Thursday, 30 August 2012

MAJALAH HIBURAN SUMBER BERBAGAI "FATWA"

ANAK MUDA di mana-mana, termasuk bujang tua juga suka membaca majalah hiburan. Maklumlah dalam majalah hiburan ada cerita tentang artis itu dan ini. Baik artis terkenal, yang sedang melonjak namanya sampai setinggi pokok kelapa, atau setinggi pokok terung di belakang rumah sahaja.
Maka setiap artis atau mereka yang rasa namanya gah di persada hiburan tanah air akan memiliki majalah itu. Kalau ada gambar peribadi disiarkan, maka seronoklah, malah konon dibeli sampai beberapa buah, bagi pada kawan-kawan dan tunjuk pada emak bapak. Bangga you!
Seperti biasa, sesiapa pun buat majalah hiburan tentulah nak melariskan jualannya. Kalau boleh nak menambah bilangan sirkulasi majalah. Biar sampai puluhan ribu, kemudian naik lagi hingga ratusan ribu. Iklan pun kena masuk juga. Bukan semua syarikat nak pasang iklan kalau majalah diedarkan setakat 10 ribu naskah. Mereka tentu cari yang edarannya sampai 1.5 juta kalau boleh.

LAMBAKAN

Teringat bagaimana sukarnya kawan-kawan terbitkan majalah hiburan. Dah melambak-lambak, asyik cerita artis yang itu juga. Gambar kalau boleh disiarkan dengan pose yang daring habis. Bikin gosip atau ghibah, laporan tak banyak mana, tiga atau lima para, tapi gambar kena penuh, dengan aksi pelbagai, melintuk meliuk, mengirai rambut, melondeh dan mengada-ngada, bahkan kalau boleh duduk mencangkung macam orang nak berak pun. Asalkan glamor.
Biasanya, sang editor dan pembantunya pening nak siapkan sebuah majalah. Sekali terbit majalah, kena kejar date line setiap bulan, pening fikirkan apakah sajian yang sedap untuk dibaca oleh pembaca.
Kalau asyik hidangan yang sama, maka hambarlah. Kaedah ini pun sama bagi mereka yang terbitkan majalah keagamaan, mengenai roh Islam dan sebagainya, begitu majalah misteri dan mistik, majalah fesyen, majalah masakan lagi haru [bahan resepi disebutkan, tapi lupa nak buat lagu mana dengan rencah yang dah siap dipotong, cuba semak buku resepi majalah yang ada - banyak caca marba asal ada gambar sedap dah cukup].

LUPUT TARIKH

Nak buat majalah bukan senang, kena pandai atur tarikh. Siap masa bila, edar masa bila. Dalam pasaran berapa lama? Majalah cepat luput tarikh. Orang nak kejar yang baru. Belum masuk Oktober misalnya, kena siapkan pertengahan bulan.
Dalam bab majalah hiburan ini, ada orang lupa. Dek kerana nak mengejar kuantiti edaran, ada yang tergiur dengan paparan berahi dalam majalah.
Gambar perempuan dengan aksi yang menggoda dibesarkan, tajuk pun mengada-ngada, siapa yang ambil gambar? Dah tentu jurugambarnya.
Ada yang ambil gambar di luar studio dan ada yang di dalam studio. Dari pengalaman menjaga meja akhbar tabloid, ada juga jurugambar "mabuk daun" hantar gambar penyanyi pub di Pertama Kompleks berbogel habis, ketika itu jurugambar dan wartawan itu baru nak belajar menulis, kemudian dia usung kamera video TV, kemudian khabarnya sudah bergelar Datuk! [maaflah Datuk kalau terbaca blog ini].

BAHANA MAJALAH

Apabila mengikut tazkirah, jarang ada ustaz yang berani bercakap tentang bahana majalah Melayu yang ada di pasaran kita sekarang.
Majalah Mangga umpamanya adalah majalah yang menjurus kepada kerendahan moral dan akhlak Melayu [belum bab Islam lagi], perhatikan bagaimana paparan gambar dari kulit depan hingga kulit belakang - sudahnya majalah itu layak dijadikan pelapik buntut periuk atau campak ke longgokan sampah. Tetapi majalah itulah yang anak-anak sekolah kita beli, simpan dalam beg sekolah, tengok ramai-ramai masa rehat atau ketika cikgu ponteng mengajar.
Majalah hiburan paling digemari budak sekolah dewasa ini termasuk cikgu-cikgu muda. Maklumlah dalam majalah hiburan bukan ada cerita lain pun, hanya cerita artis, cerita pelakon seksi itu dan ini, cerita apa kegemaran artis, apa makanan kesukaan mereka, apa yang disukai dan apa yang dibenci -- pendeknya semua orang nak tahu.

SERUPA

Jangan kata majalah Mangga sahaja, majalah lain pun serupa. Semua nak berlawan-lawan siapa berani siarkan gambar separa bogel artis itu dan ini. Untuk tak nampak sengaja, diambillah gambar di kolam mandi. Dah tentu jurugambarnya pun memang suka ambil gambar begitu, yang khusus disimpan untuk kenangan di masa tua nanti.
Ada ustaz menasihat, jauhkan anak-anak anda daripada majalah hiburan yang ada -- baik dalam bahasa orang putih, Perancis, Hindi atau Melayu. Keburukannya lebih banyak daripada kebaikan. Kecintaan anak-anak muda kepada bahan keagamaan semakin menjauh, menyebabkan mereka ketagih dengan paparan begitu setiap bulan, ia juga bergandingan dengan program televisyen di rumah.
Sedangkan televisyen adalah punca kemaksiatan yang nyata yang umat Melayu tak ambil peduli pun. Bahkan di mana-mana rumah pun orang berbangga memiliki LCD yang paling canggih dan berukuran besar. Menikmati layar yang besar bak berada di panggung. Maka bersantaianlah sepanjang masa, menikmati program hiburan dari pagi sampai ke malam.
Kata ustaz, masa untuk beribadat semakin kecil, bahkan banyak yang tertunggak kerana pengaruh tv yang melalaikan.

