Untuk menyebarkan sebuah fahaman, seseorang itu memerlukan alat penyebaran. Di zaman moden sekarang kemudahan untuk menyebarkan ajaran atau kefahaman yang "baru" dianggap mudah kerana semuanya berada di hujung jari.
Meskipun begitu, risalah kecil, majalah dan buku masih berguna untuk penyebaran bahan ajaran atau fahaman yang masih asing kepada kita.
Sejak berlakunya Revolusi "Islam" di Iran yang dipelopori Khomeini, memang semua orang menumpukan kepada Tehran. Mereka ingin tahu apa perkembangan selanjutnya.
Kita di Malaysia pun begitu, sehingga paparan media tidak lengkap kalau tidak memaparkan sejarah hidup Khomeini, lelaki berjubah dan berjanggut lebat itu. Dialah sosok pemimpin yang dikagumi rakyat. Itu ketika suasana revolusi masih hangat.
Lama kelamaan ia sejuk juga. Orang tidak edar lagi gambar Khomeini. Bagi mereka yang fanatik kepada beliau, tentunya masih menampal gambar orang tua ini di ruang tamu rumah mereka.
Tentunya, kalau mereka seronok mengaku sebagai orang Syi'ah [yang jahil] gambar lelaki ini diberi keutamaan.
Keutamaan itu seperti juga kalangan penganut Syi'ah yang sanggup merangkak untuk menuju ke kawasan makam tokoh mereka. Boleh mengerjakan solat di tepi makam. Bahkan kalau ziarah ke makam-makam tokoh terpenting pada hari tertentu, pahalanya berganda-ganda.
Lebih menghairankan, kubur pembunuh Khalifah pun dimuliakan, ia umpama hari raya Aidul Fitr kita. Itulah cara orang Syi'ah yang kita tidak ambil peduli pun.
Tidak diketahui ada berapa ramai umat Melayu yang seronok menganut ajaran baru ini. Jika mereka anggap ini ajaran terbaik, maka mereka digalakkan mengkaji kitab-kitab referensi mereka.
Jangan melihat dari luaran sahaja. Seperti yang saya selalu sebut, jangan melihat dari jauh, cuba dekati untuk mengetahui rahsianya.
Untuk menyebarkan Syi'ah secara merata, maka mereka akan terbitkan risalah.
Contohnya sebuah risalah yang pernah membuat kecoh di Turki. Nama risalah itu HUSNIYYAH dikarang oleh seorang Yahudi bernama Abu Tsaur Ibrahim ibn Khalid.
Di dalamnya mengandung bahan seperti dialog antara seorang hamba wanita dinamakan sebagai jariyah sahaja oleh pengarangnya. Hamba ini konon boleh berdialog di depan pembesar negara [zaman Harun al-Rashid] -- ramai ulama hebat pada masa itu kagum dengan kepetahan jariyah. Ini adalah rekaan pengarangnya semata-mata. Ia sebenarnya menggunakan watak jariyah sebagai ganti diri pengarangnya.
Di dalam risalah Syi'ah itu dipaparkan tentang kutukan terhadap para sahabat dengan membeberkan hadis-hadis palsu.
BUKU SYI'AH
Sejak tahun 80-an lagi di negara kita sudah beredar buku DIALOG SUNNAH SYI'AH oleh Syarafuddin al-Musawi, terbitan Al-Mizan, Bandung. Tauke penerbitan itu sendiri adalah orang Syi'ah, maka tidak hairan dia cukup giat menerbitkan karya yang menjurus kepada Syi'ah selain bahan lain pun.
Di Kuala Lumpur, Pustaka Ilmu Raya turut menerbitkan buku yang cenderung kepada Syi'ah karangan seorang pensyarah di Universiti Malaya. Penerbitan buku itu yang diusahakan oleh Abdullah Tahir, bukan kerana bertendensi fahaman Syi'ah sebaliknya kekurangan bahan untuk diterbitkan.
Waktu itu orang cukup liat hendak menulis buku gunakan mesin taip, belum guna komputer lagi. Jadi, kalau penerbit ini turut menerbitkan buku yang cenderung kepada Syi'ah ia secara kebetulan belaka. Walaupun saya pernah berkhidmat dengan penerbitan ini dan bekerjsama dengan Abdullah Tahir ketika itu, tidak ada perhatian langsung terhadap isu Syi'ah ini.
Setelah masa berlalu baharulah orang sibuk memperkatakan pensyarah dari Universiti Malaya itu. Biasalah, masyarakat Malaysia hanya kecoh dan heboh kalau media perdana memaparkan isunya.
Kalau tidak ada, maka tidak adalah apa-apa reaksi. Ini menggambarkan seolah-olah negara ditadbir urus oleh sebuah agensi berita.
SEBAR
Beberapa tahun yang lepas ada usaha untuk menyebarkan Syi'ah dengan cara meletakkan buku di rak-rak masjid dan surau. Buku penting itu seperti yang dilaporkan dalam media adalah:
1. Khair Izzah, MENITI TITIAN KEBENARAN, Menyingkap Kebenaran Mazhab Rasul & Ahlul Bait, Al-Muntazar Resources, 2008.
2. Khair Izzah, INILAH ... AL-KHULAFA' AR-RASYIDIN RASUL!, Raudhah al-Hurr Resources, 2011.
Dua buah buku tersebut, selain terbitan dari Bandung tadi diedarkan di merata tempat dengan harapan ia dibaca oleh kalangan awam.
Di Indonesia telah terbit BUKU PUTIH MAZHAB SYIAH, Dewan Pengurus Pusat Ahlulbait Indonesia, 2012.
Ada pula buku soal jawab karya Emilia Renita AZ, 40 MASALAH SYIAH, Ijabi, The Jalal Center, 2009. Kalau tadi nama isterinya, Jalaluddin Rakhmat pula dengan bukunya AL-MUSTAFA PENGANTAR STUDI KRITIS TARIKH NABI SAW, Pustaka Murthahhari Press, 2002.
Nampaknya, jika dibandingkan antara buku yang menyebarkan fahaman Syi'ah dan buku atau risalah yang cuba menangkisnya, ia seperti tidak seimbang. Mengapa? Mungkin ada di antara kita anggap Syi'ah ini hanya masalah kecil. Apabila pihak pemerintah telah mengharamkan, bererti ia tidak memberikan kesan lagi kepada masyarakat. Akan tetapi apabila isu Syi'ah ditimbulkan semula, dan ada yang mendakwa pengaruhnya makin bertambah, baharulah kita hairan dan ingin mencari jawapannya. []
No comments:
Post a Comment