Tahun 80-an. Dia kerap berjalan sana-sini ajak Pak Dina Perak.
Orang tahu, setiap kali dia jumpa Pak Dina, dia pasti ajak Pak Dina cari masjid atau surau.
Nak cari apa bang?
Awak apa tahu?
Mula-mula park kereta dalam kawasan masjid atau surau. Siapa nak solat sunat buatlah, kalau tak pun boleh rehat dan baring-baring.
Ketika baring-baring gitu, bolehlah ronda, tengok papan kenyataan masjid atau surau.
Lepas tu, tengok, mana tahu ada surat terselit.
Yang penting adalah surat kutipan derma.
Buka surat itu. Surat untuk masjid atau surau dia buka.
Wah, ada surat dari sebuah NGO nak kutip derma itu dan ini.
Wah, ada surat dari rumah anak yatim nak sumbangan derma.
Wah, ada surat dari surau nun jauh di sana, nak sumbangan dermawan.
Maka Pak Li pun bukan main suka.
Jum kita pergi.
Keduanya tinggalkan masjid dan surau. Kereta Ford buruk berjalan perlahan menyusuri kota.
Di pinggir kota, kereta buruk berhenti.
Ada gerai mamak.
Jum singgah, boleh minum kejap!
Keduanya pun duduk, order minuman sahaja. Jangan makan.
"Kita ada projek bagus," kata Pak Li, sambil membuka sampul surat. Kertas putih itu adalah surat permohonan sumbangan dari sebuah rumah anak-anak yatim.
"Pak Dina, bawak surat ni, pi masuk kedai mamak tu!" dia beri arahan.
Sebelum ke kedai mamak itu, Pak Li suruh Pak Dina betulkan kupiah hitam.
Dengan gaya bersahaja, Pak Dina pun masuk ke kedai mamak. Dia bagi salam. Dan kemudian bersalaman dengan kasier di kedai itu. Dia hulurkan kertas kutipan derma yang bukan miliknya pun.
Kemudian entah apa yang dia cakap.
Kasier tarik laci, serahkan duit RM10.00.
"Tak payah tulislah!" kata orang itu.
Kemudian Pak Dina tuju kedai lain pula. Dia buat lakonan yang serupa. Dapat lagi RM2.00 jadilah!
Pergi lagi ke gerai makan lain, dapat lagi RM5.00. Dan begitulah adegannya berlanjutan. Akhirnya dia dapat, dapat dan dapat!
Hasil dari kutipa derma itu dia boleh makan dan minum. Boleh isi minyak kereta buruk.
Dari KL boleh merambu sampai ke Negeri Sembilan.
Masjid dan surau jadi tujuan.
Restoran dan gerai makan jadi habuan.
Begitulah rupa-rupanya cara Pak Li cari duit.
Dia memang tak ada kerja pun. Nak bawa list derma macam itu, Pak Li tak berani. Dia kena ajak Pak Dina. Lagipun Pak Dina ada tokoh mintak derma.
Kekadang dia ajak Pak Ja Rongak.
Kalau Pak Dina pergi luar negeri, maklum kekadang dia ikut tabligh, Pak Li kena cari orang lain. Orang yang boleh subahat kutip derma tipu.
Ada juga orang bagi cek atas nama yayasan atau rumah anak yatim itu. Jadi, dia kena poskan jugalah. Mana-mana yang tunai disapu sahaja.
Bertahun-tahun Pak Li buat begitu rupanya.
Sebenarnya Pak Li bukan sebarang orang. Dia boleh pikat adik menteri. Inilah kehebatannya.
Pernah tersiar dalam akhbar Inggeris, adik menteri itu mengadu ada suami tetapi tak balik-balik.
Ke mana dia pergi?
Ntahlah!
Pak Li memang hebat. Kepandaiannya adalah mencetak cinta kepada perempuan muda.
Dari cikgu sekolah berasrama di KL hingga staff nurse dapat dipikatnya.
Jangan hairan, isteri tua tak peduli langsung. "Lantaklah!"
Dalam kereta Ford buruk itu dia letakkan diari PDRM.
Pernah ada sekatan jalan raya di suatu tempat.
Pak Li tidak gelabah. Dia nampak ada projek kecil tepi jalan. Maka sebelum menempuh road block di depan dia sudah konar ke kiri.
Kereta buruk berhenti. Buka bonet. Keluarkan beg hitam. Keluarkan pelan. Letak atas kereta. Tunjuk peta kepada kawan. Pak Dina jadi sasaran. Kena berlakon, sebab polis ada depan sana. Road tax dah mampus ni!
Sambil menjeling ke arah sekatan polis, Pak Li berlakon bentang pelan. Pelan itu tak ada kaitan apa pun sebenarnya. Hanya action sahaja yang lebih.
Tidak cukup buka pelan, dia pergi masuk ke kawasan projek orang.
Ada bebudak Indon sedang bekerja.
Dia berborak-borak dengan budak Indon yang sedang berehat. Pura-pura jenguk pondok dan tempat tinggal mereka di rumah kongsi.
Cantik sekali lakonan mereka.
Nak teruskan jalan tak boleh, bakal kena tahan.
Maka, apa cerita? Mereka patah balik. Langsung tak tempuh sekatan polis.
Kalau ada sekatan pun tawakal sahajalah dengan diari PDRM yang dia letak atas dashboard.
