Sebenarnya perkara ini langsung tidak terlintas dalam fikiran untuk dicatatkan dalam blog. Kebetulan jumpa kawan satu sekolah yang sempat melemparkan kemegahannya di depan saya dan rakan-rakan lain, dia imengatakan, Menteri Perdana telah memanggilnya, konon dia antara salah seorang yang bakal jadi calon parlimen Sungai Besar. Maka dia telah terlempar kata, bahawa seorang mufti di sebuah negeri telah memberitahunya agar pergi berjumpa Kyai. Disebutkan nama Kyai itu. Kalau nak jumpa Kyai, kenalah pergi ke seberang dulu. Dia kata geng-geng dia dalam parti politik Kedacingan banyak yang menggunakan jasa para Kyai. Inilah yang menariknya.
Yang menjadi persoalan pada kita, tahukah seseorang itu akan Kyai yang hendak ditemui itu, atau sekadar nama depan ada Kyai, ada padepokan, ada pesantren, ada perguruan ilmu hikmah, dan sebagainya? Mungkin tidak kenal pun. Mereka beranggapan setiap tempat yang dinyatakan itu ada Kyainya, dan boleh diminta jasa baiknya untuk mendapatkan sesuatu. Apa sesuatu yang dimaksudkan? Tidak lain untuk membina keyakinan diri agar terpilih jadi calon, agar menang dalam pilihan raya kali ini.
Andainya seseorang itu berlagak datang dari Kuala Lumpur mahu ketemu dengan Pak Kyai, maka mereka akan disuguhkan berbagai Kyai dengan bermacam padepokan, berbagai nama pesantren, berbagai nama perguruan dan yang dibimbangi mereka terperangkap oleh kelicikan Kyai Gadungan. Kyai-Kyai ini sedia melayani sesiapa juga yang berhajat asalkan ada fulusnya.
Dibimbangi Kyai yang selama ini menawarkan khidmat menebak ramalan undian Marsix Hong Kong-Taiwan, ikut menerabung tawarkan khidmat meningkat karisma, membangkitkan aura dan kewibawaan diri, lontaran bicaranya didengar massa, lalu kalau dia ikut bertanding nanti, pasti menang. Orang ini juga boleh mengaku Kyai dan boleh menolong sesiapa sahaja yang hajatnya berkaitan dengan jawatan atau pemilihan, lagi-lagi untuk pilihan raya umum!
Kalau tidak biasa berdepan dengan situasi itu, maka mereka yang baru nak kenal Kyai akan terperangkap dengan berbagai nama pelik, seumpama Ma'ruf Mangku Alam Kyai, Kyai Ki Ageng, Yayasan Metafisika, Kang Mas Bagus, Kyai Ki Edan, Mahaguru Khadam, Kyai Pengasih, Ajian Pamungkas Sabda Kencana dan sebagainya.
Dek kerana dah bingung dan keletihan mencari Kyai, maka ada yang terjengah Kyai ilmu persugihan. Disebabkan sudah duduk berborak-borak, Kyai persugihan ini juga sambil tertawa, dia bilang, dia bisa membantu sesiapa yang hendak menghadapi pemilu [pilihan raya] -- apa lagi kalau tokoh kita dari Kuala Lumpur berlagak kaya, lagak bangsawan, lagak elitis melampau. Maka orang macam ini elok "disembelih" cukup-cukup.
Sebenarnya terlalu banyak tempat untuk mendapatkan solusi kepada sesiapa yang sudah buntu nak cari orang pintar [arif] bagi menyelesaikan permasalahannya. Tetapi apakah ilmu dari Kyai ini mampu menguasai kejayaan seseorang, mampu menjamin kemenangan seseorang kalau pengundi hantu, projek MyKad dan banyak pemindahan nama dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya?
