Sunday, 8 September 2013

VIRUS SYIAH DALAM WACANA, HABIS WACANA NAK KE MANA?

AHAD [8/9/2013] ada seminar tentang Mendepani Virus Syiah. Beberapa kertas yang bekerja dibentangkan di seminar yang diadakan di Pusat Islam. Seminar yang yang dianjurkan bersama Muafakat dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Terengganu dan Sabah bolehlah dianggap berjaya. Ya, berjaya menganjurkan seminar sedemikian. Tidak tahu apa resolusi dari seminar itu. Tentunya yang hadir di dewan itu tertanya-tanya, selepas ini apakah ada perubahan bagi menangani isu Syiah itu atau ia tenang semula. Apabila dijolok baharulah sibuk semula, semua orang nak berwacana, menyelak kitab-kitab rujukan Syiah untuk mencari cerita baru, atau sekadar untuk memenuhi jadual acara yang ketat itu.
Begitulah yang dikatakan seminar. Siapa sahaja boleh anjurkan seminar kalau ada kemampuan. Nak mencari pembentang kertas kerja satu hal. Mungkin selepas Syiah, mereka akan anjurkan wacana tentang Wahabi pula. Nama pun wacana pemikiran dan peradaban ummah, jadi memang isunya berkaitan dengan pemikiran yang berselirat mengitari peradaban ummat Islam, bukan sahaja di negara kita, bahkan di luar negeri pun begitu.

VIRUS DALAM RUMAH
Wacana tentang Syiah ini bukanlah suatu topik yang digemari orang ramai. Ada yang melihat Syiah dari jauh sahaja. Ada yang tak kisah apa pun. Kenapa? Selagi virus Syiah tidak menjangkit dalam rumah mereka, maka selama itulah mereka buat tak peduli. Mungkin apabila anak gadis dari isi rumah di kalangan mereka telah melibatkan diri dalam nikah mut'ah dengan pelajar dari Iran atau dari Iraq, anak gadis sudah mengandung, baharulah seisi rumah kecoh. Atau apabila isteri dilarikan orang dek kerana telah nikah mut'ah dengan seorang pendakwah Syiah yang berserban besar dan berjubah. Atau apabila si anak atau si suami mulai enggan mengerjakan solat Jumaat lagi. Di bulan puasa nanti tak payah nak terawih semua. Atau ketika si anak seperti menari-nari sambil memukul dadanya menyesali sesuatu yang entah apa sebenarnya yang terjadi, seisi rumah pun tak tahu.
Dinamakan virus kerana ia tidak dapat dilihat dengan teropong biasa. Lagipun sisi Syiah yang orang kita tak ambil peduli adalah TAQIYAH iaitu sikap berpura-pura. Kalau dia dah nikah mut'ah pun dia menafikan. Kalau dia ikut Syiah pun dia menafikan. Masih nak solat bersama seolah-olah tak ada perubahan. Benda aqidah tidak dapat dilihat kerana ia tersembunyi.
Dengan berTAQIYAHlah menyebabkan ada tuduhan bahawa si fulan dan si fulan telah jadi Syiah. Bukan tak ada orang kata, buat apa nak kecoh. Itu masing-masing punya hal. Mereka nak amalkan apa pegangan pun biarlah, selagi mereka tak kacau kita! Betul. Mereka tak kacau kita sebab mereka sedikit. Apabila mereka ramai, sudah jadi majoriti, mereka akan bangkit, mereka akan bersuara, mereka akan berarak, mengangkat kain rentang, mereka memukul dada, meraung-raung, merintih dan menyebut nama Ali, nama Husain, maka ketika itulah kita kehairanan -- dari mana mereka datang?