Pelakon yang tidak terkenal ini, berupaya memikat janda-janda.
Matlamat sebenar, dia nak cari janda kaya. Tidak kira tua pun tak apa.
Pak Li memang suka bergaya.
Setiap hari dia pakai kemeja putih lengan panjang dan seluar hitam. Kasut kilat memancar.
Disebabkan penampilannya itu, ada yang sudah anggap dia seorang peguam. Dapat pikat perempuan pulak tu.
Dengan penampilan begitu, dia dapat pikat misi muda di hospital.
Kawan dia hairan. Pak Li ada berapa orang isteri? Kerja pejabat Jalan Duta, cikgu Air Kolam, misi hospital, banyak kali dia kahwin hingga tak tahu siapa isterinya. Kawan-kawan pun tak tahu.
Berkat kepandaian berlakon dan menggesek biola, dia pernah dapat job kecik, mengecat "masjid/surau" Balai Polis Dang Wangi [surau lama imam Pakistani sebelah Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi].
Pernah dapat job kecik repair dapur di Kg.Bahru, KL.
Dapat duit dia terus beli simen dan pasir, letak tepi tangga.
"Wah, ini kontraktor yang bagus, serah duit pendahuluan terus datang bawa pasir dan simen. Bila boleh start kerja?" tanya tuan rumah [lupa jalan mana di Kg.Bahru,KL].
"Esoklah!"
"Kalau macam tu aku bayar habislah!" kata tuan rumah.
Khabarnya, tuan rumah marah. Dapur dah dipecahkan dindingnya, tapi Pak Li dah cabut. Dia biarkan simen dan pasir di depan rumah dan bawah tangga.
Bijak! Bijak!
Pak Li happy dapat duit. Esok dia buat program lain. Ada duit bolehlah lambung kunci kereta. Boleh pinjam kereta kakak. Boleh melaram pakai Volvo atau Merce!
Dek kerana pandai melaram, akhirnya, ada orang tertarik dengan penampilannya yang smart sepanjang hayat. Maka dia boleh pula join parti politik unggulan.
Dia rebut jawatan juga, di suatu tempat tak jauh dari Lapangan Pesawat Negara.
Jadi orang kuat dalam Pemuda. Sudah kira hebat.
Kalau boleh nak cabar Bahagian pula.
Ilmu politik tak cukup hebat, maka kecundanglah dia.
Biarpun kecundang, dek kerana kesmartan yang diperagakan setiap hari, khabarnya dia sudah bergelar Dato'.
Lucu juga.
"Dulu dia kutip derma dengan aku tau!" kata seorang kawan rapat yang sudah jadi jutawan hebat kerana tanahnya dilanggar projek pelebaran jalan dekat Lapangan Terbang Sungai Besi.
Dalam diam-diam, sesiapa yang pernah kutip derma tipu boleh bergelar Dato'. Dalam diam-diam, siapa yang pernah lari kerana ada orang nak tangkap sebab bawa list derma tipu boleh jadi jutawan.
Cerita lucu ini saya dapat di Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur.
Jutawan ketawa suka. Makan King Burger sambil menceritakan kekayaan yang bukan kepalang. Tak sangka ya, dulu susah sekarang senang?
Ketawa lagi.
Yang sudah bergelar Dato' tadi ke hulu-hilir bawa kereta merce, isteri dia punya. Bukankah dia dari dulu sudah janji nak cari janda kaya. Dia dapat produser!
Dan hasil dari berpolitik di hujung negeri, dia dapatlah beberapa lot bangunan kedai. Memanglah, matlamat berpolitik hanya untuk sapu tanah atau sapu bangunan atau lot projek.
Siapa pandai?
Pada akhir tahun lepas saya terjumpa balik jutawan yang ketawa besar kerana mentertawakan zaman susahnya. Kutip derma, jadi bomoh dan macam-macam untuk dapat duit.
Dia mengadu, bahawa dia bukan jutawan lagi. Duit dah habis. "Aku baru sampai sini, tadi pergi hospital jumpa doktor! Aku sakit! Aku nak merayu, kenapa aku tak boleh dapat BRIM RM500?" katanya.
Saya jawab, "Macam mana nak dapat, kamu jutawan!"
Dia tertawa.
"Itu dulu!"
Ya, itu dulu. Setahu saya melalui pengakuan, dan surat yang ditunjukkan kepada saya, dia telah dapat lebih dari RM2 juta!
Dek kerana boros, RM2 juta habis begitu sahaja.
Kini, apa khabarnya, saya pun tak tahu.
Nama pewatak dalam cerita sudah ditukar. Tetapi lokasi benar.
Kalaulah pengutip derma tipu yang dulu hampir nak kena cekup di Teluk Intan [kedai buku Buyung] boleh dapat Dato' apa nak hairannya.
Samseng pun boleh bergelar Dato'.
Jutawan yang saya ceritakan ini adalah cerita benar. Saya pernah temuramah dia berkenaan kisah orang Mandailing di Negeri Sembilan.
Dia juga pernah menyertai "bomoh sementara" semata-mata nak dapatkan duit tambang balik dari Muar ke KL.
Apabila teringat cerita benar ini, benar-benar dunia ini adalah pentas terbuka! Siapa nak berlakon, ya silakan! Biar tanpa skrip, lakonan tetap mantap! []
No comments:
Post a Comment