PETAKA

Pengaruh majalah hiburan dalam dunia kecil Melayu memang membawa petaka. Majalah hiburan menjadi saluran menjaja kemaksiatan. Bukan tidak ada bahan yang menjurus keagamaan, tetapi ia hanya tempelan dan tidak serius. Lagipun ia majalah hiburan, yang memaparkan perempuan buka aurat dari halaman depan hingga ke hujungnya.
Maka ada ustaz bertanya, bagaimana kalau gambar yang menggiurkan itu ditampal di rumah-rumah umat Islam dan kemudian ia dianggap tidak ada apa kesan pun.
Bukankah gambar-gambar makhluk bernyawa itu tidak dibenarkan dijadikan hiasan rumah orang Islam? Akan tetapi lihatlah, berapa banyak rumah kita yang di dalamnya ada poster-poster dan gambar artis, gambar model berbikini, gambar seniwatai Hindustani, gambar Shahrukh Khan dengan pasangannya, dan kita anggap tak apalah, bukan salah pun!
Mereka tidak fikir kalau malaikat rahmat tak mahu masuk ke rumah yang begitu. Akan tetapi berapa banyak rumah Melayu yang ada gambar-gambar begitu, dan di situlah mereka mengerjakan solat sendirian, bilik solat dihias dengan gambar model dan aktor tersohor.
Maka kata ustaz, jurugambar model itu sama terlibat bersekongkol menyebarkan kemaksiatan, belum bab sang editor dan wartawan yang sibuk dengan paparan berani itu.

GAMBAR MAKSIAT

Gambar itu akan kekal, dan dicetak puluhan ribu, jadi kebanggaan sang jurugambar, namanya dicatat di bawah gambar. Bukankah itu adalah kenistaan? Ya, bagi kebiasaan yang tidak memandang apa pun kesalahan dari segi moral dan agama, maka ia dipandang biasa.
Ada orang hobinya mengumpul majalah hiburan. Gambar-gambar bintang filem lama disimpan lagi. Entah apa yang hendak dibanggakan.
Seorang ustaz pernah menegur, gambar-gambar itu tidak membawa faedah pun, bahkan akan menambahkan dosa kepada penyimpannya. 
Gambar dedah auratlah yang paling banyak, mana ada majalah yang mahu fokus kepada artis bertudung? Kecuali majalah yang menjurus kepada keislaman. Yang lain semuanya kisah dedah, kisah rumah tangga, kisah gaduh, kisah anak tak mahu minum susu, kisah anjing peliharaan, kisah melancong ke luar negeri atau kisah berapa kali artis buat umrah!

KEMARUK

Akhirnya, bagi sesiapa yang kemaruk dan ketagih dengan majalah hiburan, mereka kan mendapat pelajaran baru, mereka akan mendapat berbagai fatwa yang ditulis oleh para wartawan yang belum celik ilmu. Fatwa yang bukan fatwa itu dianggap tak apa, tak salah, apa salahnya, dibolehkan dan macam-macam fatwa lagi.
Kemudian ada keperihalan yang berlaku dalam dunia penerbitan majalah hiburan, iaitu golongan lesbi dan homo diberi paparan seenaknya. Atau kalau kebetulan ada kalangan jurugambar dan wartawan yang cenderung kepada kelembutan -- lelaki lembut -- maka mereka akan membuat berbagai fatwa pula dalam tulisannya, membenarkan sesuatu yang ditegah.

MUZIK

Satu lagi majalah hiburan adalah sumber kepada pemaparan dunia muzik dan nyanyian yang melekakan. Umat Melayu sudahlah leka, dengan adanya santapan begini bertambah lekalah mereka. Idola mereka semuanya palsu. Mereka langsung tak terusik oleh ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh tentang keharaman muzik dan nyanyian, apalagi gambar wanita dedah aurat, gambar wanita berbaju mandi di tepi kolam mandi kondo mewah.
Kemudian ada pula pengendali majalah hiburan yang sibuk mencari kes-kes dahsyat. Tajuk yang ganas-ganas untuk menarik perhatian pembeli muda.
Dipaparkan tajuk yang amat keras dan bahaya. Isinya pun bukan lagi dahsyat. Maka semua ini adalah kecenderungan yang nyata untuk melariskan majalah tersebut. Apa akan jadi sudahnya? Ia adalah bekal bagi orang yang menulis dan memaparkan bahan itu.Itulah amalan "jariyah" yang hendak ditinggalkan, itulah "ilmu" yang memberi manfaat kepada yang ditinggalkan.
Setelah usia meningkat dan mahu kembali ke pangkal jalan, gambar model zaman dulu, tulisan tentang seks dan skandal yang diaparkan zaman dulu akan membekas dalam relung qalbu masing-masing.
Tidak hairan, pengendali majalah hiburan sering dikatakan memiliki qalbu yang gelap. Mereka asyik bercakap tentang kenistaan, bercakap tentang ghibah, kemudian menarik pembaca agar meniru-niru kelakuan golongan bukan Islam. Dan majalah itu sendiri sebenarnya tertolak untuk dijadikan bahan pegangan umat Islam. Sayangnya, budak-budak sekolahlah yang dijadikan sasaran! []

No comments:

Post a Comment