DI KUALA LUMPUR, ADA MACAM-MACAM ORANG, ada berbagai latar belakang menarik dan tak menarik, itupun kalau anda nak tahu. Kalau tak nak ambik tahu, maka tak akan tahu sampai bila-bila pun.
Saya terkenang kepada kawan-kawan lama yang dah pergi di KL ini. Mereka itu antaranya menjadi responden untuk satu lintasan, rasa ingin tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu terjadi.
Apabila ceramah Pakatan Rakyat selalu diganggu gangster muda upahan, maka saya teringat kepada cerita dari kawan-kawan lama.
ZAMAN 60-AN
Mereka kata, dulu sebelum pecah 13 Mei 1969, di kawasan Kuala Lumpur ini banyak kumpulan gangster. Saya juga teringat ketika tahun 60-an di kawasan Sungai Panjang, Selangor, budak-budak kampung pun berbasikal sambil bawa senjata buatan sendiri iaitu rantai basikal, pisau atau sabit. Untuk apa? Untuk pertahankan diri. Maknanya, bukan tak ada "pertempuran" kecil samseng kampung masa itu.
Di Kuala Lumpur lain pula ceritanya. Disebabkan banyak tempat maksiat, kabaret bersepah, bar-bar, lounge dan kelab, maka kumpulan samseng pun bersarang. Dalam kajian akademik juga menyebut bahawa kegiatan subbudaya popular ini menumbuhkan budaya gangster, orang kata setiap pintu dewan maksiat itu pasti ada dua tiga orang mencari makan dengan jadi kaki pukul.
Salah seorang sahabat memberitahu di Kampung Bharu, KL sahaja [jangan lula Jambatan Gesel, pantang gesel, anda bawa betina, maka terburai isi perut, letaknya di Jalan Raja Alang sekarang] ada beberapa kumpulan, pendeknya pada masa dulu, Bukit Bintang lain, Jalan Pudu lain, Lorong Haji Taib 4 lain, Jalan Raja Alang Lain, Kg, Semarang [sekarang Maju Junction], setiap ceruk ada sahaja kumpulan samseng
[kawan yang saya temu bual di Masjid Jamek LRT ini - dulu kami memang setiap hari di masjid ini hingga pecah perang reformasi - di zaman Dr M. Biasalah digempur FRU semua].
GENG MELAYU
Kemudian, kawan ini mengaku dia juga salah seorang gangster tersebut. Eloklah, ada pengakuan seorang bekas gangster Kampung Bharu, KL. Dia juga ada sebut, kebanyakan kaki pukul atau gangster masa dulu menggunakan tempat maksiat sebagai port mereka.
Mana lagi yang ada lampu berkelip? Bukankah di tempat itu sahaja, iaitu zaman Rose Chan bikin show, iklan ditampal di tepi jalan, masa itu jahiliyah Melayu cukup pekat, gambat Rose Chan dianggap biasa-biasa sahaja, cuba sekarang? Nak cari nahas!
Dia cerita, salah seorang bekas menteri lantikan Dr.M adalah kawan kepada lelaki ini. Jadi, dia selalu cerita lepak di pejabat orang itu. Orang itu pun dulu gangster juga katanya, dulu dia dikenali sebagai Mr Brandy.
Kenapa?
Yalah, gangster masa dulu mesti berani minum. Untuk jadi hebat kena minum air botol tak kira apa cap, asalkan boleh mabuk. Kalau satu botol telan tak jadi apa, itu kira hebat. Tambah lagi, untuk tunjuk kehebatan, maka botol tu perlu disusun atas meja. Kasi apek kedai tengok. Apek, tolong kira! Ketika itu harga "brandy" bukanlah mahal macam la ni.
Kata Rasulullah shallahu alaihi wa sallam:
"Kelak akan ada segolongan umatku yang menghalalkan zina, khamar, sutera (untuk lelaki) dan muzik (nyanyian)." [hadis riyawat Bukhari: (10/51 -Fathul Bari].
Nampaknya umat Melayu sudah tergolong dalam umat Nabi tadi. Bahkan borong sekali, tiga dalam satu -dengar muzik,enjoy, lepas itu khamar, dah mabuk dakap GRO dan...- begitulah tepat sekali perkhabaran itu, tetapi sejauh mana ada usaha hendak mengHARAMkan muzik dan nyanyian yang menyimpang itu?
Tak berani wartawan cari makan menulis tentang muzik itu haram. Tak berani nak mengatakan nyanyian itu patut dibungkus. Takut nanti artis mengamuk tak tentu fasal. Sedangkan ia adalah sabda Nabi. Nanti banyaklah siasatnya, hadis itu shahih ke tidak, sanadnya bagaimana, dan macam-macam kerenah lagi, sudahnya ada yang kata ia hadis daif, hadis palsu dan macam-macam alasan lagi.
Itulah gologan yang dirasuki syaitan dan iblis memang menyukai benda-benda begini. Benda buruk dikatakan baik. Kelab maksiat dikatanya dewan mesyuarat malam, muzakarah umat.
TEMPAT MAKSIAT
Okay, berbalik pada cerita tadi, dalam kajian juga menyebutkan, pusat maksiat yang bercambah tadi adalah tempat gangster beterbangan, macam kelkatu, ada cahaya di situ mereka himpun.
Gangster pun begitu juga.
Mereka jadi gangster kerana pengaruh institusi maksiat, setiap kabaret hebat sudah tentu ada gangsternya. Kalau ada apa hal terjadi, gangster ini masuk campur. Kira macam penjaga keamanan setempat.
Dulu dekat Globe Kuala Lumpur pun ada kabaret, Jalan Dang Wangi, di Jalan Raja Laut, Jalan Ipoh, tak terkiralah banyaknya, belum kira Bukit Bintang, dulu terkenal dengan BB Parknya, dan kemudian dibangunkan semula konon untuk mengenang kegemilangan silam yang serba paganis itu.
BUDAYA MELAYU KOTA
Inilah wadah yang mencorakan bentuk budaya Melayu di kota. Wanita, hiburan, muzik, tarian, dakapan, minuman, mabukan dan apa sahaja yang menistakan adalah mainan.
Jadi dalam unsuran paganisme ini, umat Melayu pun ramai terperosok, yang masuk lubang biawak cukup ramai, termasuklah kumpulan samseng tadi.
Pendeknya, mentaliti Melayu kota masa itu adalah hiburan. Di luar bandar sibuk Hindustani atau lagu berirama hindustan. Mereka tak sebut dangdut.
Kalau anda ingin tahu bagaimana corak kehidupan umat Melayu masa silam, saksikan filem-filem hitam putih P Ramlee apa tajuk pun, terutama yang ada kaitan dengan perempuan kelab malam. Begitulah keadaan masa dulu, bagaimana corak dan fesyen pakaian masa dulu, cara menarinya, rentak muziknya, semua ada dalam filem lama hitam putih. Saksikan dan semak semula.
Dalam kajian juga mendapati, setiap wanita yang bekerja kabaret atau kelab apa pun, sudah pasti ada jantan pelindung. Macam kisah filem P Ramlee. Ia kenyataan. Bahkan yang mengejutkan, dalam kajian termasuk temubual eksklusif saya dengan beberapa orang veteran, mereka mengakui setiap wanita penghibur mempunyai bodyguardnya, dia punya cintalah. Selain itu bagi wanita bayaran, mereka juga mempunya kendak yang perlu dilayani hasratnya, semua duit disalurkan kepada kendak ini. Ini tak masuk lagi bab muncikari.
Pegawai Melayu berpangkat pun banyak yang terleka oleh kehidupan malam yang serba indah [sesuai dengan zamannya kejahilan Melayu masa itu].
Tahun 60-an adalah semaraknya umat tak kira apa kaum pun menyertai kumpulan samseng. Bukan apa, ketika itu mereka mana ada dengar NGO? Parti yang ada pun Umno dan Perikatan, PAP, MCA. MIC dan lainnya. Jadi mereka sertai parti gangster. Hanya untuk suka-suka, untuk bersosial.
KAJIAN
Sebenarnya latar belakang gangsterisme ini perlu dibuat kajian oleh mana-mana pelajar yang nak buat PhD. Ia menarik. Kebetulan sewaktu saya singgah Chow Kit selepas solat di Masjid Pakistani, ada seorang lelaki berumur yang mengaku buntutnya ada kesan sebat. Dia bangga masuk penjara dan jadi gangster. Dia kata dia kenal dengan Gun [Gunawan], kenal dengan Mantri, Wak Sukir, dan beberapa nama lain yang luput dari ingatannya.
Dan dia adalah geng dari Kg.Periuk. Dia dah baik sekarang. Hanya terkenang cerita lama sahaja. Nama-nama ini memang menjadi sebutan orang-orang lama yang tahu dunia gangsterisme Melayu paganis masa silam.
Dunia Melayu ketika itu langsung abaikan agama. Macam mana kehidupan masyarakat paganisme di dalam kajian sejarah, maka keserupaan itu ada di tengah Kuala Lumpur [dulu saya pernah menulis untuk siri Remang-remang Kuala Lumpur, tahun 70-an untuk Mingguan Malaysia].
TOKOH
Berbalik kepada kisah kawan saya tadi, dia ni amat baik dengan tokoh koporat negara, bahkan ketika dia masuk Institut Jantung Negara (IJN) dia dibiayai oleh tokoh koporat asal Kg.Bharu itu. Dia pun baik dengan bekas menteri asal Kg.Bharu [tak perlu sebutlah nama dua tokoh ini].
Kawan yang pernah masuk IJN ini pernah jadi buruan, sebab kerja samsenglah, dia "ter"bunuh seorang lelaki bukan Melayu di jalan dekat Pudu Central sekarang. Saya masih ingat, ketika ronda di situ, dia menunjukkan di mana lokasinya.
Dan dia pernah berentap beberapa kali dengan kumpulan samseng yang ada. Sayang lelaki yang jadi responden saya ini tidak dapat dikesan walau nombor hp saya simpan. Tak tahu apa khabar beritanya. Apa pun yang saya ingat, dia pernah menyorok di rumah Zaman Khan untuk keselamatan. Maknanya dia pun kamcing dengan pegawai polis itu. Dan dia pun ikut sama ketika negosiasi pasukan Tentera Merah menawan AIA di Jalan Ampang. Gempar!
GANGSTER MELAYU
Melalui dia juga dan bahkan dari beberapa responden, memang nama-nama gangster Melayu tadi cukup dikenali dan digeruni. Mereka perlu dicari untuk mendapatkan maklumat gambaran sebenar mengapa umat Melayu banyak jadi gangster pada zaman dulu.
Kemudian orang lupa, ketika 13 MEI 1969, peranan gangster Melayu juga tidak kurang penting. Satu kajian patut dibuat mengenainya. Kumpulan ini juga memberi saham besar dalam menyalakan keganasan kerana mereka sudah biasa ganas, maka cetusannya lagi hebat.
Mungkin orang bertanya, kenapa banyak terjadi di kawasan Chow Kit dan Kg.Bharu sahaja?
Ya, ia ada kaitan dengan demografi politik gangster tadi. Di mana ada kelab malam, ada kabaret, maka situlah mereka berlonggok.
Kemudian jangan lupa lokasi Balai Dato Harun di Kg Bharu. Ia juga salah satu "port" istimewa yang menjadi maraknya peristiwa sejarah itu. Bila dikaitkan dengan balai itu, orang boleh mengagak, di mana akar puncanya merebaknya keganasan di kawasan KL.
MASJID
Tulisan ini hanya fokus kepada peranan gangster Melayu, dan kebetulan beberapa orang telah penulis temui untuk mendapatkan maklumat lanjut. Dan saya lebih suka menemubual mereka di masjid, kenapa? Itu membuktikan bahawa mereka sudah menyedari kesilapan masa silam mereka. Ahamdulillah mereka kembali ke masjid setidak-tidaknya.
Bayangkanlah dulu ketika tahun 60-an ketika orang sibuk dengan Belakang Mati di Jalan Masjid India, atau sektor pelacuran terbesar di Chow Kit, umat Melayu banyak yang habiskan masa mengunjungi tempat itu, macam Dolly di Jakarta juga. Masjid hanya untuk orang tua-tua, wanita Melayu tak kenal jilbab, ada selendang letak di bahu atau di kedua lengan, suka tayang fesyen rambut, lagi tinggi lagi bagus, idola masa itu Saloma atau bintang-bintang filim [bukan filem mereka sebut]. Sedangkan pakaian artis masa dulu langsung tersasar dari menutup aurat.
JILBAB
Pernahkah orang bertanya, sejak bila wanita Melayu terakhir memakai jilbab? Sejak bila umat Melayu berani pakai kupiah putih dan jubah semua? Jika difikirkan, maka ada peranan utamanya tokoh pembangkang yang menyemarakkan kefahaman Islam. Kalau kita tak buat begitu, sampai sekarang umat Melayu suka jadi gangster, kacau sana-kacau sini. Pukul sana, pukul sini. Sekarang gangster sudah tak ada, tetapi masih ada saki bakinya. Sekarang samseng individu. Pasal parking kereta pun nak gaduh. Hanya kenyit mata mahu gaduh. Hanya pandang lain macam pun nak gaduh. Pendeknya gaduh zaman sekarang lain macam. Perkara kecik jadi besar macam masalah negara pula.
Jadi, kepada sesiapa yang seronok berkisah tentang 13 Mei, renungkan kembali di mana letaknya peranan samseng Melayu ketika itu. Kini saki-baki samseng sedang ditanamkan melalui samseng bayaran, bakar bendera itu, buang sepanduknya, kacau program dia, ceramah dia kita ganggu, buat bising motosikal, buat bising dan hingar bingar, kacau dia. Inilah bentuk samseng 2012. Maknanya kita kembali ke zaman paganisme dulu, di mana umat Melayu tidak bertamadun - maksdnya tak kisah langsung pada agama.
Kalau nak tahu, saya ulang sekali lagi, bentuk dan corak budaya masyakat kita masa silam tengoklah filem-filem hitam putih dulu. Bila tengok semula, kita rasa sedih, sedih sebab umat Melayu begitulah bentuk dan coraknya. Wallahu a'lam. Rasa nak sambung lagi, tapi cukuplah...[]
No comments:
Post a Comment