Saturday, 9 February 2013

TENGOK SYIAH DARI JAUH [4]

Sesiapapun kena tengok Syiah dari jauh.
Kalau sudah masuk rumah dia dan menyertai dia, maka jadi orang Syiahlah kita.
Eloklah, tengok dari jauh sahaja. Jangan mudah terpengaruh, terikut-ikut atau ikut ustaz yang memang sudah lama duduk di dapur rumah Syiah.
Ada sesuatu yang perlu dicatat tentang Syiah, iaitu dalam bab keyakinan mereka.
Keyakinan itu agak melucukan dan bolehlah dianggap semacam mitos.
  • Kelompok ini meyakini bahawa planet dan bebintang di langit itu mempunyai pengaruh ke atas kebahagiaan dan kesengsaraan, begitu juga ke mana sudahnya seseoran itu, baik ke syurga atau ke neraka. Agaknya daripada keyakinan inilah orang di luar Syiah menterjemahkan dalam bentuk ramalan bintang berdasarkan tarikh kelahiran. Majalah dan akhbar kita pun sibuk siarkan bintang 12 untuk menyedapkan para pembacanya. Bahkan soal planet dan bintang ini telah menimbulkan banyak bidang kepakaran, termasuk kaedah peramalan dan perimbonan. Tentang keyakinan berkaitan planet dan bintang ini bukanlah rekaan [dalam Ar-Raudhah Minal Kaafi, 8/103].
  • Syahadat mereka perlu disertai persaksian bahawa Ali adalah wali Allah. Hal ini dapat diketahui melalui azan mereka. Syahadat bukanlah rukun mereka kerana rukun "Islam" mereka hanya solat, puasa, zakat, haji dan wilayah. [Furuu'il Kaafi, 3/82].
  • Kemudian ada bab yang melucukan dan tidak masuk akal. Apa dia? Mereka mendakwa bahawa Allah subhanahu wa Taala telah mengutuskan Jibril turun ke bumi untuk membawakan wahyu dari langit kepada Ali, akan tetapi Jibril boleh "keliru" lantas wahyu itu diberikan kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam [Al-Maniyatu wal Amal fii Syarhil Milal Wan Nahl, 30]. Ini lagi kekeliruan yang luar biasa. Sekiranya wahyu diberikan kepada Ali, maka dialah yang mendapat wahyunya. Secara tidak langsung mereka seolah-olah tidak mengakui kenabian Muhammad sallallahu alaihi wasallam. 
Seperti yang pernah disinggung dalam paparan lalu, ketaksuban melampau terhadap Ali menyebabkan Syiah mencipta banyak perkara mitos. Ia seperti main-main, tidak bersungguh dalam "mengaqidahkan" sesuatu yang mereka pegangi. Puak Syiah sebenarnya telah berpecah lebih 30 firqah. Ada yang telah luput dan ada yang masih aktif, dan yang kita kenali hanya Syiah Imamiah atau Syiah Rafidhah.
Bagi membuktikan telah wujud rumah Syiah, maka di dalamnya akan dihiasi dengan gambar-gambar tokoh Syiah, kalau tidak ada gambar salinan, maka mereka sanggup mengupah pelukis potrait untuk melakarkan gambar Imam mereka. Sanjungan kepada Imam begitu tinggi, kerana ia menjadi bentuk "keimanan" dalam Syiah. Imam yang maksum dan mengetahui hal-hal yang pengikutnya tidak ketahui.
Saya tertarik dengan sebuah ceramah tentang Syiah ini apabila ada audien yang bertanyakan apa faktor yang menyebabkan anak muda tertarik kepada Syiah?
Ustaz penceramah menyatakan, faktor utama adalah kejahilan dan kebodohan. Yang bodoh dan yang jahil sahaja sanggup menyertai mereka, kerana bodohlah mereka mengetuk rumah-rumah Syiah, bertandang, berkenalan dan akhirnya menyertai keluarga mereka -- keluarga Syiah.
Faktor yang kedua adalah nafsu. Betapa tidak, dengan menyertai mereka anak-anak muda ini boleh melakukan nikah mut'ah. Nikah cara Syiah yang mudah dan jimat, tidak perlu wang hantaran banyak sehingga nak tiru cara artis kahwin. Nikah mut'ah jadi penyelamat. Rasa nak kahwin, mereka kahwin ikut cara Syiah, dan boleh diberikan tempoh, seminggu, sebulan, setahun atau satu semester kuliah. Di Bandung dengar ceritanya ada kisah wanita mengidap penyakit kelamin gara-gara nikah mut'ah. Sejauh mana kebenarannya tidaklah diketahui. Kaedah ini seperti amalan dalam sektor pelacuran. Tujuannya untuk melampiaskan syahwat. Daripada berdosa zina, mereka fikir lebih baik nikah mut'ah.
Kalau ditanyakan adakah rumah-rumah Syiah itu penghuninya amalkan nikah mut'ah? Maka mereka akan menafikan. Mereka bertaqiyyah. Taqiyyah adalah salah satu aqidah dalam agama mereka. Taqiyyah boleh dijadikan alasan pada apa sahaja perkara. Sehingga dalam bab al-Qur'an mereka boleh berpura-pura baca al-Qur'an sebagaimana orang as-Sunni.
Itu keyakinan mereka. Buat sementara waktu kena baca al-Qur'an yang ada dulu selagi Imam Mahdi tak muncul dari persembunyian. Ini betul-betul cerita dongeng. Boleh pula Imam main sorok-sorok. Atas alasan apa? Kedatangan mereka memang ditunggu-tunggu dan diharapkan sangat. Sebab apabila Mahdi sudah muncul, mereka akan "melihat" al-Qur'an milik mereka yang dikatakan lebih tebal daripada al-Qur'an yang ada. Inipun aqidah main-main. Secara tak langsung, mereka tidak iktiraf al-Qur'an yang kita baca dan hafal setiap hari. Ayat al-Qur'anlah yang kita baca setiap waktu solat lima waktu.
Jadi, dalam bab ini ia sudah melarat-larat. Daripada soal wahyu yang tidak diserahkan kepada Ali, maka sudahnya, mereka tidak mahu menerima seratus peratus wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam. Ini cerita apa? Betullah, bagi as-Sunni, orang yang paling bertaqwa itu istimewa kedudukan di sisi-Nya, sebaliknya bagi Syiah, orang yang paling banyak bertaqiyyah itulah orang yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah.
Jadi, tengoklah Syiah dari jauh. Jangan cuba-cuba hendak mengetuk pintu rumahnya, masuk bertandang, akhirnya nanti tergoda dengan "anak gadisnya" maka anda akan jadi "menentu Syiah" pula. Wallahu a'lam bishowab. []

Friday, 8 February 2013

KUTIP DERMA TIPU BOLEH DAPAT DATO'?

Tahun 80-an. Dia kerap berjalan sana-sini ajak Pak Dina Perak.
Orang tahu, setiap kali dia jumpa Pak Dina, dia pasti ajak Pak Dina cari masjid atau surau.
Nak cari apa bang?
Awak apa tahu?
Mula-mula park kereta dalam kawasan masjid atau surau. Siapa nak solat sunat buatlah, kalau tak pun boleh rehat dan baring-baring.
Ketika baring-baring gitu, bolehlah ronda, tengok papan kenyataan masjid atau surau.
Lepas tu, tengok, mana tahu ada surat terselit.
Yang penting adalah surat kutipan derma.
Buka surat itu. Surat untuk masjid atau surau dia buka.
Wah, ada surat dari sebuah NGO nak kutip derma itu dan ini.
Wah, ada surat dari rumah anak yatim nak sumbangan derma.
Wah, ada surat dari surau nun jauh di sana, nak sumbangan dermawan.
Maka Pak Li pun bukan main suka.
Jum kita pergi.
Keduanya tinggalkan masjid dan surau. Kereta Ford buruk berjalan perlahan menyusuri kota.
Di pinggir kota, kereta buruk berhenti.
Ada gerai mamak.
Jum singgah, boleh minum kejap!
Keduanya pun duduk, order minuman sahaja. Jangan makan.
"Kita ada projek bagus," kata Pak Li, sambil membuka sampul surat. Kertas putih itu adalah surat permohonan sumbangan dari sebuah rumah anak-anak yatim.
"Pak Dina, bawak surat ni, pi masuk kedai mamak tu!" dia beri arahan.
Sebelum ke kedai mamak itu, Pak Li suruh Pak Dina betulkan kupiah hitam.
Dengan gaya bersahaja, Pak Dina pun masuk ke kedai mamak. Dia bagi salam. Dan kemudian bersalaman dengan kasier di kedai itu. Dia hulurkan kertas kutipan derma yang bukan miliknya pun.
Kemudian entah apa yang dia cakap.
Kasier tarik laci, serahkan duit RM10.00.
"Tak payah tulislah!" kata orang itu.
Kemudian Pak Dina tuju kedai lain pula. Dia buat lakonan yang serupa. Dapat lagi RM2.00 jadilah!
Pergi lagi ke gerai makan lain, dapat lagi RM5.00. Dan begitulah adegannya berlanjutan. Akhirnya dia dapat, dapat dan dapat!
Hasil dari kutipa derma itu dia boleh makan dan minum. Boleh isi minyak kereta buruk.
Dari KL boleh merambu sampai ke Negeri Sembilan.
Masjid dan surau jadi tujuan.
Restoran dan gerai makan jadi habuan.
Begitulah rupa-rupanya cara Pak Li cari duit.
Dia memang tak ada kerja pun. Nak bawa list derma macam itu, Pak Li tak berani. Dia kena ajak Pak Dina. Lagipun Pak Dina ada tokoh mintak derma.
Kekadang dia ajak Pak Ja Rongak.
Kalau Pak Dina pergi luar negeri, maklum kekadang dia ikut tabligh, Pak Li kena cari orang lain. Orang yang boleh subahat kutip derma tipu.
Ada juga orang bagi cek atas nama yayasan atau rumah anak yatim itu. Jadi, dia kena poskan jugalah. Mana-mana yang tunai disapu sahaja.
Bertahun-tahun Pak Li buat begitu rupanya.
Sebenarnya Pak Li bukan sebarang orang. Dia boleh pikat adik menteri. Inilah kehebatannya.
Pernah tersiar dalam akhbar Inggeris, adik menteri itu mengadu ada suami tetapi tak balik-balik.
Ke mana dia pergi?
Ntahlah!
Pak Li memang hebat. Kepandaiannya adalah mencetak cinta kepada perempuan muda.
Dari cikgu sekolah berasrama di KL hingga staff nurse dapat dipikatnya.
Jangan hairan, isteri tua tak peduli langsung. "Lantaklah!"
Dalam kereta Ford buruk itu dia letakkan diari PDRM.
Pernah ada sekatan jalan raya di suatu tempat.
Pak Li tidak gelabah. Dia nampak ada projek kecil tepi jalan. Maka sebelum menempuh road block di depan dia sudah konar ke kiri.
Kereta buruk berhenti. Buka bonet. Keluarkan beg hitam. Keluarkan pelan. Letak atas kereta. Tunjuk peta kepada kawan. Pak Dina jadi sasaran. Kena berlakon, sebab polis ada depan sana. Road tax dah mampus ni!
Sambil menjeling ke arah sekatan polis, Pak Li berlakon bentang pelan. Pelan itu tak ada kaitan apa pun sebenarnya. Hanya action sahaja yang lebih.
Tidak cukup buka pelan, dia pergi masuk ke kawasan projek orang.
Ada bebudak Indon sedang bekerja.
Dia berborak-borak dengan budak Indon yang sedang berehat. Pura-pura jenguk pondok dan tempat tinggal mereka di rumah kongsi.
Cantik sekali lakonan mereka.
Nak teruskan jalan tak boleh, bakal kena tahan.
Maka, apa cerita? Mereka patah balik. Langsung tak tempuh sekatan polis.
Kalau ada sekatan pun tawakal sahajalah dengan diari PDRM yang dia letak atas dashboard.
Pelakon yang tidak terkenal ini, berupaya memikat janda-janda.
Matlamat sebenar, dia nak cari janda kaya. Tidak kira tua pun tak apa.
Pak Li memang suka bergaya.
Setiap hari dia pakai kemeja putih lengan panjang dan seluar hitam. Kasut kilat memancar.
Disebabkan penampilannya itu, ada yang sudah anggap dia seorang peguam. Dapat pikat perempuan pulak tu.
Dengan penampilan begitu, dia dapat pikat misi muda di hospital.
Kawan dia hairan. Pak Li ada berapa orang isteri? Kerja pejabat Jalan Duta, cikgu Air Kolam, misi hospital, banyak kali dia kahwin hingga tak tahu siapa isterinya. Kawan-kawan pun tak tahu.
Berkat kepandaian berlakon dan menggesek biola, dia pernah dapat job kecik, mengecat "masjid/surau" Balai Polis Dang Wangi [surau lama imam Pakistani sebelah Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi].
Pernah dapat job kecik repair dapur di Kg.Bahru, KL.
Dapat duit dia terus beli simen dan pasir, letak tepi tangga.
"Wah, ini kontraktor yang bagus, serah duit pendahuluan terus datang bawa pasir dan simen. Bila boleh start kerja?" tanya tuan rumah [lupa jalan mana di Kg.Bahru,KL].
"Esoklah!"
"Kalau macam tu aku bayar habislah!" kata tuan rumah.
Khabarnya, tuan rumah marah. Dapur dah dipecahkan dindingnya, tapi Pak Li dah cabut. Dia biarkan simen dan pasir di depan rumah dan bawah tangga.
Bijak! Bijak!
Pak Li happy dapat duit. Esok dia buat program lain. Ada duit bolehlah lambung kunci kereta. Boleh pinjam kereta kakak. Boleh melaram pakai Volvo atau Merce!
Dek kerana pandai melaram, akhirnya, ada orang tertarik dengan penampilannya yang smart sepanjang hayat. Maka dia boleh pula join parti politik unggulan.
Dia rebut jawatan juga, di suatu tempat tak jauh dari Lapangan Pesawat Negara.
Jadi orang kuat dalam Pemuda. Sudah kira hebat.
Kalau boleh nak cabar Bahagian pula.
Ilmu politik tak cukup hebat, maka kecundanglah dia.
Biarpun kecundang, dek kerana kesmartan yang diperagakan setiap hari, khabarnya dia sudah bergelar Dato'.
Lucu juga.
"Dulu dia kutip derma dengan aku tau!" kata seorang kawan rapat yang sudah jadi jutawan hebat kerana tanahnya dilanggar projek pelebaran jalan dekat Lapangan Terbang Sungai Besi.
Dalam diam-diam, sesiapa yang pernah kutip derma tipu boleh bergelar Dato'. Dalam diam-diam, siapa yang pernah lari kerana ada orang nak tangkap sebab bawa list derma tipu boleh jadi jutawan.
Cerita lucu ini saya dapat di Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur.
Jutawan ketawa suka. Makan King Burger sambil menceritakan kekayaan yang bukan kepalang. Tak sangka ya, dulu susah sekarang senang?
Ketawa lagi.
Yang sudah bergelar Dato' tadi ke hulu-hilir bawa kereta merce, isteri dia punya. Bukankah dia dari dulu sudah janji nak cari janda kaya. Dia dapat produser!
Dan hasil dari berpolitik di hujung negeri, dia dapatlah beberapa lot bangunan kedai. Memanglah, matlamat berpolitik hanya untuk sapu tanah atau sapu bangunan atau lot projek.
Siapa pandai?
Pada akhir tahun lepas saya terjumpa balik jutawan yang ketawa besar kerana mentertawakan zaman susahnya. Kutip derma, jadi bomoh dan macam-macam untuk dapat duit.
Dia mengadu, bahawa dia bukan jutawan lagi. Duit dah habis. "Aku baru sampai sini, tadi pergi hospital jumpa doktor! Aku sakit! Aku nak merayu, kenapa aku tak boleh dapat BRIM RM500?" katanya.
Saya jawab, "Macam mana nak dapat, kamu jutawan!"
Dia tertawa.
"Itu dulu!"
Ya, itu dulu. Setahu saya melalui pengakuan, dan surat yang ditunjukkan kepada saya, dia telah dapat lebih dari RM2 juta!
Dek kerana boros, RM2 juta habis begitu sahaja.
Kini, apa khabarnya, saya pun tak tahu.
Nama pewatak dalam cerita sudah ditukar. Tetapi lokasi benar.
Kalaulah pengutip derma tipu yang dulu hampir nak kena cekup di Teluk Intan [kedai buku Buyung] boleh dapat Dato' apa nak hairannya.
Samseng pun boleh bergelar Dato'.
Jutawan yang saya ceritakan ini adalah cerita benar. Saya pernah temuramah dia berkenaan kisah orang Mandailing di Negeri Sembilan.
Dia juga pernah menyertai "bomoh sementara" semata-mata nak dapatkan duit tambang balik dari Muar ke KL.
Apabila teringat cerita benar ini, benar-benar dunia ini adalah pentas terbuka! Siapa nak berlakon, ya silakan! Biar tanpa skrip, lakonan tetap mantap! []

