Wednesday, 8 August 2012

ADAKAH [TANDA PUTERA] FILEM MELAYU TERBAIK?

SERONOK KITA MEMBACA ulasan orang akhbar terutama yang mengikuti sidang akhbar melibatkan Shuhaimi Baba, selaku pengarahnya. Memang, kerja mengarahkan filem, untuk mendapatkan hasil yang baik, hasil yang kurang kritikan, ia bukan kerja manusia. Akan tetapi menurut ulasan wartawan kecil akhbar arus perdana, TANDA PUTERA adalah filem terbaik, hanya kita tidak tahu terbaik pada hari ini, minggu ini, bulan ini, tahun ini, era ini, atau dekade ini.

TERBAIK

Sebabnya, apabila ada orang lain buat filem, pengulas yang sama akan mengatakan filem TANDA PUTERI [?] arahan Mr Thomson misalnya adalah filem yang terbaik mengatasi filem-filem yang ada di negara kita. Maksudnya, setiap ada filem baru disiapkan dan ada sidang suratkhabar [bukan sidang akhbar] maka filem yang terbaru itulah yang terbaik. Jadi, entah mana satu yang terbaik.
Mengenai tindak balas penonton, ternyata, bagi kalangan muda yang tidak melalui zaman 60-an, mereka hanya menonton sebagai filem biasa. Mereka hendak mencari sesuatu yang ada kaitan dengan dunia mereka. Keluar panggung mereka akan hampa. Mereka mungkin akan kata, kenapa asyik Tun Razak dan Dr Ismail sahaja?
Dan mereka pun tak kenal siapa itu, mereka hanya tahu menyebut namanya. Tentang peri hebatnya persahabatan dua tokoh itu memang hendak ditonjolkan dalam TANDA PUTERA.
Menurut Shuhaimi sebagaimana yang diulas oleh wartawan hiburan kebanyakan di negara kita, jalan cerita filem ini dianggap berani [?] serta paparan kisah benar yang penuh tragik, membabitkan dua bekas pemimpin tertinggi negara. Ini kisah penuh tragik, orang yang menyaksikan filem ini akan mencari di mana TRAGIKnya.

13 MEI 1969

Yang paling menimbulkan isu adalah paparan mengenai 13 Mei 1969 yang selama ini dianggap sensitif, dulu sampaikan buku tentang 13 Mei pun diharamkan. Kenapa diharamkan? Adakah ia salah fakta, atau kerana tidak memihak kepada yang mengharamkan? Paparan filem ini bertujuan menonjolkan imej dua tokoh ini selaku tokoh yang dapat memulihkan keadaan negara ketika itu. Tokoh utama ketika tahun 1969 adalah Tunku Abdul Rahman, tetapi filem ini lebih fokus kepada dua tokoh berstatus timbalan. Tentu orang tertanya-tanya siapa yang lebih penting ketika itu jika merujuk kepada suasana sekarang. Ia umpama lebih fokus kepada Timbalan Perdana Menteri dan menterinya dibandingkan Perdana Menteri.
Apa tujuan filem ini dibuat?
Sudah tentu idea nak buat filem ini bukan datang dari individu pengarah itu sendiri. Nak buat filem macam ini agak leceh. Remeh kerjanya. Kalau silap - memang banyak silap pun - akan mengundang kritikan. Mana ada filem di negara kita yang dianggap TERBAIK daripada sekian banyak filem yang ada? Kekadang kita menilai sesuatu baik, semata-mata kerana menghormati seseorang yang berada di belakang tabir pembikinan filem itu.
Menurut ulasan akhbar, tujuan utama filem itu dibuat adalah untuk menunjukkan betapa BESARNYA pengorbanan yang dilakukan oleh dua tokoh, Razak dan Ismail, tatkala memegang tampuk pemerintahan negara. Zaman itu sangat mencabar, kedua tokoh mendepani masalah kesihatan tetapi sanggup ketepikan masalah kesihatan demi kesejahteraan rakyat. Hari ini, jika ada tokoh lain yang menghadapi masalah kesihatan, apakah mereka itu lebih utamakan kesihatan atau kesejahteraan rakyat?
Di zaman dua tokoh itu, tidak ada orang dengar skandal rasuah yang menghebat kecuali zaman Dato Harun ketika mengundang Muhammad Ali, itu zaman sesudahnya. Di situlah orang mengatakan setiap pemimpin itu mengutamakan kesejahteraan rakyat, bagaimana pula dengan pemimpin hari ini?
Walaupun kisah benar sekalipun, ia tidaklah menarik untuk difilemkan kalau tanpa adunan fictional yang relevan dengan jalan cerita. Jadi, tidak boleh sesebuah filem itu lurus bendul mengikut jalur sejarah, kerana elemen lain juga diperlukan. Kalau mengikut skrip sejarah sahaja, ia akan jadi filem terbitan Jabatan Penerangan cap harimau. Jika ditayangkan di panggung, ia tidak mampu menarik penonton, kecuali apabila filem ini diISUkan di mana pihak pembangkang merasakan filem ini berbentuk sinisme, hendak mengenakan pada orang lain.

BUKAN UNGKIT

Penonton yang terasa dengan sindiran dari ucapan tokoh [di sini propaganda diselitkan dalam fiksyen, ingat filem ini sekalipun ia sebagai cerita sejarah, ia tetap penuh dengan elemen fiksyen, itu yang namanya filem].
Kemudian menyedari filem ini akan mengundang kritikan, pengarahnya beritahu, TANDA PUTERA bukan bertujuan mengungkit sejarah lama 13 Mei 1969. Filem ini katanya ingin mendedahkan apakah punca sebenar berlakunya 13 Mei 1969.
Filem ini lebih fokus kepada peranan komunis [baca PKM] dan anasir subersif yang mahu menghancurkan negara ini. Merekalah dalang yang membakar ketegangan kaum kerana mereka mahu menjajah negara ini. Perlu diingat, ia adalah faktor luaran dan pandangan yang kita simpulkan menurut persepsi kita. Bagaimana elemen dari dalam yang mencetuskan peristiwa hitam itu? Cetusannya adalah Chow Kit. Pengaruh gangsterisme yang orang abaikan juga sama penting mencetuskan huru-hara itu. Inilah elemen yang perlu dimasukkan dalam TANDA PUTERA, selain faktor PKM tadi.

