Tuesday, 30 July 2013

MAKAN NASI DENGAN KICAP PAPARAN MEDIA KITA SINDIR SIAPA?

Di bulan Ramadan yang sudah menjejaki fasa akhir, pembaca akbar arus perdana di negara kita masih dijejali dengan kisah kemiskinan rakyat. Kenapa masih ada orang miskin di negara kita sedangkan apa yang kita fahamkan ada agensi yang memburu golongan asnaf seperti di Wilayah Persekutuan KL -- tidak tahulah sejauh mana keberkesanannya. Selalunya ketika ia dirasmikan [agensi pemburu tadi] lahirlah kata-kata indah yang tak terkejar nak menulisnya terutama bagi wartawan muda dan baru belajar melapor.
Dalam bulan yang mulia ini juga kita membaca paparan media ada orang miskin makan nasi berlaukkan kicap. Umpamanya, seorang ibu tunggal enak lima menanggung keperitan di bulan Ramadan ini untuk menyediakan keperluan anak-anak yang tidak tahu apa tentang penderitaan hidup. Disebabkan tidak mampu, beras terpaksa dicatu, lauk kalau boleh ikan yang sudah pecah perut, atau ikan bilis [itupun mahal], ikan masin atau berlaukkan kicap sahaja.
Sebenarnya KICAP bukan lambang kemiskinan. Orang kaya bergelar Datuk pun ada yang makan nasi campur kicap. Untuk menambahkan selera. Tidak tepat untuk mengatakan makan nasi dengan kicap itu lambang kemelaratan. Bahkan ada orang gemar masak kicap. Ikan masak kicap, ayam masak kicap dan macam-macam lagi. Jangan terkejut kalau kita kata, bahawa sebahagian besar lauk pauk dalam hidangan nasi kandar adalah berasaskan kicap belaka. Tak ada kicap, nasi kandar jadi rasa hambar.
Beras paling murah RM2.60 sekilo. Kicap botol sedang berapa harganya? Kalau mereka tidak mampu, nak beli kicap pun susah.
Sejak dahulu KICAP sudah dianggap simbol kemiskinan. Zaman kanak-kanak dahulu siapa pun pernah makan nasi dengan kicap. Ia menambah perisa dalam makanan. Tetapi bagi mengelakkan penggunaan garam berlebihan, kicap elok dikurangkan, seperti juga sos tiram.
Selalunya ketika hendak menghadapi pilihan raya umum, laporan media tentang kemiskinan penduduk di sesebuah kampung terpencil lebih beruntung kerana akan ada rombongan masuk kampung menghantar bantuan. Ketika bantuan diberi, muncullah watak-watak penyelamat untuk mempamerkan wajahnya dalam media, dengan beras 5 kg pun mereka sanggup pamer wajah, apalagi dengan biskut kering dalam tin.
Inilah cara hidup kita. Kita gemar publisiti. Nak serahkan duit tak berapa ringgit pun kita mahu hebahkan satu dunia. Adakah dengan penghantaran beras dan barang keperluan dapur itu akan dapat mengatasi masalah mereka?
Sudah tentu tidak. Menjelang nak hari raya, ketupat dan rendang pun mereka tidak mampu nak buat. Harga ayam tak terkawal, harga daging pun begitu juga. Bagi yang mereka katakan sudah makan nasi lauk kicap, mana mungkin mereka hendak menyediakan rendang di pagi raya? Bagi mereka yang ada kelebihan, apa salahnya ajak orang begini ke rumah atau membawa makanan siap untuk mereka.
Selalunya ketika musim perayaan inilah, keluarga hebat akan berlagak habis. Anak isteri, ipar duai, saudara mara semuanya berkumpul dengan penampilan serba bergaya. Maka yang paling bergaya adalah orang yang berada, berduit -- di negara kita orang berduit selalu ada kaitan dengan kerja makan gaji, siapa makan gaji dengan gomen [kata orang dulu] pasti mampu berlagak, manakala yang kerja kutip kertas, tin dan besi buruk, tidak dapat nak buat apa, menjauhkan diri. Ia menimbulkan rasa rendah diri di kalangan anggota keluarga kerana gaya artis begitu.
Apa gunanya ada kutipan zakat fitrah setahun sekali, dan apa gunanya ada kutipan zakat dari berbagai bidang pendapatan kalau ia tidak disalurkan kepada golongan yang tidak mampu?
Bukan tidak ada di kalangan kita yang bersikap suka melihat orang lain susah. Inilah yang nyata di kalangan masyarakat kita sekarang. Orang rasa iri hati kalau melihat orang lain mengatasi dirinya, dan rasa gembira melihat kesusahan orang lain. Itu sebab kita selalu diingatkan jangan melihat kehebatan orang lain, tetapi lihatlah orang yang berada di bawah kita.
Mungkin anda seronok kalau membaca laporan seorang bekas PM misalnya makan nasi dengan kicap, dan seorang bekas penggelandang di bawah jambatan makan nasi kandar berlaukkan udang besar! []

No comments:

Post a Comment