BANG SAYA NAK UNDI APA KALI INI?

Semalam lagi bagus. Tengah jalan-jalan cari makan di Kampung Pandan luar, terserempak seorang lelaki yang katanya bekerja di sekolah memandu. Baguslah.
Sembang punya sembang, dia kata, dia betul-betul resah sekarang, nak undi parti mana dalam pilihanraya kali ini.
Kemudian dia berjanji, dia akan dengar pandangan saya. Apa yang saya cadang, itulah parti yang dia nak undi.
Sebelum itu dia sudah sembang tentang kegelisahan rakyat terhadap BN.
Banyak masalah berlaku sekarang katanya. Dia pun ada membaca bahan-bahan yang kontradik dengan media Perdana yang ada.
Saya kata, baguslah. Teruskan membaca bahan-bahan lain. Jangan percaya sangat kepada televisyen yang ada di rumah walaupun benda itu kita punya, kita yang beli. Kalau boleh tutup, tutup sahaja.
Dan dia pun menyedari dalam usia yang sudah berawal angka 5 maka dia kena bermuhasabah diri. Kena buang segala yang tak baik.
Lagipun katanya, banyak cerita yang tak baik ada dalam BN.
"Habis bang, saya nak undi parti mana dalam pilihanraya kali ini?"
"Cadangan nak undi apa?" tanya saya.
"Nak undi BN!"
"Terpulang, tapi kalau kamu dah tahu masalah dalam BN banyak, maka elok tahun ini kamu tukar selera!"
"Yalah bang, saya ingat saya nak tukarlah. Apa cadangan abang?"
"Tulah, saya cadangkan undi selain BN," kata saya.
Dia ucapkan terima kasih. Dia rasa lega.Sebelum nak balik, dia ajak saya ke warung lagi. Nak minum. Saya kata tak apalah, terima kasih. Lain kali. Dia nak sembang lagi hal politik. Ini sembang warung.
Secara tak langsung, ini merupakan kempen bisik.
Anehnya, pemandu teksi di Kuala Lumpur pun bukan main hebat kritikannya. Sepanjang yang saya tahu, mereka kritik bantuan beli tayar teksi. Itu tak ada kesan apa. Mereka tetap sindir dan perli, apa sangatlah tayar teksi, sedangkan mereka para pembesar telah "sapu" duit rakyat begitu banyak sampai ratusan juta.
Teringat saya ada pemandu teksi komen, kalau orang biasa, terlibat kes bunuh, sudah lama jatuh hukum. Silap haribulan dikira subahat dalam kes bunuh, kena hukum puluh tahun dalam penjara.
Di negara yang sistem dikawal, katanya, orang kecil selalu jadi mangsa. Bayangkan, kes yang tidak seberapa pun orang kecil masuk penjara sampai bertahun-tahun, sedangkan orang kesar dendanya kecil.
Nampaknya pemandu teksi KL cukup cerdik. Mereka kata, apa sahaja yang mereka bagi kita balun. Lagipun undi kita rahsia [kecuali undi kawan yang kerja sekolah memandu tadi, tak rahsia lagi pada saya].
Kemudian, ada seorang lelaki India beritahu saya, "Dia bagi BRIM RM500 suruh rakyat jimat, tapi dia sapu RM500 juta diboroskan!" Begitu bijak rakyat sekarang. Mereka selalu berbicara sambil melontarkan komentar secara tak langsung.
Dan di mana-mana kedengaran orang menyatakan rasa resah gelisahnya dengan "Pencapaian Diutamakan." Mereka juga resah dengan agenda media milik UBN yang setiap hari mainkan isu perkauman dan agama.
Ada juga yang komen begini, katanya, kalau kita tak mahu ada Bible dalam bahasa Melayu, kita jangan kempen sangat guna bahasa Melayu, kita kempen guna bahasa Inggeris. Apabila orang bercakap orang putih, tidak timbul Bible bahasa Melayu. Dasar pelajaran kebangsaan itu telah menjadikan Michael, Fredoline, William dan Robert [kawan saya dari Sabah] yang semuanya mengaku beragama Kristian tetapi mereka tidak pandai bertutur bahasa Inggeris melainkan bahasa Suku mereka di Sabah. Orang macam mereka ini perlukan teks dalam bahasa Melayu yang mereka fahami. []


TENGOK SYIAH DARI JAUH [3]

Tengok Syiah dari jauh maksudnya seperti kita tengok rumah terbakar dari jauh. Tak tahu apa cerita dalam rumah, yang kita nampak asapnya sahaja. Kalau datang bomba, kita tengok dari jauh apa bomba nak buat. Begitulah dengan Syiah ini, kerana kita bukan orang Syiah, kita melihat Syiah sekadar dari bahan pustaka sahaja.
Khabarnya, Dr Musa Musawi pernah mengkritik Syiah - "Satu Pandangan Kritis Terhadap Syiah." Musa adalah cucu kepada Abu Hassan al-Musawi, seorang imam besar juga. Beliau nak betulkan agar Syiah Rafidhah itu mengurangkan ajaran bid'ah di dalamnya, bukan setakat bid'ah biasa, malah melampau-lampau. Dia merancang suatu reformasi untuk membaiki Syiah agar tidak melarat-larat. Sayangnya, orang putih main peranan, Barat tidak suka Syiah yang melarat-larati diperbaiki agar sempurna, agar tidak terpesong ajarannya. Rupanya, Barat ada agenda. Mereka lebih suka umat sedunia terkecoh dengan permainan Syiah ini.
Apa sahaja yang Musa sebut sebagai perkara bid'ah dalam Syiah Rafidhah itu?
  • Kasih yang melampau terhadap Syaidina Ali r.a. serta ahlinya. Tetapi para sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam diperlecehkanm termasuk isteri Nabi sallallahu alaihi wassalam juga.
  • Kepercayaan yang sangat tinggi bahawa selepas kewafatan Nabi sallallahu alaihi wassalam, jawatan Khalifah patut jatuh kepada Syaidina Ali r.a. kerana ia adalah perintah Allah subhanahu wa Taala. Sayangnya dalil yang dicari tidak ada pula.
  • Mereka terpengaruh dengan ajaran taqiyah - boleh main tipu - agar semua pengikut Syiah ikut bertaqiyah juga kepada orang lain. Itu adalah fatwa Jaafar al-Sadiq. Dia kata taqiyah itu adalah ad-diennya dan ad-dien ibu bapanya. Khabarnya inipun dusta kerana Jaafar al-Sadiq adalah orang as-Sunni.
  • Imam mereka yang bilangan 12 orang adalah maksum belaka. Maksudnya, para imam mereka hebat belaka. Konsep Khalifah dan imamiyyah mereka begitu istimewa, sedangkan dalam as-Sunni Khalifah tidaklah maksum.
  • Syahadahnya lain. Ada tambahan Asyhadu anna Aliyan waliy Allah [aku naik saksi bahawa Ali adalah wali Allah]. Syahadah ini boleh kita dengar kalau mereka azan. Nasib baik kita belum dengar azan mereka berkumandang di masjid yang ada. Jika tidak, nanti orang kata pelik. Ada lagi tambahan dalam azan iaitu: "Hayya 'ala khoiril 'amal" -- masjid di Iran memang begitu.
  • Boleh amal sujud di tanah Karbala mengambil sempena kubur Hassan di sana. Tanah atau batu dari Karbala itu diletakkan di tempat mereka sujud dalam solat. Kalau solat di masjid as-Sunni mereka sorokkan [tetapi kawan saya tak sorok, sengaja dia letak atas lantai masjid dan solat, saya pun tak ambil peduli dengan fatwanya itu]. Khabarnya, ada yang mengulangi solat di rumah kerana di tempat umum tadi malu nak letak batu atau tanah Karbala.
  • Imamah itu satu jawatan Illahi, tak boleh buat main. Kena ikut. Ada 12 Imam semuanya, tetapi Imam ke-12 telah hilang ghaib, sementara ghaib kuasa Illahi itu kena diturunkan kepada imam-imam lain seperti Khomeini dan penggantinya. Ketua agama [faqih] sangat dihormati. Semua orang kena patuh kepadanya. Kerajaan Islam berkhalifah tidak sah kalau tidak dipersetujui oleh ketua agama ini. Lagipun ketua ini mewakili Imam Mahdi yang masih ghaib. Dia dipercayai, dia diyakini masih hidup dan usianya sekarang 1180 tahun! Ia dikira dari zaman keghaiban masa kanak-kanak. Kalau dia muncul nanti dia akan melengkapkan al-Qur'an yang ada [dikatakan ada "surah al-Wilayah" tidak dimuatkan dalam al-Quran]. Sementara nak menunggu Imam Mahdi mereka kena taqiyah jugalah dengan membaca al-Quran sebagaimana as-Sunni. Kalau sudah ada teks versi baru yang mereka tunggu, baharulah mereka tumpu kepada Mushaaf yang ada -- khabarnya bernama Mushaaf Fatimah, ada 17,000 ayat [maksudnya memang sudah ada sebab mereka tahu ada berapa bilangan ayatnya]. Cerita mitos ini terangkum dalam Ushulul Kafi kitab pegangan mereka.
Ada lagi hal-hal yang membuatkan kita geleng kepala.  Mereka boleh solat tiga waktu sahaja, sedangkan kita lima waktu. Solat Jumaat kita wajib, mereka anggap tak wajib. Hari Jumaat lepak di restoran atau di taman-taman adalah hal biasa bagi mereka [saya banyak bergaul dengan pelajar Iran ketika di Balakong dulu], akan tetapi mereka bertaqiyah, tidak menonjolkan Syiahnya. Apa nak hairan, rukun iman mereka hanya berpaksi kepada tauhid, kenabian, imamiah, keadilan dan Qiamat. Taqiyah ini penting, ia dianggap rukun agama. Iaitu memperlihatkan sesuatu berbeza dengan apa yang mereka yakini.
Syiah memang merancang untuk menSyiahkan dunia.

