Friday, 22 February 2013

KISAH SULTAN SULU MEMBINGUNGKAN

Ketika catatan ini dibuat, tidak diketahui apa perkembangan terbaru di Lahad Datu, Sabah.
Apabila "rombongan" yang diketuai Datu Ajbimuddin Kiram sudah mendarat di Lahad Datu, baharulah timbul macam-macam cerita.
Isu ini tidak timbul sebenarnya kalau kerajaan Filipina dan MILF[Front Pembebasan Islam Moro] tidak menandatangani semacam perjanjian tanda sepakat di antara mereka dengan Malaysia selaku orang tengahnya.
Kisah pemimpin negara pergi ke Filipina memang sempat dicanangkan, semua orang puji peranan pemimpin kita mendamaikan puak yang sering bersengketa selama ini.
Ada yang komen, tengoklah, apa yang Pakatan Rakyat boleh buat? PR tidak mampu nak ajak dua pihak yang bersengketa berunding  dan kemudian pihak MILF mendapat hak otonomi di selatan Filipina itu.
Timbul tohmah pula konon pihak Pakatan Rakyat yang "undang" kerabat Sultan Sulu itu mendarat di Lahad Datu, Sabah. Ini lagi melucukan. Sumber dari agensi berita luar negeri itu memang temberang besar, dan memang patut kalau Anwar kata, ia sumber berita dari Umno.
Akan tetapi sumber berita yang benar, punca mereka mendarat di Lahad Datu adalah kerana tak puas hati pihak Filipina dan MILF, termasuk Malaysia yang jadi orang tengah, telah melupakan kedudukan Sultan Sulu.

HAK OTONOMI
Kalau soal MILF boleh diberi hak otonomi, bagaimana pula dengan Sultan Sulu?
Dari situ kemudian melarat-larat diungkit bahawa Sabah itu disewa oleh pihak orang putih, sebuah syarikat menyewanya dengan bayaran yang tidaklah tinggi.
Bermakna, rakyat tidak tahu menahu, orang Sabah sendiri, termasuk yang datang dari Suluk, Sulawewi, Bulungan, Kaltim, Visayan, Tawi-Tawi dan sebagainya tidak tahu sejarah masa silam.
Orang Semenanjung pun tak tahu bahawa Sabah itu disewa. Kena bayar sewaan kepada Sultan Sulu.
Sejarah Sultan Sulu ini panjang dan berbelit-belit kalau nak kaitkan dengan cerita sewa menyewa ini.
Orang hairan, bagaimana kes yang belum beres ini dikatakan telah beres?
Memanglah dari dulu ada cerita tentang tuntutan Filipina ke atas Sabah. Tuntutan itu tidak diteruskan sangat kerana ia lebih kepada tuntutan dari Kesultanan Sulu.
Dulu Sabah dikenali sebagai Borneo Utara, ia pernah menjadi wilayah dalam Kesultanan Brunei [1473-1658]. Kemudian kerana peranan Kesultanan Sulu mengukuhkan kedaulatan Kesultanan Brunei itu, mereka mendapat ganjaran berupa wilayah itu. Wilayah Sabah itu diberikan kepada Kesultanan Sulu.
Kemudian dalam tahun 1761, pihak British melalui East India Company buat perjanjian dengan Sultan Sulu untuk menyewa Borneo Utara [Sabah] untuk dijadikan pos perdagangan mereka. Termasuklah kelengkapan tentera Sultan Sulu yang ketika itu kena berdepan dengan Sepanyol, satu lagi kuasa Barat yang mengintai di sebelah timur.

SYARIKAT INGGERIS
Hak sewa menyewa Sabah ini kemudian bertukar dari tangan ke tangan hingga sampai kepada North Borneo Company pula. Sewa kena bayar kepada Sultan Sulu. Orang putih yang menyewanya.
Kemudian selepas 1885, Inggeris, Sepanyol dan Jerman buat perjanjian  yang dinamakan Protokol Madrid, yang mana Sepanyol mulai melepaskan tuntutannya ke atas Borneo Utara. Berikutnya Borneo Utara atau Sabah itu menjadi kawasan di bawah kawalan Inggeris.
Selepas Perang Dunia ke-2, Inggeris nak pulangkan semula kawasan itu kepada Kesultanan Sulu, tetapi satu pungutan suara telah dilakukan untuk mengetahui apakah rakyat di Sabah itu mahu ikut ke dalam Malaysia yang bakal dibentuk atau kepada Sultan Sulu. Keputusannya, rakyat memilih untuk ikut ke dalam Malaysia hinggalah pada September 1963 terbentuknya Malaysia.
Pihak Kesultanan Sulu "terdiam" kerana pilihan rakyat menentukan begitu. Akan tetapi yang orang tak tahu, meski sudah berlangsung lama, sewa Sabah ini tetap dibayar. Pembayaran dikeluarkan setiap tahun kepada Sultan Sulu.
Mungkin pihak Sulu berpendapat, seperti sewa tanah, sewa bangunan gudang atau rumah, apabila tiba masanya ia kena pulangkan kepada pemiliknya. Begitulah kira-kira yang diidamkan oleh pewaris Kesultanan Sulu yang ada.
Khabarnya, bilangan yang menuntut hak ini begitu ramai. Lebih dari 60 orang yang menyatakan hak mereka ke atas Sabah.
Sultan Sulu sekarang, Muedzulail Tan Kiram, adalah sultan terkini yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina. Beliau tinggal di Jolo, Sulu. Sejarahnya sangat panjang. Percaturannya pun hebat dan perlu difahami menurut runut sejarah.

SULTAN SULU
Jika tidak berlaku kes "kumpulan bersenjata" di Lahad Datu, para wartawan Malaysia langsung tak ambil peduli pun tentang Kesultanan Sulu. Hakikatnya ia wujud. Kalau disemak perjanjian mereka dengan orang putih pun dibuat dalam bahasa Melayu, tulisan jawi dan cantik. Boleh dibaca walaupun dengan langgam lama.
Menurut catatan, sejak tahun 1963, dokumen sewaan oleh British North Borneo Company itu telah dipindahkan oleh Inggeris kepada Malaysia.
Jika tidak ada kekecohan ini, orang tidak tahu bahawa sewa sebidang tanah seluas Sabah itu hanya 73,040.77 Peso [iaitu catatan tahun 2003].
Kita harap kes tuntutan dari kerabat Sultan Sulu ini diselesaikan dengan berhemah secara rundingan. Hanya apakah sewaan itu mahu dinaikkan sesuai dengan perubahan masa, atau ada cadangan lain yang diterima oleh semua pihak tanpa menimbulkan sebarang pertikaian. Selain pertikaian yang seolah-olah berlaku di antara dua negara, timbul juga pertikaian di kalangan penuntut hak yang ramai bilangannya. Kita tunggu, apa episod sesudahnya. Wallahu a'lam. [disari dari berbagai sumber Wikipedia, Vivanews].

PENGARUH MAT BOM
Sementara itu, menurut sumber dari Sabahkini.net mengatakan kisah sekumpulan anggota "tentera Sultan Sulu" di Lahad Datu ini hanya merupakan tindakan kecil yang berpunca daripada pengaruh hebat Ahmad Malandi @ Mat Bom, orang kuat Umno di Sungai Nyamuk. Ahmad Malandi dikatakan menggunakan kedudukannya di dalam parti bagi tujuan mendapatkan kelebihan berupa tanah. Telah berlaku isu perebutan tanah, dakwa mendakwa berkaitan tanah adat yang konon telah dikuasai oleh Felda Sahabat 18.
Perkara tanah adat ini khabarnya sudah berlarut-larut hingga dibawa ke Mahkamah, dan ia tidak berpihak kepada Ahmad yang menyebabkan beliau "mengajak" suku-sakatnya yang berketurunan Sulu agar membantu tuntutan beliau.
Beliau yang dilaporkan mengidap angin ahmar dan pernah terlantar di Hospital Lahad Datu, turut diziarahi kerabat dari Sulu. Kebetulan "Projek IC" di zaman dulu turut melibatkan kelompok ini. Bukan setakat itu, pihak berkenaan juga menjanjikan pembahagian tanah seluas seribu ekar sekiranya perjuangan mereka berhasil.
Sumber turut melaporkan bahawa dalang sandiwara itu memang sudah nyata, kerana kumpulan yang berkampung di Lahad Datu dan menimbulkan kekecohan itu adalah terdiri daripada kalangan saudara-mara belaka, hubungan perkahwinan antara mereka menguatkan lagi kekerabatan yang terjalin lama. Tidak menghairankan, ada pihak yang mengatakan bahawa kemungkinan pihak mana yang "mengundang" dan membiayai kos perjalanan dan persenjataan itu sudah dapat diagak walaupun masih tidak sahih.
Sumber juga melaporkan, kemungkinan senjata diperoleh di Tawi-Tawi dari pasaran gelap di sana.
[tambahan dari sumber Sabahkini.net dan www.erapasca.com].

KESAN PROJEK IC
Tidak dapat dinafikan, projek IC yang telah berlaku begitu lama, bagi tujuan tertentu pihak penguasa telah menjadi beban kepada negara. Bilangan orang luar yang menjadi rakyat Sabah secara mengejut telah bertambah dan terus bertambah.
Di luar nalar pemikiran kita, bilangan orang Suluk yang menyelinap begitu ramai. Mereka yang sudah memiliki dokumen "sah" boleh pergi ke mana sahaja termasuk ke Kuala Lumpur. Terbukti mereka juga turut menghadiri perhimpunan politik yang tidak difikirkan implikasi buruknya pada kemudian hari.
Dan yang lebih mengharukan, di kalangan mereka ini cukup bijak bermain "politik", mereka menyertai atau menubuhkan NGO bagi kepentingan tertentu. Mereka pegang jawatan tertinggi, dan boleh ke tempat lain untuk berhimpun, berseminar dan menyatakan dukungan mereka atas sesuatu isu.
Orang luar terlupa, bahawa ikatan kekeluargaan Suluk, "Marga Suluk" ini mempunyai objektif jangka panjang yang orang luar tak tahu. Apabila mereka sudah diberi hak kerakyatan, diberi itu dan ini, bilangan mereka sudah bertambah dan kuat, maka kesatuan itu akan menyerlahkan objektifnya.
Kita pun tidak tahu, apakah benar mereka yang "menyeberangi" laut itu benar-benar dari Jolo, dan mereka semua ada "kepentingan" dengan perjuangan bagi mendaulatkan Kesultanan Sulu. Kita tidak ambil tahu pun, kerana media kita langsung tidak ambil peduli.
Ada penganalisis mengatakan, semua yang berlaku sekarang adalah kesan dari pemberian dari projek IC yang keterlaluan bagi memenangkan parti tertentu dalam pilihan raya. Sudahnya, kita semua menanggung akibatnya. Hendak dipersalahkan kepada siapa? Kita boleh senyum kalau melihat MyKad mereka dengan nama-nama pelik Sembilang bin Badukang, atau mungkin Sepat bin Puyu, Lundu bt Patin. Jangan tertawa. Sudah terbukti pun!
Dan kalau dilihat sepak terajang mereka, ada di antara kelompok itu diberi kedudukan istimewa dalam parti politik. Sedangkan kita langsung tidak ambil peduli apakah "matlamat" mereka dengan menduduki kedudukan yang istimewa itu?
Jelas, dari analisis, mereka tidak berpihak kepada pembangkang, tidak berpihak kepada parti-parti kecil yang bukan dominan dalam politik nasional. Mereka ada matlamat jangka panjang. Mereka memilih parti yang berkedudukan dan ada kuasa. Kita semua faham, parti mana yang mereka sokong, yang mereka dukung demi mencapai matlamat itu.
Kia tidak perlu hairan kalau di kalangan ahli parti itu ada yang mendakwa kerabat Diraja Sulu, begitu juga yang mereka yang menduduki jawatan utama dalam NGO yang selalu beriringan dengan pihak penguasa. Apabila keadaan sudah jadi seperti sekarang, tidak perlu mencari dalangnya. Kajian dari mana pakar atau cerdik pandai pun akan kembali kepada jawapan yang sama. Ia berada dalam lingkaran yang sama. Fahamilah situasi ini. [sumber berbagai laporan termasuk mb.com.ph].
Terbaru sebagaimana dilaporkan dalam blog yang lain, ada tokoh sebuah parti politik dikatakan mempunyai pejabat di Selangor, dia diberi gelaran istimewa oleh Sultan Sulu yang tinggal di Manila. Dia yang juga tokoh penting dalam parti nasional adalah penasihat "kerajaan" bagi pihak "baginda" Sultan Sulu. Seperti tajuk paparan ini, "Kisah Sultan Sulu Membingungkan", jelas, sampai sekarang orang ramai bertambah bingung kerana ada bermacam jenis Sultan yang wujud gara-gara isu Borneo Utara ini. Di mana kita hendak mencari salasilah sultan yang sebenar? Sekiranya setiap orang mengaku sebagai sultan yang sah, kita pun tidak tahu, adakah matlamat mereka hendak "meminta balik" tanah leluhur mereka atau perebutan kuasa, perebutan jawatan sultan yang nampaknya sedang terbuka lebar sekarang. Sesiapa sahaja mendakwa sebagai kerabat, saudara-mara sultan, sementara ada laporan dari Jolo, mengatakan sultan yang sebenar adalah yang ada di Jolo dan bukan di Sabah, di Manila atau di mana-mana pun! Kita tunggu apa kesudahan cerita ini. Nampaknya makin menarik, ada unsur ketegangan, ada mitos pencarian, mitos mencari salasilah, mitos sejarah silam dan banyak lagi yang membingungkan. []  

No comments:

Post a Comment