Saturday, 9 February 2013

BUKTI KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP BN!

Di sana-sini sekarang wartawan pendukung kelompok Dacing melaporkan tentang bukti keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional telah pulih. Ada sahaja acara, apa sahaja program yang dianjurkan oleh Dacing meskipun perlu berbelanja lebih untuk mengusung, mewajibkan kehadiran, dan meminta mereka berpakaian sedondon, melebarkan senyuman ketika kamera fokus ke wajah masing-masing, maka dengan paparan yang sedemikian indah diatur, maka itu adalah bukti sokongan padu dari segenap lapisan rakyat.
Maka berdendang rialah mereka. Kemudian dalam pidato di pentas, pihak Dacing mengingatkan Pakatan Rakyat terima sahajalah apa keputusan rakyat, kalau rakyat sudah memilih Dacing nanti, janganlah buat huru-hara. Itulah istilah yang mereka nisbahkan kepadas 13 Mei. Puak Dacing menganggap yang cetuskan 13 Mei dulu adalah pihak pembangkang. Tetapi sejarah lama itu telah didobrak habis, ia bukanlah isu kepada pihak pembangkang, tetapi isu besar kepada puak Kapal Layar pada zaman dahulu.
Mungkin semua ingat, setelah peristiwa "13Mei Chow Kit" ada lawatan tokoh kita ke China, dan pulang dari sana mereka membawa cerita baru dengan lahirnya Dacing. Kini sekali lagi perkara yang sama diulangi, masih ada kaitan dengan negeri China, dengan harapan pemimpin Dacing yang ada hari ini boleh meraih undi dari kaum Cina pula. Ini semua adalah ulangan sejarah silam atau secara kebetulan.
Tidak cukup dengan kisah hubungan baik dengan negeri China itu, kita disuguhkan pula dengan tarian kuda meracau dari Korea. Mungkin masih ada sisa-sisa Pandang ke Timur. Kita seronok tengok tarian kuda itu walaupun ia hanya direka untuk main-main, bukan serius sangat cipta tarian gila itu. Akan tetapi disebabkan kerja wartawan di mana-mana, cerita Gangnam sudah merata segenap pelusuk dunia. Tak tahulah bagaimana sambutan di Afrika sana, sambutan di Eropah Timur? Atau hanya di wilayah Nusantara ini sahaja yang kemaruk bagai nak gila.
Gangnam dibawa masuk ke Penang dengan belanja besar. Khabarnya sampai guna pesawat khas. Itulah hebatnya apabila budaya hedonisme kita sanjung. Tarian kuda yang tak bermanfaat itu kita angkat menjadi alat untuk menyatukan umat. Maksudnya, dengan tarian kuda itu diharapkan rakyat berbagai kaum di Malaysia akan terhibur, dan ia menjadi bukti keyakinan rakyat terhadap Dacing.
Anak-anak muda yang kemaruk dengan budaya paganisme K-Pop berjejalan nak tengok dari dekat. Tengok K-Pop bukan dapat pahala pun. Malah kemaksiataan dan kenistaan yang dapat. Begitulah paparan ceramah dari seorang ustaz yang prihatin kepada umat.
Orang yang tidak prihatin kepada umat akan menjejelkan minat anak muda kepada budaya yang tak berguna itu. Agaknya kita boleh terima tarian kuda itu sebab ia adik beradik tarian Kuda Kepang Jawa. Tengoklah nanti, mungkin ada pujangga Kuda Kepang tempatan melakukan improvisasi terhadap tarian ini campur dengan Gangnam sekali. Tarian Kuda Kepang Gangnam! Saksikan, persembahan menarik di depan pemimpin Dacing. Maka bertepuklah orang ramai. Kamera pun fokus. Dalam paparan muka depan akhbar utama: BUKTI KEYAKINAN RAKYAT KEPADA KUDA KEPANG GANGNAM!
Itu keyakinan rakyat kepada kuda, bukan kepada Dacing. Lagipun dalam bab Dacing ini, kebanyakan peniaga tidak betulkan dacing masing-masing. Timbangan mereka berbeza. Contoh, sebuah dacing merekodkan berat bersih ikan 500gm. Akan tetapi apabila ditimbang gunakan dacing depan kaunter, beratnya hanya 456gm sahaja. Itulah kerja Dacing. Nampak dari luar memang dua-duanya dacing. Tetapi Dacing pun boleh menipu!
Sekarang, kalau tengok televisyen [nasib baik saya tak ada tv] asyik pidato Dacing sahaja yang dipaparkan. Kita sedia membantu rakyat, kita sedia menolong rakyat, kita sedia turun padang, kita sedia turun ke liang lahad, sedia bantu rakyat, macam-macam gempak diwar-warkan. Itu sekejap sahaja. Lagipun sekarang masa nak PANCING undi.
Rakyat berkumpul nak ambil BRIM RM500 itu bukan bukti keyakinan rakyat. Malah rakyat cukup cerdik. Sambil pegang vaucher mereka mencebik. "Ini gula-gula sahaja bang, beli dua tiga benda habis dah!" kata seorang penerima BRIM di sebuah bank di pinggir kota.
"Kalau dia bagi kita RM50 seorang, kita kena berbaris juga," sampuk seorang lelaki keturunan India pula.
"Dia bagi kita ambik, kita bukan mintak, sebab kalau kita mintak, kita tak mintak banyak tu, kita mintak lagi banyak!" sampuk seorang kakak yang sedang menunggu giliran, tetapi bukan untuk urusan BRIM, dia ada urusan lain di bank itu.
Kini, mungkin anda tertanya-tanya, cukupkah dengan adanya pementasan tarian kuda itu dijadikan bukti bahawa keyakinan rakyat terhadap Dacing sudah pulih?
Kemudian tokoh Dacing ingatkan Pakatan agar menghormati demokrasi. Kalau kalah pilihan raya tu terima sahajalah. Bagai nak rak orang Pakatan tertawa. Betapa tidak? Kes Kerajaan Negeri Perak dulu boleh tumbang dek gara-gara tuduhan rasuah dan kemudian boleh pula rampasan kuasa, maka ucapan tokoh Dacing itu terkena muka mereka semula. Nak kata Pakatan, Dacing dah melakukannya.
Kini berbagai mitos disembangkan oleh tokoh Dacing di podium mereka. Negara akan mengalami masalah ekonomi jika Dacing kalah. Mata wang akan jatuh. Akan berlaku rusuhan kaum. Dan yang Dr M sebut, orang-orang yang terlibat dengan penipuan, penggelapan, pengamal rasuah, pengamal kronisme akan diheret ke muka pengadilan. Itulah cerita yang sebenar.
Orang Dacing yang paling bimbang sekarang bukan orang bawahan. Ahli bawahan tak peduli apa. Mereka yang saya temui sedia untuk menukar sokongan. Kalau kita sokong untuk mengkayakan golongan elitis Melayu dan bangsawan Melayu, sampai bila pun orang bawahan dok tang tu jugak.
Orang Melayu bawahan dah cerdik. Kalau mereka menang, kekayaaan negara di bawah mainan mereka sahaja. Orang bawahan tak dapat apa. Kalau setakat klinik, skim itu dan ini, kedai rakyat, restoran rakyat, ia tidak memberikan kesan yang merata kepada rakyat. Kalau semua perkara dibuat bagi menutup mulut rakyat yang gelisah dengan kenaikan harga barang dan pendapatan yang ciput, maka klinik, kedai dan pasar belum dapat menampung kegelisahan rakyat.
Rakyat sedikit pun tidak gelisah. Yang gelisah adalah pemimpin Dacing. Pihak Pakatan tidak gelisah pun, sebab mereka tidak berada di Pusat. Buat masa ini yang paling gemuruh dan gementar adalah mereka yang ada di Pusat. Mereka sedang mencongak apa akan jadi kalau Dacing timbangannya tidak betul? Itulah.
Jadi, buat sementara waktu, mereka pun berdendang bagai tarian kuda bagi mengurangkan rasa gemuruh. Mereka seronok tengok rakyat berkumpul tengok kuda menari.
Hanya yang rakyat bimbang, mereka akan diperkudakan pemimpin Dacing kalau mereka menang sekali lagi. Maka ego dan congkaknya menjadi-jadilah. Bukti keyakinan rakyat! Dacing masih mampu menimbang dengan keadilan. Tak ada tipu-tipu tau! Wallahu a'lam bishowab. [] 

No comments:

Post a Comment