GOLONGAN UMAT
Mereka sudah berada di Bahrain, di Iraq, Lebanon, Mesir dan Saudi [di Ihsa' dan Najran]. Di Nusantara mereka agak kepayahan kerana ajaran Syiah kurang meyakinkan. Berbagai cara ajaran ini hendak dikembangkan. Lagipun memang khabarnya ada dana khusus untuk penyebaran Syiah di merata tempat.
Apabila orang yang sudah lama berpegang kepada as-Sunnah baru mula kenal Syiah, maka dia hanya berbaju Syiah. Walau baru belajar tentang Syiah, dia tetap as-Sunni. Rajin baca buku tentang Syiah belum mampu jadi seorang Syiah. Begitu juga kalau sekadar lawat Karbala ikut rombongan. Tetapi, atas nama penyebaran ajaran Syiah, apa sahaja boleh dilakukan.
Sebenarnya umat pun kebingungan. Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah menyebut bahawa umat Yahudi berpecah kepada 71 golongan. Nasrani pula kepada 72 golongan. Sementara umat Islam berpecah kepada 73 golongan. Setelah dicampur ada berapa pecahan?
Semua yang berpecah ini masuk NERAKA. Sementara yang SATU sahaja masuk syurga?
Jadi berhati-hatilah, kerana ajaran as-Sunni sendiri pun belum beres, mahu mempelajari Syiah pula. Sudahnya nanti berada di tengah-tengah antara as-Sunni dan Syiah. Atau ada pula pemikiran baru nanti menggabungkan dua ajaran, berselirat dan caca-marba. Akhirnya semuanya mahu menunggu al-Mahdi yang tak muncul-muncul.
Banyak lagi sisi lain, selok-belok keSyiahan yang masih rahsia yang kita tidak ketahui. Buat sementara waktu, mereka yang melihat Syiah dari jauh adalah berpandukan kitab-kitab pegangan mereka.

ALI SUSUN KITAB
Kalau ikut cerita mereka tentang Ali dan Syiahnya, maka selesai menguruskan jenazah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, Ali tidak mahu keluar ke mana-mana. Dia mengumpulkan al-Quran.
Dikhabarnya cara Ali menyusun begitu teliti sesuai dengan urutan ketika diturunkan. Beliau juga mencatat ayat-ayat mana yang umum dan khusus, yang mutlak dan muqayyad, yang muhkam dan mustasyabih, yang nasikh dan yang mansukh; diterangkan etika membaca al-Qur'an dan mempelajarinya, dan ada asbabun nuzulnya sekali.
Setelah selesai susun al-Qur'an, beliau menyusun sebuah kitab untuk isterinya Fatimah, iaitu kitab yang diberi nama Mushaaf Fatimah, tetapi dalam hal ini ia dikatakan mengandung pepatah, perbahasa, nasihat, kisah-kisah, cerita menarik untuk menghiburkan Fatimah yang ditinggalkan ayahnya [Nabi sallallahu alaihi wasallam].
Selesai susun kitab itu Ali menyusun lagi kitab lain diberi nama Shahifah pula.
Kata Ali, "Tidak ada pada kami suatu kitab yang kami baca di samping Kitab Allah, kecuali Shahifah ini."
Sampai di sini, yang melibat Syiah dari jauh kebingungan.
Jadi, Mushaaf Fatimah itu bukanlah sebuah al-Qur'an, melainkan karangan Ali untuk menghiburkan isterinya.
Hanya yang membingungkan kenapa ada yang mengatakan dalamnya ada 17,000 ayat. Kalau benar ia bukan Kitab Allah, maka tidak perlu hendak menghitung jumlah ayatnya.
Mungkin ada orang as-Sunni ingin tahu, apa sudah jadi dengan Mushaaf Fatimah dan Shahifah itu? Kenapa tidak diterbitkan untuk dijadikan bahan bacaan pengikut Syiah?
Atau versi Mushaaf Fatimah yang dikatakan hanya akan ada ketika al-Mahdi itu adalah lebih mantap dari Mushaaf Fatimah susunan Ali? Wallahu a'lam. []

Tuesday, 5 February 2013

SYIAH DARI KEJAUHAN [2]

Saya teringat pada sebuah wacana tentang buku yang disusun oleh isteri Kang Jalal, orang kuat Syiah di negara jiran itu, tokoh yang diundang membedah buku mengkritik habis-habisan buku itu.
Kang Jalal rupanya kepayahan hendak menjawab apa yang dilontarkan oleh panel. Lalu dia lebih senang kalau dapat beberapa persoalan yang dibangkitkan itu dijawab secara bertulis. Dia akan menjabarkan lebih panjang lagi.
Sesuatu yang menarik, di majlis itu turut disebutkan bahawa buku DIALOG SUNNAH SYI'AH [cetakan 1983] dianggap sebagai suatu kekeliruan.
Kerana khabarnya, buku yang asalnya dalam bahasa Arab [AL-MURAJA'AT, A.Syarafuddin al-Musawi] itu hanya diterbitkan setelah ketiadaan Asy-Syaikh Salim al-Bisyri al-Maliki.
Setelah beliau meninggal baharulah buku itu diterbitkan. Itulah khabar yang banyak disebarkan berkaitan dengan buku yang diharapkan dapat mencari titik persamaan antara Sunni dan Syi'ah.
Buku yang telah beredar lama sejak tahun 80-an ini sebenarnya diterbitkan bagi mententeramkan keadaan agar Syi'ah itu dipandang biasa-biasa sahaja, meskipun bukan tidak ada yang usaha pihak tertentu agar Syi'ah itu diberi ruang untuk menjadikan umat memiliki LIMA mazhab.
Apa pun tindak-tanduk Syi'ah yang nampak memusuhi Sunni di tengah kancah pergolakan politik baik di bumi Iraq dan konflik yang berlaku di Syria sekarang, maka orang Sunni begitu bimbang jika memberikan ruang berlebihan kepada Syi'ah.
Lihat sahaja apa yang telah terjadi di Iraq. Amat sukar untuk memulangkan politik Iraq kepada Sunni seperti di zaman Saddam Hussain. Baharulah orang tahu, kenapa Saddam begitu keras ketika mengurusi Iraq sebelum adanya campur tangan asing di Baghdad.
Campur tangan asing itu begitu digemari oleh Syi'ah walaupun secara berdepan mereka cukup lantang mengkritik Amerika dan campur tangan asing di bumi Iraq.
Hakikatnya, dengan tumbangnya Saddam, puak Syi'ah lebih menonjol dan menunjukkan kebencian mereka terhadap Sunni.
Kini Iraq masih "bergolak" kerana masalah Sunni menjadi kelompok minoriti manakala Syi'ah adalah majoriti.
Krisis di Syria menampakkan tembelang sebenar. Jelaslah watak Syi'ah yang selama ini tersorok. Ketika kecil belum diberi kedudukan mereka begitu setia mendukung perjuangan umat Palestin. Mereka seolah-olah bermain sandiwara di pentas dunia.
Apakah jujur lontaran kritik Syi'ah terhadap Zionis? Kita tidak tahu apa akhirnya yang akan terjadi di bumi Syria. Pergolakan di Syria itu perlu difahami berlandaskan dua paksi yang bertentangan tetapi dalam saluran lain ia semacam saling membantu.
Buku DIALOG yang disebutkan tadi, walaupun sudah lama diterbitkan dan dipasarkan, tetapi tidak lama dulu ia diedarkan ke masjid-masjid bagi tujuan melebarkan kefahaman tentang ajaran Syi'ah kepada umat Melayu.
Dalam dunia Syi'ah juga termuat sebuah mitos Imam Mahdi yang versinya berbeza sama sekali dengan Mahdi yang Sunni fahami. Sebuah mitos pun kadang-kadang dijadikan pegangan dan keyakinan Syi'ah, mereka teguh meyakini bahawa ada manusia yang boleh ghaib dan kemudian akan muncul untuk menjadi juruselamat. Ia macam Ratu Adil yang diharap muncul di Indonesia. []
 

Sunday, 3 February 2013

PLURALISME DIKAITKAN DENGAN PAKATAN RAKYAT

KEBETULAN mengikuti siaran Radio Dekta, Sabtu, yang telah dirakamkan sekian lama, saya mengikuti wacana yang disampaikan oleh Dr Adian Husaini yang begitu tekun mengkaji soal liberalisme, pluralisme dan termasuk isu LGBT yang mengecohkan, bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia, isu seperti ini sudah dijadikan "lemparan sampah" oleh penguasa untuk menghina dan menista lawan politiknya.
Apabila sarjana dari seberang ini diundang ke negara kita, sudah tentu kita tahu siapa pihak panitianya. Dan atas dasar apa dia diundang. Setidak-tidaknya kerana di Malaysia tidak ada pakar yang menonjol membicarakan soal liberalisme, Islam liberal, pluralisme dan isu LGBT maka kita terpaksa undang orang luar untuk berbicara.
Memanglah, sarjana itu mengakui keadaan di negaranya sudah amat parah, bahkan setahu saya, isu tuntutan hak untuk berkahwin antara lelaki sama lelaki juga sudah semacam menggila. Di negara kita belum kedengaran lagi, tapi jangan hairan, sudah ramai yang "bersekedudukan" antara jantan dengan jantan demi nama kebebasan.
Rakan penulis di Brisbane yang saban minggu berwacana juga ketawa kerana di Australia juga sedang menggilanya pihak tertentu menuntut agar diberikan hak. Saya bilang, ini memang dajjal yang sengaja dimunculkan ketika dunia sudah akhir zaman.
Apa yang hendak dinyatakan adalah betapa jahatnya pihak panitia yang menganjurkan program atau acara yang mewacanakan isu seperti tersebut sengaja hendak menonjolkan kepada sarjana asing bahawa di Malaysia apa kurangnya walaupun isu Islam liberal tidak membekas pun.
Begitu juga isu pluralisme. Ia tidak jadi kudis. Tetapi disebabkan faktor politik, tergamak ada kalangan sarjana tempatan [dah tentu berbau Umnoisme] mengatakan jangan hairan di Malaysia pun sudah galak isme seperti liberalisme, LGBT dan pluralisme kerana ia "dipelopori" oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Sarjana luar itu berwacana melalui corong radio swasta bagi menggambarkan rasa peliknya, seseorang tokoh yang dikenali di rantau ini menjadi seorang yang pluralisme.
Saya fikir, sesuatu patut dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk mengundang sarjana yang sama untuk diberikan penjelasan apa sebenarnya. Katakan kepada sarjana itu bahawa dia datang ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Trengganu, adalah bertujuan untuk mengkayakan politik sebelah pihak.
Isu yang dibangkitkan itu sebenarnya bukan isu. Masyarakat Malaysia langsung tidak peduli dengan istilah besar seperti liberalisme, pluralisme dan isu LGBT, kerana hanya kalangan yang "sakit" sahaja menyertai kelompok itu.
Sudah lama kita katakan, bahawa isu gay, lesbian dan sebagainya adalah bawaan dari liberalisme Dr M yang umum sudah mengetahuinya. Beliaulah tokoh yang mendobrak tatasusila umat di Malaysia. Negara yang aman daripada angkara gay dan homoseksual tetapi kemudian dicanangkan secara leluasa dalam media apa sahaja bagi tujuan "menembak" musuh politiknya.
Inilah senjata yang dihalakan oleh pihak penguasa terhadap musuhnya sehingga sanggup mengadakan seminar atau apa sahaja demi membuktikan di dalam kesimpulan bahawa semuanya kerana seorang tokoh di tanah air sendiri [bahan seminar kemudian diulas dan dipaparkan dalam media termasuk Utusan Meloya].
Rakyat sudah tahu, siapakah tokoh yang mempopularkan homoseksual dan perlakuan liwat di negara kita. Dari anak kecil sampai ke orang tua semuanya kena belajar istilah baru. Kini mereka mahu tahu juga apa itu liberalisme. Tanyakan kepada anak ahli politik yang mendukung Dr M, mereka tetap tidak dapat menjawab istilah yang besar itu. Untuk sampai ke situ kita kena kaji sejarah pemikiran yang berselirat dan memualkan. Inilah matlamat dalam orde baru dunia.
Matlamatnya agar kita kecoh, saling tuduh menuduh, menistakan, menghina seseorang demi kepentingan tertentu. Dalam soal ini kita berpura-pura hendak menjaga akidah umat, berbicara tentang hukum moral, sedangkan kita sendiri tenggelam di dalam permainan orde baru dunia.
Pluralisme maskudnya suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama sahaja, dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif, oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh mendakwa hanya agama mereka sahaja yang benar, sedangkan agama lain salah. Pluralisme juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup dan berdampingan di syurga.
Liberalisme pula maksudnya memahami nas-nas agama [al-Qur'an dan as-Sunnah] dengan menggunakan akal fikiran yang bebas; dan hanya menerima doktrin agama yang sesuai dengan akal fikiran semata-mata. Wallahu a'lam bishowab. []

Saturday, 2 February 2013

FILEM SERAM MENYERAMKAN PANGGUNG?

NAMA pun cerita seram. Kenalah buat seseram yang boleh. Kalau tak seram, kena seram-seramkan agar menjadi seram. Lajakkan episod itu biar berjela, masukkan kesan bunyi, campur ringkikan syaitan dan iblis agar "dag-dig-dug" jadinya. Bagi yang suka tengok wayang berduaan, masa inilah nak tunjuk ketakutan anda, kalau ada yang mengejutkan, buatlah terkejut yang bukang kepalang sehingga terpeluk rakan sebelah. Atau kalau yang suka "auw-auw!" maka dalam pangung itu suara dia sahajalah yang memecahkan suasana.
Ini bab cerita seram dalam panggung.
Sudahlah namanya cerita seram, sudah tentu hendak menyeramkan audien yang datang. Yang masuk panggung pun bukan kaki wayang sebenarnya. Ada yang masuk panggung sebab terpengaruh dengan ulasan dalam majalah dan akhbar. Atau nak tahu bagaimana si fulan itu berlakon. Lagipun sembang tentang pelakon filem selalunya berpanjangan, ada sahaja paparannya setiap hari atau minggu.

FILEM BARU
Orang mungkin tidak terfikir kenapa drama dan filem seram digemari. Kini audien sedang disajikan dengan filem MINYAK DAGU. Ia seolah-olah lanjutan kepada cerita seram yang lampau -- JANGAN PANDANG BELAKANG, SUMPAHAN KUM KUM, MANTERA, NGANGKUNG dan KHURAFAT.
Cerita-cerita kemistikan memang digemari khalayak. Ketika tazkirah pun, kalau ustaz pandai heret cerita seram, memang semua orang duduk terpaku mendengarnya, terutama kisah-kisah yang berhubungan dengan mayat. Urusan jezanah dan sebagainya.
Cerita seram baik apa pun tajuknya, ia sekadar sensasi. Orang bukan hendak kebenaran cerita, tetapi ia hanya salah satu bentuk hiburan yang dianggap santai. Bagi kanak-kanak sensasi seram itu berbeza sekali dengan penonton dewasa.
Dalam soal karya, filem adalah sebuah fiksyen, maka ketepatan atau kesempurnaan itu bukanlah sesuatu yang didambakan.
Sebuah filem seram telah dipanggungkan, bilangan penonton kurang menjadi, akan timbul persoalan kenapa dan mengapa? Adakah genre seram sedang menurun?
Penonton silih berganti, orang lama tak jenguk panggung, datang orang baru pula. Begitulah putarannya. Soal pecah panggung atau tidak memang bukan boleh dirancang.

FAKTA
Ada yang suka buat filem seram sebabnya ia tidak melibatkan persoalan fakta. Kalau filem mengenai orang sakit, kena buat kajian penyakit apa, bagaimana kaedah rawatannya, peralatannya, istilah perubatannya dan macam-macam.
Nak siapkan skrip filem begini kena rujuk pakar perubatan tertentu. Jadi, zaman kita buat drama dan filem cara lama tak boleh diterima lagi. Dulu kita suka sanggat buat kaedah kematian mengejut -- pewatak dimatikan oleh faktor barah otak, sakit jantung dan sebagainya.
Dalam bab mistik filem seram, mereka membuat kebarangkalian yang seluas-luasnya. 
Ia tidak melibatkan fakta. Walaupun begitu, adegan untuk buat minyak dagu biarlah ada kelogikannya, kerana bukan tidak ada di kalangan penonton yang masuk panggung kerana nak tahu kaedah buat minyak dagu mengikut versi filem itu.
Umpamanya, bolehkah di dalam dunia nyata, seseorang itu korek kubur dengan begitu mudah tanpa melalui perancangan yang serba lengkap?
Dengan lain perkataan, kerja korek kubur untuk keluarkan mayat bagi mendapatkan minyak dagu adalah kerja yang sangat rumit dan berat. Bukan semua mayat boleh dikorek untuk didagukan.
Ada syarat maratnya. Ada cirinya. Bukan asal perempuan mati sahaja nak dikacau kuburnya.
Ia tidak begitu. Rumit dan melelahkan.
Kalau boleh ia melibatkan kelompok tertentu supaya tidak ada kacau-ganggu ketika kerja karut itu dilakukan.

SUKAR
Nampak mudah dalam cerita filem, sedang pada kenyataannya sangat sukar.
Bab korek kubur itu sendiri pun sudah jadi seram dan takut. Seram kerana pengorek tidak tahu anasir yang tidak dilihatnya. Takut kerana bimbang siak kubur jenguk kubur waktu malam. Lintang-pukang jadinya. Kecoh. Siap panggil wartawan Metro atau wartawan Misteri.
Untuk menyediakan skrip filem juga bukan mudah. Kalau tak tahu asal-muasal minyak dagu, maka skrip tak boleh nak tulis. Kena ada rujukannya. Tanya orang yang boleh sembang tentang minyak dagu. Catat sembangnya. Bandingkan sembang tentang berbagai perkara tentang isu ini. Bandingkan untuk mencari persamaan dan perbezaan.
Memang tidak ada teks rujukannya pun. Teks yang ada adalah teks bergerak. Sembang yang dipindahkan dari mulut ke mulut sampai ke teks skrip filem. Sebuah filem sama seperti sebuah teks. Untuk buat teks kena pergi ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang sebenar.
Bab minyak dagu yang difilemkan ini sebenarnya sudah jadi bahan sembang sejak lama dulu. Dunia perdukunan Melayu sudah tahu akan adanya minyak dagu sebagai minyak pengasih yang hebat. Akan tetapi kalau kita hendak menghebatkan minyak dagu tanpa landas ilmu jadilah seseorang itu menggantungkan harapannya kepada minyak dagu semata-mata.

TIDAK ADA
Minyak dagu tidak ada dalam ajaran Islam. Ajaran Islam menentang minyak dagu. Sudah menjadi tabiat manusia, mana-mana yang ditegah, itulah yang hendak dijengah. Minyak dagu hanya mainan kalangan bukan Islam, ia sejenis ilmu yang dipelajari dan menjadi warisan kelompok perdukunan tertentu sahaja. Ia pun bukanlah lahir dari wadah budaya Melayu.
Kita tidak mengkaji dari mana asal mulanya orang mencipta minyak dagu.
Teori mana yang mereka pakai. Tentu ada pemulanya.
Atau ada dukun yang mereka-reka ilmu ini sehingga ia jadi mantap menjadi sebahagian ilmu pengasih.
Inilah yang kita tidak kaji.
Andai ada sebuah "Tajul Muluk" atau "Primbon" kita mahu tahu juga daripada mana ia mendapat ilmu ini. Kita bimbang asal-muasalnya adalah dari para pendeta agama mereka.
Meskipun kita menyedari ia ilmu yang tidak boleh dijadikan ikutan, kefahaman budaya yang mentah menyebabkan kita menganggap ia sebagai "permainan rakyat" sahaja.

KOKANG
Jika kaedah membuat minyak dagu begitu payah dan menakutkan, ada juga orang mencuba minyak sejenis haiwan yang dipanggil kokang. Tetapi biasalah, mereka yang meminta syarat yang berat, cari kokang mati beragan.
Ini kerja susah. Masuk hutan keluar hutan, naik gunung turun gunung belum tentu jumpa kokang mati beragan. Kita tunggu ada filem akan datang KOKANG MATI BERAGAN pula.
Genre filem seram masih ada pasaran.
Dengan sebab itu masih banyak lagi judul filem seram yang akan muncul di masa akan datang. Lagipun, gambaran penampakan hantu adalah rekaan sahaja.
Tidak ada sesiapa yang boleh tangkap gambar hantu.
Percubaan seorang sahabat mengambil gambar hantu dengan kamera digital hanya menampakkan semacam asap putih yang membentuk rangka makhluk misteri.
Penampakan hantu atau syaitan dalam filem kita adalah rekaan kreatif dalam kerja sinematografi.
Sebenarnya, setiap panggung di mana-manapun sudah menjadi sarang kepada makhluk halus.
Dengan tempat yang sunyi, gelap, ada bunyi muzik dan nyanyian, ada pergaulan bebas di dalamnya, ada kelekaan umat ketika berhibur, maka amat sesuailah ia berada di panggung.
Sebelum panggung itu menayangkan filem seram, ia sebenarnya adalah ruang seram yang tidak disedari. Akhirnya, filem seram itu memang seram kerana yang datang memadatkannya hendak mengetahui tahap keseraman masing-masing.
Bahkan bukan tidak ada, ketika pewatak menyeramkan muncul, penonton tertawa. Ia sudah jadi komedi seram pula. Wallahu a'lam bishowab. []