Dulu, keadaan di depan Wisma Yakin lapang sungguh. Boleh duduk santai, boleh parking BMW atau Merce untuk urut kaki kedua belah. Tukang urut cukup ramai, termasuk yang kaki lentok. Sambil tunggu pelanggan ada yang melentok sampai tersandar.
Menyedari keadaan itu, seorang rakan yang berniaga di kaki lima yang dulu pernah jual emas tiruan menjelang nak raya, dia saya syorkan agar jadi tukang urut. Kalaulah yang lentok pun boleh mengurut, apa sangatlah dengan kawan kita yang tegap dan bukan kaki lentok.
Kalau dia berada di tengah-tengah yang lentok, maka dialah yang akan jadi pilihan.
Dia pun cuba. Alhamdulillah. Dia yang segar di tengah yang lentok mendapat pasaran. Jutawan pun urut kaki pada dia. Saya ingat lagi, bekas Pengarah Muzium Negara pun urut kaki situ, bekas pengacara radio Moshi-Moshi Noramin pun urut situ.
Tukang urut ini kalau ada maklumat pelik dia akan beritahu saya, baik melalui SMS atau lambai sekiranya kebetulan saya ada nongkrong di Wisma Yakin.
Nongkrong di situ bukan apa, kerana selalunya janji nak jumpa orang di situlah.
Biasanya ada orang berniaga ubat.
Saya ingat lagi Faizol Tonik pun ada buka gelanggang, siap bagi air Yassin lagi. Tonik dari simpanannya dilelong habis. Masa itu dia pakai motosikal paling besar, siap bawa Atur [boleh pegang alat komunikasi ini sudah dikira hebat, boleh letak atas meja makan, masa itu hp yang kita tengok hari ini belum muncul sangat].
Bukan sahaja Faizol dari Perak. Ada orang tua jual ubat akar kayu, siap bawa kucing dan burung merbuk seekor. Duduk dalam sangkar tak gaduh. Orang tua ini kalau tak salah Mat Desa namanya, selalu masuk hutan cari akar kayu, dia siap tunjukkan permit masuk hutan. Dia boleh lipat kaki kanan atau kiri atas tengkok. Orang muda pun tak boleh buat.
Kemudian masa itu heboh minyak dhob. Biawak padang pasir. Peniaga dhob bukan main bergaya siap park BMW [tak kiralah siri apa pun janji BMW]. Duit dicampak-campak sahaja. Orang beli minyak dhab setakat nak cuba. Mentaliti orang lelaki, kalau minyak itu boleh dikenakan pada "burung jantan" maka itulah yang dicapai dulu.
Sungguh!
Bukan tidak ada yang jual Pacat Pill. Cerita yang sama juga. Bukan tidak ada pertunjukan ular. Siapa lagi kalau bukan Ali Ular yang telah pergi buat selama-lamanya. Dialah penyeri lapangan depan Wisma Yakin.
Sampa suatu ketika Bandaraya bagi permit berniaga ubat-ubatan tradisi sahaja.
Jenuhlah orang nak kumpul ubat. Ada yang jual ubat pelebat rambut.
Tetapi ada seorang tua yang menarik perhatian kita. Dia orang Jawa asal dari Parit Yaani, Johor sana.
Dia kalau datang kekadang pakai topi, siap bush jacket atau blazer rapi. Kasut berkilat. Bentang kain. Letak beg niaga. Susun barang, susun gambar-gambar kenangan. Sambil menyusun, adalah seorang dua singgah melihat apa yang orang tua ini nak buat.
"Ini gambar isteri saya, isteri nombor...bukan janda-janda, tidak ada janda, semua anak dara," katanya sambil mengeluarkan makjun dari dalam begnya.
Makjun yang siap dipaketkan itu dijual RM10.00. Yang biasa beli, orang tua itu tak sempat ngoceh sudah ada yang hulur duit merah.
Selain itu dia jual pil Pangkor Laut. Cap kuda laut kalau tak silap. Sambil bersila macam Pak Dalang wayang kulit, orang tua ini mula ngoceh.
"Pernah denger orang mati hidup balik?" dia tanya orang di depannya. Siapa pun tak ada yang jawab.
Orang mula berkerumun.
"Sayalah orang yang sudah mati tapi hidup balik," katanya. "Umur saya sudah seratus tahun!"
Ada yang senyum-senyum dan ada yang terperangah mendengar ocehannya itu.
Dia mahu mengatakan bahawa kelebihannya itu adalah kerana mengamalkan makjun dan jamu-jamu.
Dia yang kadang-kadang duduk bersila memakai blangkon cara Kejawen, wah memang mentereng kelihatannya.
Dia dianggap orang tua di kalangan para peniaga ubat kaki lima. Kekadang dia buka gelanggang ketika Wan Razali juga buka gelanggang.
Sejak tahun 70-an lagi, gaya Wan Razali memang khas dia sahaja. Kalau dia niaga di Johor Bahru, di Mersing, di Kuantan atau Ipoh, begitulah gayanya.
"Nama saya Wan Razali," katanya. "Kalau abang pergi mana-mana jumpa orang macam saya, ikat rambut macam ni, atau pakai topi koboi, sayalah!" Orang tertawa mendengar telatahnya. Memang menghiburkan.
Kebetulan kalau hari Jumaat. Orang nak solat Jumaat boleh lupa, tahu-tahu sudah nak habis tazkirah.
Orang tua yang bersila jual makjun pula bilang dia sudah mati dan hidup balik.
Dia belum sempat menghuraikan kata-katanya yang simbolik itu.
Sampai sekarang, orang tua ini jadi bahan sembang di kalangan kawan-kawan yang lepak di kawasan Jalan Masjid India. "Pernah denger tak?" []
No comments:
Post a Comment