Mungkin ada yang terperangkap di dalam permainan Sang Kyyai Gadungan tadi, langsung dikenakan tumbal sekali. Maksudnya, untuk mendapatkan pesona dunia, pangkat, jawatan, kemenangan dalam pilihan raya, ada yang sanggup "mengorbankan" orang yang dikasihi, sanggup korbankan dirinya sendiri, atau mengorbankan musuhnya sebagai tumbal. Diharap perkara begini tidak berlaku. Kerana kesannya amat mendalam, satu kerja bodoh yang tidak sepatutnya difikirkan oleh orang yang mengaku beragama Islam.
Dunia ini tidak ke mana sudahnya. Pangkat dan kedudukan pun begitu juga. Adakah hanya kerana hendak pilihan raya kita sibuk mencari Kyai? Sudah dinyatakan tadi, ada banyak Kyai dan bermacam jasa yang boleh mereka tawarkan. Yang kita bimbang, kita hanya bertemu Kyai Minyal Pelet, Kyai Pengasih, sebab bidang ini juga ada kaitan dengan meningkat karisma dan aura dalam diri penyandangnya, atau pengamalnya.
Sebagai contoh, sebuah Yayasan mendakwa boleh menolong sesiapa yang hendak memenangkan diri dalam pilihan raya, jumpa "ustaz" ini dan nyatakan hajat anda. Mungkin dia akan berikan tokoh politik yang berhajat sejenis ilmu diberi nama ASMA TASEK RAJEH. Tasek Rajeh ini dari bahasa Madura yang maksudnya "laut besar".
Asma ini kalau mengikut kata orang pintar yang empunya ilmu, ia merupakan "ijazahnya" Nabi Khidir Balyabni Malkan kepada Sunan Kudus yang mana ijazah ini dilakukan di tengah laut. Itulah sanad ilmunya. Di tengah laut mana tidak diceritakan. Kalau uastad ini temberang kepada sesiapa pun yang bersila di depannya, tentu tokoh politik yang bergelar, tak kira Dato, Tan Sri, Datuk Sri atau apa pun gelaran, mereka tentu tercengang!
"Dato', asma' ini banyak dimiliki para auliya dari Pulau Madura, itu sebab namanya Asma Sungei Rajeh. Asma atau ilmu ini mempunyai kekuatan lebih dahsyat dibandingkan asma Sungei Rajeh mana pun!" kata ustad yang juga tidak malu jika dipanggil Kyai.
"Maksudnya Pak?" tanya tokoh politik itu.
"Daya magisnya dan kekuatannya lebih dari asma yang lain," kata ustaz lagi. Dia tidak peduli kalau Dato atau siapa pun tidak faham apa benda yang dia cerita tentang asma-asma ini. Apa benda sungai rajah pun.
"Saya nggak faham ustaz!"
"Nggak apa-apa, pokoknya asma ini bener-bener punya kekuatan dan daya magis yang luar biasa! Bisak memenangkan pemilu! Bisak membungkem mulut lawan ketika meeting, bisak taklukkan orang-orang yang ada di sekeliling anda. Yang lebih utama ya, ketika pemilu!"
Dek kerana sudah pening, tak faham apa yang dimaksudkan dengan asma dan bungkem, dia angguk dan terima sahajalah. Berapa sedekah ikhlasnya dia pun bayar. Bukan mahal pun, kalau Rp660,000 baru berapa? Sedangkan sejuta Rp baru RM350 [lebih kurang atau ada perubahan, ini contoh sahaja].
Masa inilah orang sibuk nak cari Kyai di Pesantren atau Padepokan itu dan ini. Kalau kena yang betul tak apa, tetapi ramai juga yang nyelonong masuk ke "Padepokan" Wong Sinting, yang sanad ilmunya dari gunung dan perkuburan keramat.
Maka, cantik benarlah kalau tokoh kita yang nak menang pilihan raya kesasar sampai ke situ. Di tempat sendiri dia membodohi rakyat, membodohi penduduk kampung, di seberang sana Pak Kyai Gadungan pula membodohi dia. Wah! Kalau begini apa yang akan terjadi? Pertarungan ilmu pada Kyai nampaknya. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment