Saturday, 4 August 2012

ILMU HIDANGAN DARI LANGIT

MAKA TERSEBUTLAH KISAH SEORANG LELAKI yang mencari ilmu, dia bukan mencari ilmu dalam lembaran kitab lama, tidak juga ke masjid dan surau, tidak juga ke Perkim sana, ada mana-mana pusat pengajian tinggi. Dia menemui seorang lelaki yang dianggap guru. Kepada guru itu dia berhajatkan ilmu hikmah hidangan dari langit.
"Kenapa kamu nak dapatkan ilmu macam ini?" tanya guru.
"Sebab saya ni pemalas, nak kerja tak ada peluang kerja, nganggur, makan tidur aje, bulan puasa bolehlah dapat makan sedap-sedap paling tidak bubur lambuk percuma," kata anak muda dari sebuah kampung di negeri bernama Merali. Raja di negeri ini bengis, teramat bengisnya sehingga rakyat sanggup mencium bekas tapak kakinya, di mana raja pijak di situ rakyat mengambil berkat.
Ada orang pintar yang mengharapkan raja bengis itu mangkat segera, sebabnya kalau dia sudah mangkat bolehlah makamnya di keramatkan. Buat hebat-hebat, sediakan tabung duit, dan di situ nanti, akan ramai orang datang sembelih kambing jantan hitam, akan ada orang bawak makanan sedap-sedap untuk santapan orang ramai.
Kepada seorang guru, lelaki itu mengharapkan ilmu hidangan dari langit. Dapat makan percuma yang "langit" hidangkan. Perkara macam ini jangan nak disenyumkan, sebab di dalam al-Quran memang ada sebut tentang hidangan dari langit [al-Maidah: 114-115].
Ketika lelaki itu berhajatkan ilmu, tuan guru itu membelek kitab lusuhnya. Khabarnya, kitab itu sudah berumur 1400 tahun. Punyalah lama, tapi kitab itu masih elok diselak-selak, tak leraipun kertasnya. Dan jika dibuat tahun itu, bayangkanlah, daripada bahan apa kertasnya sampai molek begitu.

ILMU APA INI?
Maka orang itu pun bertanya guru tentang ilmu ini. Dia tanya sebab dia hanya dengar nama sahaja, tetapi bagaimana bentuk amalannya dia tak tahu.
Setelah duduk dengan tenang, tok guru itu membelek halaman yang dicatatkan tentang ilmu berkenaan. Iaitu ilmu hidangan dari langit.
"Ilmu ini," kata guru. "Adalah untuk mendatangkan makanan dari rezeki langit di sisi Allah subhanahu wa Taala melalui perantaraan dua hingga empat malaikat yang memakai mahkota emas dan berjubah berhias permata yaqut!"
Termenung lelaki itu mendengar ocehan guru. Dia pun hairan, malaikat apa yang dimaksudkan oleh guru itu dan betapa hebatnya kalau ia datang dengan mahkota emas serta jubah berhias permata yaqut. Tahukah kita hendak bezakan yaqut atau bukan. Soalnya yaqut pun dia tak pernah tengok.

SYARAT
"Tuk guru, apa syaratnya nak amalkan ilmu ini? Susahkah?" tanya lelaki dari negeri Merali itu.
Sambil tertawa macam mengejek orang kampung itu, guru pun menerangkan satu persatu.
"Bukan senang anak muda, kamu kena puasa selama 21 hari!" kata guru.
"Puasa macam puasa Ramadankah guru?"
"Ya! Dah tu kamu tak boleh merayau tak tentu fasal, kamu kena duduk berkhalwat dalam bilik tak ada bumbung, kalau kapal terobang lalu kamu boleh nampak, kalau ada helikopter polis berlegar-legar kamu nampak," terang guru.
Orang muda itu hairan, kena puasa dan lepak dalam bilik tak ada bumbung. Kalau hujan lagu mana? Kena pakai payungkah atau baju hujan? Sampai di sini otaknya memikirkan kepelikan ilmu yang satu ini.
"Kemudian tuk?"
"Kamu kena solat hajat dan solat tahajud dalam bilik kamu itu, lepas solat hajat kamu kena baca ayat 1000 kali, ayat dalam surat 114 al-Maidah." Apabila disebut begitu anak muda terkebil-kebil. Surah apa? Ayat apa dia pun samar-samar sebab di rumahnya hanya ada surat Yasin yang sudah kuning. Al-Qur'an mana ada.
Kemudian guru juga terangkan, selain itu waktu lepas solat tahajud kena baca 21 kali ayat yang sama. Maknanya kalau dah dibaca sampai begitu sekali, dia akan hafal ayat itu. Hafal sungguh, kalau dia tahu membacanya, kalau tak tahu guru akan tuliskan dalam bentuk romanise.
"Habis, kalau dah puasa dan beramal selama 21 hari boleh dapat hidangan tu ke tuk?" soal orang itu lagi.
Guru tertawa. Dia geleng kepala. Tak sabar-sabar nampaknya.
"Kamu kena lanjutkan amalan solat hajat dan tahajud selama 100 malam!"
"Kenapa lama sangat tuk?"
"Inilah ujian bagi kamu untuk beramal, orang bekerja pun kena tunggu 30 hari baru bergaji, tu pun belum tentu dapat gaji ada yang sampai 9 haribulan baru dapat!" kata guru memberi alasan logik.
"Apa kesudahannya tuk, adakah habis aje seratus hari ada orang hantar nasi briyani Arab ke?"
"Hiss, kamu ni ke situ pulak. Nasi briyani Arab banyak jual di bazaar Ramadan, belilah, restoran Arab pun ada banyak, di Hadramaut Restoran pun ada," ujar tuk guru.
Kemudian tuk guru menceritakan tentang apa yang akan terjadi setelah seratus hari beramal, amal solat hajat dan tahajud tadi.
Kata guru, janganlah utamakan solat sunat itu sahaja, solat fardu nak kena jaga juga. Anak muda yang nak dapatkan ilmu itu pun solatnya banyak yang bolong! "Tahu bolong?"
Anak muda angguk-angguk.
"Insya-Allah pada malam ke seratus akan datang dua atau empat orang malaikat dari langit membawa makanan termasuk buah-buahan, minuman susu dan madu dengan dulang atau nampan emas!" terang guru.
"Wah! Guru, saya dilayan begitu istimewa, raja-raja pun tak begitu layaannya!"
"Memang!"
"Habis, kita kena berdiri atau duduk bersila ketika menerima hidangan itu?" tanya orang itu lagi.
"Terpulang, tapi kamu kena katakan kepada mereka, bukankah Rasul kami yakni Muhammad shallahu alaihi wa sallam telah melarang umatnya makan dan minum dengan nampan diperbuat dari emas?"
"Kenapa cakap macam tu, nanti mereka marah saya tuk?"
"Tidak, inilah kaedahnya," kata guru.
Guru kemudian menerangkan, apabila dikatakan begitu, mereka akan tinggalkan rumah itu dan tidak lama kemudian datang semula memberikan barang-barang berupa emas tulen. Ucapkan selamat kepada mereka semua.
"Tuk nak tanya sikit," kata orang itu.
"Tanyalah!"
"Siapa yang pernah buat amalan ini, atau tuk sendiri pernah buat kah?"
"Saya tak pernah buat pun sebab susah, tetapi kata riwayat, orang yang pertama kali amalkan ilmu ini adalah Abu Utbah al-Ghulam radhiyallahu anhu [?] beliau salah seorang sahabat Nabi shallahu alaihi wa sallam yang soleh rajin membaca al-Qur'an dan hafiz," kata guru.
Dalam diam-diam lelaki itu jadi serba salah. Dia fikirkan kena amal sampai seratus hari. Sedangkan dia sendiri tak pandai baca al-Qur'an.
"Tuk, nantilah saya fikirkan," katanya. [] 

1 comment:

  1. Terima kasih tuan kerana mengupload fadilah ayat ni.
    Yakinlah sy memeng benar ilmu ini wujud.Allah itu benar kerana memperlihatkan kelebihan ilmu ini melalaui saudara.

    ReplyDelete