Wednesday, 13 February 2013

SIAPA KETURUNAN ISKANDAR DZULKARNAIN TU?

Sejak dulu lagi orang berlumba-lumba hendak mengaku mereka keturunan Iskandar Dzulkarnain. Dek kerana hebatnya nama itu, ramailah yang mengaitkan nama Iskandar Dzulkarnain. Mengambil sempena seorang raja besar dari Makedonia itu.
Untuk sembang tentang nama besar ini, tidak cukup sehari dua. Tajuk ini memang menarik, kalau hendak dibukukan boleh jadi terlampau tebal dan penat hendak membacanya.
Ada dua Iskandar, satu yang dikatakan Alexander the Great dan satu lagi Dzulkarnain yang disebutkan di dalam al-Qur'an.
Di alam Melayu kita, nama Iskandar Dzulkarnain diheret-heret sehingga ada pujangga zaman dulu sanggup buat cerita mengenai raja-raja konon nenek moyang atau leluhurnya Iskandar Dzulkarnain.
Ini adalah mitos yang terdapat di dalam Sejarah Melayu, kemudian ada lagi teks "sejarah" seperti Hikayat Siak yang mencedok bab asal-usul raja dan dikaitkan dengan leluhur bernama Dzulkarnain itu.
Kalau mengikut teks hikayat dan sejarah itu, keturunan raja-raja kita bermula dari Iskandar Dzulkarnain.
Tidak ada siapa nak mengkaji mengenai perkara ini.
Betul atau tidak leluhur mereka dari Dzulkarnain yang masyhur itu?
Atau sengaja pihak pengarang istana pada zaman dulu hendak mencari kemasyhuran. Mana mungkin salasilah keturunan hendak dikaitkan dengan gergasi atau hantu peri misalnya.
Jadi, dipilihnya nama besar yang di luar lingkungan budaya lokal.
Tokoh dan peristiwa yang hendak diceritakan sudah terlalu lama, sudah jauh dari zaman Dzulkarnain, nama itu pun sudah luput dan tinggal sejarah; pujangga yang menulis, yang sudah tentu dapat arahan daripada kalangan pembesar menjadikan ia sebagai mitos tak masuk akal, mahu dijadikan sebagai dasar untuk kesahihan dan kedaulatan raja-raja pada zaman dahulu.
Sudah menjadi kegemaran pujangga zaman dulu memasukkan nama Dzulkarnain walaupun tanpa asas yang benar.
"Alkisah, inilah cerita Sultan Iskandar Zulkarnain, ayahnya Darab, Raja Istambul. Ibunya Safiah Arqiah, konon anak raja Mesir. Iskandar Zulkarnain dikurniakan Allah subhanahu wa Taala pangkat yang tinggi di dunia. Kerajaannya punyalah hebat dari Masyrik ke Maghrib."
Dari susur yang mana leluhur itu boleh diperkaitkan?
Adakah susur dari Mesir, Parsi atau India?
Tiga negeri itu pun termasuk dalam kekuasaan raja besar itu.
Misa Melayu juga mencatatkan bahawa golongan bangsawan ini berketurunan dari nasab Iskandar Dzulkarnain.
Nama pun karya sastera bercorak sejarah. Dengan sebab itu mitos asal-usul keturunan itu boleh dileretkan kepada sesiapa sahaja, tetapi biarlah tokoh yang hebat di mata dunia.
Pembaca karya sastera sejarah pun tahu, nasab yang disebutkan itu terlalu jauh, tidak masuk akal. Kerana apabila diselidik secara saksama, kewujudannya tidak ada pengaruh pun dari luar Nusantara.
Dan peranan pujangga masa silam turut membantu mengangkat nama-nama tertentu untuk diletakkan pada kedudukan yang selayaknya.
Kalangan rakyat pada masa itu tidak tahu menahu, kecuali pihak penjajah yang mula menerokai wilayah di sini dan turut membantu melahirkan karya sastera bercorak sejarah.
Penulisan karya sebegini adalah bergantung kepada naungan.
Pujangga atau penulis sastera sejarah didorong oleh faktor penjajah juga secara tidak disedari.
Kebanyakan karya yang dianggap penting itu memang ditulis setelah kedatangan penjajah. Seni menulis sastera sejarah baru ada setelah dicelikkan oleh penjajah.
Tidak hairan ada karya yang pro kepada sesuatu pihak mengikut siapa yang menjadi penulisnya.
Hal Iskandar Dzulkarnain memang digemari para penulis sastera sejarah pada masa itu. Ia adalah idea penulis itu dan bukan sesuatu yang sudah termaktub dalam apa-apa "kanun" pun.
Tidak hairan, kalau Sejarah Melayu masukkan bab mitos ini, maka kemudian ada teks lain yang meniru gayanya, iaitu teks Hikayat Siak.
Hikayat ini pun tumpang sekaki mengaitkan tokoh Dzulkarnain.
"Tidak boleh seseorang itu membinasakan hambanya jika bukan hukum dari al-Qur'an [dan as-Sunnah]. Bukanlah kita pancaran Iskandar Dzulkarnain kalau bersifat pengecut terhadap makhluk."
Ketika menulis cerita sejarah yang penuh mitos itu, pengarangnya bebas memasukkan apa cerita karut pun, iaitu cerita yang popular pada masa dulu, mitos-mitos oral yang ada hubungan dengan leluhur mereka.
Penulis hikayat itu tidak menyaksikan apa yang terjadi, dalam kes ini tentang asal-usul pemula keturunan raja pun dia tak tahu, hanya setakat melaporkan apa yang diceritakan orang. Hanya memulakan cerita dengan syahdan, hatta atau maka tersebutlah perkataan...
Di dalam kewartawanan hari ini selalu menyebut "dikatakan", "beliau dilaporkan sebagai berkata" dan banyak lagi.
Dalam cerita mitos tadi boleh dimuatkan apa sahaja rekaan bagi menggambarkan kehebatan tokoh, diceritakan tentang karomahnya, tentang daulatnya; kalau orang baca pada hari ini mereka tahu semua itu adalah rempah ratus untuk memanjangkan cerita hikayat. Jika hendak mengaitkan dengan Raka Makedonia itu, jalinannya terlalu kabur atau semacam dibuat-buat [Muhammad Yusoff Hashim, Hikayat Siak, dirawikan oleh Tengku Said, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992].

No comments:

Post a Comment