Monday, 11 February 2013

RINGAN-RINGAN, CERITA MISTIK, BORAK DENGAN ROH

Cerita politik menegangkan. Jadi, saya nak cerita mistik semula. Kali ini cerita menarik yang saya dapat dari pembacaan. Kisah bagaimana seorang lelaki miskin yang mempunyai tiga anak lelaki sanggup melepaskan sang isteri bekerja di luar negeri sebagai pembantu rumah. Ketika isteri direlakan pergi merantau, sang suami dalam diam-diam kahwin satu lagi. Ketika isteri sudah berbadan dua, kandungan berusia lapan bulan lebih, isteri yang merantau balik bercuti sebulan. Gelabah bukan main. Rahsia perkahwinan dah bocor. Isteri yang balik bercuti melabrak ke rumah isteri muda yang sedang mengandung, maka berlakulah pertengkaran hebat. Ketika sudah kesyaitanan, berlaku tonjol menonjol dahi, tolak menolak, dan isteri tua telah menolak madunya hingga jatuh terlentang, lalu terjadilah episod menyedihkan. Isteri muda yang hamil tua itu meninggal dunia. Isteri tua dan suami kena gari. Isteri kena 20 tahun penjara, dan suami kena 15 tahun.

PENJARA
Kisah berlaku di dalam penjara.
Di dalam kurungan penjara itu lelaki yang dipenjara 15 tahun tinggal bersama seorang pesalah lain, asal dari Sumatera. Orang itu tidak tidur pada waktu malam. Dia asyik bercakap dengan dinding bilik tahanan. Setiap malam begitulah yang dilakukannya.
Akhirnya lelaki yang baru masuk penjara ini memberanikan diri bertanyakan sesuatu. Dia takut juga nak tanya lebih-lebih, lagipun semua orang kata orang itu gila, dia stress sejak masuk penjara.
"Maaf, bang, boleh kita berbual-bual?"
"Ya, boleh sahaja, apa salahnya!"
"Kenapa kok abang ni saban malam bercakap seorang diri? Apa abang ada masalah?"
"Saya tak ada masalah apa, hanya kamu dan orang lain tak tahu, bahawa setiap malam saya berbual-bual dengan isteri saya yang datang dari jauh, dari Batu Sangkar, Sumatera Barat."
"Begitu jauh? Kenapa boleh datang sini malam-malam?" tanya lelaki yang ingin tahu. Dia betul-betul bingung. Di dalam bilik tahanan itu mana ada orang lain, tidak ada perempuan datang pun pada waktu malam. Jangan-jangan dia memang sudah gila, stress kerana ditahan terlalu lama.
"Kamu tahu tak? Ada sebuah ilmu yang kalau kamu amalkan, kamu boleh mengajak sesiapa juga datang untuk berbual-bual. Waktu malam lebih sesuai untuk berkomunikasi," terang lelaki yang disangka gila itu.
Perbualan ini beraku di sebuah penjara di negara jiran, bukan penjara di Kajang atau Sungai Buluh.
Sebaik mendengar kata-kata gila dari rakan di dalam tahanan itu, lelaki itu pun ingin mengetahui lebih dekat tentang kaedahnya.
Kebetulan isteri mudanya sudah meninggal ketika hamil tua gara-gara ditolak oleh isteri tua yang baru balik dari Eropah, dia kerna sebagai amah di sana untuk tambah pendapatan. Sama juga banyak isteri-isteri yang tinggalkan suami semata-mata mahu kerja di Kuala Lumpur.

