Nah, dalam dunia mendapatkan duit secara ketoyolan ini, ada banyak teknik atau ilmu yang boleh dipelajari dan "dibeli" [toyol paling murah RM1,750] sekiranya seseorang itu sudah tidak memikirkan siapa dirinya lagi. Atau dengan kata lain, sudah putus harap dan ingin lari dari persoalan lain. Kata orang toyol boleh dibeli di Jawa Timur [Kg.Surowati, Panceng, Gresik atau di Klaten].
Maka, apa sahaja yang mereka cari selain daripada toyol?
Menurut orang pintar, ada lagi makhluk lain atau ilmu lain yang boleh mendatangkan duit. Antara lain adalah:
- KHADAM JIN - dengarnya boleh dapat sampai 19 jin atau ratus jin pun boleh. Konon jin itu akan membantu anda mendapatkan duit atau istilah kerezekian. Daripada usaha yang dilakukan oleh khadam, ia akan mendatangkan duit sebagai matlamat akhir. Selain khadam begini, ada yang dipanggil Khadam Pendamping, boleh disuruh apa sahaja. Termasuklah bab mendatangkan duit.
- POPOK WEWE - siapa yang amal ilmu ini mereka akan diberi "popok wewe" [asalnya dari kain lampin bayi] dan jadikan ia sebagai tangkal atau penarik rezeki kalau sesiapa yang buka gerai, kedai runcit atau mini market. Atau usaha apa sahaja yang mendatangkan duit. Hanya "dukun" tertentu sahaja boleh bagi ilmu mengarut macam ini.
- BUTA HIJAU atau BUTO IJO - kenapa dikatakan hijau? Ya, sebab ia berupa makhluk menyeramkan, badan tinggi besar, berbulu hijau, matanya merah berapi, dan makhluk ini sangat sakti. Ia ibarat gergasi besarnya. Apa gunanya? Sesiapa yang memelihara "haiwan" ini mereka boleh dapatkan duit dengan meminta kepada jin Buto Ijo ini. Kalau diminta, konon makhluk ini akan jelir lidah dan keluarkan duit dan kepingan emas kecil dari mulutnya. Aneh! Bukan mulut sahaja, kalau Buto Ijo itu betina, dia boleh sorokkan berlian dalam kemaluannya. Suruhlah Buto Ijo itu keluarkan benda itu, tak kan orang yang memiliki kena seluk kut? Hairannya, "dukun" yang menyediakan ilmu ini dia kata Buto Ijo boleh tolong carikan duit sampai dekat RM2,000 semalaman. Kalau sebulan berapa? Kaya gitu! Hanya kita kena faham, makhluk ini pun nak makan juga, ada sajiannya, ada tumbalnya, khidmat bukan percuma. Bahkan boleh mengorbankan diri pemiliknya.
- BAJANG - kata yang empunya cerita, ia adalah adik beradik kepada toyol juga, hanya namanya Bajang. Bajang kena dipelihara. Dapatkan seekor Bajang daripada "dukun" yang tahu tentang dunia kebajangan. Jangan tanya dukun urut sakit kaki. Bagaimana rupa Bajang? Khabarnya, ia bermata bulat, mulutnya kecil panjang dan vertikal. Semalaman dia boleh cari duit hingga belas ribu ringgit. Ini lagi dahsyat. Hanya kita kena tahu apa sajiannya, apa syaratnya, ada tumbal atau tidak. Kalau dia nak tumbal ahli keluarga pemilik bagaimana? Sendiri jawab.
- BABI NGEPET - hanya sesuai untuk pasangan suami isteri yang suka menjauhkan diri dari masyarakat. Rumah terpencil. Waktu malam suami merayau jadi babi, boleh masuk rumah orang tanpa ikut pintu, maklum sudah jadi jin babi ngepet. Isteri di rumah kena jaga lampu minyak tanah. Ada isyarat dari api pelita itu. Kena belajar mengenal bentuk api dan warna dan lintuknya apabila kecemasan. Sebab, ketika suami menyamar jadi babi untuk mencuri di rumah seseorang, kekadang, nasib tidak menyebelahi dia kena kepung. Api pelita di rumah yang dijaga oleh isteri perlu diamati baik-baik. Ketika api itu menunjukkan suami yang jadi babi sedang kecemasan dikepung, pelita dirumah perlu dipadamkan. Padam bererti gelap. Gelap tak nampak apa. Sama juga, kehadiran babi di rumah orang. Mereka yang mengepung babi tak nampak apa. Babi selamat, boleh balik ke rumah dan bawa duit atau emas yang dia dapat. Babi ngepet tidak pegang duit, tetapi ilmu dari ngepet ini boleh pindahkan duit dan barang kemas ke dalam karung khas yang diletakkan di rumah pengamal ilmu. Kalau babi dikepung pun, makhluk itu tidak ada bawa duit dan benda lain. Kosong. Pemindahan harta secara auto-ghaib ini memang aneh.
- KAHWIN JIN - yang biasa kita dengar ialah kahwin dengan puteri jin seperti Puteri Selatan atau lainnya. Tetapi yang ini kahwin dengan jin yang boleh disepakati agar membantu "suami" atau "isteri" agar dapat duit atau rezeki secara ghaib. Jin perempuan ini boleh disuruh untuk mendapatkan harta. Cara bagaimana? Itu kena tanya orang pintar atau pak dukun yang menyediakan khidmat ini. Tapi kena bayarlah, bukan percuma.
- BLORONG - ini pun macam kahwin jin juga. Sebenarnya siapa yang berkawan dengan Blorong, orang itu boleh kaya juga sebab Blorong ini adalah sejenis jin pelik, kepala manusia badan ular. Dia juga boleh jadi "manusia" sepenuhnya ketika dilayani pasangannya. Setelah puas melayani nafsu, "ular Blorong" agar pergi menyusur keluar. Dia akan tinggalkan sisik yang berupa emas, ada yang mengatakan sisik ular tadi yang berupa emas beratnya sampai 2kg. Bayangkan? Kalau satu malam dapat 2kg. seminggu dapat 14kg. Sedangkan emas 200gm pun sudah mahal, apalagi kalau ditimbang sampai berkilo-kilo. Rasanyanya, ini maklumat yang mengelirukan. Jika orang yang bersahabat dengan ular ini dapat setiap hari sebanyak 2kg. maka dia kena siapkan bilik kebal, setiap rak-rak bersusun sisik emas ular. Mungkin pihak pembeli emas hairan. Emas dari mana boleh sampai berkilo-kilo begitu? Ikut logik. Pak dukun itu sendiri yang jadi perantara kena cuba dulu. Kalau dia pun tidak boleh dapat emas sampai 2kg. tak perlulah temberang kepada orang lain. Jika begitu tak perlu fikirkan masalah negara lagi, hanya fikirkan ular, ular, ular dan ular. Mungkin lelaki yang berkawan dengan ular badannya pun hamis macam ular juga.
- KANDANG BUBRAH - inipun perkara pelik. Orang yang amal ilmu ini konon dijamin jadi kaya raya. Rumahnya pun hebat. Betapa tidak. Kerana salah satu syarat pengamal ilmu ini dia kena baiki rumah setiap hujung tahun. Ada sahaja yang hendak dibaiki. Ada sahaja yang hendak ditambah-tambah. Apa nak hairannya, ilmu kandang ini memberikan kekayaan mistik.
No comments:
Post a Comment