Menurut satu laporan, punca utama artis di negara ini menyertai Pembangkang [PR maksudnya] adalah kerana kecewa tidak diberi peluang memperluaskan bakat.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia -- SENIMAN, Zed Zaidi kata sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah kekecewaan yang diluahkan oleh para artis.
Termasuk yang membuatkan artis tempatan tidak sedap hati adalah kerana para peminat di Malaysia ini suka agungkan artis luar.
Satu lagi yang dia sentuh, bahawa artis keliru apabila telah berhijab dan menyertai pentas Pembangkang. Dia juga bercadang mengkaji tentang soal royalti dan kebajikan artis.
Tanggapan inipun tidak berapa sesuai rasanya. Tutup aurat ada kaitannya dengan ajaran agama. Syariat berkehendakkan begitu.
Bukan kerana "sedondon" dengan parti Pembangkang. Apakah kalangan artis yang sudah menyeberang ke wadah Pembangkang dianggap tidak cerdik, dan kalau masih setia di bawah telunjuk 1Malaysia menggambarkan artis itu berwawasan?
Kena ingat juga wawasan dunia dan wawasan akhirat. Mana hendak diutamakan? Bagi orang yang cerdik, mereka memilih wawasan akhirat.
DUNIA KECIL
Banyak perkara yang boleh disentuh dalam dunia hiburan kita yang kecil ini. Dunia hiburan kita sebenarnya terlalu kecil, dan sebab itulah kita banyak bergantung kepada anasir luar. Meski kita sudah mempunyai genre muzik, nyanyian dan filem-dramanya, kita hanya mampu setakat bawah bumbung 1Malaysia sahaja.
Jangan sebutlah seorang dua artis kita yang mengukir nama di Shanghai atau Amerika sana. Itu hanya laporan sebelah pihak, wartawan hiburan kita teruja sangat dengan kemenangan itu.
Walhal, anugerah itu bukan bersifat kenegaraan, ia hanya anjuran pihak tertentu sahaja. Sama juga umpamanya ada orang jadi juara dalam lumba nyanyi JUARA TOMYAM MUDA.
Ia hanya diketahui oleh mereka yang menonton acara itu di televisyen. Sedangkan berapa ramai anak muda yang berpaling dari program begitu?
Bukan semua orang tahu siapa nama juara Raja Lawak, siapa juara dalam program realiti yang seratus peratus meniru acuan dari Barat sana?
Banyak yang tak ambil peduli. Fenomena zaman Mawi sudah berakhir. Dulu orang masih baru dalam penggunaan SMS. Jadi Mawi bernasib baik berada di ketika itu. Sekarang, orang nak SMS pun sudah jelak, lagi-lagi kalau mereka yang masuk bertanding asyik meminta penonton, "Jangan lupa SMS saya ya!"
Sebenarnya, kalau ramai artis berhijrah, ia tidak menjadi masalah kepada negara. Bilangan orang yang nak jadi artis lebih dari satu LRT penuhnya. Bayangkanlah. Patah tumbuh, hilang berganti. Mana-mana yang tinggalkan bidang ini kerana sayangkan agamanya, kita tidak perlu kacau lagi. Biarkan mereka memilih laluan yang benar.
JASA
Satu hal lagi, peluang untuk jadi artis adalah terbuka. Sesiapa sahaja yang rasa nak menyanyi, ya silakan. Siapa yang nak main muzik dalam genre apa pun, ya silakan. Atau yang kemaruk dengan Gangnam boleh tubuhkan kumpulan pemuda Melayu bersongkok menari tarian kuda gila. Ya silakan!
Akan tetapi, tentu orang marah kalau ada mereka yang sudah masuk dalam dunia keartisan tiba-tiba bersedih dan mengeluh, "Kenapalah orang tak kenang jasa saya dalam bidang lakonan dan nyanyian?"
Jika begitu, tukang gali kubur pun akan berkata begitu, "Kenanglah jasa penggali kubur, kalau aku tak gali kubur siapa nak gali? Galilah sendiri kalau sudi!"
Begitu juga tukang sapu sampah. "Kenapa tak kenang jasa kami membersihkan kawasan di sekitar kota?"
Maksudnya, soal jasa dan berjasa ini bukan dalam dunia hiburan sahaja.
Setiap orang berjasa. Hanya ukuran politik sahaja yang menentukan seseorang itu berjasa atau tidak berjasa. Jasa yang sebenar adalah jasa yang tidak dilihat orang ramai. Bukan berjasa jika telah serahkan cek sebesar-besarnya setelah mengadakan persembahan dahsyat dengan disaksikan para VIP dan kaum bangsawan!
Akan tetapi konsep jasa dan berjasa di negara kita sudah luntur disebabkan mainan politik.
Ingat, tadi SENIMAN kata, dengan sebab artis pakai tudung tutup aurat mereka boleh berada di pentas Pembangkang.
PENTAS
Kalau rasa nak bersama pentas 1Malaysia pun apa salahnya, silakan! Tetapi apakah tidak risih, setelah tutup aurat akan berada di tengah kumpulan yang dedah aurat? Tidakkah risih kalau ada majlis bersalaman lelaki perempuan di atas pentas, kemudian ada ciuman terbang atau dakapan mesra dan sebagainya? Bab ini ada yang tidak ambil tahu.
Sebenarnya, di kalangan artis yang mendekati majlis ilmu, mereka akan menyisihkan diri dari majlis glamor dan bintang membintang gaya Hollywood dan Bollywood itu.
Tengoklah, apabila ada acara anugerah untuk artis kita.
Bagaimana acuannya? Mereka, yakni pihak panitia meniru acara di Barat yang tak sesuai dengan budaya kita. Dalam soal oskar yang dijulang itupun, mereka kurang ambil peduli. Masih ada patung yang dijadikan hadiah. Bagaimana artis Islam hendak menyimpan patung di atas almari di rumah mereka? Inilah bahana hendak meniru cara Barat yang dikatakan hebat itu.
Kaedah yang diamalkan dalam dunia keartisan kita hari ini adalah ceburkan diri dalam dunia hiburan. Pilihlah bidang apa pun, tetapi pilih bidang yang menyerlah -- nyanyian dan lakonan filem/drama.
Mereka kurang minat teater, ia sebagai latihan pemantapan. Teater kurang glamor.
Hanya dapat berlakon sebuah filem pun mereka mungkin akan dicalonkan untuk kategori tertentu.
Maka, begitu mudah hendak duduk di kayangan sana. Berangan-angan menjadi orang popular, orang sanjungan.
TAK MASUK AKAL
Yang peliknya, kaum wartawan hiburan kita melaporkan sesuatu yang tidak masuk akal.
Seorang pelakon baru yang belum dikenali dilaporkan sebagai pelakon terkenal. Atau mula dikenali dengan filem atau drama sekian-sekian. Atau dikatakan pelakon tampan yang bakal mencetuskan fenomena di kalangan remaja. Itu semua adalah gempak wartawan sahaja. Jadi, istilah terkenal, tersohor, hebat dan sebagainya sudah jadi mainan kaum wartawan hiburan.
Kemudian yang orang lupa, betapa ramai artis Melayu yang lupa diri. Kerana ingin cepat duduk di kawasan merak kayangan, mereka sanggup menonjolkan diri untuk mencipta sanjungan agar dipuji oleh kaum wartawan. Ingatlah, populariti seseorang sebenarnya bergantung kepada media. Media cetak dan elektronik ini sangat main peranan. Kalau media nak sungkurkan orang pun boleh. Tak payah cerita keburukan, tak siar langsung gambarnya pun boleh. Seperti media arus Perdana lakukan terhadap tokoh-tokoh dari Pakatan Rakyat.
Sudah disebutkan tadi, dunia artis kita kecil. Jangan anggap besar dan hebat. Artis buat konsert di sana-sini. Terpulanglah siapa nak tengok pun. Tetapi amat janggallah kalau kaum warga emas pun nak berjejal beli tiket tengok konsert. Malu kepada anak cucu, malu dipaparkan dalam media.
Satu perkara yang orang lupa apabila ada artis berhijrah, bukan soal glamor dan menjadi ketenaran duniawi, sebaliknya sebagai usaha untuk membaiki diri. Ini lebih baik daripada berterusan hanyut dalam dunia yang tidak ada manfaatnya di akhir penghidupan. Jangan fikir banglo mewah dan dapat suami jutawan sahaja.
Orang yang menjaga agamanya akan segera berhijrah tanpa tangguh-tangguh, atau menunggu pihak 1Malaysia tampil membantu golongan artis agar setia bersama untuk angkat jari telunjuk 1Malaysia! []
No comments:
Post a Comment