Wednesday, 24 July 2013

MOOD RAMADAN MAKIN HAMBAR DEKAT NAK RAYA

RASAnya sudah kerap para ustaz memberi tazkirah berkaitan amalan di bulan Ramadan ini. Seperti tahun lepas, atau tahun sebelumnya, bahkan tahun-tahun yang terdahulupun, keadaannya tetap sama. Kita sambut Ramadan hanya mengikut adat setempat, bukan mengikut apa yang diajar dalam agama.
Saf di masjid dan surau semakin kurang, ghairah hendak meraih pahala sebanyak mungkin meskipun diberi ganjaran berganda langsung tidak menarik minat. Betul kata ustaz, selagi tidak diberi ganjaran dalam bentuk duit ringgit, maka sikap umat yang terus begitu.
Berapa ramai yang istiqamah di dalam sesuatu perkara terutama dalam bab beramal. Ia bukan untuk orang lain, sebaliknya untuk diri sendiri. Kalau untuk diri sendiri pun tidak istiqamah, apatahlagi dalam perkara yang melibatkan orang lain.
Ketika Ramadan sudah melangkah ke pertengahan, kita sibuk memikirkan soal di luar tempat solat. Kita sibuk memikirkan nak mengecat rumah, renovation, beli set baru untuk ditunjukkan kepada para tetamu, beli LCD yang besar sehingga tak muat pintu, dan bunga-bunga plastik hiasan untuk di letakkan di berbagai sudut; sedangkan tetamu yang datang tidak sebanyak mana.
Begitulah kecintaan kita kepada Ramadan lebih kepada rendang dan ketupat, lebih kepada menghias rumah dan baju baru. Selain itu kita lebih teruja untuk mendapatkan lagu raya yang terbaru dari sekian penyanyi. Kita sibuk nak ambil tahu apa tayangan drama dan filem Melayu di hari raya pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Kemudian pihak radio swasta sibuk dengan lagu-lagu rayanya. Mengajak pendengar memberitahu apa lagu raya yang digemari, dan diminta menyanyikan lagu itu. Lagu hari raya seolah-olah wajib.
Kalau kita tengok iklan pakaian hari raya pula, model-model yang memperagakan fesyen pakaian itu seperti tidak faham, hari raya ini ada kaitan dengan bulan Ramadan, orang berpuasa, endingnya, hari raya, hari raya pertama tak boleh puasa, masuk hari raya kedua sudah boleh mula puasa sunat -- jadi maknanya, tak ada makna kalau kita berpuasa penuh dengan penuh istiqamah, tiba-tiba masa hari raya kita mengadap tv dari pagi sampai santak ke malam. Maklum filem hebat-hebat [itu istilah yang fanatik hiburan].
Betul kata ustaz, meski diingatkan begitu setiap tahun, kita masih leka juga. Kita sambut hari raya seperti tahun-tahun dulu, tak ada perubahan. Kita lebih utamakan fesyen terbaru, kaum hawa pula lupa fesyen bagaimana yang selaras dengan ajaran agama.
Nampaknya orang sudah lupa dengan malam lailatul qadr. Orang tidak teruja hendak mencari saatnya di malam bila. Berapa ramai yang membaca al-Qur'an di bulan Ramadan ini? Tadarus al-Qur'an memang diadakan di mana-mana masjid dan surau, tetapi begitulah keadaannya setiap tahun. Itu belum lagi bab baca al-Qur'an di rumah. Kita lemah dalam perkara istiqamah.
Kita bersungguh-sungguh ketika di masjid dan surau kerana ada orang lain. Ketika di rumah, tanpa sesiapa melihat apa yang kita lakukan, kita enggan melakukannya.
Suatu hal yang pernah disebut para pentazkirah, majlis berbuka puasa di sana-sini pun sibuk dilaporkan. Mereka mengadakan majlis berbuka puasa bersama para gelandangan, para orang miskin, orang daif, anak-anak yatim. Pendeknya meriah bukan main.
Buka puasa bukan acara budaya. Akan tetapi kita sudah membudayakan majlis berbuka puasa dengan acara yang tidak kena dengan tempatnya. Kita dijamu dengan persembahan budaya, ada tarian di pentas, ada nyanyian, ada muzik dan dengungan suara bass yang mengujakan. Ia suatu bentuk pengajaran yang tidak sesuai kepada anak-anak yatim.
Hairannya, kita sering mengundang para artis untuk meraikan anak-anak yatim. Padahal untuk meraikan mereka, tak perlu wujudnya barisan artis yang masing-masing hendak mempopularkan diri mereka di kalangan anak-anak yatim.
Kasihan anak-anak yatim yang masih mentah itu. Elok mereka tidak suka kepada artis, kita menanamkan rasa kecintaan pula kepada artis. Sepatutnya, majlis berbuka puasa perlu berpada-pada, jangan lebih kepada hiburan dan tempat "jual ubat" - - kadang-kadang anak-anak yang masih mentah itu tak tahu apa pun.
Tidak hairan kalau apabila remaja nanti kanak-kanak yang ada hari ini ingin menjadi Bintang Kecil, Bintang Idola dan macam-macam bintang.
