Bagi menggambarkan kejahatan yang akan dilakukan oleh Imam Mahdi [al-Qaim] kita lebih selesa memetik paparan yang dibuat oleh bekas ulama Syiah sendiri iaitu Sayyid Hussain al-Musawi yang pernah kita ceritakan bahawa dia selalu menyertai Khomeini pergi ke mana-mana.
Dia kata, untuk apalah orang nak mengharapkan sangat kedatangan Imam ke-12 yang masih ghaib tak sudah. Tidak diketahui apa yang dia sedang buat. Entah ada atau tidak. Bolehkah dia muncul nanti atau tidak? Perlu diingat, ada dua versi Mahdi, satu milik ahlussunnah dan satu lagi milik Syiah.
Versi milik Syiah ini menimbulkan kekeliruan yang amat sangat kepada kita.
Betapa tidak, walaupun sampai seribu tahun lebih menunggu kedatangannya, apabila dia muncul dia akan jadi pengganas. Dia akan menghunuskan pedang kepada orang-orang Arab.
Di zaman serba moden sekarang apakah al-Qaim akan gunakan pedang lagi?
Al-Majlisi meriwayatkan bahawa al-Muntazar [Mahdi] berjalan di kalangan orang Arab dan membunuh orang-orang Arab yang ada [Bihar al-Anwar, 53/318].
Dia menambah, "Tidak ada yang tertinggal antara kami dengan orang Arab selain pembantaian." [Bihar al-Anwar, 52/349].
Nampak gaya kedatangan al-Qaim atau Mahdi ini sangat menggerunkan orang Arab. Habis semua orang Arab akan ditebas dengan pedang tak peduli mereka itu ahlussunnah atau Syiah. Inilah khabar buruk untuk orang Arab.
"Hati-hatilah terhadap orang Arab, kerana mereka memiliki khabar buruk, sesungguhnya tidak akan keluar seorang pun dari mereka bersama al-Qaim." [Bihar al-Anwar, 52/333].
Dan dalam riwayat yang menjadi referensi mereka tidak menghairankan kalau mereka boleh kata bahawa Kisra itu selamat dari api neraka.
Majlisi merekodkan bahawa Amirul Mukminin [Ali maksudnya] berkata:
"Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan (Kisra) dari api neraka, dan api neraka diharamkan atasnya." [Bihar al-Anwar, 41/4].
Selain membantai habis orang Arab, kerana mereka lebih mengutamakan orang Parsi, maka al-Qaim mengganas lagi.
Kali ini menurut riwayat Syiah juga, al-Qaim akan menghancurkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Majlisi meriwayatkan:
"Sesungguhnya al-Qaim akan merobohkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sehingga rata dengan bumi." [Bihar al-Anwar, 52/338].
Lebih dahsyat lagi, dia juga meriwayatkan bahawa orang yang akan diusir dari Madinah itu adalah Abu Bakar dan Umar. Maksudnya, al-Qaim akan mengorek kuburannya dan dikeluarkan untuk dihukum oleh al-Qaim. Keduanya akan dilemparkan dengan angin dan serentak dengan perobohan masjid. [Bihar, 52/387]. Ini projek balas dendam Syiah terhadap dua sahabat yang agung. Lihatlah sampai ke situ diburunya asalkan mereka puas!
KARBALA
Mengikut penjelasan Husain al-Musawi, sebenarnya di kalangan fuqaha Syiah, Kaabah itu tidak memiliki peranan apa dalam Islam, yang utama adalah KARBALA.
Tanah Karbala itu menurut nash-nash yang dibawa oleh para fuqaha Syiah adalah bahagian bumi yang paling suci, paling mulia, tanah suci pilihan Allah yang penuh berkah, itulah tanah haram Allah dan Rasul-Nya, itulah kiblat Islam sebenar, dan tanahnya boleh dijadikan penyembuh segala penyakit, tidak ada bumi dan tempat lain yang hebat walaupun dengan Kaabah sekalipun.
Jika begitulah pendapat para fuqaha mereka, kenapa ia tidak diwar-warkan kepada para pengikut Syiah yang baru nak berjinak-jinak dengan Syiah.
Ini semua seperti dirahsiakan di dalam kitab-kitab mereka. Kalau orang tahu tembelang mereka, maka mereka akan jauhkan diri.
Bayangkanlah, bahawa riwayat ini sudah masyhur sejak dulu lagi di kalangan mereka. Bahawa Karbala jauh lebih mulia daripada Kaabah. Karbala adalah tempat untuk orang tawaf, maka bertawaflah sebanyak tujuh kali.
APA TUJUANNYA?
Soalnya, kenapa al-Qaim atau Mahdi ini sanggup merobohkan dua tempat suci itu? Adakah mereka tidak suka kepada Islam?
Husain al-Musawi kata, sebabnya kerana yang akan tersisa dari kaum muslimin tidak lebih dari sepuluh orang.
At-Thusi berkata:
"Tidak akan terjadi urusan ini hingga hilang sembilan sepersepuluh manusia." [Al-Ghaibah, hal.146].
Selain menghunus pedang kepada orang yang tidak sebulu dan sealiran dengan mereka al-Qaim tidak berpandu kepada ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam, sebaliknya dia akan ikut ajaran Daud dan Sulaiman.
Dikatakan bahawa Abu Abdillah [Imam Syiah] berkata:
"Jika al-Qaim [Mahdi] dari keluarga Muhammad muncul, dia akan berhukum dengan hukum Daud dan Sulaiman, dia tidak akan menanyakan bukti." [Al-Kulaini, al-Ushul min al-Kafi, 1/397]
Al-Majlisi berkata, al-Qaim itu akan membawa ajaran baru, kitab yang baru dan hukum yang baru [Al-Bihar, 52/354].
Sukar untuk dikatakan ia ajaran baru, sebalik ia kembali kepada zaman Nabi Daud a.s. dulu. Kena guna kitab yang lama.
Ini tidak menghairankan sebab salah satu kelebihan dan kehebatan Imam 12 Syiah adalah mereka membaca semua sekali kitab-kitab yang ada, baik ia Injil, Taurat dan Zabur dalam bahasa Suryani [Al-Hujjah min al-Kafi, 1/207].
Mengikut riwayat Syiah, semua Imam mereka nmemiliki kitab-kitab yang diturunkan Allah. Mereka mengetahui isinya meski ia di dalam bahasa yang berbeza-beza.
Adakah ada kajian telah dilakukan tentang kemahiran dan kefasihan bahasa para Imam 12 yang dikatakan sangat menguasai kitab-kitab tersebut?
KUFAH
Bagi orang yang mengkaji masalah Syiah, tentu hairan kenapa al-Qaim yang ditunggu-tunggu itu begitu ganas, dia membunuh orang-orang Arab [maksudnya Islam], bukan Nabi sallallahu alaihi wa sallam juga orang Arab?
Ali pun keturunan Arab juga. Al-Qaim yang membunuh orang Arab pun Arab juga. Bukankah orang Arab yang banyak mengimani kemunculan al-Qaim pada akhir zaman?
Inilah yang jadi tanda tanya kita.
Begitu juga kenapa dia hendak mengamuk sakan hingga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi hendak dihancurrobohkan?
Husain al-Musawi berkata, sebab mengapa mereka robohkan kiblat orang Islam itu? Ia sebenarnya hendak mengalihkan kiblat umat Islam sedunia agar mengarah ke Kufah. Inilah peliknya.
Al-Faidh al-Kasyani meriwayatkan:
"Wahai penduduk Kufah, Allah telah menghadiahkan kepada kamu sekalian keutamaan yang tidak dihadiahkan kepada seorang pun. Tempat solat kamu adalah rumah Adam, rumah Nuh dan rumah Idris serta tempat solatnya Nabi Ibrahim. Tidak akan pergi hari-hari sehingga Hajar Aswad ditanam di dalamnya." [al-Wafi, 1/215].
Jadi, maksudnya, agar umat Islam beralih arah ke kiblat baru di Kufah sana. Maksudnya, pada masa zaman al-Qaim muncul dan mengamuk sakan itu, kebanyakan orang sudah beralih kepada Syiah semuanya. Matlamat Syiah hendak mensyiahkan seluruh umat agar berpaling ke Kufah. Inilah ujian terbesar dan terberat pada ketika itu.
Sayangnya, riwayat atau mitos seperti ini hanya terdapat di dalam referensi Syiah, menjadi pegangan para fuqaha mereka. Bahkan orang Syiah awam pun tidak memahaminya. Mereka hanya mengharap kehadiran Mahdi Imam ke-12 yang ditunggu. Dia akan membawa kebahagiaan kepada umat, sebaliknya kalau merujuk kepada riwayat [bid'ah?] itu mereka tidak perlu muncul lebih baik.
Kalau dia muncul dia akan membunuh semua orang, dia akan hancurkan tempat suci kita dan kemudian memaksa kita beralih kiblat.
Tentunya, poin ini sangat kuat untuk dijadikan sumber ulasan ketika seseorang berwacana tentang Syiah agar semua orang dapat memahami apakah matlamat mereka menunggu Mahdi itu. Seandainya Mahdi yang ditunggu itu membawa kepada kehancuran islam, maka apa gunanya mereka menunggu kedatangannya? Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment