Saturday, 14 September 2013

ADA HANTU RAYA DALAM BILIK

Sebagai pramugari, masa banyak dihabiskan ikut penerbangan ke luar negeri. Biasalah, kalau berada di luar negeri, dia boleh membawa pulang apa sahaja benda yang dianggap sebagai ole-ole atau buah tangan.
Setiap lokasi pasti ada sahaja buah tangannya. Tidak kiralah benda besar atau kecil asalkan tidak menyusahkan untuk dibawa pulang.
Termasuk yang dibawa pulang adalah patung-patung kecil dari bahan logam. Boleh letak atas rak-rak atau atas almari. Boleh dijadikan hiasan.
Kekadang, oleh sebab tidak dapat menumpukan masa untuk menjaga benda-benda kutipan dari luar negeri itu, ada yang tidak sempat dibuka pun dari bungkusannya. Ada yang disimpan dalam almari pakaian, sejak beberapa bulan tak diusik pun!
Masa beredar begitu pantas. Perkahwinan pramugari tinggi lampai ini berakhir dengan perceraian. Bekas suami pun kerja macam dia juga, jadi pramugara. Macam cikgu dengan cikgi. Biasalah kahwin begitu untuk memantapkan ekonomi keluarga, boleh bergaya mengalahkan jiran sebelah rumah.
Nah, sejak bercerai, dia semacam diganggui sesuatu. Tidak boleh tidur. Rumah yang diduduki seperti ada sesuatu. Kedengaran bunyi dentingan bumbung rumah. Ada seperti batu tergolek di atas bumbung atau guli dilempar di atas lantai. Siapa yang lakukan?
Dia hanya tinggal berdua, dengan anak lelakinya yang masih bersekolah. Anaknya itu sesekali sahaja balik ke rumah sebab dia tinggal di asrama.
Gangguan bunyi pelik di rumah itu berlaku setiap malam. Itu menyebabkan dia tidak boleh tidur lena. Untuk melenyapkan gangguan, dia cuba menonton televisyen, sengaja dipasangnya untuk mengurangkan tumpuan daripada mendengar suara-suara yang aneh itu.
Oh, tidak. Dia tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada program TV yang membosankan itu.
Dia cuba membaca ayat Kursy, itu sahaja yang dia dapat lakukan. Sedangkan solat lima waktu masih banyak yang berlubang-lubang. Ada masa dia buat, ada masa tak buat langsung.
Pelik. Dia fikir dengan membaca ayat Kursy sambil menyemak teks buku solat sunnat itu sudah memadai. Habis baca dia dengar semula.
Sudahnya, dia fikir, dia tidak boleh baca ayat itu begitu. Hanya seorang ustadz sahaja yang layak membacanya. Padahal kalau dia membacanya pun tidak jadi masalah.
Masa terus berjalan. Gangguan suara pelik akhirnya bertambah parah apabila dia semacam diganggui oleh makhluk yang itu. Makhluk yang tidak dapat dia lihat, entah bagaimana bentuknya, tidak berlembaga, tetapi, ketika dia tidur sendirian itu, dia seperti sedang ditiduri oleh lelaki lain. Siapa dia?
Dia rasakan seperti telah melakukan hubungan intim dengan seseorang lelaki. Mimpikah atau khayalan kosong? Tidak. Dia sendiri merasakan telah menikmati hubungan itu. Buktinya dia rasa nyeri dan letih melayani makhluk yang misteri itu.
Akhirnya, disebabkan gangguan yang melanda setiap malam, dia ambil keputusan untuk merujuk kepada orang tuanya. Dan kemudian merujuk kepada seorang ustadz.
Melalui kawan-kawan dia dapat nombor telefon ustadz berkenaan. Dia pergi ke rumah ustadz bersama anak lelakinya. Dia memandu mencari mana rumah ustadz berdasarkan alamat yang diberikan melalui SMS.
Apa yang dia hajatkan sudah ditemui.
Dia mengajak ustadz pergi ke rumahnya. Dia memandu kereta, duduk di sebelah adalah anak lelakinya. Dan ustadz duduk di belakang bagaikan bos. Duduk menyandar. Itu janjinya, dia boleh ambil dan hantar semula ustadz asalkan masalahnya boleh selesai.
Dalam perjalanan itu, mereka bercakap tentang isu yang sedang dihadapi. Bunyi pelik yang didengar setiap malam diceritakan kepada ustadz.
Kata ustadz, dia syak, gangguan yang dihadapi oleh ibu muda ini adalah berpunca daripada makhluk hantu raya atau genderuwo kalau di Jawa sana.
"Hantu raya?" dia macam tak percaya. Tahulah dia, bahawa hantu raya yang kerap datang meniduri dia sehingga dia keletihan dibuatnya.
Dia pun cerita tentang ayat Kursy yang dia baca untuk mengusir gangguan, tetapi tidak menjadi juga.
Maka akhirnya, ustadz tadi nasihatkan dia agar jangan mengabaikan solat. Jangan asyik melayani muzik dan hibuan di rumah. Penuhi rumah dengan bacaan al-Quran. Bukan baca ayat Kursy sekali dua sahaja.
Dan yang lebih penting, kalau ada benda-benda pelik yang dibawa dari luar negeri, jangan disimpan dalam rumah. Memang dia ada beli patung ukiran kecil seperti tangkal atau azimat. Hanya untuk suka-suka sahaja dan tidak berniat apa pun.
Dan dia ada menyimpan objek seakan-akan benda mistik dari Nepal yang tidak berguna apa pun. Benda itu ada kaitan dengan kepercayaan dan keyakinan kaum pagan. Ia tidak perlu disimpan, elok dibuang sahaja!
Dengan usaha ustadz untuk melakukan pemulihan di rumah itu pada keesokan harinya, maka fenomena pelik yang melanda rumah pramugari itu sudah dapat diatasi.
Dan kesan daripada pemulihan itu, dia tetap ingat pesanan ustadz, jangan abaikan solat, banyakkan berdoa, kerjakan amalan sunnat ketika di rumah, baca al-Quran setiap hari, bukan sekadar ayat Kursy yang pendek itu sahaja.
Terbukti, kini dia sudah rasa aman. Tidak ada gangguan lagi dari hantu raya atau genderuwo itu. Hanya dia rasa hairan, bagaimana hantu raya boleh masuk rumahnya. Adakah hantu raya itu saka dari bekas suaminya yang kerja pramugara? Atau saka dari orang tuanya dulu?
Dia sendiri tidak tahu. []

No comments:

Post a Comment