TERUS TERANG dunia gelandangan tidaklah asing kepada penulis kerana sejak awal 80-an lagi saya pernah menyusuri kehidupan mereka untuk dijadikan bahan tulisan.
Hanya saya tidak paparkan secara nyata dengan faktanya, kerana pada masa dulu tajuk gelandangan ini asing. Orang tak sebut gelandangan, kerana kita miskin istilah, apa nak kata kepada orang yang begitu. Saya teringat dengan novel tulisan Iwan Simatupang atau Putu Wijaya yang sering mencatatkan soal orang gelandangan.
IMEJ KUTU
Dunia Melayu tidak kenal gelandangan pada mulanya, kerana ia menyebutnya kutu rayau.
Orang yang lepak di mana-mana, tidur tak menentu, ada yang tidur di kawasan taman, ada yang di kaki lima kedai, atas jejambat, bawah jambatan, atau tepi sungai dan di mana sahaja.
Mereka dikira kutu rayau bagi kita. Jadi imej mereka cukup teruk, mereka inilah yang selalu dijadikan sasaran kalau ada vandalisme, kalau hilang besi penutup longkang, hilang besi tiang jambatan, atau kalau tiang KLCC hilang, puak ini juga yang dituduh kerana mereka kutu rayau.
Kutu rayau pun sudah jadi simpulan bahasa baru. Kena ada masukan baru dalam kamus simpulan bahasa.
DUA SISI
Di KL, gelandangan diberi gambaran dalam dua sisi. Satu gambaran seolah-olah golongan ini dibela oleh pemerintah, diberikan bantuan, diberikan pekerjaan jika mereka mahu kerja, dan pendeknya laporan tentang cara kita melayani mereka begitu indah sebagaimana yang terpapar dalam media.
Kemudian gelandangan juga sesekali diperlukan bagi pihak tertentu yang nak highlightkan aktiviti mereka sebagai pembesar negara, berinteraksi bersama gelandangan, diberi gambaran hebat, bahawa golongan yang terpinggir ini bukan dipinggirkan, malah makan bersama pembesar!
Apabila ada ketua pemuda atau pihak tertentu prihatin terhadap gelandangan, maka orang luar KL akan anggap beruntung benarlah siapa yang jadi gelandangan.
Jadi, sesiapa yang duduk di kampung tidak mendapat perhatian sesiapa pun, datanglah ke KL jadi gelandangan. Nasib anda akan terbela kalau menyertai kumpulan gelandangan kota. Begitulah gambaran yang molek dalam media.
Kemudian baru-baru ini majlis atau program semarak Ramadan, buka puasa di Dataran Merdeka, depan bangunan Sultan Abdul Samad, yang kebetulan sebuah kementerian Rais Yatim ada di situ, wartawan melaporkan:
"Lebih bermakna, ramai gelandangan yang hidup tanpa rumah dan keluarga turut menyertai majlis itu." [Variasi, Metro, 3 Ogos 2012].
Sedangkan saya juga terbaca laporan tentang pengemis di KL sempena Ramadan, semua pihak turun ke lapangan [ bukan padang ya!] untuk membanteras pengemis dan kutu rayau. Jadi, kaum gelandangan turut menjadi buruan, mereka dijaring habis-habisan.
Inilah yang saya katakan, golongan gelandangan ini ada masanya diperlukan jika ada pembesar nak cari nama konon menjaga masalah rakyat. Bukankah di mana-mana terpampang, "KAMI MENDENGAR!"
Akan tetapi golongan gelandangan ini pada waktu yang lain diperlukan oleh hidangan jurugambar bagi paparan tugasan mulia di bulan Ramadan - membanteras pengemis dan kutu rayau di KL!
PROPAGANDA
Ini yang dikatakan ada dua sisi, satu suka kepada kehadiran mereka bagi tujuan propaganda prihatin kepada rakyat, sisi lain, sebagai alat bantu bagi memudahkan usaha membanteras kehadiran gelandangan di tengah kota. Kalau tak ada gelandangan, maka jurugambar pun susah hati apa lagi petugas yang nak menangkap dan memburu mereka.
Ke mana hilangnya gelandangan?
Kita tidak boleh mengejek golongan ini.
Memang, bagi orang yang ada kerja, setiap hari menapak di KL memandang gelandangan, ada yang jijik dan ada yang simpati.
Jangan fikir orang gelandangan itu tidak berpelajaran!
Mereka jadi gelandangan kerana berbagai masalah, entah dari keluarga di kampung, atau masalah rumah tangga, atau masalah lain.
Tengoklah nanti, akan ada orang gelandangan memiliki ijazah tertentu, akan ada yang PhD pun, jangan ketawa.
Ada bekas pensyarah jadi macam gelandangan, agaknya kalau dia lepak di tempat tertentu, dia juga kena usung macam gelandangan lain. Naik lori [hanya sedihnya ada penggelandang mengadu setelah ditangkap, dibawa ke suatu tempat, dilepaskan di kawasan tak berorang - tak tahulah sahih atau tidak riwayat ini, diharap janganlah buat begitu].
Kategori penggelandang sekarang semakin rumit. Semuanya bekas. Entah bekas banduan, entah bekas guru, entah bekas murid, bekas menteri, bekas orang politik, bekas perasuah, bekas abu rokok sahaja yang belum ada.
Ada yang jadi gelandangan hanya berpunca dari kena seluk saku. Habis duit, tak ada dokumen apa pun. Nak balik kampung nun jauh di mata. Di KL tidak ada satu badan atau NGO yang membantu orang macam ini, jika ada mereka akan ejek dulu.
"Hari-hari mengadu dompet hilang, kena copetlah, ragutlah ... kami tahu ada yang menipu, menyamar, dah bagi duit tak balik kampung juga, masih lepak lagi di KL!" itulah antara lain rungutan yang pernah saya dengar.
Kita ada macam-macam kutipan dan golongan gelandangan ini termasuk dalam kelompok asnaf. Sayangnya kita buruk sangka. "Gelandangan ni semuanya teruk, dahlah penagih, kaki rembat, dan menipu!"
Tidak ada pula orang buruk sangka kalau ada orang bergelar sapu duit sampai ratusan juta, mereka dianggap orang mulia juga. Sebab mereka ada rumah. Ada kereta besar dan ada segala-galanya.
Gelandangan ini tidak ada rumah. Tidur di mana sahaja yang dan. Makan? Disebabkan tak ada duit, kena carilah mana-mana ada sumber makanan. Di Perkim, Jalan Ipoh, kalau ada kuliah, adalah nasi berlauk untuk mereka. Atau sumbangan dari Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Sumbangan NGO bukan Islam dan bukan Melayu bukan hebat juga. Begitu sumbangan pihak gereja yang orang tak tahu!
KAJIAN SAHAJA
Apa punca gelandangan? Banyak faktor penolak dan penariknya. Kekadang orang buat kajian tentang gelandangan sampai bergelar PhD, namun teori yang dipaparkan kesimpulan yang dijabarkan tidak dapat dijadikan solusi konkrit. Setelah jadi sarjana dan duduk selesa, maka golongan yang jadi bahan kajian itu terbiar begitu sahaja. Ia jadi macam lingkatan iblis [ada menyebutnya lingkaran syaitan] -ada sebut vicious circle.
Jadi warna-warni kota ini melucukan juga. Ada masa gelandangan diburu macam ada pemburu hantu, dan ada masanya diundang khas untuk meramaikan majlis. Mungkin malu kalau program tak ada sambutan. Cuak juga! Inilah yang saya maksudkan berdasarkan tajuk di atas tadi. []
No comments:
Post a Comment