BUKU SEJARAH

Fakta dalam jalur filem ini katanya adalah dari buku-buku sejarah. Dan orang yang menulis sejarah ketika itu adalah sepihak sahaja. Kita tidak menilai buku sejarah daripada dua pihak, menggabungkan dua sisi yang bertentangan ini untuk mendapatkan kesimpulan. Hasilnya adalah konklusi yang sepihak.
Mungkin antara lain tujuan filem ini dibuat untuk mengajak penonton [bilangannya terhad] menyukai sejarah, belajar membaca buku sejarah - hanya kebelakangan ini catatan sejarah negara terlalu fokus kepada satu pihak dan menafikan pihak yang lain yang sama berperanan dalam mencorakkan sejarah.
Generasi muda pun tidak faham mengapa Singapura boleh tersingkir dari Malaysia jika catatan sejarah sangat cenderung kepada laporan sepihak.
Berdasarkan kepada reaksi orang ramai terhadap filem ini, jelas ada sesuatu yang disengajakan mengapa filem ini dibuat. Ia bukan faktor penonjolan dua tokoh yang disebutkan itu sahaja, sejauh mana ia mampu memeras rasa simpatik penonton atas ketragisan yang dinyatakan. Ini pun bukan kerja mudah hendak menimbulkan nilai tragis dalam minda untuk memeras rasa penonton.
Menurut laporan akhbar kecil itu filem ini bagus dan mengundang tindak balas penonton muda, mereka memberikan maklum balas positif. Akan tetapi tindak balas melalui blog, facebook dan twitter bagaimana? Dan bagaimana pihak Pakatan Rakyat melihat filem yang bertendensikan cap harimau ini?
Betapa tidak, filem ini juga dibiayai oleh Finas - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia serta Perbadanan Kemajuan   Multimedia [MDeC].

SURUH TENGOK WOOYANG

Kata wartawan hiburan yang mengulasnya,tidak syak lagi ini karya terbaik Shuhaimi Baba yang SEHARUSNYA ditonton setiap rakyat Malaysia yang cintakan negara dan menghargai perjuangan pemimpin terulung khususnya kombinasi Razak dan Ismail [bergelar Tun].
Bagaimana kalau orang itu tidak menonton filem itu? Apakah mereka tergolong tidak cinta kepada negara?
Bagi orang-orang yang menjaga ilmunya [kena faham maksudnya] mereka tidak akan memasuki ruang di mana syaitan berpesta pora, dewan di mana lelaki perempuan bergaul bebas, ada kemaksiatan, ada pelekaan waktu untuk mengingat Allah s.w.t. maka golongan yang berilmu ini apakah akan dianggap sebagai tidak cinta kepada negara semata-mata tidak tengok wayang.
Penulis teringat di depan panggung ODEON Kuala Lumpur [dekat Pertama-Sogo tu] ada peniaga Cina jual air kotak dan air tin. Apa dia hebahkan?

"TIN KOTAK SEJUK BOLEH MASUK PANGGUNG WOOOYANG!"

Dalam bulan puasa ini masuk pangung WOYANG boleh bawa kotak air dan air tin. Kenapa? Entahlah. Sendiri jawablah. []

Tuesday, 7 August 2012

LAGI KISAH KERIS JADI AL-NAGA

INILAH KISAH YANG MENCARIK ADAT. Ketika menyusuri bab keris, kerana hendak tahu siapa Mpu yang telah membuat keris di zaman kerajaan Majapahit untuk mengesan siapa yang mengetuk besi untuk dijadikan Taming Sari, saya terjumpa kisah menarik.
Si Mpu [orang yang ahli buat keris] Gandring memang popular namanya. Hanya di Melaka, negeri yang ramai orang berkeris di masa silam, tidak ada tukang buat keris, yang ada apek di Jalan Tukang Besi buat parang panjang, parang cengkok dan pisau.
Hairan, dari mana orang Melaka dapat keris? Termasuk Hang Tuah dan sahabatnya?
Baiklah, jadi Mpu Gandring yang kerja buat keris siang malam, telah didatangi peminat keris. Namanya Ken Arok. Dia bukan sebarang orang, kalau sekarang memang ada pangkat besar juga.

CARA BUAT KERIS

Masa dulu, orang macam Mpu Gandring kalau nak buat keris, dia kena semak dulu tarikh lahir orang yang menempah, kemudian kena puasa cara Kejawen bagi ritual [tak ada kena mengena dengan puasa sunat], dah tu semak haribulan Jawa dulu, kalau nak buat juga, cari bahan besi dan campurannya, lalu adakan ritual khusus, baca mantera bakar kemenyan sampai berkepul-kepul dan terbatuk-batuk.
Ceritanya amat melucukan. Betapa tidak, dia buat keris untuk Ken Arok, keris itu adalah keris pusaka Ken Arok, ia diberi khadam semua hingga jadi sakti keterlaluan. Keris bikinan Mpu Gandring sudah banyak bunuh orang, memang keris itu suka minum darah manusia.
Makanya Ken Arok telah melakukan pembunuhan sewenang-wenang. Termasuk yang dibunuh adalah Mpu Gandring sendiri. Setelah membunuh tukang buat keris, ia juga membunuh anak buah dan keluarga Ken Arok. Inilah dahsyatnya keris yang dbuat daripada besi biasa, tetapi kerana diritualkan dengan cara paganisme, maka ia jadi senjata syaitan dan iblis.

BUANG KE LAUT

Kerana onar sebilah keris itulah, akhirnya ada yang mencadangkan agar keris itu dicampak ke laut. Agaknya itu sebab menurut kisah, keris Taming Sari jatuh ke laut.
Setelah keris sakti itu dicampak ke laut, dengan tujuan membuangnya, konon keris yang diperbuat daripada besi dan kemudian dimasukkan khadam padanya sehingga ia berhantu, maka setelah dicampak ke laut ia pun bertukar jadi seekor naga atau ular besar. Besar mana tak dapat dibayangkanlah.
Kisah naga ini memang menarik, usahkan di Tasik Chini, Pahang, di Jawa lagi hebat.

ANAK JIN

Ada kisah yang menyebut seorang bangsawan telah berkahwin dengan jin laut. Maka lahirlah seorang anak lelaki yang dibesarkan di dalam laut [istana]. Setelah remaja, ibunya yang tinggal di dalam laut sebab dia keturunan jin, anak remaja itu diserahkan kepada suaminya agar dipelihara di daratan.
Agar anak jin itu kenal bumi, kenal manusia. Sayangnya, si anak terlalu nakal. Habis orang kampung dilabrak kalau dia mahu makan. Main redah dapur orang, makan nasi orang sampai habis. Maklum anak keturunan jin, selera makannya luar biasa.
Ramai orang repot kepada polis. Polis siasat.
Alahai, yang buat hal adalah anak raja, orang bergelar. Anak raja jin. Nak siasat atau tidak?
Kata bapa kepada anak remaja itu, "Tak kisahlah anak aku ke anak siapa, kalau jahat sangat, tangkap dia!" itu kata bapa yang prihatin undang-undang, padahal dia tidak tahu ajaran Nabi Muhammad s.a.w. tentang keadilan pun.
Maka si bapa susah hati. Dia pun laporkan ke istana dalam laut. Guna handphone canggih. "Hallo dindaku, ada perkhabaran buruk tentang anakanda kita."
"Kenapa kekanda?"
"Anakanda kita bermasalah, suka mencuri, memeras orang kampung."
"Ya ke?"
"Ya!"
"Habis nak buat apa dengan anakanda kita tu?"
"Tulah yang kekanda inginkan pandangan you!"
"Okay, adinda cadang kita buat sayembara, siapa yang boleh kalahkan naga, maka dia akan kita pilih jadi Tengku Mahkota!"
"Wah! Ini cadangan yang bagus. Okay, kita akan laksanakan sayembara itu!"
Maka kemudian, diadakan sayembara yang berupa cabaran.
Sesiapa yang dapat mengalahkan NAGA SAKTI maka dia akan dipilih menjadi TENGKU MAHKOTA negeri. Tambahan orang bangsawan itu memang berharap anaknya yang degil itu akan dilantik jadi Raja juga suatu masa nanti.
Kalau raja bengkeng macam tu mana rakyat nak hormat. Jadi, kena hapuskan! Nak tangkap dan buang, susah, nanti terasa, dia masih anak juga. Maka raja pun adakan sayembara.
Anak remaja yang bingung itu setuju nak bertarung dengan naga sakti dari laut.
Maka terjadilah pertarungan sengit. Kalau nak sebut, tujuh hari tujuh malam mereka bertarung tak henti. Tak ada yang menang dan kalah.
Tetapi apabila ibunya yang menyamar naga itu tengok permainan itu berlanjutan, dia pun menghantar kesaktian agar terjadi petir yang dahsyat.
Panahan kilat dan petir dahsyat pun terjadi. Semuanya jadi tenggelam punca. Tak tahu apa yang terjadi. Mana naga dan mana anak raja pun tak tahu. Akhirnya anak raja itu tahu-tahu sudah diberikan anjakan pradigma bertukar jadi naga.
Dia masuk ke laut semula. Terus tinggal dengan ibunya semula.
Kenapa buat sayembara?
Agaknya si ibu yang dari keturunan jin malu, dia sudah suruh anaknya tinggal dengan bapanya di darat, tetapi dasar anak jin, tak tahu nak sesuaikan diri. Dia buat perangai jin juga.
Kalau disuruh masuk laut semula sudah tentu anak remaja itu tak mahu. Ini hanya helah ibunya sahaja. Yang jadi naga besar itu sebenarnya ibunya sendiri. Ibu lawan anak namanya.
Itulah kisah yang tak masuk akal, sama juga keyakinan adanya keris sakti milik Ken Arok dibuang ke laut sampai jadi naga! []

ALAHAI GELANDANGAN ADA MASA DIPERLUKAN ADA MASA DIBURU PENGUATKUASA!

TERUS TERANG dunia gelandangan tidaklah asing kepada penulis kerana sejak awal 80-an lagi saya pernah menyusuri kehidupan mereka untuk dijadikan bahan tulisan.
Hanya saya tidak paparkan secara nyata dengan faktanya, kerana pada masa dulu tajuk gelandangan ini asing. Orang tak sebut gelandangan, kerana kita miskin istilah, apa nak kata kepada orang yang begitu. Saya teringat dengan novel tulisan Iwan Simatupang atau Putu Wijaya yang sering mencatatkan soal orang gelandangan.

IMEJ KUTU

Dunia Melayu tidak kenal gelandangan pada mulanya, kerana ia menyebutnya kutu rayau.
Orang yang lepak di mana-mana, tidur tak menentu, ada yang tidur di kawasan taman, ada yang di kaki lima kedai, atas jejambat, bawah jambatan, atau tepi sungai dan di mana sahaja.
Mereka dikira kutu rayau bagi kita. Jadi imej mereka cukup teruk, mereka inilah yang selalu dijadikan sasaran kalau ada vandalisme, kalau hilang besi penutup longkang, hilang besi tiang jambatan, atau kalau tiang KLCC hilang, puak ini juga yang dituduh kerana mereka kutu rayau.
Kutu rayau pun sudah jadi simpulan bahasa baru. Kena ada masukan baru dalam kamus simpulan bahasa.

DUA SISI

Di KL, gelandangan diberi gambaran dalam dua sisi. Satu gambaran seolah-olah golongan ini dibela oleh pemerintah, diberikan bantuan, diberikan pekerjaan jika mereka mahu kerja, dan pendeknya laporan tentang cara kita melayani mereka begitu indah sebagaimana yang terpapar dalam media.
Kemudian gelandangan juga sesekali diperlukan bagi pihak tertentu yang nak highlightkan aktiviti mereka sebagai pembesar negara, berinteraksi bersama gelandangan, diberi gambaran hebat, bahawa golongan yang terpinggir ini bukan dipinggirkan, malah makan bersama pembesar!
Apabila ada ketua pemuda atau pihak tertentu prihatin terhadap gelandangan, maka orang luar KL akan anggap beruntung benarlah siapa yang jadi gelandangan.
Jadi, sesiapa yang duduk di kampung tidak mendapat perhatian sesiapa pun, datanglah ke KL jadi gelandangan. Nasib anda akan terbela kalau menyertai kumpulan gelandangan kota. Begitulah gambaran yang molek dalam media.
Kemudian baru-baru ini majlis atau program semarak Ramadan, buka puasa di Dataran Merdeka, depan bangunan Sultan Abdul Samad, yang kebetulan sebuah kementerian Rais Yatim ada di situ, wartawan melaporkan:

"Lebih bermakna, ramai gelandangan yang hidup tanpa rumah dan keluarga turut menyertai majlis itu." [Variasi, Metro, 3 Ogos 2012].

Sedangkan saya juga terbaca laporan tentang pengemis di KL sempena Ramadan, semua pihak turun ke lapangan [ bukan padang ya!] untuk membanteras pengemis dan kutu rayau. Jadi, kaum gelandangan turut menjadi buruan, mereka dijaring habis-habisan.

Inilah yang saya katakan, golongan gelandangan ini ada masanya diperlukan jika ada pembesar nak cari nama konon menjaga masalah rakyat. Bukankah di mana-mana terpampang, "KAMI MENDENGAR!"

Akan tetapi golongan gelandangan ini pada waktu yang lain diperlukan oleh hidangan jurugambar bagi paparan tugasan mulia di bulan Ramadan - membanteras pengemis dan kutu rayau di KL!

PROPAGANDA

Ini yang dikatakan ada dua sisi, satu suka kepada kehadiran mereka bagi tujuan propaganda prihatin kepada rakyat, sisi lain, sebagai alat bantu bagi memudahkan usaha membanteras kehadiran gelandangan di tengah kota. Kalau tak ada gelandangan, maka jurugambar pun susah hati apa lagi petugas yang nak menangkap dan memburu mereka.
Ke mana hilangnya gelandangan?
Kita tidak boleh mengejek golongan ini.
Memang, bagi orang yang ada kerja, setiap hari menapak di KL memandang gelandangan, ada yang jijik dan ada yang simpati.
Jangan fikir orang gelandangan itu tidak berpelajaran!
Mereka jadi gelandangan kerana berbagai masalah, entah dari keluarga di kampung, atau masalah rumah tangga, atau masalah lain.
Tengoklah nanti, akan ada orang gelandangan memiliki ijazah tertentu, akan ada yang PhD pun, jangan ketawa.
Ada bekas pensyarah jadi macam gelandangan, agaknya kalau dia lepak di tempat tertentu, dia juga kena usung macam gelandangan lain. Naik lori [hanya sedihnya ada penggelandang mengadu setelah ditangkap, dibawa ke suatu tempat, dilepaskan di kawasan tak berorang - tak tahulah sahih atau tidak riwayat ini, diharap janganlah buat begitu].
Kategori penggelandang sekarang semakin rumit. Semuanya bekas. Entah bekas banduan, entah bekas guru, entah bekas murid, bekas menteri, bekas orang politik, bekas perasuah, bekas abu rokok sahaja yang belum ada.
Ada yang jadi gelandangan hanya berpunca dari kena seluk saku. Habis duit, tak ada dokumen apa pun. Nak balik kampung nun jauh di mata. Di KL tidak ada satu badan atau NGO yang membantu orang macam ini, jika ada mereka akan ejek dulu.

"Hari-hari mengadu dompet hilang, kena copetlah, ragutlah ... kami tahu ada yang menipu, menyamar, dah bagi duit tak balik kampung juga, masih lepak lagi di KL!" itulah antara lain rungutan yang pernah saya dengar.

Kita ada macam-macam kutipan dan golongan gelandangan ini termasuk dalam kelompok asnaf. Sayangnya kita buruk sangka. "Gelandangan ni semuanya teruk, dahlah penagih, kaki rembat, dan menipu!"

Tidak ada pula orang buruk sangka kalau ada orang bergelar sapu duit sampai ratusan juta, mereka dianggap orang mulia juga. Sebab mereka ada rumah. Ada kereta besar dan ada segala-galanya.
Gelandangan ini tidak ada rumah. Tidur di mana sahaja yang dan. Makan? Disebabkan tak ada duit, kena carilah mana-mana ada sumber makanan. Di Perkim, Jalan Ipoh, kalau ada kuliah, adalah nasi berlauk untuk mereka. Atau sumbangan dari Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Sumbangan NGO bukan Islam dan bukan Melayu bukan hebat juga. Begitu sumbangan pihak gereja yang orang tak tahu!

KAJIAN SAHAJA

Apa punca gelandangan? Banyak faktor penolak dan penariknya. Kekadang orang buat kajian tentang gelandangan sampai bergelar PhD, namun teori yang dipaparkan kesimpulan yang dijabarkan tidak dapat dijadikan solusi konkrit. Setelah jadi sarjana dan duduk selesa, maka golongan yang jadi bahan kajian itu terbiar begitu sahaja. Ia jadi macam lingkatan iblis [ada menyebutnya lingkaran syaitan] -ada sebut vicious circle.
Jadi warna-warni kota ini melucukan juga. Ada masa gelandangan diburu macam ada pemburu hantu, dan ada masanya diundang khas untuk meramaikan majlis. Mungkin malu kalau program tak ada sambutan. Cuak juga! Inilah yang saya maksudkan berdasarkan tajuk di atas tadi. []

SEJARAH MELAKA BERUNDUR TAHUN 1262

MAKA JENUHLAH teks sejarah akan diubah.
Bagi menandakan kehebatan dunia Melayu ini, maka Melaka bukanlah ditubuhkan pada tahun 1400 sebagaimana yang orang biasa hafal. Kata kajian terbaru, ia diasaskan pada tahun 1262.
Apabila tarikh ini diundurkan, banyak perkara yang perlu dibetulkan, atau ditandakan dengan keralatan di sisinya.
Ketika menulis catatan sejarah silam ini disebabkan faktor pengunduran tarikh itu maka kena fikirkan juga apa yang berlaku di sekitarnya, terutama di wilayah nusantara pada ketika itu.
Kemudian nak sejajarkan cerita yang termuat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah [walau hanya epik sahaja].
 
BERUBAH
Mengikut perkiraan dari pengunduran tarikh itu, maka catatan sejarah menjadi berubah begini:

1. Sultan Iskandar Shah [Sri Parameswara] - (1254-1274). Sebelum itu dari tahun 1249-1252 dia menjadi raja di Temasik sebelum melarikan diri ke Melaka. Elok Melaka tak ada dah mempunyai raja, ia ada kaitan dengan pengaruh Majapahit sebenarnya. Kenapa dia lari dari Palembang ke Temasik dan kemudian ke Melaka, ada misterinya yang orang tak dedahkan sangat. Inipun patut dikaji dari berbagai sudut termasuk keperihal kepercayaan mistik yang melingkunginya.
2. Sultan Besar Muda (1274-1275)
3. Sultan Tengah (1275 - 1276)
4. Sultan Mohammed Shah I (1276 - 1332)
5. Sultan Abu Shahid Shah (1332 - 1334)
6. Sultan Muzaffar Shah I (1334- 1374)
7. Sultan Mansur Shah (1374 - 1447)
8. Sultan Alauddin Riayat Shah I (1447 - 1477)
9. Sultan Mahmud Shah I (1477 - 1511)
[Jeffrey Finestone dan Dr Shaharil Talib, The Royal Families of South East Asia]

JIKA kita undurkan sejarah Melaka, bermakna ia sezaman dengan Majapahit yang berpusat di Jawa. Untuk mencari keabsahan di mana keris Taming Sari yang dihebohkan kesaktiannya, maka perlu dilacak juga sumber catatan Majapahit.

KERIS KITA
Jika anda semak semua mpu yang mahir buat keris, tidak ada catatan yang mereka membuat Taming Sari, sebab nama ini tidak wujud di Majapahit, kalau Mpu Gandring yang membuatnya, ia tidak dinamakan Taming Sari yang kemelayuan, namanya pasti menurut lurah Jawa Majapahit. Ingat kisah Ken Arok yang tempah keris daripada Mpu Gandring sehingga keris itu jadi masalah, dibuang ke laut jadi naga sakti!
Apakah di sana ada tercatat kisah kedatangan seorang lelaki bernama Hang Tuah, yang mahir bersilat dan berkeris, hanya keris Melaka tidak ada sajian dan jamasan seperti di Jawa.
Atau pihak Melaka yang syok sendiri, menghebatkan Hang Tuah yang tak hebat.

TRADISI PENSEJARAHAN
Walaupun sudah ada penemuan tarikh baru yang mengundur, ia tidak boleh diputuskan di kalangan sarjana tempatan sahaja tanpa merujuk sarjana asing yang telah membuat pentarikhan pada 1400. 
Sarjana tempatan baru tumbuh mutakhir ini, dan kaedah kajian, serta apa juga yang dikaitkan dengannya adalah merujuk kepada cara kerja dan acuan sarjana barat.
Ilmu mengkaji sejarah ini tidak ada dalam dunia Melayu. Sarjana Barat telah mendahului kita, di masa silam tidak ada tukang catat Melayu yang setara dengan bakat Tom  Pires yang menyiapkan catatannya dalam Suma Oriental (1512 - 1515).
Kita masa itu tak kenal pun bidang sejarah apalagi namanya jabatan sejarah.
Selalunya hasil kajian dan penemuan baru ini dipaparkan di dalam jurnal antarabangsa bagi mendapatkan pandangan orang luar pula. Jurnal ini makanan pengkaji, penyelidik dan kalangan sarjana, bagi pembaca umum, jurnal memenatkan untuk dibaca kerana catatan kakinya melimpah ruah. Dan jurnal tidak dipasarkan di kaki lima kedai.

ARTIFAK
Umumnya orang mengkaji sejarah selain berdasarkan bahan bertulis, orang mengkaji juga artifak yang ada, jika nak menyemak cerita lisan, maka mereka akan menemui cerita lisan versi baru dan versi kuno yang sezaman dengan tahun 1262 itu.
Jadi dicari bahan sejarah yang setara zamannya. Beberapa tempat perlu dilawati untuk mendapatkan sejarah baru yang tidak dicatatkan baik di Riau, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, Sumatera Selatan [Jambi dan Palembang], Padang dan Batu Sangkar di Sumbar.

GEMILANG MELAYU
Memang, pengunduran sejarah Melaka ke tahun 1262 bertujuan untuk menggemilangkan kerajaan Melayu Melaka. Namun sejarawan kena berterima kasih kepada Majapahit kerana melakukan tindakan ke atas Palembang bagi menganjakkan pelarian seorang lelaki - - entah bangsawan biasa atau orang biasa sahaja, atau hanya pendekar ulung.
Lari ke Temasik menjadi "tuan" dan kemudian lari lagi ke Melaka untuk jadi Raja. Transformasi dari pelarian kepada Raja Melaka ini juga perlu kajian mendalam.
Golongan muda hari ini mahu tahu, siapa Parameswara itu, adalah dia manusia biasa, atau dia dari keturunan jin.

KETURUNAN MANA
Lagipun dalam cerita Majapahit ada dipaparkan dongeng hubungan curang antara ibu dengan anak sehingga melahirkan seorang anak lelaki, dia diusir ke luar Jawa, lari ke Palembang.
Dan di sana dia mendirikan sebuah pentadbiran baru, sebab dia masih berketurunan Majapahit walaupun salasilahnya diragui.
Kenapa? Sejarah latar belakang ini akan mencantikkan lagi catatan sejarah peminangan Puteri Gunung Ledang, ia menjadi semacam pengabsahan, bahawa kalau dari keturunan "raksasa" maka citarasanya akan menjurus kepada ritual "kahwin jin" juga.
Kalau kita semak Sejarah Siak yang dikaji sarjana kita, ada kisah raja belah perut orang mengandung, dan kemudian dia juga "kahwin" dengan jin. Hubungan raja itu dengan Cik Apung, sampai menelan manikam raja, setahu saya bukan menelan di mulut, sebaliknya simbolik untuk mengelak daripada pencarutan dalam tulisan dikatakan, mengutip manikam yang tercecer di atas tikar dan diambil lalu ditelan, atau memang sebuah simbolik tentang kemesuman diri seorang raja yang Mangkat di Angkat? [semak Hikayat Siak]
Maka dalam Sejarah Melayu juga ada kisah meminang puteri jin sebagai lanjutan gen atau DNA dari raksasa Jawa yang berbaur Majapahit.
Perlu diingat, sejarah itu berkaitan dengan perkara yang telah berlaku di masa lampau. Ia dikaji orang yang hidup di masa sekarang.
Untuk menjengah masa silam, tidak ada upaya mereka menjenguk melainkan daripada bahan-bahan sejarah yang ada.
Kaedah catatan orang terdahulu bagaimana dan dengan pendekatan apa aliran sejarahnya, kita pun tidak tahu kerana mereka belajar di pusat pengajian tinggi di zaman kita tak kenal pun universiti! Di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, tidak ada kolej atau universiti yang didirikan, justeru yang gemilang hanya tanggapan sejarawan, dilihat dari aspek kenyataan, fakta konkrit, tidak ada apa yang dapat dibuktikan selain kajian para pengkaji Barat. Jadi terima kasihlah kepada para pengkaji Barat kerana telah membantu kita menuliskan sejarah tentang Melaka. []

HAL PERKENTUTAN

KENTUT adalah subjek yang menarik. Jika ada soalan peperiksaan mengenai bab ini, ramai yang mengelak nak menjawabnya. Malu ah! Apalah, tak ada soalan lainkah? Tetapi pihak jabatan peperiksaan telah memilih tajuk ini, satu tajuk yang menarik. Jangan rasa jijik atau malu pulak. Setiap orang memilikinya. Nak lari mana lagi kalau time memandu kawan tu berbaur dengan pewangi, maka pura-puralah turunkan cermin tingkap, lalu tepi longkang, hih! busuknya, longkang tak pernah dibersihkan, dia marah kepada si longkang, padahal yang membusuk itu ada dalam dirinya.
Dari Abdullah bin Zum'ah, ia berkata, "Nabi s.a.w. melarang seseorang tertawa kerana sesuatu yang keluar dari diri manusia." [HR.Bukhari]
Maksudnya adalah kentut yang ada bunyi atau yang senyap. Diperkuat dengan riwayat lain dari Abdullah bin Zum'ah juga, kemudian baginda s.a.w. mengingatkan mereka tentang kentut. Beliau bersabda: "Mengapa kamu tertawa dari sesuatu yang keluar dari dirinya sendiri?"
Hal perkentutan ini orang anggap apalah kamu ni, tak ada tajuk lainkah? Siapa yang ambil bidang kedoktoran bab ini kena kaji juga. Kalau tidak tak lengkaplah pengajiannya. Berapa ramai orang mengeluh dan mengharapkan kentut? Sampaikan sanggup beli ubat bagi membolehkan kentut? Seminggu tak kentut akan jadi kelam-kabut, jangan main-main!
Ada orang buat kajian dalam sehari seseorang itu boleh kentut sampai 14 kali. Kentut bergerak ke tekanan lebih rendah [anus] mencari pelepasan. Kemudian kalau senyap cussss! Itu tandanya kebusukan akan melanda sekitar, awaslah, nak lari, larilah, tapi ia ada dalam usus sendiri. Ia dari bakteria dalam tubuh, dalam usus, telah berlaku fermentasi dan pencernaan memproduksi panas akhirnya diterjemah dalam kebusukan. Gelombang gas lebih kecil terbentuk, menjadi jenuh - metabolisme bakteria menyebabkan terhasilnya bau.
Bunyi kentut pun bergantung kepada kemampatan gas.
Kenapa kentut busuk? Sendiri ingatlah, apa yang dibaham semalam. Itu sebab selalunya kena ikut kebiasaan. Ada orang tak boleh minum kopi susu, neskafe [kena eja lain sikit] susu, minuman bercoklat atau setara dengannya. Makanan yang menjadi puncanya.
Jadi, kalau ada kawan kentut apa nak diketawakan. Nabi s.a.w. melarang kita ketawa, senyum atau mengata-ngata orang yang terkentut itu.
Perlu diingat lagi banyak telan angin atau udara [bukan makan angin - lawat sana-sini tu] lagi banyaklah kentutnya. Kadar nitrogen yang tinggi - oksigen dari udara resap oleh tubuh sebelum sampai ke usus. Asid dan cairan dari pemakanan menghasilkan gas. Berapa lama boleh tahan kentut? Makin ditahan gas nitrogen makin banyak, gas-gas lain resap melalui dinding usus. Sesiapa yang makan tergesa-gesa atau gelojoh, lebih banyak kentut jadinya.
Kata orang yang punya ilmu dalam perkentutan ini, bau datangnya dari hidrogen silfida dan merkaptan. Kedua-duanya mengandung sulfur. Jika banyak dua bahan tadi dikeluarkan bakteria dalam perut. Jadi, janganlah makan asal sedap sahaja untuk mengelakkan bau. Umpamanya, telur dan daging menghasilkan bau yang tidak enak. Begitu juga kekacang ia menghasilkan volume kentut yang tinggi. Apa pun bunyi kentut bergantung kepada kemampatan gas yang terkumpul. Jika tidak dilepaskan perut rasa tak selesa. Selalunya kentut juga ada kaitan dengan tandas.
Nak dapatkan kentut yang wangi memang tak ada. Jangan mimpilah nak mengkaji benda ini semua bagi menghasilkan wangian mengalahkan aroma wangian terkenal itu. Jadi, terima seadanya, jangan nak marah-marah atau tertawa mengejek. Hanya dalam bab ini kena pandai jaga diri, jangan buat hal depan ramai atau ketika santap, atau ketika solat [perlahan tak apa dan tak menghasilkan aroma].
Jangan nak mengada-ngada cerita hal kentut. Semua orang kentut. Selagi masih makan dan minum, selagi suka ulam dan sambal, asam pedas dan minum susu serta kekacang,  maka urusan kentut makin rumit.
Maka, jangan hairan kalau dengar ada orang kentut. Ia adalah perkara biasa. Jika tak kentut juga sampai seminggu, usahkan seminggu sehari pun sudah menggelabah. Pergi klinik doktor tanya, "Apa masalah?"
Sendiri jawablah, tak kan nak malu juga. []

Monday, 6 August 2012

CARI KAMERA DIGITAL PULAK!

INIPUN SATU HAL JUGA, selain kuih, biskut, kek dan macam-macam jenis, dan belum bab randang, randang tuk nenek semua, ada yang sibuk hiasa kereta. Yalah nak tayang masa raya ini kan?
Ada pula sibuk tukar macam-macam gajet yang ada. Suka hatilah asalkan bahagia.
Dan ada yang ronda-ronda nak cari kamera digital. Tak kiralah apa jenama pun, dan apa saiz pun.
Dan tak kurang juga yang tawarkan kamera yang jarang diguna. Tak ada masa nak kelek kamera pun. Sobat ada menawarkan kamera Canon 1000D, keadaan masih baik, jarang guna, nak kelek leceh, kena sandang beg kamera semua, dia nak jual katanya sesiapa yang berminat - harganya? Tengok kedai dulu berapa, siap dengan kasut baterinya.
Sebenarnya, siapa yang rajin ronda tempat jual barang 2nd hand, mereka boleh pilih kamera jual murah seperti kedai yang menawarkan pembelian barang terpakai dan menjual semula di Ampang [belakang Ampang Point].
Sesiapa yang ada barang terpakai, tak kiralah laptop ke, gitar elektrik, keyboard, keperluan dapur, kamera digital, boleh bawak ke sana untuk dinilai.
Hanya sayangnya, mereka membeli barang seperti tak bernilai. Contoh, sebuah jam berjenama yang harganya RM4000, di kedai barang terpakai ini mereka berani beli RM900 sahaja. Susut nilai barangan anda begitu teruk dan tak berharga sekali. Laptop anggaran RM1800 umpamanya dengan keadaan yang masih elok, mereka beli RM300 sahaja!
Apabila barangan anda sudah ditolak ke kedai itu, mereka akan jual semula dua kali ganda harga beli. Jika dia beli jam tangan dengan harga RM300, nanti benda itu akan dipamerkan dan dijual dengan harga RM700 lebih. Walaupun mereka kata harga dua kali ganda, mereka sebenarnya menjual dengan harga lebih dari itu.
Inilah laporan yang diberikan oleh seorang warga Indonesia yang mengatakan rugi kalau jual barang terpakai ke kedai begitu.
Dan saya syorkan dia jual sendiri di pasar karat Petaling Street. Jika kedai yang menjual barang terpakai itu beli dengan nilai RM300, rasanya di pasar karat, harga barangan terpakai itu boleh dijual lebih dari itu. Aha! []

MALAM LAILATUL QADAR

TAZKIRAH DI mana-mana pun pada masa ini adalah berkisar pada topik malam lailatul Qadar.
Mengikut hadis riwayat Bukhari dan Muslim, "Carilah lailatul qadar pada malam sepuluh terkahir Ramadan."
Maknanya, sekarang kita dah nak masuk ke malam terakhir itu.
Kemudian dalam sabda yang lain dinyatakan, "Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir." [riwayat Bukhari]
Kata Imam Nawawi malam lailatul qadar itu berpindah-pindah pada setiap tahun. Ia tidak tetap pada sekian haribulan dan sekian hari [al-Majmu', 6/450].
Umat pun dinasihatkan agar menggunakan kesempatan ini untuk memperbanyakkan ibadat dan berdoa.
Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w., "Sekiranya aku berada pada lailatul qadar, apa yang aku perlu buat?"
Jadi baginda menjelaskan supaya kita beriktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadan di mana fadilatnya lebih banyak dari hari-hari biasa. Iktikaf tadi adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah. Kalau gerun dan takut kepada masjid tak berpeluanglah. Ada sobat komen, nak iktikaf macam mana, tepat pukul 11.00 malam masjid tutup, orang tak boleh masuk lagi. Takut semua kipas dan tangga masjid hilang dicuri orang.

IKTIKAF
Nabi s.a.w. beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Isteri-isteri baginda juga ikut iktikaf.
Jadi, nak iktikaf kena berniatlah nak iktikaf. Tidak sah melainkan dengan berniat. Iktikaf hanya boleh dibuat di masjid. Seseorang yang nak iktikaf hendaklah masuk ke masjid sebelum mentari terbenam ke-20 Ramadan [Panduan Puasa Ramadhan, Jakim, cet.2007].
 Apa nak buat ketika iktikaf?
- solat sunat
- baca al-Quran
- bertasbih, bertahmid, bertakbir
- beristighfar, berselawat dan berdoa
- mengikuti majlis ilmu
- mengulangkaji hadis-hadis
- membaca tafsir
- membaca sirah nabawi.

MASJID INDIA HEBAT
Saya tertarik dengan materi tazkirah yang diberikan para ustaz di mana-mana pun, tentang 10 malam terakhir yang mana keadaan masjid makin lengang. Entah kenapa. Ramai yang beriktikaf di restoran besar, berbuka di hotel dan tempat makan yang hebat-hebat. Di situlah yang ramai beriktikaf.
Kemudian, bilangan jemaah masjid tak kiralah solat fardu atau tarawih pun, ia makin kurang. Kata ustaz tidak ada masjid yang penuh dan padat melainkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Itupun orang dari luar yang padatkannya, terutama yang buat umrah.
Di Malaysia ini kata ustaz, ada sebuah "masjid" yang menjadi tumpuan ramai, sendat sampai tak ada ruang nak solat, itulah MASJID INDIA. Bukan masjidnya yang dimaksudkan, tapi di sekitarnya, orang sibuk membeli itu dan ini.

TUKAR ITU DAN INI
Dan kenapa kita sibuk benar nak cat itu dan ini, tukar langsir, beli kuih atau biskut raya, kemudian sibuk beli antena TV, tukar TV baru [tv adalah sumber kemaksiatan di musim raya, hindarkan diri dari menonton apa program pun sepanjang puasa dan raya dan setelahnya].
Inilah yang jadi tradisi umat di tempat kita. Lelong batang buruk yang memang buruk dan hancuk dalam plastik. Lelong baulu yang dah garing, lelong apa sahaja yang nak hancur macam muruku. Dan menjelang malam akhir, berkampuglah orang berbelanja, air botol, air sirap, daun palas, pucuk kelapa muda nak buat sarung ketupat...wah...kalau tak ada ini raya atau tidak?

DAH TAK SEGAN
Masuk hari-hari terakhir, orang dah mula makan pukul 3.00 petang di restoran, tak segan silu. Ini pemandangan biasa di bandar yang sibuk. Engkau, engkau, aku aku!
Beruntunglah orang yang melakukan iktikaf pada 10 akhir Ramadan, maka kerugian besarlah orang yang berlegar-legar di pasar malam mencari benda yang tidak ditemui. Rugi besarlah mereka yang leka di tempat membeli-belah besar. Leka di lobi hotel ternama. Leka huha-huha...akhirnya, kata ustaz, Ramadan kali ini macam tahun lepas juga, tak ada perubahan.

UBAH
Bagaimana nak ubah minda Melayu?
Sukar. Kalau orang sudah dicanai mindanya oleh media seperti majalah, akhbar, tv dan segalanya, maka malam lailatul qadar itu hanya wacana di mimbar masjid. Di luar masjid, lailatul qadar terlempar begitu sahaja, dan orang tak peduli kerana banyak benda yang orang cari. Mereka tak cari lailatul qadar.
Contohnya:
Sibuk cari daging dan ayam. Sibuk cari kain langsir. Sibuk cari sarung bantal [apa kena dengan bantal?]. Sibuk beli emas. Sibuk beli emas tiruan [kalau pakaian tutup aurat, emas pun orang tak nampak tau!]. Sibuk beli air oren dalam botol. Sibuk beli kacang-kacang.

RANDANG
Jangan lupa beli santan, beli kerisik, beli ketupat siap, beli lengkuas, beli daun kunyit, cari sana, cari sini, habis pulakkkk. Nampak tak rayalah kalau tak ada rendang. Randang kena buat dua jenis, randang dagiang dengan randang ayam. Belum lagi randang kerang, randang puyuh, randang Tuk nenek, randang Mak Si Randang!
Ke mana sudahnya lailatul qadar?
Ia ada di supermarket, ada di pasar malam, ada di saat orang sibuk leka mencari persiapan untuk raya. Kalau tak ada persiapan bagaimana?
Tak apa, bukan itu matlamat sebenar. Bukan nak membazir. Beli itu dan ini. Kalau boleh biskut tunjuk kena 10 jenis paling tidak. 10 balang kena sediakan.

SEDIKIT
Mana lailatul qadarnya?
Adalah 10 orang atau lebih sikit yang iktikaf di masjid. Mereka mewakilkan sesiapa yang masih sibuk buat persiapan hari raya.
Nah, satu lagi persiapan 10 terakhir ini dikacau ganggu oleh perjalanan jauh balik kampung.
Tol sana, tol sini, macet. Berbaris. Siaplah saman on the spot. Itu belum bab yang kemalangan lagi, kalau setakat gesel dan cium itu hal biasa, belum yang terbakar, masuk gaung, masuk longkang, langggar bontot trelar berhenti, langgar dan lari, lari dan langgar, terbalik, terbabas, pendeknya yang menghairankan media kita pun buat jahat, dibuat senarai untuk direkodkan, berapa kemalangan maut, berapa yang kemalangan ringan dan biasa. Ia seperti nak galakkan setiap negeri berlumba-lumba mencipta kemalangan. Macam data pingat olimpik pula.

JANGAN LUPA TV
Satu lagi ketika kita bersiap dengan 10 terakhir Ramadan, tv durjana sibuk hebohkan agar umat Islam tengok drama Tv  atau filem terbaik di hari raya pertama, kedua, ketiga dan sebagainya. Bukan itu sahaja ada program artis lagi siap menyanyi.
Ingat nak cari pahala ibadat 83 tahun [seribu bulan] tapi kecundang dek syaitan yang berkeliaran, menghasut umat agar meraikan raya mengikut acuan mereka. Maka syaitan dan iblis pun tertawa, bala tenteranya sedang berehat menyaksikan umat sedang berpesta pora menyambut 10 hari terakhir Ramadan dengan pesta makan-makan dan berbelanja besar. Dan sebab itulah lailatul qadar diadakan, ia bagi mereka yang sedikit itu hendak mendapatkannya, sedangkan yang ramai berebut cari gula-gula dan kuih untuk persiapan raya.
Wallahu a'lam bishowab. []