Secara tak langsung Najib sudah kempen makan nasi kandar. Tahulah dalam dunia kepolitikan dan keampuan menjelang nak pilihan raya ni, apa yang pemimpin kata, itu yang jadi panutan, apa yang pemimpin makan, itu orang pembesar nak makan [meskipun bukan citarasanya yang tulen].
Maka, ketika Najib dan juak-juaknya di Penang, ada dua santapan yang dikatakan bagus. Satu, makan hidangan PSY yang betul-betul dikagumi, ada yang menitik air mata terharu. Kagum yang bukan kepalang kagum. Kalau boleh biarlah PSY tu duduk di Chow Kit lama-lama, boleh jual produk Korea sekali.
Yang kedua, ialah nasi kandar. Kalau Najib dah kata makan nasi kandar kena makan di kedai, kalau bawa balik tak sedap.
Jadi, Nasi Kandar Beratur di Jalan Kapitan Kling, Georgetown, Penang, itu sudah masuk dalam carta tempat makan yang paling top buat masa ini. Sudah tentu lepas ni, gambar-gambar Najib makan nasi kandar yang tersiar dalam paper utama akan dipotong dan diframekan, siap gantung dalam restoranto itu.
NASI KANDAR BERATUR
Nampaknya sudah menjadi budaya kita di mana-mana, kalau nak makan nasi kandar ketika waktu puncak, maka semua orang kena beratur. Kalau tak beratur nanti kawan di depan jeling-jeling. "Ni mesti orang baru mai tak tau adat!"
Di Georgetown sendiri di sana-sini ada kedai nasi kandar. Sebelah Chowrasta pun ada restoranto nasi kandar, dekat simpang nak pi Macalister pun ada, Jalan Pinang pun ada [kayu dah tak ada, Line Clear masih wujud], pendeknya hang pusing sana, pusing sini kalau setakat Georgetown tak susah nak cari nasi kandar.
Hanya bukan semua gerai dan restoranto itu menyajikan nasi kandar menurut selera masing-masing.
Ada orang nak cari nasi kandar masa waktu puncak dengan melihat panjang mana orang beratur. Kalau panjang berjela, memang banyak peminatlah.
Ada orang suka makan nasi kandar di gerai-gerai kecik, macam di satu lorong sebelah tembok Masjid Kapitan Kling itu. Ia pun jadi tumpuan. Gerai itu ada dua sesi, pagi dan petang. Lain orang berniaga. Sudah bertahun-tahun begitu, mereka masih berniaga sampai la ni.
Disebabkan kepopularan nasi kandar ini, restoranto dan gerai nasi kandar sudah merambah ke negeri lain.
Apabila ada orang berniaga nasi kandar di Kuantan misalnya, mereka tulis NASI KANDAR PENANG.
Bukan di Kuantan sahaja, di Kuala Lumpur pun serupa.
Elok berniaga nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dia masih pakai nama Penang juga. Macam orang jual rojak, dikatakannya ROJAK SINGAPORE. Padahal dia berniaga di Kuala Lumpur.
Inilah jenama.
Dek kerana mengejar jenama, maka di sana-sini tumbuh restoranto nasi kandar. Siap tulis, NASI KANDAR PENANG.
Bagi yang kaki makan nasi kandar, mereka akan jenguk dulu. Jenguk hidangan yang dipamerkan di dalam ruang berkaca. Telur dadarnya macam mana, tebal tak? Sotong, ketam, udang besar, kari ikan bawal hitam, ikan tenggiri, kepala ikan [merah, tenggiri, bawal hitam] ayam, ayam goreng tuu diyaa!, daging dan semua sekali kena tengok dulu.
Kalau mereka tengok ada ikan keli bersalut tepung bergoreng, mereka akan fikir dua kali. Nasi kandar mana ada ikan keli?
Sah, ini sudah campur-aduk PECEL LELE dengan BAKSO. Maka peminat nasi kandar tadi sudah lari cari tempat lain.
Begitu juga kalau gerai nasi kandar ada jual ikan talapia, ada sayur cara Melayu, maka ia bukan nasi kandar lagi.
Berapa banyak restoranto yang guna label nasi kandar sudah bungkus. Berniaga beberapa bulan sudah tutup. Puncanya, jenama nasi kandar tidak dijaga. Mereka fikir kalau letak label NASI KANDAR PENANG sudah memadai.
Di Alor Setar lagi bagus. Ada orang berbaris nak beli nasi lemak. Baris punya baris, apabila sudah dekat dia orang terkejut. "Mana nasi lemak bang?" dia tanya. Sebab yang sedang dicedok itu bukan nasi lemak, tetapi nasi keperangan macam nasi tomato atau kebiryanian. Jadi, kena tengok keadaan. Istilah lain-lain.
Di Kangar pula, pagi-pagi orang dah balun nasi sebukit penuh. Tu dia! Memang tak perlu makan tengah hari lagi nampaknya, sekali harung.
MANA SEDAP?
Ada orang tanya, di Kuala Lumpur ada restoranto nasi kandar tak?
Susah jugak nak jawab. Kalau nak ikut indeks berbaris tadi, maka ada dua tempat yang orang berbaris, tapi tak lah panjang berjela.
Semuanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Yaseen, Kudu Abdul, Odeon dan Ibrahimsa. Walaupun semuanya nasi kandar, antara Yaseen dengan Kudu lain rasanya. Itu belum lagi makan nasi kandar di Georgetown yang Najib kata best tu [maaf ya bukan iklan makan ya].
Orang yang kaki makan nasi kandar mereka tahu ke mana nak cari. Dan jangan hairan, sekarang di mana-mana pun orang gunakan NASI KANDAR dengan sewenang-wenangnya, sampaikan restoranto semi-Pakistani pun guna label nasi kandar juga.
Bolehkah orang kita [Melayu] jual nasi kandar?
Boleh, bukan tak boleh, tapi persepsi sudah lama tertanam bahawa nasi kandar ini dijual oleh keturunan itu sahaja. Jangan fikir nasi kandar laku, hang pun nak buat restoranto nasi kandar.
RESTORAN MENYAMAR KANDAR?
Sudah banyak restoran yang "menyamar" di kebanyakan kota di negara kita.
Semuanya nasi kandar. Hakikat sebenarnya, apabila anda masuk dan jenguk menunya, ia bukan nasi kandar tulen. Ia nasi kandar peniruan. Seperti yang saya kata tadi, menu sudah bercampur pecel lele atau ayam penyek.
Biasanya nasi kandar jadi tumpuan. Ada orang suka mencuba. Kalau sedap boleh ulang lagi. Itu yang berani cuba. Tetapi nak senanglah, tengok menunya dulu.
Kenapa orang Melayu susah nak berniaga kedai makan?
Puncanya, kita terlalu taksub dengan makanan tuk nenek kita dulu. Semua nak sedia. Dari hujung meja sampai ke hujung meja semua nak kena masak dan sediakan. Maklum nak layan selera pelanggan yang berlainan ragamnya.
Menu yang banyak sampai berpuluh jenis pun bukan tarikan, ia memenatkan dan ada kalanya jadi pembaziran.
MENU MUDAH
Tengok nasi kandar. Simple.
Orang berbaris nak makan. Menu nasi kandar banyak tertumpu kepada kekicapan.
Tengoklah, kuah yang warna kehitaman itu apabila dicampur-campur, kuah daging, kuah ketam, kuah udang, kuah ayam, kuah kepala ikan, rasanya jadi semacam, itu sebab orang berselera makan nasi kandar.
Kaedah campuran sikit-sikit ini yang menyebabkan nasi selera.
Siapa nak masak gaya nasi kandar di rumah? Kuah sampai lima enam jenis?
Campuran ini yang jadi sedap. Sudah ramai mencuba masak gulai secara nasi kandar. Ada yang jadi dan tak jadi. Ia tak akan jadi kerana campuran kuah yang sedikit-sedikit itu menimbulkan rasa yang enak. Itu yang Najib kata nak makan nasi kandar, elok makan di gerai atau di restorantonya.
Kalau bawa balik, bukan tak jadi nasi kandar, campurannya tak lengkap.
Bolehkah gulai cara Melayu dicampur aduk begitu macam nasi kandar? Jawabnya, ada yang tak boleh makan. Mana kena gulai lemak nak campur gulai daging atau ayam misalnya.
Tetapi, ada orang boleh balun semacam je.
Jadi, lepas ni, bolehlah pekena nasi kandar. Tapi ingat. Bukan semua restoranto yang mendakwa sebagai NASI KANDAR PENANG itu nasi kandar. Di sekitar Jalan Ampang yang dikata hebat itu pun, masih bukan nasi kandar sebenar! Begitu juga di Bukit Bintang. Jalan-jalan cari makan. []
No comments:
Post a Comment