Monday, 11 February 2013

PERNAH DENGAR IKAN DALAM BUAH KELAPA?

Sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an, kalau anda berkunjung ke Chow Kit dan sekitarnya [terutama Keramat Supermarket, dekat Masjid Pakistani], atau ke Jalan Masjid India, sekitar Jalan Melayu, atau ke Bus Stand Klang, atau Jalan Pasar Pudu, dan di mana sahaja, anda selalu lihat ada orang berlonggok mendengar ocehan peniaga kaki lima. Longgokan peminat pedagang kaki lima ini jauh lebih ramai dibandingkan mendengar tazkirah di masjid atau surau.

PAK DAYAK
Selalunya apabila orang berlonggok begitu, rasa ingin tahu orang lain pun menggebu-gebu. Baik siapa pun ingin tahu, apa halnya? Ada orang kemalangankah? Orang matikah? Atau ada pertunjukan silap mata? Atau demonstrasi pedagang ubat dengan beberapa ekor ular peliharaannya? Atau pedagang kaki lima membawa anjing kecil yang bijak melakukan berbagai aksi? Atau sekadar penjual minyak wangi murah? Atau pedagang dari Kalimantan yang mengaku sebagai Pak Dayak? Begitulah, rasa ingin tahu membuak-buak. Ini naluri semula jadi manusia.
Jadi, kadang-kadang kumpulan manusia berlonggok itu melampau-lampau hingga melebar ke tepi jalan utama. Kenderaan lalu-lalang. Teringat saya kepada kumpulan muzik BABA GROUP yang katanya mantan anggota dari grup Orkes Tentera Darat. Band ini kerap main di tepi jalan, depan Maybank, dekat Mydin setentang Jalan Raja Alang dekat Chow Kit. Baik ketika main band lagu dangdut dan lagu Black Night kumpulan Deep Purples itu, peniaga kaki lima juga tak peduli kalau orang berjejal sehingga melimpan ke tepi jalan.
"Baik-baik sikit bang, karang balik rumah sedar-sedar punggung tinggal sebelah sahaja," kata pengacara persembahan band berseloroh. "Nanti kakak di rumah hairan, tak kan abang tak sedar punggung dah tinggal sebelah? Rupa-rupanya disondol dek kereta masa tengok persembahan nyanyian di Chow Kit." Orang pun tertawa suka. Inilah hiburan rakyat namanya.

ALON-ALON ASAL KELAKON
Orang jual ubat pun begitu. Saya pula suka tengok perangai orang yang terjingkit-jingkit nak melihat orang jual ubat. Dengan bijaksananya mereka kata, "Alon-alon asal kelakon. Yang jauh mari dekat, yang dekat mari rapat," katanya sambil meletakkan barang dagangan di atas alas kain merah, hitam atau atas sejadah lebar. "Yah! Hoooop! Hooop!" terdengar jeritan pedagang ubat. Kekadang dek kerana mendengar suara itulah makcik dan pakcik pun sanggup tumpang sekaki melihat apa bendanya. "Hoooop!" kata pedagang itu lagi. "Sebentar lagi saya akan tunjuk permainan...jangan ke mana-mana, sesiapa yang ada urusan teruskan urusan abang, sementara yang tak ada urusan, atau masih ada masa lagi, ya silakan tunggu, lihat permainan saya..."
Biasanya sambil berkata begitu pedagang kaki lima siap mengikat kain hitam atau merah di pinggangnya, mengikat kain lain di kepalanya. Wah! Pakaian serba hitam. Kelihatan seperti mahaguru silat. Atau seperti paranormal sakti mandraguna. Atau seperti pawang. Atau seperti bomoh. Ya, katakanlah apa sahaja. Maka, pedagang kaki lima itu bersuara lagi dengan lantangnya, "Sebentar lagi saya akan tunjuk permainan pelik. Ya... pernah dengar dalam buah kelapa muda ada anak ikan?" Tidak ada seorang pun menjawab. Memang tak ada siapa berani bersuara berkata, "Pernah!"

ANAK IKAN
Pada hari yang lain, dek kerana geram dengan soalan yang sama diulang-ulang, kebetulan saya berada di kawasan itu, maka saya pun memberanikan diri berkata: "Pernah! Saya pernah lihat dalam buah kelapa muda ada anak ikan." Pedagang kaki lima itu terkebil-kebil. Dia tidak suka mendengar jawapan saya. Rakannya malah mengenyit mata yang memberi maksud jangan layan soalan bodoh bin bangang itu. Mana ada ikan dalam kelapa muda? Lainlah kalau ditaruh di dalamnya setelah dilubangkan.
Soalannya, dari mana idea soalan tersebut?
Itu kisah lama tahun 80-an.
Kalau kita dengar temberang pedagang kaki lima di masa itu, kita kena goreng cukup-cukup. Masa itu seingat saya, kelompok yang menjadi tumpuan adalah pedagang kaki lima berpakaian serba hitam tetapi konon mampu meramal empat angka.
Selalunya hari Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad adalah hari tumpuan. Sebab pada hari itu ada pembuangan "undi" -- jadi galaklah orang pintar mengaku boleh meramal itu dan ini. Bilangan peminatnya cukup dahsyat.

SAMUN SIANG HARI
Penipuan pun menjadi-jadi. Bahkan di suatu peringkat, pedagang kaki lima sampai sanggup meminta duit terus terang.
Modus operandinya cukup menarik.
Dia akan kata, "Sesiapa yang minat boleh sediakan wang kecil RM1.00."
Wang senilai itu memang tidak jadi masalah. Tidak kurang 20 orang serahkan duit seringgit seorang. Duit itu kemudian dioles dengan minyak wangi untuk melahirkan kesakralan ritual rekaan.
Di akhir persembahan, sesiapa yang serah wang kecil sudah terperangkap.
"Siapa yang bagi wang kecil tadi sila duduk dan pegang tangan satu sama lain, jangan lepas!" kata pedagang itu.
Kemudian satu persatu disiasat wang di dalam dompetnya.
"Kalau saya jumpa abang di mana-mana dan saya minta belanja makan dan minum, bolehkah?" orang yang ditanya pasti angguk kepala. Bahkan semuanya angguk, tak ada yang geleng. Siapa berani geleng memang watak antagonis! "Kalau saya ambil ini wang RM200 apa boleh?" Si bangang itu angguk kepala, padahal dia disamun hidup-hidup!
Inilah adegan yang kerap saya lihat di Kuala Lumpur. Ramai yang bangang rupanya.

SOALAN BODOH, JAWAB DENGAN BODOH
Seperti juga soalan, "Siapa pernah tengok dalam buah kelapa ada anak ikan?"
Hanya saya sahaja yang nak mencuba menjawab dengan berkata "Pernah!"
Saya nak tahu apa reaksinya. Pedagang itu terkejut rupa-rupanya di Kuala Lumpur ini ada orang yang tahu cerita anak ikan dalam kelapa. Ia cerita versi Sungai Ogan, Sumatera!
Dalam episod tadi pedagang kaki lima sampai sanggup pegang dompet pelanggannya. Dia belek dan kira berapa duit yang ada. Kemudian dia tarik duit RM100 sampai dua helai. Budak yang berkata sanggup bagi belanja dan minum itu terkebil-kebil.
Ini bukan pukau. Sama sekali bukan pukau. Ini semua trik psikologi.
Dengan kaedah itu, sebahagian besar orang yang sudah serahkan duit kecil telah menyerahkan wang kepada pedagang kaki lima itu. Sesiapa yang wangnya telah ditarik, akan diberikan anvelope berisikan nombor bertuah, ditaruh benda mistik lain atau batu cincin Gurkha yang murah. Setelah wangnya diminta, orang yang serahkan wang kecil tadi diarahkan supaya pulang. "Terus keluar, beli nombor, jangan patah balik, nanti langgar pantang," katanya beralasan. Bijak! Bijak!
Perihal samun secara "halal" ini menyebabkan ada orang geleng kepala. "Kenapa bodoh sangat? Ada duit beratus-ratus serah kepada kaki temberang?"
Setakat yang diketahui, belum ada kes polis pun berkaitan dengan pedagang kaki lima yang mengaut duit secara mudah begini. Pedagang kaki lima itu kebanyakannya bukan orang tempatan. Semuanya datang dari seberang laut. Gaya pertuturan memang gaya Kejawen, siap blangkon segala, banyak istilah yang bermunculan dari bibir mereka seperti Sang Kama Jadi,  mandraguna, Ratu Adil, rawe-rawe rantas, dan banyak lagi.
Permainan tepi jalan ini memang menarik untuk dicatatkan. Ia juga boleh dijadikan bahan menyendal dalam filem tempatan.