BELAJAR ILMU DALAM PENJARA
Akhirnya lelaki yang disangka gila itu memberikan sebuah ilmu kepada lelaki itu.
"Saya sudah lupa, apa nama ilmu yang kamu bilang semalam?" tanya lelaki yang baru masuk penjara.
"Ilmu teleportasi pajamaradan," jawabnya pendek.
"Apa gunanya?"
"Untuk mendatangkan orang-orang yang kita perlukan. Tapi yang datang rohnya, roh yang maujud, sedang tubuh badannya ada di sana sedang tidur nyenyak, itu sebab saya datangkan mereka waktu malam."
"Jadi, ilmu ini hanya untuk waktu malam sahaja?"
"Itulah waktu yang sesuai, ketika orang itu tidur, kita panggil rohnya datang ke sini untuk diajak berbual-bual, bahkan saya boleh melakukan hubungan badan dengan isteri saya di dalam penjara ini!" mendengar keterangan kawan itu orang baru itu termenung panjang.
"Kalau gitu, saya nak belajarlah!"
Sambil tertawa, lelaki yang disangka gila itu melanjutkan bicaranya.
"Kamu nak jumpa siapa?"
"Seperti kamu, saya nak jumpa isteri saya, tapi dia sudah meninggal, begitu anak saya yang mati dalam kandungan ibunya," jawab lelaki itu dengan nada polos.
"Kasihan kamu, saya kira saya yang paling malang, tapi ada lagi orang yang malang!"
Lelaki yang disangka gila itu menepuk-nepuk belakangnya.
"Ya, kita dipenjara ini akan berada lama, bukan setahun dua. Elok kita amalkan ilmu ini. Mujur saya masih hafal benar dengan ilmu ini. Beruntung kamu dapat tinggal satu bilik tahanan dengan saya. Saya akan ajar kamu dengan cermat, masa masih panjang, jangan gelojoh."
"Okay, saya sedia belajar. Tapi apa sahaja syaratnya? Apakah ada puasa mutih semua seperti Kejawen?"
"Sudah tentu! Kamu kena puasa mutih, ngebleng dan pati geni."
"Ada manteranya?"
"Yah, sudah tentu dengan manteranya sekali!" rakan itu tertawa gembira.
Baru kali ini dia melihat rakan setahanan itu gembira dan tidak kelihatan stress memanjang.
Untuk pengetahuan, mutih ini maksudnya hanya dibenarkan makan nasi putih dan air putih sahaja [air suam]. Ngebleng maksudnya tak boleh makan minum, keluar rumah [dah tentu tak boleh keluar sebab dalam penjara], kena kurangkan tidur, kena duduk memerap [dalam penjara lebih mudah beramal nampaknya].
Patigeni pula, selalunya bersama dengan ngebleng sekali. Kena berjaga, tak boleh tidur, pati geni boleh 24 jam, 3 hari atau 7 hari. Semuanya, baik mutih, pati geni kena baca niatnya.
Hanya diingat, puasa ini bukan tuntutan syariat. Ia hanya kebiasaan dalam ajaran yang dipanggil puasa-puasa Kejawen.
Dalam penjara itu, dia belajar mantera berbahasa Melayu, maklumlah orang itu asal dari Sumatera. Jadi bukan mantra Jawa halus yang susah nak disebut kerana sebutan fonetiknya berbeza. Ada beberapa aksara Jawa yang tidak boleh dicari persamaan dengan huruf "T" atau "D" -- jika diejakan bunyinya jadi lain.
Dalam tahanan yang tidak ada apa aktiviti menyebabkan dia begitu mudah menghafal mantera cara Melayu.
Sayangnya, mantera itu rahsia juga. Tidak digalakkan untuk dipelajari pun, sebab ia tidak ada kaitan dengan amalan yang dituntut dan diberi ganjaran pahala.
Akhirnya, setelah kawan tadi menjalani mutih, ngebleng dan patigeni, maka pada tengah malam tepat jam 12.00 malam dia pun membaca mantera memanggil roh isterinya yang telah meninggal dunia. Isterinya meninggal kerana "dibunuh" oleh madunya sendiri, oleh isteri tuanya yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Eropah sana.
Dia duduk bersila, letakkan tangan ke dada, baca mantera berulangan, kepala memandang ke langit-langit bilik penjara.
Apa yang terjadi?
KEDENGARAN SUARA ANGIN KENANG.
Keadaan menjadi sejuk. Dan dengan semena-mana datangnya makhluk yang diseru, iaitu isteri kepada lelaki tadi dan anak kecil yang digendong oleh ibunya.
Ibunya adalah isteri lelaki itu yang mati akibat ditolak dengan keras oleh isteri tuanya dulu. Gara-gara kes itulah dia masuk ke dalam penjara kerana dia didakwa subahat membunuh isterinya sendiri.
Kini isterinya yang sudah meninggal bersama bayi dalam kandungan telah datang ke penjara. Dia pun berbual-bual dengan isterinya itu.
Sekarang barulah dia tahu, kenapa rakannya bercakap seorang. Dia yang sedang berbicara dapat memandang makhluk itu maujud walaupun hanya roh.
[Tentang hal ini mungkin berlaku kekeliruan. Adakah dia hanya mendengar suaranya sahaja tanpa melihat jasadnya?]
Kisah ini menarik untuk difilemkan. Sebab dalam cerita tadi, lelaki yang dapat berbual dengan isterinya yang sudah mati, dia diberitahu isterinya, bahawa anak itu sudah diberi nama di alam sana. Dia dilahirkan di dalam kubur secara ghaib. Dia membesar di alam ghaib.
Keyakinan ini tidak ada dalam Islam. Mungkin ada di dalam ajaran Kejawen dan pengajaran ilmu kemistikan secara mereka. Ilmu ini tergolong ilmu sakti mandraguna. Ilmu pemanggilan roh ini pula katanya diberi nama teleportasi padamaranja telemafiksi.
Ilmu apa ni bang? Inilah ilmu kejawen kata lelaki yang dianggap gila itu kerana setiap malam bercakap sorang. Dia bukan cakap sorang, tetapi bercakap dengan makhluk ghaib yang diundangnya.
Majdi Muhammad asy-Syahawi berkata, "Saya ingatkan anda agar tidak mengikuti ucapan jin yang dianggap sebagai arwah itu yang bersumber dari khabar-khabar kuno. Dia bukan arwah, tapi ia adalah jin.Saya telah menjelaskan perkara ini di berbagai kitab, sebagaimana dijelaskan dalam pasal "Apakah jin mengetahui hal ghaib?" Di situ kami singkap  rahsia di sebalik persekongkolan antara jin dengan tukang sihir..." [Tahdhir al-Arwah wa Taskhir al-Jaan al-Haqiqah wa al-Khurafat, terj. (2009) SELOK BELOK ARWAH]. []

No comments:

Post a Comment