RUANG PENYUSUPAN
Virus Syiah yang tidak kita sedari rupa-rupanya telah menyusup dan menjangkiti umat Islam di negara kita melalui berbagai saluran. Antaranya:
  1. Melalui kedutaan negara-negara pengamal Syiah [tak semestinya Iran sahaja].
  2. Melalui hubungan diplomatik dengan negara pengamal Syiah.
  3. Penghantaran pelajar -- baik pelajar negara Syiah ke Malaysia atau dari Malaysia ke negara Syiah. Berapa ramai pelajar kita mendapat tajaan untuk belajar di hauzah-hauzah hebat di sana?
  4. Jalinan perniagaan - rakyat negara berkenaan bebas untuk menjalankan perniagaan di negara kita, begitu juga rakyat kita kalau mahu berniaga di sana.
  5. Melalui parti politik. Ramai yang menganggap bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang dekat kepada dunia Syiah kerana dukungan mereka ketika Revolusi Iran diketuai Khomeini dulu. Apabila media menyentuh tentang Syiah mereka kata Syiah telah meresap dalam PAS. Bukankah antara agenda Khomeini selepas berjaya menubuhkan Republik Iran adalah untuk mengeksport doktrin Syiah ke negara-negara sasaran? Dan mereka tidak memilih parti kecil, sebaliknya memilih golongan penguasa yang sedang berkuasa agar sasaran lebih efisien? Jadi Syiah tidak menyasar PAS sahaja, ia sedang giat untuk membidik UMNO dan PKR. Pihak pemimpin UMNO tidak perlu menuding ke arah PAS sahaja.
  6. NGO -- ada banyak NGO di negara kita. Pada dasarnya setiap NGO itu seperti tidak ada apa-apa impak mempesona untuk menjangkitkan virus Syiah di negara kita. Tetapi lambat laun, jika ada kabel hebat yang dihantar oleh pihak tertentu, nescaya kabel menjadi kuat setelah ada imbalan dana asing [maksudnya negara Syiah].
  7. Mengedar buku dan risalah -- ini kaedah yang telah dilakukan oleh para dai Syiah di celah-celah masyarakat kita. Buku diletakkan di rak-rak masjid dan surau. Silakan baca. Buku itu diedarkan secara percuma. Contoh buku: MENITI TITIAN KEBENARAN, INILAH AL-KHULAFA AR-RASYIDIN RASUL, DIALOG SUNNAH SYI'AH. Mungkin di tempat lain ada buku atau risalah lain.
  8. Dengan mengadakan nikah mut'ah -- bagi anak muda kita yang kemaruk cinta dan kesyahwatan yang melampau, inilah ruang untuk bermut'ah, boleh dilakukan di restoran makanan segera yang melambak di negara kita [kebetulan ia jadi tumpuan berlonggok pelajar asing, maharnya hp, duit ala kadar, sepasang kasut pun tak apa , itu menurut paparan media kita].
  9. Pusat pendidikan -- tak kira peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan peringkat tinggi. Jika tidak melibatkan murid/pelajar ada yang digerakkan oleh tenaga pengajarnya.
  10. Melalui media sosial -- laman yang digemari golongan muda dan berumur. 
Itulah antara lain yang dibincangkan di dalam seminar tentang Syiah. Inilah modus operandi berkembangnya Syiah di negara kita. Dan disebabkan saluran-saluran yang disebut itu memang nyata, maka ada di kalangan peserta seminar mencadangkan agar Malaysia memutuskan hubungan dengan negara pengeksport doktrin Syiah. Dengan itu gangguan pelajar, gangguan perdagangan, dan apa sahaja yang boleh meresahkan ummah dapat dibendung.
Mufti Wilayah mencadangkan agar kita ikut cara Maghribi yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran. Jika tidak, virus Syiah akan tetap menyusup, lama kelamaan ia merebak dan terus merebak. Apabila ia telah meluas, maka keadaan menjadi parah. Kita tidak akan mampu kalau mereka telah berarak di jalan-jalan. Situasinya lebih dahsyat daripada perhimpunan Bersih. Betapa tidak, kalau setiap bulan Muharram mereka berhimpun dan merayakan hari mereka? Taqiyah tadi menyebabkan kita tidak tahu agenda sebenar mereka. Mereka terlalu berahsia.

PELURU
Hanya pihak Sunni tidak perlu defensif. Kena sediakan peluru untuk menembaki doktrin Syiah ini. Carilah peluru yang betul-betul power untuk menembaki minda ummat agar mereka benci kepada doktrin Syiah.
Bahkan, para pembentang kertas kerja juga mengakui, ketika puncak Revolusi Iran dalam tahun 70-an dulu, semua orang fokus kepada Teheran. Mereka kagum dengan orang tua berjanggut berjubah itu, pulang ke Teheran dengan diiringi pasukan keselamatan Perancis. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan. Adakah Barat merestui pembentukan sebuah Republik Islam ketika itu?
Rupa-rupanya, doktrin Syiah ini selari dengan pemikiran puak-puak yang menjadi musuh Islam. Payah untuk difahami oleh mereka yang tidak mahu memikirkan isu ini. Justeru, penerbitan buku, jurnal dan bahan-bahan yang boleh menjelaskan isu ini diharapkan dapat meluruskan kefahaman ummat Melayu terhadap isu Syiah.
Jika tidak, mereka akan memilih jalan tengah.
Mencari doktrin yang memudahkan mereka berurusan dengan Tuhan. Menjamak solat. Tidak perlu solat Jumaat dan terawih di bulan Ramadan. Doktrin imamah. Doktrin al-Mahdi. Memiliki mushaf lain. Dan banyak lagi doktrin pelik yang kita tidak ambil peduli pun. Begitu juga dengan seminar tentang Syiah di Pusat Islam, ia nampaknya hanya menjadi tumpuan para pelajar, tumpuan pemimpin NGO yang berkaitan, para pemikir yang ingin meluaskan bahan bandingannya dalam isu Syiah, dan mereka yang gemar mencari sesuatu di luar kepompong kehidupan yang biasa-biasa. Kita menunggu apa hasilnya seminar tentang Syiah itu. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment