Wednesday, 22 August 2012

NASIHAT PAK GURU

PAK GURU beri nasihat agar muridnya berdoa dengan tulus ikhlas, bukan pura-pura menadah tangan dan mulut kumat-kamit macam orang baca mantera syirik.
Kata Pak Guru, berdoalah dengan rendah hati. Kalau sekadar berdoa sahaja tetapi tidak menjaga keperibadian dalam beragama, maka ia tidak lengkap katanya.
Kemudian dia memberitahu agar kita mencari kawan yang baik dan soleh, cari kawan yang taat kepada Allah.
Bagaimana nak kenal kawan yang baik begitu? Ia dapat dilihat dari luarannya. Penampilannya, pakaiannya, atau bahkan pertuturannya.
Ingatlah, kata Pak Guru lagi, kalau salah pilih kawan, kamu akan dibawa ke mana sahaja yang mereka mahu. Kalau kamu menyertai kawan yang soleh, maka beruntunglah kamu, tetapi kalau kamu terpilih kawan yang buruk perangai, maka rosaklah kamu.
Oleh sebab itu, kita hendaklah jauhkan diri dari kawan yang tak baik.

KITABULLAH

Guru juga berpesan agar kita menjaga kitabullah -- maksudnya membaca, menghafal, pelajari isinya kerana ia adalah ubat bagi hati.
Juga, dinasihat agar menjaga ibadah fardu dan ibadah nafilah yang mengiringinya.
Selanjutnya, Pak Guru berpesan agar murid atau bukan murid pun, termasuk orang awam di antara kita, sentiasa menyukai majlis ilmu, hadirilah majlis ilmu di mana juga yang ada, pelajari ilmu syar'ie.
Jangan berfikiran negatif, asalkan ada majlis ilmu, bicara tentang Islam, bicara tentang ibadat semuanya dibungkus dalam kelongsong politik.
Minda umat telah jadi rosak kerana ketakutan yang amat sangat kepada wacana politik. Wacana agama dikatanya politik, padahal yang dikatakan agama itu yang lengkap, ia meliputi semua sekali. Tidak perlu mencari wadah lain untuk bicara politik. Orang yang gerun agama akan memisahkan agama dan politik.
Jangan bicara politik di mimbar surau dan masjid kata mereka.

DOSA

Kemudian Pak Guru berpesan lagi, takutlah kamu kepada dosa dan akibatnya. Ia jalan kepada su-ul khatimah.
Kemudian bacalah buku yang bermanfaat, mengikuti daurah ilmiyah dan dakwiyah.
Pak Guru amat memberatkan persoalan ini, persoalan ghoddul bashar -- menjaga mata dari yang haram, dengan ini hati anda akan jadi tenang dan akan dapat mengecap kemanisan iman.
Ingatlah, kata Pak Guru lagi, syaitan sentiasa berusaha setiap detik untuk menipudaya umat, ia sentiasa menunggu saat kelekaan seseorang, saat seseorang sedang mabuk lalai, kerana makhluk ini sentiasa mengharapkan sesiapa juga akan menjadi sahabat mereka.
Sahabat syaitan sentiasa bertambah, ia bukan sahabat yang baik untuk umat. Syaitan mengajak kita kepada kejahatan, syaitan mengajak kita melakukan kenistaan.

KECUNDANG

Gara-gara bisikan syaitan, ramai yang kecundang, terperangkap dalam perkara-perkara syirik besar dan syirik kecil - riyak -, terperangkap dengan amalan sihir, meninggalkan solat, zina, homoseks, makan harta anak yatim, makan harta orang lain, minum khamar, sumpah palsu, melakukan kezaliman, pemimpin khianat dan zalim kepada rakyatnya, derhaka kepada orang tua, memutuskan silatur rahim, tidak berzakat, membunuh tanpa hak, bunuh diri, jadi hakim yang zalim, berdusta, wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, rasuah, tidak bersihkan air kencing, judi, sembunyikan ilmu, tajassus --cari kesalahan orang lain --, banyak melaknat, melanggar perjanjian, belajar ilmu perdukunan, menggambar makhluk bernyawa, meratapi musibah, bertindak keterlaluan, aniaya kepada isteri, aniaya terhadap kaum yang lemah, dan banyak lagi kenistaan disebabkan oleh hasutan syaitan dan suku-sakat iblis.
Kata Pak Guru, bukan senang hendak menjaga mata dan lisan, selagi kamu berkelana di muka bumi ini, kamu akan tetap bersua dengan berbagai ujian. Itulah perangkap yang ada di sekeliling kita.
Kata Pak Guru, berjaga-jagalah ketika berkelana di dunia ini, anggaplah bumi yang kita pijak ini penuh dengan duri, maka berhati-hatilah, jangan sampai tercucuk duri itu, berhati-hatilah, jangan sampai duri itu melekat di hujung pakaian kamu. []

No comments:

Post a Comment