanpa rujuk kepada pihak tertentu, maka kecohlah, nanti pihak pengurusan Stadium Merdeka sebulu dengan pembangkang pula. Lulus susah, tak lulus pun susah, banyak sangat analisis panjang di kemudian hari. Alhamdulillah, permohonan telah diluluskan. Dan perhimpunan ini kita harap yang terbaik. Jangan peduli kain pemidang yang Umno gantung di mana-mana. Jangan peduli kenyataan Muhyidin dia kata "Perhimpunan Samsidar." Nampak dia kecewa benar kerana sejak akhir-akhir ini, apa sahaja acara yang PR buat mendapat sambutan rakyat. Itu kenyataan lepas geram namanya.
Hari ini pun, saya lihat sudah ada kenderaan milik polis sibuk di sana-sini. Rasanya, pihak berkenaan tidak perlulah buat persiapan begitu rapi sehingga menimbulkan kerisauan di kalangan orang ramai. Seperti yang lepas-lepas, akan timbul khabar angin yang bukan-bukan mengatakan itu dan ini yang semuanya berkonotasi negatif. Ia memberikan gambaran perhimpunan rakyat yang ditaja pihak Pakatan Rakyat ini membahayakan keamanan. Hakikatnya, perhimpunan berjalan lancar kerana rakyat berkumpul di Kuala Lumpur semata-mata hendak menyatakan sokongan dan dukungan mereka terhadap perjuangan mereka. Hanya pihak yang tidak sebulu sahaja yang memberi gambaran buruk, dikatakan ia "Perhimpunan Samsidar", kenapa begitu sekali? Itu mentaliti Muhyidin. Kemudian ada akhbar yang masih memainkan isu perhimpunan ini dengan menyiarkan pendapat orang-orang yang memang menyokong Umno. Sudah tentu mereka memberi komen yang bukan kepalang hebat, memberi gambaran negatif kepada perhimpunan ini.
Pihak pemerintah kena ingat, mereka pun kerap mengadakan perhimpunan yang mendapat liputan meluas dalam media mereka. Media mereka memaksa rakyat mempercayai laporan dan pemberitaan yang terlalu memprojeksikan imej popular Najib-Rosmah. Sebenarnya sebilangan rakyat sudah muak dengan media yang ada di negara kita, bahkan pemboikotan media itu masih berterusan sampai kini. Membaca akhbar milik pemerintah dianggap tidak penting lagi, begitu juga menonton TV apa sahaja pun.
Betul seperti kata Anwar, kebangkitan rakyat tak boleh disekat, tak boleh dibendung. Jika disekat dan dibendung, penyekat dan pembendung akan roboh juga. Isu yang menyebabkan rakyat sedar sekarang ialah betapa kekayaan negara ini seolah-olah hendak dijadikan milik kalangan elitis dan bangsawan yang ada. Ia hendak dijadikan warisan turun temurun, manakala rakyat hanya diminta taat dan lihat dari jauh. Kalau rakyat diminta pindah kerana tanah nak digunakan untuk projek, rakyat kena patuh, berilah pampasan RM20 ribu pun cukup. Begitulah yang terjadi di kebanyakan tempat. Setelah rakyat diusir, maka tanah itu telah ditukar syarat menjadi berganda harganya. Dari seorang kepada seorang lain ia bertukar tangan, dan sudahnya, rakyat pun tak tahu siapa yang jadi pemilik akhir. Tahu-tahu sebuah syarikat dari luar negeri membangunkan tanah mereka. Maka orang Melayu itu akan mendongak dari jauh melihat bangunan yang hebat itu, ia milik orang lain.
Rasanya kes begini akan berlaku di Kampung Bahru, Kuala Lumpur. Sekarang pun sudah ada bangnan gergasi di Kampung Bahru, ia akan merebak dan terus merebak untuk menjadikan kawasan itu sebagai hutan batu, semua bangunan kena tinggi-tinggi, dan umat Melayu kena faham, melangutlah mereka menyaksikan bangunan yang tinggi itu dari kejauhan sambil menikmati nasi lemak atau roti canai di sebuah gerai di bawah pokok.
Isu utama rakyat berhimpun adalah apa yang telah diperjuangkan dalam Bersih. Rasanya tidak perlu diulang. Kalau diulang pun, pihak yang didesak langsung tidak ambil peduli. Dalam pada pembaikan makin naik undi pos, seolah-olah kita masih berada di zaman 60-an. Makin banyak nama pelik dalam daftar pemilih. Dulu nama orang biasa-biasa sahaja, sekarang nama tempat pun sudah jadi nama orang. Ada orang perempuan namanya KAMPUNG BARU. Kemudian MyKad ada tetapi dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara tidak ada. Untuk pilihan raya nampaknya kita kena gunakan alat scan yang boleh mengesan data lebih cepat. Semua ini memberi gambaran dalam pada bising-bising hendak membaiki sebarang kelemahan akibat dari teguran rakyat, pihak SPR sengaja mencipta ruang baru untuk memuaskan hati tuannya Si UBN.
