KEBETULAN mengikuti siaran Radio Dekta, Sabtu, yang telah dirakamkan sekian lama, saya mengikuti wacana yang disampaikan oleh Dr Adian Husaini yang begitu tekun mengkaji soal liberalisme, pluralisme dan termasuk isu LGBT yang mengecohkan, bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia, isu seperti ini sudah dijadikan "lemparan sampah" oleh penguasa untuk menghina dan menista lawan politiknya.
Apabila sarjana dari seberang ini diundang ke negara kita, sudah tentu kita tahu siapa pihak panitianya. Dan atas dasar apa dia diundang. Setidak-tidaknya kerana di Malaysia tidak ada pakar yang menonjol membicarakan soal liberalisme, Islam liberal, pluralisme dan isu LGBT maka kita terpaksa undang orang luar untuk berbicara.
Memanglah, sarjana itu mengakui keadaan di negaranya sudah amat parah, bahkan setahu saya, isu tuntutan hak untuk berkahwin antara lelaki sama lelaki juga sudah semacam menggila. Di negara kita belum kedengaran lagi, tapi jangan hairan, sudah ramai yang "bersekedudukan" antara jantan dengan jantan demi nama kebebasan.
Rakan penulis di Brisbane yang saban minggu berwacana juga ketawa kerana di Australia juga sedang menggilanya pihak tertentu menuntut agar diberikan hak. Saya bilang, ini memang dajjal yang sengaja dimunculkan ketika dunia sudah akhir zaman.
Apa yang hendak dinyatakan adalah betapa jahatnya pihak panitia yang menganjurkan program atau acara yang mewacanakan isu seperti tersebut sengaja hendak menonjolkan kepada sarjana asing bahawa di Malaysia apa kurangnya walaupun isu Islam liberal tidak membekas pun.
Begitu juga isu pluralisme. Ia tidak jadi kudis. Tetapi disebabkan faktor politik, tergamak ada kalangan sarjana tempatan [dah tentu berbau Umnoisme] mengatakan jangan hairan di Malaysia pun sudah galak isme seperti liberalisme, LGBT dan pluralisme kerana ia "dipelopori" oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Sarjana luar itu berwacana melalui corong radio swasta bagi menggambarkan rasa peliknya, seseorang tokoh yang dikenali di rantau ini menjadi seorang yang pluralisme.
Saya fikir, sesuatu patut dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk mengundang sarjana yang sama untuk diberikan penjelasan apa sebenarnya. Katakan kepada sarjana itu bahawa dia datang ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Trengganu, adalah bertujuan untuk mengkayakan politik sebelah pihak.
Isu yang dibangkitkan itu sebenarnya bukan isu. Masyarakat Malaysia langsung tidak peduli dengan istilah besar seperti liberalisme, pluralisme dan isu LGBT, kerana hanya kalangan yang "sakit" sahaja menyertai kelompok itu.
Sudah lama kita katakan, bahawa isu gay, lesbian dan sebagainya adalah bawaan dari liberalisme Dr M yang umum sudah mengetahuinya. Beliaulah tokoh yang mendobrak tatasusila umat di Malaysia. Negara yang aman daripada angkara gay dan homoseksual tetapi kemudian dicanangkan secara leluasa dalam media apa sahaja bagi tujuan "menembak" musuh politiknya.
Inilah senjata yang dihalakan oleh pihak penguasa terhadap musuhnya sehingga sanggup mengadakan seminar atau apa sahaja demi membuktikan di dalam kesimpulan bahawa semuanya kerana seorang tokoh di tanah air sendiri [bahan seminar kemudian diulas dan dipaparkan dalam media termasuk Utusan Meloya].
Rakyat sudah tahu, siapakah tokoh yang mempopularkan homoseksual dan perlakuan liwat di negara kita. Dari anak kecil sampai ke orang tua semuanya kena belajar istilah baru. Kini mereka mahu tahu juga apa itu liberalisme. Tanyakan kepada anak ahli politik yang mendukung Dr M, mereka tetap tidak dapat menjawab istilah yang besar itu. Untuk sampai ke situ kita kena kaji sejarah pemikiran yang berselirat dan memualkan. Inilah matlamat dalam orde baru dunia.
Matlamatnya agar kita kecoh, saling tuduh menuduh, menistakan, menghina seseorang demi kepentingan tertentu. Dalam soal ini kita berpura-pura hendak menjaga akidah umat, berbicara tentang hukum moral, sedangkan kita sendiri tenggelam di dalam permainan orde baru dunia.
Pluralisme maskudnya suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama sahaja, dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif, oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh mendakwa hanya agama mereka sahaja yang benar, sedangkan agama lain salah. Pluralisme juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup dan berdampingan di syurga.
Liberalisme pula maksudnya memahami nas-nas agama [al-Qur'an dan as-Sunnah] dengan menggunakan akal fikiran yang bebas; dan hanya menerima doktrin agama yang sesuai dengan akal fikiran semata-mata. Wallahu a'lam bishowab. []
No comments:
Post a Comment