KHABARNYA ADA ORANG BERMINAT NAK buat filem tentang ular besar di Tasir Chini, Pahang. Memang ada cerita tentang naga di tasik berkenaan, akan tetapi ia adalah dongeng yang dituturkan oleh masyarakat orang Asli yang tinggal di situ.
Kisahnya memang menarik, begitu juga dalam bab asal usul terjadinya Tasik Chini itu dari orang menugal tanah kemudian tertunggal punca air, sehingga air mengalir tidak berkesudahan. Itu cerita hiburan pengantar tidur di zaman belum ada buku, majalah, akhbar, radio dan televisyen semua.
Apa cerita ular besar yang orang tak ambil kisah ini?
Konon ada sepasang naga suami isteri tinggal di Tasik Chini. Disebabkan sudah lama memerap di situ, hendak juga mereka jalan-jalan cari makan ke laut - tujuannya ke Pulau Tioman, konon kerabatnya ada tinggal di sana [dalam bab ini siapa yang kreatif boleh mengembangkan cerita agar menarik lagi].
Kalau naga dua ekor itu hendak ke laut, keduanya kena menyusuri Sungai Pahang. Tidak kiralah sama ada nak ikut Kuantan atau sebelah Pekan sana. Asalkan boleh tempuh laut.
Naga pun macam manusia, pelupa sangat.
Sudah berenang jauh baru dok teringat kain cindainya. Wah, naga pun ada kain cindai, ingatkan pontianak di Palembang sahaja yang ada kain kundu sumai tu.
Maka bila sudah teringat kain cindai itu, naga betina pun nak patah balik ke Chini. Sikit punya haru. Bayangkanlah, sudah sampai laut nak balik ke Tasik Chini semula, ini bukan kerja senang. Kalau orang Pahang nampak, kecoh nanti, habis dipanggil jurugambar, radio dan tv siap berkampung di tepi sungai nak laporkan keberangkatan dua ekor naga dari Tasik Chini ke Laut China Selatan.
Silap haribulan ada artis Pahang diundang untuk menyanyikan lagu Cindai pula di tebing sungai bagi meraikan hari yang bersejarah itu.
Disingkatkan kisah, mengikut petuanya, perjalanan untuk jalan-jalan cari makan kedua naga itu boleh dilakukan sebelah malam sahaja. Tak boleh melangkaui masa imsyak. Wah, macam puasa juga. Kalau sudah dekat waktu imsyak, ayam dah berkokok maka rancangan ambil cindai itu akan gagal.
Kalau gagal, konon naga itu akan kena denda. Apa dendanya? Nanti kejap.
Maka naga betina pun berenang menuju ke Chini semula dengan perasaan sesal, yalah kenapa lupa dengan benda yang mistik itu.
Kain cincai kepunyaan naga ini tersimpan dalam tasik. Konon siapa yang dapat kain cincai itu, ia sangat berharga.Kalau dapat bawa ke Tioman apa istimewanya? Inilah yang orang tak fikirkan. Penulis cerita rakyat kena kembangkan soal kain cindai ini. Ia akan lebih menarik dan dramatik.
Ketika dia berenang nak ke Chini semula, tiba-tiba ayam jantan berkokok.
Ceh! Geram betul. Naga betina berhenti menyusur. Dah dekat Tioman nak patah balik semata-mata kain cindai, memang kerja gila.
Keduanya pun menyumpah seranah tak tahu nak sumpah dan nak seranah siapa. Disebabkan melanggar aturan tadi, terlanggar ayam jantan berkokok, naga betina konon bertukar jadi Pulau Tioman, naga jantan pula bertukar jadi Gunung Nenek Mukut. Tidak disebut pula ia ditegur dek Sang Kelembai.
KAIN CINDAI
Apa sudah jadi dengan kain cindai itu?
Konon, sesiapa yang boleh dapat kain cindai, ia adalah benda mistik yang berharga. Apa gunanya? Bukan nak dipakai untuk menari-nari tarian cindai semua, atau nak berwalinung sari macam Aripin Said sobat kita tu di Paya Bungor, Pahang, tapi, mengikut orang yang celik dengan benda karut, siapa yang dapat, kain cindai itu boleh dipakai untuk pakaian buat jahat.
Caranya, apabila sudah dapat kain cindai itu, ikat pada pinggang anda, konon sesiapa pun tak akan nampak anda. Ketika itu anda sudah jadi orang siluman. Suara orang boleh dengar, tapi orangnya tak kelihatan. Itulah kelebihan kain cindai ular besar Chini, yang tak pernah siapa pun sebut dalam sejarah dongeng dan mistik di Malaysia, baik menurut kajian bebudak Universiti Malaya yang pernah kumpul bahan cerita-cerita misteri dari kawasan Chini, siap temubual Tuk Batin dan orang-orang yang tahu cerita lama.
Menurut yang empunya cerita, Pulau Tioman itu ada kaitan dengan Tasik Chini. Keduanya dihubungkan oleh misteri naga Tasik Chini tadi.
Di sebuah negeri yang penduduknya percaya kepada mistik, kain cindai digunakan sebagai alat untuk melindungi diri. Ia macam tangkal atau azimatlah tapi dalam bentuk selendang. Di Pulau Tioman pun ada mistik Nenek Mukut, ceritanya menarik dan boleh dikembangkan. Walaupun ia bergelar nenek, sebenarnya ia boleh juga dinamakan sebagai Puteri Mukut. Di pulau itu juga ada sebuah makam yang dikeramatkan iaitu, makam Datuk Bukit di Bukit Datuk.
Gunung Nenek Mukut itu kalau perhati baik-baik puncaknya kembar dengan puncak Gunung Batu Simau di selatan Tioman. Puncak kembar itu dianggap tanduk puteri naga yang telah bertukar menjadi sebahagian Pulau Tioman.
Dulu ada seorang wanita yang tinggal di Pahang ada menghantar cerita bertulisan tangan, iaitu pengalaman peribadinya. Dia telah dikunjungi seorang gadis misteri. Gadis itu datang pada waktu malam dan berbual-bual mesra dengan wanita itu.
Gadis itu beritahu, dia datang hendak memberikan sesuatu, iaitu ilmu. Akhirnya, wanita itu boleh mengubat dirinya dan boleh mengubat orang. Siapa gadis misteri yang datang dan "hinggap" di tingkap rumah itu?
Menurut wanita itu, ia datang dari Pulau Tioman, dari keturunan Nenek Mukut juga!
Jadi, kisah ini pun boleh dikembangkan lagi bagi sesiapa yang minat dongeng. []
No comments:
Post a Comment