ANAK IKAN DALAM KELAPA
Saya mulanya hairan juga, dari mana pedagang kaki lima dapat idea cerita ada ikan dalam buah kelapa?
Rupa-rupanya, cerita ini ada kaitan dengan seorang tua bernama Kiayi Haji Masagus Abdul Hamid bin Mahmud, Palembang, atau setepatnya di Muara Sungai Ogan, Sumatera.
Mungkin pedagang kaki lima itu asal dari wilayah Sumatera selatan dan sekitarnya. Jadi dia tahu kisah menarik ini.
Kiayi yang telah mendirikan dua buah masjid iaitu Masjid Kyai Muara Ogan di Kertapati dan Masjid Lawang Kidul di tepi Sungai Musi.
Suatu hari Kiayi hendak ke masjid, kebetulan Residen Belanda ada di tepi sungai. Dia lambai Kiayi supaya singgah.
Setelah rapat ke tebing, Kiayi pun naik mendekati Residen Belanda.
"Ada apa panggil saya ke mari?"
Kata Residen, "Kiayi pernah bilang di masjid bahawa setiap ada air di situ ada kehidupan? Apa betul begitu yang Kiayi bilang?"
Pak Kiayi angguk kepala.
"Adakah perkataan Kiayi itu boleh dipertangungjawabkan?"
"Ya! Kenapa?" tanya Kiayi pula.
"Okay, bolehkah Kiayi buktikan bahawa di dalam buah kelapa itu ada kehidupan di dalamnya?" Ini soalan perangkap maut namanya. Mana ada kehidupan dalam kelapa muda? Memang tak ada. Hanya ada air sahaja. Tetapi Kiayi sudah bersedia dengan keilmuannya. Ini darurat namanya. Orang kafir mahu memperleceh ulama.
"Dengan segala irodat dan kehendak-Nya, maka semua yang ada di muka bumi ini boleh saja terjadi," balas Kiayi optimis.

PANJAT KELAPA
Maka Residen Belanda itu menyuruh anak buahnya panjat pokok kelapa dan jatuhkan sebiji kelapa. Bawa buah kelapa itu di depan Residen dan Kiayi sekali.
Kemudian Residen kata, kalau di dalam buah kelapa itu tidak ada kehidupan, Kiayi akan diusir dari kawasan Ogan, tetapi kalau benar ada kehidupan, kedudukan Kiayi akan meningkat statusnya di mata rakyat dan mata pihak Belanda sekali. Ia semacam ugutan.
Orang kampung yang berkerumun di situ sudah dag-dig-dug. Gementar kerana Kiayi akan dihalau dari Palembang, habislah dua masjidnya terbiar. Tidak ada lagi imam dan tidak ada lagi tazkirah di masjid itu.
Sebaik buah kelapa itu dibelah, maka terlihat seekor ikan kecil menggelepar.
"Allahu Akbar!" terdengar suara orang orang.
Semuanya takjub termasuk Residen Belanda wilayah Palembang itu.
"Wah, ini sihir Kiayi! Saya pun ingin belajar sihir dari Kiayi," kata Residen.
"Ini bukan sihir, saya amalkan doa dan ayat-ayat al-Qur'an yang menjadi pedoman umat Islam, saya yakin dengan kebesaran Allah subhanahu wa Taala," kata Kiayi.
Jadi, berdasarkan cerita Kiayi Muara Ogan itulah, kita boleh mengagak, bahawa pedagang kaki lima yang selalu menyoal tentang anak ikan dalam kelapa itu, mereka ada pedagang yang berasal dari wilayah seberang Selat Melaka.
Jadi, kalau anda jumpa pedagang kaki lima bertanya soalan yang sama, anda beranikan diri berkata "Pernah!"
Sebenarnya pedagang kaki lima itu tidak punya ilmu mandraguna sakti apa pun. Semua itu hanya lakonan.Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment