DI NEGARA KITA kempen pihak tv awal-awal lagi adalah menetapkan kesetiaan anda di depan tv untuk mengikuti semua rancangannya dari waktu tengah malam nak raya, hingga santak ke pagi. Kemudian sambung lagi tengok tv - jangan pedulilah hal lain, setakat nak makan ketupat atau nasi himpit dan randang dagiang atau ayamnya, maka depan tv pun boleh makan. Anda dan semua rakyat yang memilik tv dikehendaki duduk bersila atau bersantaian sepanjang hari mengadap alat hiburan ini.
Kalangan ulama memang tidak suka berbuat demikian, begitu orang yang berilmu. Hanya mereka yang kurang ilmu sanggup duduk bersila depan tv dari pagi sampai petang mengikuti segala macam program yang memualkan.
Betapa tidak mualnya. Ketika inilah orang yang ada tv dikehendaki menonton persembahan macam-macam orang menyanyi [tetapi pengacara perasan mengatakan mereka itu adalah golongan selebriti - maka hairan benarlah orang berilmu jika makhluk yang sedemikian dijadikan idola dan selebriti umat].
Kemudian berhari raya bersama artis sekian dan sekian. Semua mengenakan pakaian cara Melayu kita, berbaju Melayu lengkap, kalau ada rambut panjang siap diikat ke belakang bagi lelaki, atau bagi perempuannya, memanglah pakai baju kurung sesuai dengan musim raya, tetapi dedah aurat juga. Maknanya keislaman orang Melayu pada tahap ini masih berada dalam kategori lemah dan perlu pembaikan.
Siapa nak baiki keadaan ini? Mampukah ceramah agama di kaca tv mengubahnya? Mampukah forum perdana yang dirakamkan itu mengubah cara hidup kita? Nampak gayanya, di negara kita, kata-kata nasihat orang berilmu, orang alim, ustaz dan para ulama dipandang sepi. Sebaliknya kata-kata dari pengacara tv atau artis yang dipanggil selebriti itu dipandang sebagai fatwa unggulan. Inilah kepelikan yang ada di negara kita.
Kebetulan di luar sana masih lagi panas dengan isu undi parti ini haram, undi parti itu haram. Habis bagaimana dengan orang yang menjadi idola umat, orang yang diidolakan itu mendedahkan aurat, mengirai rambut, siap berjogetan, siap berjabatan tangan - - nampaknya penerbit hiburan tv kita masih cetek ilmu, mereka tidak tahu apa yang boleh dan tak boleh.
Bagi orang berilmu, menonton persembahan yang memualkan itu adalah dosa dan membawa kemaksiatan. Lagi-lagi ia melekakan umat. Dari pagi sampai petang asyik mengikut rancangan tv. Hiburan dari pagi sampai ke petang tak habis-habis.
Dan kalau anda perasan melalui tv kita akan diperoleh satu kesimpulan bahawa hari raya ini adalah hari gembira untuk para artis. Hanya merekalah yang berhari raya, hanya merekalah yang meraikan dan diraikan, sedangkan orang lain tidak penting sama sekali.
Mungkin anda rasa kenyataan ini keterlaluan, tengoklah, ia sama sahaja macam program tv lima tahun kepas, atau sepuluh tahun dulu pun!
Seluruh warga artis, baik yang lama atau yang baru diundang untuk buat persembahan. Yang sudah sepatutnya duduk berehat pun masih hendak menyanyi dan bermuzik. Golongan ini seperti tidak pernah membaca karya ilmu atau mengikuti majlis ilmu, tidak mentelaah hadis-hadis Nabawi, dan tidak ambil pusing pun akan dunia yang mereka sayangi itu.
Kemegahan berada di dunia hiburan ini telah melekakan mereka hingga ke waktu senja kehidupan. Masih tidak puas-puas lagi dengan muzik dan nyanyian sedangkan semua itu tidak ada dalam kamus kehidupan seorang Muslim. Hairan sungguh umat Melayu terus dilekakan dengan fatwa-fatwa dari pengacara hiburan, tak berubah sejak tahun 70-an lagi. Artis menjadi penentu kemeriahan program hari raya.
Apa perlunya menyanyi dan menari-nari ketika semua orang berpakaian cantik untuk menyambut hari raya? Apa gunanya bersalaman dengan semua orang tak kira lelaki perempuan sehingga tanpa suatu sekatan pun. Perkara ini sudah berlanjutan sejak zaman jahiliyah dulu lagi dan sampai sekarang.
Itulah sebabnya bagi kalangan yang mempunyai ilmu, mereka langsung tidak ambil peduli kepada program tv. Sayangnya, anak-anak muda, kanak-kanak dan mereka yang cenderung dengan hiburan dan berlekaan itu menganggap itulah sesuatu yang mesti dilakukan setiap hari hari.
Ada orang yang membesar di depan program tv, sejak tahun 70-an hingga sekarang 2012, tv kita yang mengasuh minda mereka, mengasuh penampilan, mengasuh apa yang boleh dan tak boleh dibuat, mengasuh kecenderungan dan kefanatikan di dalam dunia yang dilihatnya. Asuhan di depan tv itu kekal sehingga dewasa, sampai ke tua pun masih tumpang seronok menyaksikan persembahan artis veteran pula, konon lagi klasik.
Lagu-lagu klasik di zaman jahiliyah dulu liriknya menggambarkan kejumudan. Cuba semak lirik lagu-lagu yang ada. Memang dalam bab ini orang Melayu tak perasan pun. Tak ambil peduli kata orang. Janji sedap, janji ada kenangan lama yang mengusik jiwa. Inilah sikap kita. Kita anggap tv itu sebagai alat hiburan terbaik, sedangkan kita tak tahu program yang ada itu semuanya merupakan agenda penyesat, agenda perosak musuh-musuh Islam secara tak disedari. Umat Melayu tenggelam dalam keasyikan, bersila, berleka di atas sofa menyaksikan lakonan dunia fiskyen atau tarian jumud yang masih dianggap relevan dengan suasana hari raya kita.
Apakah pembaharuan yang ada dalam program tv kita? Memang tidak ada pembaharuan. Yang ada umpama kosmetik sahaja. Tampal sana, tampal sini, asalkan orang terhibur. Semua program mengagungkan para artis dan golongan ini terlalu dimuliakan, sehingga apa hobi, apa makanan, apa gula-gula dan apa warna kesukaan semua mahu diketahui umat.
Ini baru kita sentuh bab tv kita, tak kiralah tv berbayar atau bagaimana. Semua saluran tv memburu program sambutan hari raya yang ceria. Tetapi begitulah corak ceria yang dipersembahkan sejak berpuluh tahun lampau. Tak ada perubahan.
Ini belum bab majalah hiburan yang siap dari muka depan hingga belakang gambar artis dengan pakaian serba cantik, bertukar fesyen dan stail, dengan dedah aurat, dengan tayang leher jinjang, tayang rambut, tayang jambul semua, tetapi wartawan yang menulisnya kata itulah busana muslimah yang sesuai untuk hari raya. Inilah subbudaya Melayu yang dibentuk dan dicanai oleh tv dan alat yang sealiran dengannya di negara kita. []
No comments:
Post a Comment