Cerita kad pengenalan khusus untuk pilihanraya saya sudah tahu lama. Ada kawan beritahu, di bangunan sekian ada beberapa orang yang sedia untuk diupah untuk mengundi. Mereka akan diberi kad pengenalan bagi mengundi di sekian tempat terutama kalau ada pilihan raya kecil. Rupanya cerita kawan ini sudah jadi betul. Lagipun yang cerita ini sekandang dan sebau dengan UBN.
Mungkin dengan sebab ada agenda lain, maka SPR tidak galakkan sangat pihak luar jadi pemantau pilihan raya di masa akan datang. Warga asing diberi hak untuk mengundi ini cerita lama. Saya pernah tinggal di Ampang, dan mendapati ada beberapa warga "Sabah" yang masuk ke sini dan bekerja, guna alamat Ampang dan mengundi di sini, mereka semua adalah orang Bulungan Kalimantan Timur! Inilah kerja mereka sebenarnya.
Sebenarnya ada banyak isu yang berkait dengan kebangkitan rakyat ini. Sikap membisu pihak tertentu yang namanya sering dikaitkan dengan banyak salah laku akan memberi persepsi bahawa ia memang bersalah. Tidak berani bangkit untuk menepis segala tuduhan. Dan orang melihat Dr M tidak habis-habis memberi amaran kepada rakyat bahawa negara ini akan menghadapi masalah kalau memilih Pakatan Rakyat.
Kenapalah begitu dahsyat pemikiran seorang mantan PM yang konon [sebut: kunun] berwawasan-- kata mahu transformasi. Perubahan kerajaan adalah transformasi hebat yang bakal dikenang oleh generasi kita di masa depan.
Kita tak mahu bercakap soal Arab Spring, kerana latar belakang yang ada di sana dengan di negara kita jauh bezanya. Kita gunakan SPRING sendiri, jenis tempatan yang tak ada kaitan dengan kebangkitan yang ada di Timur Tengah sana. Kita guna acuan kita. Dan kita kena ingat, pihak pemerintah sendiri sering bercakap tentang transformasi, maka anak-anak muda yang berhimpun di Stadium Merdeka mahu perubahan ini. Mereka rasa sesak di bawah pentadbiran orang-orang elitis, kembaran, pewaris Menteri Perdana yang silam --- kenapa Malaysia begitu malang hanya memilih anak-anak bekas PM juga untuk jadi PM? Apakah anak nelayan tidak layak, anak petani tidak layak, orang biasa yang bukan elitis tidak layakkah? Atau hanya golongan bangsawan sahaja?
Jika beginilah jadinya, apa nak dibanggakan projek besar di sana-sini, pembelian tanah ratusan ribu ekar oleh tokoh tertentu untuk projek yang hebat-hebat. Sayang ia hanya jadi tukang sedia tanah sahaja, projek orang lain punya. Makan komisyen sahaja. Inilah mentaliti yang pihak pemerintah tanamkan di kalangan pendukung bawahannya.
Anak muda hari ini tidak mahu jawatan PM itu seperti benda warisan. Turun temurun keturunan orang itu juga. Kekayaan menjadi milik mereka hingga berlonggok-longgok. Untuk apa kekayaan yang begitu banyak? Orang pun tertanya-tanya, sedangkan rakyat negara ini banyak yang sengsara untuk meneruskan kehidupan, harga barangan makin naik. Disuruhnya rakyat beli barang di kedai rakyat 1Malaysia, tetapi barang tak cukup. Banyak barang hanya label sahaja yang hebat. Orang malu nak beli tepung ada lambang 1Malaysia! 
Diharap, tidak berlaku kekecohan. Tidak berlaku provokasi dari pihak tertentu yang mendapat dukungan dari Pusat. Sebagaimana perhimpunan yang lepas, provokasi adalah sesuatu yang jelas terjadi. Kajian menunjukkan peserta perhimpunan adalah orang yang berdisiplin, mereka sudah puas menghidu asap yang memedihkan mata [pengalaman saya juga], mereka sudah matang, telah melalui zaman reformasi yang bertalu-talu, mereka sudah puas mandi air semburan kimian, sudah kena belantan, kerja jerkah, sergah, maki, terajang, tendang dan macam-macam kenistaan yang tiada tara --- maka kita harapkan di tahun baru ini, tidak ada insiden yang mencacatkan sejarah negara. Jangan sampai negara lain mengutuk cara kita melayani rakyatnya berhimpun. []

No comments:

Post a Comment