Kalau sesiapa jenguk bazaar Ramadan lagi menyedihkan. Mereka tak faham apa tujuan bazaar Ramadan itu diadakan. Lihatlah, bagaimana para peniaga yang tidak memahami konsep Ramadan. Mereka buatkan bazaar itu seperti pesta laut, pesta perdagangan, ada yang menyediakan PA system yang canggih, siap berlagak DJ radio, menawarkan hadiah wang tunai dan berbagai lagi. Lagu yang mereka putarkan jenis rock keras, lagu-lagu lirik yang kesyaitanan [kumpulan rock berat dari Barat] -- orang pun bertanya sekarang bulan Ramadan atau bukan berpesta budaya macam pesta pantai?
Berapa ramai peniaga Melayu kita yang dedah aurat? Baik lelaki atau perempuan. Nampanya para pemilik gerai tidak mentarbiyahkan sesuatu kepada pekerja bawahannya bagaimana hendak berniaga untuk mendapatkan keberkahan dari bulan Ramadan.
Ada pula sekelompok kaum hawa yang berniaga krim pemutih kulit. Asalkan ada orang lalu, semua nak digamit dan diberikan sesuatu untuk promosi barangan. Tidak kita lelaki atau perempuan semua hendak ditarik tangannya, boleh pula mereka menyapu kriim ke wajah lelaki sesuka hati. Sudahlah tak tutup aurat mereka melakukan perbuatan yang melampau itu tanpa mengira hukum-haram. Maknanya mereka tak ada ilmu. Selama mereka menonton program tv, tidak adakah ustaz menerangkan bab ini?
Banyak fitnahnya apabila kita memasuki bazaar Ramadan. Bagi sesiapa yang hendak istiqamah menjaga puasanya, elok jangan jenguk bazaar Ramadan. Makanlah apa yang ada di rumah. Masakan itu lebih terjamin. Boleh dimakan dan boleh habis. Jangan membazir. Alam flora kata, pembaziran makanan di negara kita terlalu hebat, paling tidak RM1.00 dibuang ke dalam tong sampah bagi setiap keluarga. Ini congak paling mudah. Kalau sebuah taman perumahan bagaimana? Sebuah kampung bagaimana?
Makanan di bazaar Ramadan sudah terdedah sejak pukul 2.00 petang atau lebih awal lagi. Kebetulan terletak di tepi jalan utama. Habuk dan apa sahaja yang beterbangan tidak siapa melihatnya. Pantang nampak sedap di mata, maka itu yang dibelinya. Sampai di rumah, letak atas meja, rupa-rupanya ada berbagai jenis yang telah dibeli. "Siapa nak makan?"
Apabila terlalu kenyang, malaslah nak beribadat. Solat maghrib contohnya. Berapa ramai yang melewatkan maghrib gara-gara majlis buka puasa bersama artis? Makan-makan di tempat eksklusif itu hanya gengsi kata orang. Akhirnya, bukan senang kita hendak istiqamah dalam perkara menjaga pahala Ramadan.
Seperti biasa, setiap kali Ramadan orang cerita bubur lambuk. Cerita bubur lambuk Masjid Kg.Bharu KL sudah menjadi agenda tahunan. Bagi orang KL memang tidak teruja untuk mendapatkan bubur itu. Mungkin hanya wartawan akhbar utama yang sibuk. Sebenarnya semua masjid dan surau dapat menyediakan bubur lambuk resipi mereka masing-masing. Semuanya enak dimakan [faktor kebiasaan].
Dalam bab biskut raya, nampaknya harga biskut raya cukup mahal. Mungkin alasannya semua bahan mentah naik harga. Ramai yang tak reti nak memilih biskut apa yang hendak dibeli. Bukan sebab terlampau banyak, tetapi mereka kata, "Nampak sahaja cantik, rasanya entah apa-apa!"
Nah, jangan fikir asalkan biskut sudah disusun dalam balang dan dipelekat dan bubuh cap itu tandanya ia terbaik. Cuba semak biskut yang kita beli pada tahun lepas, ada biskut yang langsung tak luak pun. Orang tak nak makan biskut sangat ketika raya. Begitu air minuman berkarbonat.
Buat masa ini sukar nak mengatakan biskut mana yang sedap, sebab ia bergantung kepada individu. Ada juga faktor nostalgia raya, teringat nenek atau ibu ayah menyediakan biskut raya. Ada orang mencari biskut tradisional Melayu. Jika sudah dikomersialkan, hilang nostalgianya. Sedapnya pun hambar.
Ketiga orang lain pulun mencari lailatul qadr, ada juga di kalangan anak muda sibuk menguruskan alat ganti dan aksesori kereta dan motosikal idaman. Mereka lupa bahawa pada minggu pertama puasa bukan main beriya-iya memadatkan saf solat. Kini ada yang sibuk dengan hiburan, mencari album baru, nostalgia lagu raya, mencari YouTube mencarik, lagu-lagu raya, fesyen Barat terbaik untuk sambut raya dan banyak lagi.
Akhirnya, jangan hairan kalau orang yang menghadiri qiamulail di masjid dan surau itu hanya enam orang sahaja atau hanya sebaris sahaja. Jangan hairan pada 10 malam terakhir nanti, kita sibuk mencari biskut, mencari baju Melayu, mencari songkok tinggi, mencari butang baju Melayu [sampai 10 kedai masuk tak berkenan juga]. Sudahnya, mereka mendapat lailatul qadr di perhentian lampu syarat. Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment