Kuala Lumpur selalu macet. Pantang ada hujan. Kemacetan ini membosankan bagi mereka yang ada urusan. Jadi dalam perjalanan nak ke Bukit Bintang, saya mencuba perkhidmatan bas percuma dari KLCC Jalan Ampang ke Bukit Bintang. Penumpang bas aneka rupa dan aneka bangsa. Inilah percampuran yang menyeronokkan. Kalau guna kenderaan peribadi, anda tak akan jumpa aneka bangsa begini. Boleh bertegur sapa, dan menyatakan sesuatu yang ditanyakan. Seorang lelaki yang saya kira dari Amerika Selatan, ingin ke Chinatown. Dia khuatir tidak akan sampai ke sana, dan saya nyatakan ada khidmat bas percuma untuk ke sana di Jalan Raja Chulan nanti. Dia seronok mendapat sedikit panduan begitu.
Di Kuala Lumpur, perkara yang paling susah nak terangkan kalau orang tanya hotel-hotel yang baru dibuka semalam, seminggu lepas, sebulan lepas atau tahun lepas. Nama hotel yang begitu pelik dan tak popular kerap ditanyakan. Kalau ada kad perniagaan atau apa sahaja boleh kita "teroka" dan mengagak di mana ia. Kekadang hanya nama hotel tapi lorong mana, jalan mana tak diberitahu. Ini yang menyukarkan. Mungkin polis pelancong tahu. Sayangnya sekarang, polis pelancong tidak kelihatan lagi di Kuala Lumpur ini. Ke mana gerangannya?
Jadi, dalam bas yang sendat dipenuhi warga mancanegara, kebetulan saya berdiri dekat seorang lelaki Cina yang biasa saya lihat. Berseluar pendek paras lutut, berkasut kanvas, bersetokin, baju t biasa. Memang dia biasa. Saya tepuk dia, tegur dia dan tanya itu ini tentang Jalan Masjid India, tentang Pak Raden Wali Sembilan, dia ingat. Dia ingat semula, dan dulu ketika saya temu bual seseorang, lelaki Cina ini kerap berada di sisi saya, dan dia melihat apa yang saya lakukan, baik mencatat sesuatu atau memotret sesuatu. Dia tahu apa yang saya buat.
Lelaki Cina ini sebenarnya salah seorang lelaki yang dikatakan oleh Pak Raden telah "nikah" dengan jin perempuan. Biar betul bang!
Lelaki inilah yang bercerita kepada kami bahawa ketika dia duduk melamun di sebuah bilik hotel di Jalan Masjid India, tiba-tiba ternampak kelibat ular besar atas katil.
Jangan merapu bang! Itu cerita lelaki Cina itu. Dia sendiri yang kehairanan, sambil terkedip-kedip matanya, dia hairan, pasal apa dia boleh nampak begitu pada waktu siang bolong? Dia kata, dia nampak ular melingkar atas katil, anehnya ular itu berkepala manusia, perempuan, ada tiara di kepalanya. Siapakah gerangannya itu?
Bermula dari pertanyaan mistik itulah, lelaki Cina itu kemudian ingin tahu apa sebenarnya.
Melalui perantara Pak Raden selaku jurutunjuk, jurukunci dan jurubuka, maka lelaki Cina ini diberikan keterangan tentang ular besar itu dengan lebih terperinci.
Kefahaman lelaki ini sudah mula nyata, dia tahu siapa ular misteri itu. Dan ada kaitan Puteri Kidul dengan Puteri Blorong. Duanya ada kaitan kata Pak Raden.
Agaknya, disebabkan rasa ingin tahu, lelaki Cina ini kemudian memutuskan hendak "nikah" dengan jin perempuan itu.
Maka Pak Raden pun khabarnya uruskan semua perkara. Termasuk potong kerbau balar, hantar kepala kepala kerbau ke laut, bagi persembahan atau sajian, itulah yang disebut sebagai larung sajian. Larung sajian dibuat di Laut China Selatan, di Pantai Timur.
Sebenarnya dari dulu lagi saya ingin tahu apa kesudahan episod nikah jin ini.
Kebetulan lelakio Cina ini sudah berada di depan saya. Saya fikir, kalau saya tanya tentang jin itu tentu dia sukar nak menjawabnya. Bukankah perkara ini menjadi kerahsiaan dalam ilmuan mistik. Jadi, saya tak tanya apa pun, sebaliknya hanya sembang topik lain hinggalah kami turun di Jalan Imbi bersebelahan Times Square. Saya nak jumpa Pakistani yang saya amanahkan untuk baiki laptop saya.
Jadi, memang begitu agaknya. Lelaki Cina ini tidak kelihatan smart. Dia memang tak pernah smart pun apa lagi sejak "nikah" dengan jin dari luar negeri. Ada perbezaannya? Tak nampak beza. Dia masih macam dulu.
Sebenarnya banyak soalan terkumpul dalam kepala yang saya enggan nak luahkan. Iaitu tentang "perkahwinannya" dengan jin perempuan itu. []
No comments:
Post a Comment